
Amalan berpantang secara tradisional sudah lama menjadi pegangan masyarakat di Malaysia sejak turun-temurun. Namun kini, timbul persoalan apabila ada yang mendakwa cara pantang yang terlalu banyak larangan menyebabkan ibu kelihatan lemah dan pucat selepas bersalin.
Isu ini kembali menjadi perbualan hangat di media sosial apabila warganet mula membandingkan penjagaan ibu selepas bersalin di Malaysia dengan amalan di negara Barat.

Perbandingan Dengan Negara Barat Cetus Persoalan
Ada yang berpendapat ibu bersalin di negara Barat dilihat lebih cepat pulih, bertenaga dan mampu kembali melakukan aktiviti harian dalam tempoh singkat selepas melahirkan anak.
Perkara ini dikaitkan dengan pengambilan makanan yang segar, berkhasiat serta amalan pemantauan kesihatan yang lebih menyeluruh, sekali gus menimbulkan persoalan tentang keberkesanan pantang tradisional yang diamalkan di Malaysia.
Pantang Terlalu Ketat Punca Ibu Lemah?
Pandangan ini mendapat pelbagai reaksi daripada warganet. Ada yang bersetuju dan berpendapat sebahagian pantang di Malaysia terlalu ketat sehingga menyukarkan ibu untuk pulih dengan baik.
Mereka menekankan kepentingan rehidrasi, pengambilan nutrisi mencukupi serta pergerakan ringan bagi membantu proses pemulihan selepas bersalin.
“My mom pernah berpantang di US & Malaysia. According to her comparison, di Malaysia ni pantang larang kadang-kadang mengarut sampai pucat, lemah, tak bertenaga, sembelit si ibu. Di US, after you gave birth, nurse bagi real juice, cukup protein. Minum air, nurse check untuk make sure badan hydrate dan susu lancar. Tak ada istilah rahim kembang, urat kembang,” ujarnya.

Pantang Tradisional Tetap Ada Kebaikan
Dalam masa sama, tidak kurang juga yang mempertahankan amalan pantang tradisional dan menegaskan ia mempunyai fungsi tersendiri untuk kesihatan ibu selepas bersalin.
Menurut mereka, pantang tradisional merupakan bentuk penjagaan awal yang wujud sebelum adanya kemudahan perubatan moden dan bertujuan membantu ibu berehat serta memberi fokus kepada penyembuhan tubuh.
“Berpantang traditional sebenarnya ialah bentuk penjagaan selepas bersalin yang paling awal wujud sebelum adanya hospital, antibiotik dan lain-lain. Tujuan amalan ni baik..memberi rehat, keep body warm, membantu recovery, menggalakkan mummy-baby bonding,” komen seorang warganet.
Perbezaan Budaya Timur & Barat
Perbincangan ini turut menampakkan perbezaan budaya antara Timur dan Barat. Di negara Barat, ibu selepas bersalin biasanya diberi lebih kebebasan, dengan sokongan nutrisi, pemantauan jururawat dan aktiviti ringan yang selamat.
Sebaliknya di Malaysia, pantang tradisional masih menekankan larangan fizikal dan pemakanan tertentu, walaupun semakin ramai ibu kini menyesuaikan amalan pantang mengikut keselesaan sendiri.

Tip Amalan Pantang Tradisional Secara Sihat & Seimbang
• Minum air secukupnya setiap hari
Pantang bukan bermaksud menahan air. Pengambilan air yang mencukupi sangat penting untuk mengelakkan dehidrasi, membantu penghasilan susu badan dan mengurangkan risiko sembelit serta keletihan.
• Utamakan pemakanan berkhasiat
Pilih makanan yang kaya protein seperti ikan, ayam dan telur, serta sayur-sayuran segar untuk membantu penyembuhan luka dan memulihkan tenaga ibu.
• Ambil buah-buahan yang sesuai
Buah seperti epal, kurma dan oren boleh diambil dalam kuantiti sederhana untuk membekalkan vitamin, serat dan tenaga tanpa mengganggu sistem pencernaan.
• Elakkan pantang melampau
Pantang yang terlalu ketat boleh menyebabkan badan lemah dan pucat. Ibu disaran mendengar keperluan tubuh sendiri dan mendapatkan nasihat profesional jika ragu-ragu.
• Kekalkan kehangatan badan dengan cara selamat
Amalan seperti bertungku atau berbedak boleh diteruskan, namun pastikan ia dilakukan secara sederhana dan tidak memudaratkan kulit atau kesihatan ibu.
• Lakukan pergerakan ringan
Berjalan perlahan di dalam rumah atau melakukan regangan ringan membantu melancarkan peredaran darah dan mempercepatkan pemulihan badan.
• Cukup rehat dan sokongan emosi
Pantang bukan hanya untuk fizikal, tetapi juga emosi. Rehat yang mencukupi dan sokongan pasangan serta keluarga membantu ibu lebih tenang dan fokus kepada bayi.
• Sesuaikan pantang mengikut keperluan diri
Setiap ibu berbeza. Tidak salah menyesuaikan amalan pantang tradisional mengikut kesihatan, keselesaan dan keperluan tubuh sendiri.
Perlu Dimodenkan, Bukan Ditinggalkan
Warganet mencadangkan agar amalan pantang tradisional dimodenkan dengan memberi penekanan kepada nutrisi, rehidrasi dan pergerakan ringan, tanpa meninggalkan nilai budaya yang telah lama diamalkan.
Pendekatan seimbang ini dilihat mampu membantu ibu pulih dengan lebih baik, sambil mengekalkan identiti dan tradisi masyarakat tempatan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





