Ultrasound adalah mesin yang menggunakan gelombang bunyi berfrekuensi tinggi yang dikeluarkan daripada hujung probe ke anggota badan yang hendak diperiksa. Melalui pantulan balik gelombang bunyi ini ke mesin ultrasound, mesin ini akan menghasilkan imej yang dapat dilihat di monitor.

Imej yang dihasilkan adalah di dalam bentuk hitam putih, di mana kawasan hitam mewakili bahagian badan yang mengandungi air/cecair, manakala kawasan putih mewakili tisu-tisu pejal seperti tulang, organ dalam badan dan lain-lain. Imej-imej yang dipaparkan di skrin ultrasound ini juga boleh disimpan di dalam bentuk digital ataupun dicetak untuk simpanan doktor ataupun pesakit. Ultrasound tidak menggunakan radioaktif dan ianya selamat ke atas ibu dan bayi.

Ultrasound 2D menghasilkan imej dua dimensi dan imej yang dapat dilihat adalah berbentuk keratan rentas di mana bahagian dalam organ dan badan bayi dapat dilihat dengan jelas. Organ-organ ini dapat dilihat dan diukur saiznya. Struktur-struktur yang bergerak juga dapat diiihat dan jika ujian ini dilakukan bersama dengan ujian Doppler, aliran darah dapat dikesan.

Ultrasound 3D pula adalah menggunakan prinsip yang sama dengan ultrasound 2D tetapi melalui kecanggihan teknologi moden, imej yang dihasilkan adalah imej 3D, iaitu lebih mirip kepada rupa bentuk organ ataupun bayi yang dilhat secara hidup. Apabila imej 3 dimensi yang dihasilkan ini dapat bergerak, maka ianya dikenali sebagai imej 4D.

Mesin ultrasound 4D adalah mesin ultrasound yang dapat menghasilkan imej 3 dimensi bayi di dalam kandungan dan mempamerkan pergerakannya sekali. Persoalannya adakah pemeriksaan ultrasound 3D dan 4D ini lebih bermanfaat daripada ultrasound 2D ke atas ibu hamil. Ikuti penjelasan saya di bawah.

 PEMERIKSAAN ULTRASOUND KEHAMILAN

IKLAN

Pemeriksaan ultrasound ke atas ibu hamil adalah salah satu ujian yang sangat sering dilakukan oleh doktor. Ultrasound menjadi pilihan disebabkan oleh peralatannya yang lebih kecil dan mudah dilakukan. Di samping itu, ultrasound adalah kaedah pemeriksaan radiology yang paling selamat kerana ia tidak menyebabkan anak di dalam kandungan terdedah kepada radiasi seperti mana pemeriksaan CT scan dan X-Ray.

Terdapat banyak kegunaan pemeriksaan ultrasound ke atas ibu yang hamil, di antaranya adalah untuk menentukan usia kandungan, untuk menentukan kedudukan janin, menentukan bilangan janin dan usia kandungan. Pemeriksaan ultrasound juga dilakukan untuk mengesan kecacatan anak di dalam kandungan. Lain-lain kegunaan ultrasound adalah untuk menentukan kandungan air ketuban, memantau tumberaran bayi di dalam kandungan dan juga membantu doktor untuk melakukan prosedur ke atas kandungan seperti mengambil sampel air ketuban, mengambil sampel darah janin dan lain-lain lagi.

APAKAH ULTRASOUND PILIHAN DOKTOR SAKIT PUAN

Walaupun pada hari ini sudah terdapat ultrasound 3D dan 4D, pemeriksaan ultrasound yang paling penting adalah pemeriksaan ultrasound 2D kerana dengan pemeriksaan ini, doktor dapat melihat organ-organ dalam badan bayi dan jika dilakukan ujian doppler, ianya juga dapat mengukur aliran darah tali pusat untuk menentukan kesihatan bayi dan boleh membantu doktor di dalam mengenalpasti kaedah terbaik untuk merawat bayi.

Pemeriksaan untuk mengesan kecacatan organ dalam bayi juga adalah menggunakan ultrasound 2D. Pemeriksaan ini dinamakan “detailed scan”. Ultrasound 3D dan 4D hanya dapat menunjukkan rupa bentuk luaran bayi tetapi tidak dapat menunjukkan dengan teliti keadaan organ dalam badan bayi. Jadi jika diberi pilihan di antara ultrasound 2D, 3D ataupun 4D, tentulah pemeriksaan ultrasound 2D sepatutnya menjadi pilihan kerana ia mampu memberi lebih banyak maklumat mengenai keadaan anak di dalam kandungan.

Sehingga hari ini, ujian ultrasound 2D adalah pilihan utama doktor sakit puan manakala ultrasound 3D dan 4D hanya sebagai pilihan kedua ataupun untuk tujuan menunjukkan kepada ibu tentang rupa dan pergerakan anak yang lebih semulajadi. Di samping itu ujian ultrasound 3D dan 4D juga dapat mengesan kelainan ataupun kecacatan bahagian luar anak seperti ketumbuhan di bahagian leher, sumbing, kecacatan tangan atau kaki dan lain-lain.

Pemeriksaan ultrasound 2D juga dapat mengesan kelainan-kelainan di bahagian luar bayi seperti di atas walaupun tidak sejelas pemeriksaan ultrasound 3D dan 4D. Hari ini terdapat pula ultrasound HD live yang merupakan penambahbaikan imej daripada ultrasound 4D di mana imej bayi lebih jelas dengan pencahayaan yang lebih baik. Sedikit masa lagi mungkin ultrasound 5D pula menjadi trend. Walau apapun jenis ultrasound yang bakal diperkenalkan, ianya pasti mempunyai kebaikan dan keburukan.

Melakukan ultrasound tanpa sebab ataupun hanya untuk tujuan melihat rupa anak adalah tidak digalakkan kerana walaupun ujian ini selamat, adalah sesuatu yang tidak wajar untuk mendedahkan anak kepada gelombang bunyi tanpa sebab. Pemeriksaan ultrasound 3D dan 4D memerlukan kemahiran yang lebih tinggi dan masa yang lebih panjang, jadi pendedahan bayi terhadap gelombang bunyi mungkin lebih lama.

Di samping itu ujian ultrasound pula bukan 100% tepat, terdapat banyak kelainan ataupun kecacatan kecil yang tidak dapat dikesan. Ibu-ibu hamil hendaklah mendapatkan nasihat doktor sakit puan sebelum ingin mendapatkan pemeriksaan ultrasound.

Elakkan daripada terpengaruh dengan promosi-promosi daripada syarikat ataupun individu-individu untuk melakukan pemeriksaan 3D dan 4D yang tentu sekali menelan belanja yang lebih mahal. Jika anda ingin merakamkan gambar bayi anda, anda mempunyai cukup masa untuk melakukannya apabila ia dilahirkan, malahan ini lebih bermakna kerana anda menyimpan memori gambar ataupun video anak anda yang sebenar-benarnya.

Kesimpulannya, sila dapatkan nasihat doktor sakit puan sebelum menjalani ujian ultrasound tidak kira ultrasound 2D, 3D ataupun 4D.

Sumber: Dato’Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Kanan O&G
Jabatan O&G
Hospital Sultanah Bahiyah