
Hati ibu mana yang tidak luluh apabila anak yang masih kecil terpaksa menanggung kesakitan akibat pendarahan selepas berkhatan yang berterusan, sehingga memerlukan rawatan hospital dan pembedahan susulan.
Lebih merisaukan, kesan kecederaan yang dialami bukan sahaja meninggalkan parut kekal, malah persoalan mengenai fungsi seksual kanak-kanak itu apabila dewasa kelak masih belum dapat dipastikan.
Bagi seorang ibu, membayangkan anak terpaksa menunggu sehingga baligh dan dewasa untuk mengetahui sejauh mana kecederaan tersebut memberi kesan tentunya bukan sesuatu yang mudah.
Artikel trending: “Saya Takut Bila Ada Anak Sendiri, Hati Saya Akan Berubah” Madammu Kongsi Dilema Besarkan 3 Anak Tiri
Artikel viral: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!
Artikel: Pelajar 12 Tahun Meninggal Mengejut Selepas Latihan Silat, Mengadu Sakit Kepala Sebelum Rebah
Situasi ini juga menjadi peringatan buat ibu bapa bahawa prosedur perubatan yang dianggap biasa seperti berkhatan tetap mempunyai risiko dan perlu dilakukan dengan penuh teliti oleh pengamal perubatan yang bertanggungjawab.
Dalam kes berkenaan, Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu memerintahkan sebuah rangkaian klinik perubatan swasta membayar ganti rugi lebih RM359,000 kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dan keluarganya berhubung prosedur khatan yang dilakukan tiga tahun lalu.
Hakim Wan Nor Aklima Wan Salleh membenarkan tuntutan balas yang difailkan ibu kanak-kanak itu, 36, terhadap Hijraa Healthcare Sdn Bhd selepas memutuskan bahawa wanita berkenaan berjaya membuktikan tuntutannya berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan klinik berkenaan membayar RM300,000 sebagai ganti rugi am serta RM59,122.90 sebagai ganti rugi khas.
Menurut tuntutan balas yang dikemukakan, kanak-kanak tersebut menjalani prosedur berkhatan di klinik berkenaan pada Februari 2023.
Bagaimanapun, selepas prosedur itu dilakukan oleh dua doktor yang bertugas, kanak-kanak berkenaan dilaporkan mengalami pendarahan selepas berkhatan tanpa henti.
Si ibu turut mendakwa bahawa dia tidak pernah diberikan nasihat atau penerangan mengenai risiko yang mungkin dihadapi anaknya sebelum prosedur tersebut dilakukan.
Keadaan kanak-kanak itu kemudiannya menyebabkan dia dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Pembedahan turut dilakukan bagi membetulkan kerosakan yang dialami susulan prosedur berkenaan.
Doktor dari hospital kerajaan yang memberikan keterangan di mahkamah menjelaskan bahawa adalah tidak normal bagi seseorang mengalami pendarahan tanpa henti selepas prosedur berkhatan.
Mereka turut memaklumkan bahawa masih belum dapat dipastikan sama ada keadaan tersebut akan memberi kesan terhadap fungsi seksual kanak-kanak itu pada masa hadapan.
Selepas meneliti keterangan yang diberikan, hakim menerima keterangan doktor hospital kerajaan berhubung keadaan perubatan kanak-kanak tersebut dan memutuskan bahawa kedua-dua doktor yang melakukan prosedur berkenaan cuai.
Menurut hakim, kanak-kanak itu “telah mengalami kecederaan serius pada alat sulitnya, yang membawa kepada kehilangan kulit zakar yang ketara, pembentukan parut kekal, serta memerlukan rawatan hospital yang berpanjangan dan prosedur pembedahan lanjutan termasuk ‘full thickness skin grafting’.”
Kecederaan tersebut bukan sahaja memerlukan rawatan lanjut, malah kesan jangka panjangnya masih menjadi persoalan kerana kanak-kanak itu belum mencapai usia baligh.
Katanya lagi, fungsi zakar daripada segi seksual masih belum dapat ditentukan memandangkan mangsa masih kanak-kanak dan penilaian hanya boleh dibuat apabila pesakit baligh dan dewasa.
Situasi berkenaan sekali gus menyebabkan keluarga tersebut perlu hidup dengan persoalan mengenai keadaan anak mereka pada masa hadapan.
Hakim turut menyatakan bahawa risiko masa depan yang belum diketahui sama ada zakar tersebut akan memberikan fungsi seksual secara normal atau tidak akan menyebabkan kanak-kanak itu dan keluarganya “akan berada dalam tidak pasti dalam satu jangka masa yang ni akan meletakan mereka sekeluarga dalam situasi yang kurang menyenangkan dan akan menjejaskan keadaan psikologi mereka sekeluarga.”
Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya
Tuntutan balas berkenaan dikemukakan selepas Hijraa Healthcare terlebih dahulu memfailkan saman fitnah terhadap ibu kanak-kanak tersebut dan seorang lagi pengguna Facebook berhubung ulasan buruk terhadap klinik berkenaan.
Bagaimanapun, saman fitnah terhadap kedua-dua wanita tersebut ditolak selepas mahkamah mendapati ulasan yang dibuat adalah berdasarkan fakta serta pengalaman mereka dengan klinik tersebut.
Hakim turut menyatakan bahawa saman fitnah yang difailkan terhadap si ibu dan pengguna Facebook berkenaan merupakan satu bentuk tekanan yang bertujuan menghalang tuntutan kecuaian perubatan yang dikemukakan.
Kes ini bukan bertujuan menakutkan ibu bapa untuk membawa anak berkhatan, sebaliknya menjadi peringatan tentang pentingnya mendapatkan maklumat yang mencukupi sebelum sesuatu prosedur dilakukan.
Sebelum berkhatan, ibu ayah boleh bertanyakan kepada doktor mengenai kaedah yang digunakan, risiko yang mungkin berlaku, penjagaan luka selepas prosedur serta tanda-tanda komplikasi yang memerlukan rawatan segera.
Selepas prosedur pula, keadaan anak perlu dipantau dengan teliti. Sekiranya berlaku pendarahan selepas berkhatan yang banyak atau berterusan, kesakitan yang semakin teruk, bengkak luar biasa, demam atau keadaan anak kelihatan tidak seperti biasa, jangan berlengah untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan.
Seperti yang ditunjukkan dalam kes ini, pendarahan selepas berkhatan yang tidak berhenti tidak sepatutnya dipandang ringan. Ibu bapa perlu memberi perhatian terhadap keadaan luka serta perubahan pada keadaan anak selepas prosedur dilakukan.
Apa yang dianggap sebagai prosedur rutin tetap melibatkan kesihatan dan masa depan anak. Sebagai ibu bapa, bertanya, mendapatkan penjelasan dan memastikan anak menerima rawatan sewajarnya bukanlah sesuatu yang perlu dirasakan berlebihan.
Kadangkala satu tindakan pantas apabila menyedari pendarahan selepas berkhatan atau tanda komplikasi lain boleh membawa perbezaan besar terhadap keselamatan dan kesihatan anak pada masa hadapan.
Sumber: FMT