Kanak-kanak yang mempunyai kelewatan dalam perkembangan contohnya seperti autism, kebanyakannya tidak memberikan respon kepada nama secara konsisten. Ini menyukarkan kita untuk menarik perhatian mereka dan akan menyukarkan mereka untuk bersosial kerana mereka kurang sedar yang ada orang lain sedang bercakap dengan mereka. Tapi perlu diingat bahawa kanak-kanak yang tidak memberikan respon pada nama tidak semestinya mempunyai autism.
Bagaimana mengajar anak untuk memberikan respon pada nama mereka? Berikut adalah langkah-langkah yang boleh anda lakukan di rumah seperti yang dikongsikan oleh Pakar Patologis Pertuturan-Bahasa, Aishah Kassim
Memberi respon dalam situasi berasingan
Ads
Dalam langkah yang pertama ini, kanak-kanak diajar untuk memberikan respon di dalam situasi yang kurang gangguan seperti mainan, tv, gajet dan lain-lain. Anda boleh meletakkan mereka di dalam sebuah bilik atau di meja makan yang kurang terdapat gangguan.
Duduk bersama anak anda dan sediakan sesuatu yang disukai anak anda seperti mainan, makanan, peluk, geletek dan sebagainya untuk dijadikan peneguhan atau hadiah jika anak memberikan respon kepada nama
Tunggu sehingga kanak-kanak berpusing atau pandang ke arah lain dan sebut namanya. Jika anak melihat ke arah anda, berikan hadiah yang telah anda pilih tadi.
Setiap kali anda memberikan hadiah kepada mereka, jangan lupa untuk memberitahu mereka sebab anda memberi hadiah. Seperti “pandai.. adik tgk mama”
Sebut nama beberapa kali. Jika kanak-kanak tidak memberikan respon anda boleh cuba untuk melambai, atau mengetuk meja atau menyentuh tangan atau bahu mereka untuk menarik perhatian.
Lakukan latihan berulang kali sehingga kanak-kanak dapt memberikan respon sebanyak 80% konsisten.
Memberi respon dalam situasi terkawal
Ads
Setelah kanak-kanak dapat memberikan respon dalam keadaan yang kurang gangguan, anda boleh teruskan latihan di tempat yang lebih banyak gangguan seperti di ruang tamu yang mana terdapat tv dan mainan lain di sekitar
Lakukan langkah pengajaran yang sama seperti yang pertama.
Jika kanak-kanak tidak memberi respon, tinggikan atau kuatkan suara anda untuk menarik perhatian mereka. Beri hadiah jika mereka memberikan respon.
Biarkan mereka bermain seketika dengan mainan atau hadiah yang diberi. Ini adalah untuk melatih mereka untuk memberikan tumpuan pada perkara lain dan keluar daripada situasi fokus 1 hala.
Ulang latihan sehingga anda mendapat 80% respon yang konsisten.
Sekarang, mereka perlu dilatih untuk sentiasa bersedia dalam semua situasi.
Tunggu sehingga anak anda sibuk melakukan sesuatu, seperti sedang bermain atau sedang melihat buku dan sebagainya. Pergi berdekatan anak anda dan panggil nama mereka. Tunggu seketika dan lihat sama ada mereka memberi respon atau tidak. Jika mereka memberi respon, berikan hadiah seperti sebelum ini dan beritahu sebab mereka mendapat hadiah tersebut. Jika tiada respon, kuatkan suara anda dan lihat bagaimana mereka memberi respon pada suara yang berbeza.
Teruskan latihan. Jika anak sudah boleh memberi respon dalam jarak yang dekat, anda boleh tambahkan jarak seperti memanggil dari jauh seperti dari dapur, luar rumah dan sebagainya.
Teruskan latihan secara berulang-ulang. Tapi perlu diingat, jangan mengharapkan respon yang sempurna dari anak anda kerana biasanya apabila kanak-kanak terlalu fokus dengan sesuatu, mereka sukar untuk memberikan respon.
Kanak-kanak yang sedang membesar memang suka bermain. Dari usia setahun sehingga umur pra sekolah, anak-anak suka meneroka alam persekitaran mereka. Kadang kalau tengok mereka sepahkan permainanan tu bukan apa, ada yang tengah berimaginasi dan bereksplorasi.
Kalau nak ikutkan bila si kecil buat sepah, mama papa la yang penat nak kena kemas dan sebagainya tapi itu semua untuk kebaikan perkembangan si kecil anda. Tapi anda juga boleh didik mereka untuk kemas sendiri kerana itu juga boleh jadi sesuatu yang menyeronokkan buat anak-anak.
Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif ilmu psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal (0-6 tahun) di peringkat ASEAN dalam penulisannya di Pa&Ma mengulas lanjut tentang 5 jenis aktitivi bermain yang papa mama perlu tahu buat si kecil tersayang.
Zaman pendidikan praformal 0-6 tahun seharusnya penuh dengan aktiviti bermain berdasarkan beberapa bukti penyelidikan dan hujah santifik yang jelas. Pertama sekali, penyelidikan demi penyelidikan sains sosial membuktikan bahawa kanak-kanak pada usia pendidikan praformal tidak sesuai diberi pendidikan yang berbentuk akademik sepenuhnya. Kedua, tidak semestinya semakin kita memaksa si kecil dalam lingkungan usia praformal untuk menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis, mengira), semakin mereka akan menjadi pintar dan cerdas berbanding kanak-kanak lain!
Sebenarnya pada usia sekitar 10 tahun nanti, segala ‘kelebihan’ kanak-kanak yang diberi pendedahan 3M sepenuhnya akan dapat disaingi oleh si kecil yang banyak belajar melalui aktiviti bermain di taska dan tadika! Ambil contoh negara-negara maju di kawasan Scandinavia, Eropah.
Kita tidaklah perlu mengagungkan sistem pendidikan prasekolah di negara-negara ini, namun pada masa yang sama papa, mama dan pendidik prasekolah di Malaysia khasnya perlu memikirkan secara kritis tentang konsep pendidikan prasekolah yang terlalu memaksa kanak-kanak menjadi ‘pakar’ dalam bidang akademik (intelek) sehingga perkembangan jasmani, emosi dan rohani mereka diabaikan.
Keseimbangan harus menjadi kata kunci di sini, ditambah pula dengan pemahaman yang lebih mendalam tentang naluri si kecil yang sentiasa ingin bermain dan meneroka dunia di sekelilingnya. Untuk lebih faham tentang naluri yang saya sebutkan ini, bulan ini saya akan berkongsi 5 jenis aktiviti bermain si kecil pada peringkat usia pendidikan praformal yang papa dan mama perlu tahu…
Aktiviti bermain lokomotor lazimnya melibatkan gerak kerja fizikal seperti merangkak, berjalan, melompat, berlari, memanjat dan sebagainya. Aktiviti ini berkait rapat dengan pertumbuhan fizikal kanak-kanak. Melalui proses tumbesaran semula jadi bermula dari usia bayi hingga usia lewat kanak-kanak dan awal remaja, si kecil semakin menunjukkan perkembangan dan kemajuan dalam kekuatan fizikal dan kemahiran motornya.
Dapatan penyelidikan jangka panjang menunjukkan bahawa aktiviti bermain lokomotor membantu kanak-kanak 0-6 tahun belajar kemahiran koordinasi tubuh badan dengan cepat dan cekap. Aktiviti bermain ini bermula sebaik sahaja seorang bayi sudah pandai meniarap, duduk serta merangkak. Ia berterusan hingga ke usia lewat kanak-kanak dan semakin berkurangan apabila seorang anak kecil mencecah usia awal remaja.
Walaupun kita jarang memikirkan manfaat aktiviti bermain lokomotor selain daripada aktiviti riadah yang amat digemari oleh kanak-kanak, sebenarnya aktiviti bermain ini amat penting untuk mereka. Aktiviti bermain ini membantu mempercepatkan tumbesaran otak dan otot – dua komponen komponen biologi yang akan membantu mereka meneroka dan belajar tentang dunia sekeliling dengan lebih aktif lagi.
Eksperimen dalam jurnal akademik tersohor ‘American Psychologist’ membuktikan bahawa aktiviti bermain lokomotor serta aktiviti bermain aktif di taman permainan dapat meningkatkan tahap tumpuan kanak-kanak 4-6 tahun. Bukan itu sahaja, eksperimen ini mendapati bahawa selepas aktiviti bermain aktif, kanak-kanak dapat menguasai konsep baru dan menaakul ilmu pengetahuan dengan lebih cekap berbanding kanak-kanak lain yang tidak diberikan ruang dan peluang untuk bermain sepuas hati mereka.
Aktiviti bermain berciri sosial bermula pada usia bayi lagi, sebaik sahaja si kecil lahir ke dunia. Umum mengetahui bahawa semasa usia bayi, kanak-kanak sudah mula belajar dan bermain dengan cara yang tersendiri. Beberapa bulan selepas dilahirkan, seorang bayi dapat menggunakan pancaindera untuk memahami alam sekeliling. Bayi itu juga sedang melalui proses perapatan (attachment) dengan papa, mama dan penjaga atau pengasuhnya.
Proses perapatan berlaku secara semula jadi dan salah satu cara proses ini berlaku adalah melalui aktiviti bermain berciri sosial! Bila orang dewasa memberi perhatian kepada seorang bayi dan menyapa (agah) atau mengusiknya sebagai contoh, aktiviti bermain berciri sosial mula berlaku. Kemudian sekitar usia dua tahun dan ke atas, aktiviti bermain berciri sosial pun berubah bentuk. Kalau dahulu kitalah yang menjadi teman bermain, bermula saat ini seorang anak kecil lebih cenderung untuk bermain dengan kanak-kanak lain. Semakin banyak kanak-kanak berinteraksi dan bermain sesama mereka, semakin tinggi frekuensi dan kualiti aktiviti bermain berciri sosial yang mereka rasai.
Apabila usia si kecil meningkat kepada 3 hingga 4 tahun, aktiviti bermain berciri sosial berubah bentuk lagi menjadi aktiviti berkumpulan. Apabila tiga orang atau lebih kanak-kanak merasai pengalaman bermain berciri sosial, mereka dapat menguasai kemahiran sosial dan hidup berkumpulan. Dari titik ini, mereka mula faham dan sedar akan konsep komuniti dan masyarakat walaupun pemahaman mereka masih terhad.
Kanak-kanak juga gemar bermain dengan objek. Suatu hakikat hidup yang kita semua tahu, kanak-kanak pada usia pendidikan praformal amat suka bermain dengan objek biasa atau alat permainan! Seperti juga aktiviti bermain berciri sosial, aktiviti bermain dengan objek pada hakikatnya bermula pada usia bayi lagi. Lihat sahaja telatah bayi yang diberi sesuatu, jika tidak dipantau segala macam benda akan dimasukkan ke dalam mulutnya, dikeluarkan dan dimasukkan lagi. Ini sebenarnya awalan aktiviti bermain dengan objek dalam hidup si kecil kontemporari. Apabila mencecah usia 2 tahun dan ke atas, bayi tadi kini semakin cekap memanipulasi objek di sekelilingnya misalnya apabila dia bermain dengan blok mainan.
Lebih menarik lagi, aktiviti bermain dengan objek kadangkala melibatkan aktiviti bermain berimaginasi juga. Sebagai contoh, blok mainan itu dibina menjadi sebuah ‘rumah’ dan di dalam rumah berkenaan ada pula penghuni olok-oloknya. Semakin meningkat umur si kecil, aktiviti bermain dengan objek akan menjadi semakin kompleks. Ini disebabkan dia sudah semakin cekap dan semakin cepat memanipulasi objek-objek yang ada di sekeliling.
Malah jika diberi peluang dan ruang secukupnya, aktiviti bermain dengan objek akan menjadi asas pembinaan konsep dan pemikiran saintifik si kecil di samping membantunya mempelajari asas kemahiran penyelesaian masalah dan penaakulan deduktif (deductive reasoning). Walau bagaimanapun, perlu saya tekankan di sini bahawa manfaat aktiviti bermain dengan objek perlu diseimbangkan dengan arahan dan sedikit bantuan daripada orang dewasa, lebih-lebih lagi pada peringkat usia 0-3 tahun.
Aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa adalah antara pencapaian yang paling hebat dalam kehidupan kanak-kanak 0-6 tahun! Aktiviti ini bermula lazimnya apabila mereka menjangkau usia dua tahun. Jika si kecil anda berada dalam lingkungan usia ini, anda boleh memerhatikan permulaan aktiviti bermain yang menarik (lagi melucukan) ini. Sebaik sahaja si kecil menguasai asas-asas berbahasa dan mula bertutur dengan pelatnya, dia akan mula ‘bercakap’ dengan dirinya misalnya sebelum tidur atau apabila dia bangun pagi. Kita yang memerhati sukar untuk faham tutur kata si kecil, namun aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa penuh dengan ulangan bunyi atau perkataan ‘orang dewasa’. Aktiviti ini juga diselang-selikan dengan gelak ketawa si kecil walau hakikatnya dia sedang bercakap dengan diri sendiri (mungkin ini asalnya frasa “mudah terhibur”)! Seperti yang boleh dijangka, semakin usia kanak-kanak meningkat semakin kebolehan berbahasa mereka menjadi kompleks. Dalam lingkungan usia 3 hingga 4 tahun, aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa juga semakin kompleks apabila si kecil kini mampu menyanyi dengan lebih teratur serta menggunakan bahasa secara lebih kreatif berbanding sebelumnya.
Ini sebabnya pada lingkungan usia sedemikian, si kecil amat suka mendengar cerita atau mahu dibacakan cerita oleh papa, mama atau cikgu prasekolahnya. Dia juga amat suka permainan bahasa seperti teka-teki, lagu-lagu kanak-kanak yang agak lucu dan sebagainya. Ciri humor yang semakin kompleks ini sudah pasti berkait rapat dengan aktiviti bermain dengan bahasa.
Perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek dapat disepadukan melalui aktiviti bermain berimaginasi. Dalam erti kata lain, aktiviti ini adalah aktiviti bermain yang dapat memberi paling banyak manfaat dalam hidup kanak-kanak pada peringkat usia praformal! Aktiviti bermain berimaginasi mula berlaku sekitar usia setahun hingga setahun tiga bulan apabila si kecil semakin pandai mengajuk atau meniru perbuatan orang lain.
Aktiviti yang penuh dengan imaginasi memerlukan si pelaku (kanak-kanak) dan juga si penonton (orang dewasa) untuk berpura-pura bahawa sesuatu objek atau perbuatan sedang melambangkan objek atau perbuatan berbeza. Misalnya pisang yang dipegang oleh si kecil anda itu adalah telefon bimbit dan dia sedang menggunakan ‘telefon bimbit’ itu untuk menelefon anda.
Pada mulanya aktiviti bermain berimaginasi tidak terlalu kompleks, tetapi akan menjadi lebih rumit sejajar dengan usia dan pengalaman hidup kanak-kanak. Aktiviti yang pada mulanya hanya berpura-pura akan berubah menjadi main peranan (role play). Dari hanya satu babak pendek seperti si kecil menidurkan anak patung atau beruang teddy, aktiviti bermain ini akan menjadi babak yang panjang dan memerlukan penggunaan imaginasi yang lebih kreatif.
Yang pasti, melalui aktiviti bermain berimaginasi, si kecil 0-6 tahun dapat mula belajar nilai empati dan simpati dengan memahami perasaan orang lain. Melalui aktiviti bermain ini juga mereka akan mula memantapkan kebolehan berbahasa sesuai dengan bahasa yang digunakan oleh orang dewasa di sekeliling mereka. Penyelidikan menunjukkan bahawa aktiviti bermain seperti ini membantu si kecil belajar berunding dengan kanak-kanak lain dan memahami asas-asas peraturan dan undang-undang dalam kehidupan sehari-hari.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pendakap gigi, berapa umur kanak-kanak sesuai pakai. Pendakap gigi, atau juga dikenali sebagai braces, adalah alat perubatan pergigian yang digunakan untuk memperbaiki susunan gigi yang tidak sekata, gigi yang berlapis, atau masalah gigitan (seperti overbite dan underbite).
Soalan yang sering timbul, bolehkah kanak-kanak memakai pendakap gigi? Jawapannya adalah ya, tetapi dengan beberapa syarat tertentu.
Berikut usia yang sesuai, faktor yang perlu dipertimbangkan, dan kebaikan memakai pendakap gigi untuk kanak-kanak.
Biasanya, kanak-kanak boleh mula memakai pendakap gigi seawal usia 8 hingga 14 tahun. Pada usia ini, gigi kekal sudah mula tumbuh sepenuhnya, dan tulang rahang masih berkembang. Oleh itu, ini adalah masa terbaik untuk melakukan rawatan kerana tulang yang sedang membesar lebih mudah dibentuk berbanding pada usia dewasa.
Namun begitu, kanak-kanak yang lebih muda juga boleh memakai pendakap gigi jika terdapat masalah yang serius seperti:
Gigitan terbalik (crossbite) – keadaan di mana gigi atas tidak sejajar dengan gigi bawah.
Gigi bertindih secara teruk (severe crowding) – keadaan di mana ruang pada rahang tidak mencukupi untuk semua gigi.
Sebelum kanak-kanak memakai pendakap gigi, lawatan ke pakar ortodontik adalah langkah pertama yang wajib. Pakar akan menjalankan pemeriksaan menyeluruh termasuk mengambil imbasan sinar-X, cetakan gigi, dan penilaian terhadap susunan gigi.
Berdasarkan pemeriksaan ini, pakar akan mencadangkan pelan rawatan yang sesuai, termasuk jenis pendakap gigi yang paling sesuai digunakan.
Jenis-Jenis Pendakap Gigi
Kanak-kanak boleh memilih daripada beberapa jenis pendakap gigi bergantung kepada keperluan mereka:
Pendakap konvensional (logam)
Jenis yang paling biasa digunakan dan kosnya lebih berpatutan.
Pendakap seramik
Kurang kelihatan tetapi lebih rapuh berbanding pendakap logam.
Pendakap lutsinar (aligner)
Alternatif moden yang boleh ditanggalkan. Namun, ia lebih sesuai untuk kes ringan.
Pembetulan Awal
Merawat masalah gigi pada usia muda mengelakkan komplikasi yang lebih serius apabila dewasa, seperti keperluan untuk pembedahan rahang.
Meningkatkan Keyakinan Diri
Dengan senyuman yang lebih cantik, kanak-kanak cenderung menjadi lebih yakin dalam berinteraksi dengan rakan sebaya.
Meningkatkan Fungsi Gigitan
Pendakap gigi membantu memperbaiki fungsi pengunyahan dan mengurangkan risiko masalah pergigian seperti kaviti dan gigi haus.
Kanak-kanak boleh memakai pendakap gigi dengan syarat keadaan pergigian mereka diperiksa dan dinilai oleh pakar ortodontik terlebih dahulu. Usia 8 hingga 14 tahun adalah tempoh terbaik untuk menjalani rawatan kerana tulang rahang masih dalam proses perkembangan.
Dengan rawatan yang tepat, kanak-kanak bukan sahaja mendapat susunan gigi yang lebih sempurna, tetapi juga senyuman yang lebih yakin dan sihat sepanjang hayat.
Jika anda sebagai ibu bapa berminat untuk mendapatkan rawatan untuk anak anda, pastikan anda berunding dengan pakar pergigian untuk mendapatkan maklumat dan nasihat yang tepat.
Banyak aktiviti dalaman, terdedah kepada skrin gajet terlalu lama dan tidak mempunyai rehat yang cukup dikesan menjadi penyumbang kepada peningkatan kes myopia atau rabun jauh sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.
Menurut laporan Harian metro, Perubahan norma yang tidak lagi menumpukan kepada aktiviti fizikal di luar seperti bersukan menyebabkan lebih 30 peratus kanak-kanak iaitu kira-kira dua juta orang mendapatkan rundingan Persatuan Optometris Malaysia (AMO) mengenai masalah penglihatan yang dihadapi terutama sepanjang berada di rumah dalam tempoh berkenaan.
Presidennya, Ahmad Fadhullah Ahmad Fuzai berkata, setakat ini pihaknya menerima banyak rujukan daripada ibu bapa bagi kes rabun membabitkan anak seawal usia tujuh tahun yang mengalami masalah mata sama ada rabun atau masalah ketidakselesaan pada mata.
“Kita ada buat kajian mengenai penggunaan gajet ini. Dalam masa seminggu, sepatutnya boleh menghadap skrin selama dua jam saja dan bila lebih, ia menyebabkan otot mata menjadi kejang.
“Mereka juga perlu rehatkan mata selama 20 minit antaranya bagi mengelakkan kepenatan.
“Saya dapati mereka banyak di rumah, banyak melihat gajet secara dekat dan membaca dalam keadaan berbaring menyebabkan gangguan pada mata.
“Ibu bapa juga mendapati berlaku perubahan kepada anak mereka yang mula mengecilkan mata untuk melihat dengan jelas,” katanya.
Ahmad Fadhullah berkata, peningkatan jumlah kanak-kanak yang rabun menyebabkan pihaknya terpanggil untuk memberi nasihat mengenai penjagaan mata yang sesuai dengan penggunaan gajet atau aktiviti di dalam rumah sepanjang penularan Covid-19.
Menurutnya, kajian pihaknya mendapati antara kebiasaan yang salah menyebabkan penglihatan terjejas ialah postur tidak betul ketika membaca dan pencahayaan tidak sesuai.
“Apabila kita membaca, mata akan lebih tertumpu dan bila gelap, mata kita akan menerima cahaya lebih banyak. Jika berlarutan dalam tempoh yang lama, ia akan menyebabkan rabun.
“Selain itu, pemeriksaan rutin mata perlu dilakukan setahun sekali untuk mengetahui tahap kerabunan sama ada meningkat terlalu tinggi atau sebaliknya.
“Ada pelbagai kaedah penyelesaian termasuk menggunakan teknologi terkini, bukan hanya pemeriksaan seperti yang biasa dilakukan,” katanya.
Oleh itu, pihaknya mengingatkan orang ramai agar memilih optometris bertauliah untuk membuat rujukan mengenai sebarang masalah berkaitan penglihatan bagi mendapatkan pandangan yang tepat.
Kawal tempoh guna gajet
Sayang anak berpada-pada. Itu nasihat pakar mengenai senario ibu bapa yang memberi kebenaran kepada anak menggunakan gajet sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.
Pakar Kepimpinan Diri, Keluarga dan Organisasi, Dr Azuraidah Shahadan berkata, kegagalan mengawal tempoh masa penggunaan gajet itu akan menyebabkan anak menghabiskan masa bermain peranti tanpa bergaul dengan masyarakat dan ahli keluarga seperti sepatutnya.
Katanya, ramai ibu bapa yang ‘tewas’ dengan runtunan emosi anak yang merayu meminta dibelikan gajet dan bermain sepanjang masa terutama ketika PKP dan lebih malang, ia dijadikan tanda kasih sayang pada mereka.
“Memang tidak berbaloi jika ada ibu bapa yang menggantikan kasih sayang mereka dengan beri gajet. Ia hanya boleh untuk mengisi masa lapang, namun penggunaannya perlu dikawal sebaik mungkin.
“Kalau ada yang kata guna gajet untuk pendidikan, elemen pendidikan memang ada, tetapi berbeza daripada kaedah yang sewajarnya,” katanya.
Bagi Ketua Seksyen Kaunseling Staf Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Redzuan Zamberi, penggunaan gajet berterusan akan menyebabkan hubungan fizikal yang normal beralih kepada hubungan siber tidak normal.
Katanya, ia akan mewujudkan rasa hilang kepercayaan anak kepada ibu bapa kerana mereka lebih percaya apa yang diperkatakan oleh idola mereka seperti Instafamous, ‘influencer’, Youtuber ternama, ustaz viral atau sesiapa yang diminati.
Jenis-jenis najis bayi boleh berubah mengikut usia, susu dan pemakanan. Ketahui warna najis yang normal, tanda bahaya serta bila ibu ayah perlu membawa bayi berjumpa doktor.