
Kehadiran cahaya mata pertama pastinya menjadi momen yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Begitulah yang dirasai suami kepada pelakon Nelydia Senrose, Datuk Mohd Hafez Halimi, selepas mereka selamat menyambut kelahiran seorang bayi lelaki pada 26 Julai 2026.
Bukan sahaja teruja bergelar bapa, Hafez turut meluahkan rasa kagum terhadap kekuatan isterinya yang berjuang melalui proses kelahiran. Menyaksikan sendiri setiap detik yang dilalui Nelydia membuatkannya semakin menghargai pengorbanan seorang wanita untuk melahirkan zuriat.
Menerusi hantaran di Instagram, Hafez menyifatkan Nelydia sebagai wanita paling kuat dan paling cantik yang pernah dikenalinya.
Menurutnya, pengalaman melihat isterinya menahan kesakitan serta menghadapi pelbagai cabaran ketika melahirkan anak mereka akan kekal dalam ingatannya sepanjang hayat.
“Semalam, 26 Julai 2026, saya menyaksikan wanita paling kuat dan paling indah yang pernah saya kenali.
Melihat awak bertarung melalui setiap detik kesakitan dan segala cabaran demi melahirkan anak lelaki kita dengan selamat adalah sesuatu yang akan saya kenang sepanjang hidup.
Awak sangat berani, walaupun perjalanan itu bukanlah sesuatu yang mudah. Melihat awak menjadi seorang ibu adalah perkara paling indah yang pernah saya saksikan.
Sayang, terima kasih atas setiap pengorbanan, setiap titisan air mata, setiap kekuatan dan setiap degupan jantung yang membawa anak lelaki kita dengan selamat ke dalam dakapan kami.
Awak bukan sahaja melahirkan bayi lelaki kita yang sangat istimewa, tetapi turut menghadiahkan saya pemberian paling berharga yang pernah saya terima. Hari ini, awak telah melengkapkan keluarga kecil kita.”
Ucapan tersebut jelas menggambarkan rasa hormat dan bangganya terhadap Nelydia yang kekal tabah sepanjang proses kelahiran anak sulung mereka.
Trending artikel: Bantuan MamaKerja Kini RM10 Juta! Lagi 5000 Ibu Bekerja Terima Insentif RM1,000
Dalam perkongsian sama, Hafez turut mengucapkan terima kasih kepada isterinya atas segala pengorbanan yang dilakukan sepanjang tempoh kehamilan sehingga selamat melahirkan.
Baginya, Nelydia bukan sekadar melahirkan seorang bayi lelaki yang sihat, malah telah menghadiahkan kebahagiaan terbesar dalam hidupnya serta melengkapkan keluarga kecil mereka.
Dia turut menzahirkan rasa syukur kerana segala doa yang dipanjatkan selama ini akhirnya dimakbulkan Allah SWT.
“Allah mengurniakan kita seorang bayi lelaki yang sihat dan paling penting, Dia melindungi serta menjaga keselamatan awak berdua. Hati saya tidak pernah terasa sebegini penuh dengan rasa syukur. Rasanya tiada kata-kata yang mampu menggambarkan betapa bersyukurnya saya atas anugerah ini.
Terima kasih kerana menjadikan saya seorang suami yang paling bangga dan kini, seorang ayah yang paling bertuah.
Saya berjanji akan menghabiskan seluruh hidup saya untuk mencintai awak, melindungi awak dan sentiasa berdiri di sisi awak dalam setiap kegembiraan serta cabaran.
Anak kita sangat bertuah kerana mempunyai awak sebagai ibunya. Dan saya jauh lebih bertuah kerana dapat memanggil awak sebagai isteri saya.
Saya mencintai awak lebih daripada apa yang mampu diungkapkan dengan kata-kata. Terima kasih kerana menghadiahkan saya keluarga yang selama ini sentiasa saya doakan.”
Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya
Perkongsian tersebut kemudiannya dibanjiri ucapan tahniah daripada rakan-rakan selebriti dan para peminat yang turut teruja dengan kelahiran cahaya mata sulung pasangan berkenaan.
Rata-rata mendoakan agar Nelydia dan bayinya sentiasa berada dalam keadaan sihat, selain berharap pasangan itu dipermudahkan dalam menggalas tanggungjawab baharu sebagai ibu dan bapa.
Tahniah diucapkan buat Nelydia Senrose dan Datuk Mohd Hafez Halimi atas kelahiran putera sulung mereka. Semoga cahaya mata ini membesar dengan sihat dan menjadi penyeri serta sumber kebahagiaan buat seluruh keluarga.
Sumber: Instagram Mhafezhalimi