Walaupun anak kecil belum berkata-kata, itu tidak bermakna dia tidak berbicara. Pada 18 bulan yang pertama hidup seorang anak, dia sentiasa ragu-ragu dan tertanya-tanya tentang dunia dan segala isinya yang dapat dilihat, disentuh, dihidu dan dirasa oleh pancaindera.

Pakar Jelaskan 18 Bulan Pertama Anak, Sangat Bermakna. Segalanya Dia Belajar & Faham 

Ibu bapa orang kepercayaan anak

Si anak yang belum berdaya dan berupaya bergantung sepenuhnya kepada ayah, kepada ibu dan kepada sesiapa sahaja yang mengasuhnya untuk merasai kehangatan belaian, kelembutan, kasih sayang, kestabilan dan ketenangan yang amat diperlukan dalam kehidupan yang baru dilaluinya.

Seandainya kita hadir di kala diperlukan, anak akan merasa selamat, yakin dan percaya akan dunia sekelilingnya.

Seandainya perhatian kita terhadapnya tidak menentu, maka kepercayaan anak terhadap dunia di sekelilingnya dipenuhi keraguan dan kebimbangan.

Seandainya anak sering dipinggirkan, tidak dipedulikan, tidak dipandang, tidak dibelai, tidak dipeluk, tidak dicium, sehingga terpisah emosi dari orang dewasa yang diharapkannya, maka anak membuat andaian dan kesimpulan yang dia keseorangan tanpa dahan untuk berpaut.

Anak kecil membina harapan dari perhatian yang diberikan kepadanya. Dengan harapan itu anak yakin walau apa sahaja rintangan dan dugaan yang dihadapinya, insan yang dipercayainya akan menyokong dan mendorong.

Anak kecil sukar berpisah dan melepas pergi insan yang sentiasa peduli dan peka akan keperluannya.

IKLAN

Dia ragu-ragu dan bimbang akan mereka yang tidak biasa dikenalinya. Itu lumrah. Jangan disangka anak kecil tidak tahu apa-apa hanya kerana dia tidak boleh berkata-kata.

Setiap anak dilahirkan bijak dengan caranya yang tersendiri. Dia sentiasa bersedia untuk dibimbing dan dibentuk, tanpa tentangan, tanpa prejudis.

Pakar Jelaskan 18 Bulan Pertama Anak, Sangat Bermakna. Segalanya Dia Belajar & Faham 

Anak memerhati apa layanan ibu bapa

Anak kecil sentiasa memerhati untuk meneka makna yang tersirat di sebalik riak wajah dan tona suara insan yang disayangi.

IKLAN

Dia juga mengharapkan agar insan itu tidak memaksa tetapi belajar untuk memahami.
Dengan memerhati bagaimana ayah dan ibu meluahkan emosi, anak mempelajari erti gembira, sedih, marah, teruja, takut dan resah.

Anak memerhati bagaimana ayah dan ibu melayan dan membalas luahan emosinya. Adakah ayah dan ibu peduli akan kesedihan dan keresahan yang dirasainya?

Atau adakah ayah dan ibu hanya mengharapkan kegembiraan dan keterujaan darinya? Ayah dan ibu adalah sumber utama untuk anak kecil mempelajari tingkah laku untuk ditiru.

Bermainlah dengan anak kecil. Luangkanlah masa bersamanya. Jadilah peneman jasmani, rohani dan emosi yang terbaik buat anak.

Pakar Jelaskan 18 Bulan Pertama Anak, Sangat Bermakna. Segalanya Dia Belajar & Faham 

IKLAN

Ibu bapa guru pertama anak

Peranan kita sebagai insan yang berada di sekeliling anak kecil adalah untuk memberi keyakinan kepadanya bahawa dunia ini adalah tempat yang selamat untuk diteroka.

Berilah kepastian bahawa kita adalah insan yang boleh mereka percaya untuk melindungi mereka dari sebarang mara bahaya.

Tidak kira walau bagaimanapun situasi keluarga dan gaya hidup kita, sebagai ibu bapa kita adalah GURU PERTAMA. Apa yang anak pelajari melalui perhubungannya dengan kita tidak dapat dihitung nilainya.

Tidak ada usaha yang kita lakukan bersama-sama anak pada 18 bulan pertama, adalah sia-sia dan membuang masa.

Kredit: Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI