
Hati ibu ayah mana yang tidak luluh apabila insan kecil yang ditatang penuh kasih pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya. Petang ini, negara dikejutkan dengan khabar duka apabila adik Muhammad Ammar Muhammad Badrul, 7 tahun, yang cedera parah akibat dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya, disahkan meninggal dunia.
Menurut laporan Harian Metro, Ammar menghembuskan nafas terakhir jam 3.02 petang di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), selepas seminggu bertarung nyawa. Pemergiannya dikongsikan sendiri oleh ibu bapa melalui status WhatsApp yang cukup meruntun jiwa.
Doa Tidak Pernah Putus
Bapanya, Muhammad Badrul Rameli, 31, menulis ringkas tetapi penuh sebak,
“Assalamualaikum, anak saya Muhammad Ammar dah kembali ke negeri asal… sama-sama sedekahkan Al-Fatihah.”

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tidak putus mendoakan Ammar sepanjang seminggu anak kecil itu dirawat.
Sementara ibunya, Nur Ayuni Mohd Kamarulzaman, 29, yang setia menunggu di sisi katil hospital, reda menerima takdir meskipun hatinya remuk. Sebelum ini, doktor pernah memaklumkan jantung Ammar terhenti selama 14 minit, menyebabkan anak kecil itu berada dalam keadaan sangat kritikal.
“Sebagai ibu, saya tetap berharap Ammar sedar semula. Walaupun tahu keadaannya parah dengan lebih 50 jahitan di kepala, saya tetap berdoa. Namun, Allah lebih menyayanginya,” luah Nur Ayuni dalam linangan air mata.
Tragedi Yang Menggegarkan Negara
Kejadian menyayat hati itu berlaku Khamis lalu di sebuah rumah kedai di Pasar Jelawat, Bachok. Ammar, pelajar Tahun Satu, dipukul berulang kali di kepala oleh bapa saudaranya yang berusia 46 tahun hingga menyebabkan kecederaan parah, pendarahan serta bengkak otak.
Tragisnya, selepas kejadian, suspek melarikan diri sejauh tiga kilometer sebelum ditemui meninggal dunia di Pantai Melawi.
Perginya Anak Syurga
Pemergian Ammar meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja buat keluarga, tetapi seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangannya sejak hari pertama. Ramai menganggap Ammar kini seorang anak syurga yang bebas daripada penderitaan dunia.
Semoga roh Ammar ditempatkan dalam kalangan hamba Allah yang beriman, dan keluarga kecil ini terus diberi kekuatan menghadapi ujian besar.
Al-Fatihah buat Ammar, bidadari kecil yang kini berlari riang di taman syurga.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!












