Baru masak nasi siang, bila malam nak dah melekit. Bukan itu je kadang masak untuk makan malam tetapi bila nak tidur lupa nak simpan dalam peti sejuk, esok paginya dah basi dan kena buang.
Kadang tu rasa ralat sangat sebab nak masak sikit tak cukup. Bila masak lebih sikit, tak habis pula. Serba salah dibuatnya.
Ada yang kata nasi cepat basi sebab jenis beras, periuk nasi tak basuh bersih dan macam-macam lagi. Kali ini petua yang dikongsikan oleh Wan Marina Wan Musa mungkin boleh dicuba. Mana tahu ok kan?
Haritu ada tengok orang tanya macam mana nak bagi nasi yang baru masak tu tak cepat basi dan tahan lama. Dulu nasi saya pun selalu jadi macam tu jugak, cepat basi tak boleh simpan semalaman.
Ads
Dah banyak cara cuba. Ada yang kata tukar beras la, tukar periuk la tapi tak menjadi jugak. Kali ni saya buat menjadi. Nasi tahan lebih lama berbanding sebelum ni. Cara dia mudah saja.
Masa cuci beras tu selawatlah tiga kali. Lepas tu masak nasi macam biasa. Lepas nasi dah masak buka tudung periuk nasi sekejap dalam 5-10 minit bagi wap air dia keluar. Wap air tu yang buat nasi cepat basi.
Ternyata petua yang saya buat ni berhasil. Ibu-ibu boleh cuba. Mana tahu serasi.
#PetuaNasiLambatBasi
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Untuk ajar anak mengaji al Quran mungkin agak sedikit ‘tricky’, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan anak pertama dalam keluarga. Namun, jika tahu langkah dan kaedah yang tepat, ia boleh dilakukan tanpa sebarang masalah yang besar.
Ini perkongsian Puan Nooraishah Abdul Wahab berkenaan bagaimana dia mendidik anak pertama mereka belajar mengaji di rumah!
Hafiz Zulfiqar, cahaya mata pertama Nooraishah dan Hafiz Zulkarnain
Pasangan ibu bapa muda, Nooraishah dan suaminya, Encik Hafiz Zulkarnain Muhammad telah dikurniakan cahaya mata pertama yang diberi nama Hafiz Zulfiqar.
Kini Hafiz Zulfiqar telah pun menginjak usia 5 tahun.
Menurut Puan Nooraishah, anak sulungnya ini merupakan seorang kanak-kanak yang agak sensitif, manja dan cermat, tetapi agak aktif dan suka bercakap.
Selain itu, anaknya ini juga agak senang untuk dijaga sejak daripada kecil kerana anaknya bukan jenis yang kuat meragam.
Namun menjadi kebiasaan bagi seorang kanak-kanak, ada kalanya Hafiz Zulfiqar akan meragam juga lebih-lebih lagi jika dia tidak mendapat sesuatu yang dimahukannya.
Pegang Iqra’ seawal usia 2 tahun
Nooraishah telah membiasakan anaknya itu dengan buku-buku mengaji sejak umur anaknya 2 tahun.
Menurut ibu ini, sebagai permulaan dia memperkenalkan buku Iqra’ sebagai buku pertama kepada Hafiz Zulfiqar.
Apabila anaknya itu sudah berusia 4 tahun, barulah dia mendidik anak belajar mengaji dengan lebih serius.
Hal ini bertitik-tolak selepas menyedari anaknya itu seorang yang mudah untuk menghafal ayat-ayat al-Quran.
Tambahan pula, Nooraishah dan suami telah merancang untuk mula menghantar anaknya ke tadika semasa usia 5 tahun.
Jadi, adalah lebih baik jika anaknya itu tahu asas mengaji al Quran bermula daripada rumah.
Menariknya, ada kala Hafiz Zulfiqar akan meminta sendiri untuk belajar mengaji dan kadang-kadang perlu juga disuruh mengaji, tetapi tidaklah sampai tahap memaksa dan masih boleh dipujuk.
Ini 6 kaedah yang digunakan untuk didik Hafiz Zulfiqar belajar mengaji
Buat pembaca yang masih tidak pasti cara yang sesuai untuk mendidik anak mengaji al Quran, mungkin anda boleh pertimbangkan kaedah yang Nooraishah amalkan ini.
#1. Guna teknik memuji anak terlebih dahulu
Kanak-kanak akan lebih bermotivasi melakukan sesuatu perkara jika ibu bapa kerap memuji mereka.
Ini juga langkah penting yang dilakukan oleh Nooraishah ketika mengajar anaknya mengaji al Quran.
Menurutnya,
“Saya selalu sebut bahawa Zulfiqar anak yang pandai. Walaupun hanya satu huruf yang dia kenal, saya akan memujinya dengan berkata seperti ‘Good boy’, ‘Betul’, atau ‘Pandai’. Saya boleh melihat mukanya menjadi seronok untuk mengenal huruf-huruf baharu.”
#2. Teknik pujuk anak
Ada harinya Hafiz Zulfiqar malas untuk belajar mengaji. Jadi, ibu ini akan memujuk dengan berkata seperti, “Kalau tidak baca Iqra’ hari ini, nanti lambat alih ke muka surat yang baharu.”
Selain itu, ibunya juga akan memberikan mainan sebagai hadiah atau galakan untuk cepat belajar buku Iqra’ yang baharu.
#3. Guna teknik lagu atau nyanyian
Untuk mengelakkan anak menjadi cepat bosan ketika mengaji al Quran, Nooraishah juga mengajar anaknya mengaji dengan kaedah menyanyi atau berlagu.
Selain itu, jika anak tersalah baca, ibu bapa tidak perlu memarahi anak.
Sebaliknya, tukarkan kesalahan yang dilakukan itu kepada satu bentuk bahan jenaka agar anak tidak menjadi stres ketika mengaji.
#4. Terangkan kebaikan mengaji kepada anak
Ketika mengaji, boleh cuba menerangkan sedikit kebaikan mengaji al Quran kepada anak seperti mendapat pahala dan boleh masuk syurga.
Ceritakan segala kebaikan yang akan kita dapat jika mengaji supaya anak berasa bahawa mengaji itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan.
#5. Sama-sama mengaji selepas solat Maghrib
Untuk memupuk tabiat mengaji dalam diri anak, ibu bapa juga boleh mengajak anak untuk sama-sama mengaji selepas solat Maghrib.
Menurut Nooraishah,
“Saya akan sentiasa ingatkan anak bahawa waktu Maghrib hampir tiba. Saya minta anak untuk mandi siap-siap dan bersedia untuk solat dan mengaji. Secara tidak langsung anak akan sentiasa bersedia.”
#6. Tetapkan had masa mengaji
Bagi kanak-kanak yang berusia sekitar 4 atau 5 tahun, tetapkan had masa mengaji antara 5 hingga 10 minit sahaja.
Ini kerana, jika waktu mengaji terlalu lama, anak akan mudah menjadi bosan dan cepat stres.
Selain itu, sediakan juga sudut khas untuk anak belajar mengaji dan sebagai tempat untuk anak menyimpan buku-buku Iqra’.
Apabila selesai waktu mengaji, anak akan menyimpan kembali buku Iqra’ di tempat yang telah disediakan.
Semakin minat untuk belajar
Satu perkara yang Nooraishah sedar apabila mengajar mengaji ialah anaknya itu semakin suka untuk belajar.
Hafiz Zulfiqar juga semakin cepat dan mudah mengenal huruf. Jika anaknya terjumpa huruf jawi di mana-mana, dia akan menyebutnya satu persatu.
Selain itu, dia melihat anaknya semakin mudah menghafal dan menjadi kanak-kanak yang lebih fokus dalam melakukan sesuatu perkara.
Pastikan anak belajar mengaji sebelum suami balik kerja
Bagi Nooraishah, mengajar anaknya untuk belajar mengaji bukanlah satu perkara yang sukar kerana dia sendiri merupakan seorang suri rumah yang menjalankan bisnes secara dalam talian sahaja.
Dia mempunyai lebih banyak masa dan ruang untuk mengajar anaknya mengaji al Quran.
Namun, dia akan pastikan bahawa Hafiz Zulfiqar mengaji sebelum suaminya pulang ke rumah daripada kerja.
“Saya akan pastikan anak mengaji sebelum suami balik kerja untuk mengelakkan dia hilang fokus ketika mengaji. Ini kerana dia terlalu obses dengan babahnya sendiri dan banyak menghabiskan masa dengan babahnya,” katanya mengakhiri perbualan.
Membuat keputusan untuk membawa bayi ketika mengerjakan umrah bukannya satu hal yang mudah. Banyak hal yang perlu dipersiapkan begitu juga terpaksa memikirkan pelbagai risiko sepanjang di sana. Makanan bayi juga menjadi satu kewajipan yang perlu diutamakan agar perjalanan melakukan ibadah menjadi lebih lancar.
Perkongsian tip cara penyediaan makanan yang dikongsikan oleh ibu ini, Puan Khalisah Hazrina menerusi blognya, www.khalisahazrina.com boleh dijadikan panduan. Bagi ibu yang ingin mengerjakan umrah dalam masa terdekat ini, tip ini pastinya dapat membantu.
Tips Sediakan Makanan Bayi Ketika Mengerjakan Umrah
Sebenarnya Lisa rasa berdebar juga bila nak bawa Sarah yang baru berusia 9 bulan untuk mengerjakan umrah. Pelbagai perasaan bercampur baur dalam diri ni. Antara perkara yang membuatkan Lisa risau adalah bab makanan Sarah. Sebab Sarah kena makan yang cukup kalau tak dia akan meragam dan bagaimana nak fokus ibadah jika dalam keadaan tersebut. Tujuan untuk kita pergi umrah adalah untuk melakukan ibadah.
Jadinya Lisa belajar dari kawan-kawan dan bertanyakan kepada mereka yang pernah pergi umrah, tentang bagaimana mereka menyediakan makanan bayi yang bawah usia setahun. Maklumlah ini kali pertama Lisa bawa baby untuk travel. Sebelum ini, kami pernah juga bawa Fareeq untuk travel tapi umur dia ketika itu sudah mencapai setahun. Apa yang kami makan, itu juga yang dia makan. Lain pula dengan situasi Sarah yang baru masuk umur 9 bulan. Makanan dia agak berbeza dengan makanan yang kami makan dan dia masih suka bubur di mana teksturnya lebih lembut dan halus.
Berikut tips dan pengalaman yang Lisa suka kongsikan dengan anda yang tengah bercadang nak bawa bayi mengerjakan ibadah umrah.
Bawa Rice Cooker Travel yang saiznya kecil sahaja dan blender travel supaya mudah untuk masak bubur dan blend makanan yang perlu seperti sayur dan buah.
Lisa bawa sekali beras dan serbuk ikan bilis yang dah diblend. Buat untuk stok 2 minggu. Di Mekah dan Madinah ada kedai runcit dan pasaraya yang menjual buah, sayur dan yogurt.
Untuk sarapan pagi dan minum petang Lisa akan lenyekkan buah pisang atau pun yogurt atau pun buah seperti epal dan pear. Boleh dikatakan setiap bilik hotel di Mekah dan Madinah menyediakan peti ais. Lisa letak buah-buahan dan makanan yang lain di dalam peti ais.
Di Mekah, Lisa masak nasi sendiri tetapi di Madinah Lisa hanya ambil nasi hotel saja sebabnya kami ambil pakej fullboard. Kebanyakan hotel di Madinah menyediakan buffet makanan Indonesia dan Malaysia. Hotel yang Lisa duduk pula sediakan kedua-dua makanan tersebut. So Lisa akan ambil nasi, sayur dan lauk. Sebelum Lisa blend kesemuanya, Lisa akan basuh dahulu sayur dan lauk dengan air masak.
Makan tengahari dan dinner adalah makanan yang sama. Lisa asingkan kepada dua bekas supaya mudah untuk diambil dan disediakan. Jangan lupa bawa bekas makanan yang bertutup untuk dibawa kemana-mana.
Di Mekah dan Madinah, banyak kedai-kedai tepi jalan jual kurma. So boleh juga blend kurma dengan oat atau kurma dengan nasi untuk dijadikan sarapan pagi dan minum petang.
Bila buat umrah, baby memang akan cepat lapar sebab dia pun aktif membuat umrah bersama kita, maka makanan mengunyah seperti biskut kena prepare siap-siap dalam handbag supaya dia tidak meragam ketika kita membuat ibadah.
Jika hotel anda tidak menyediakan makanan Indonesia atau Malaysia, anda boleh beli nasi dan lauk di restoran Malaysia dan Indonesia. Jika di Mekah, Safwah Tower ada restoran dsaji dan sebelah tower tersebut ada juga restoran Indonesia. Harga insyaALLAH berpatutan.
Semoga dengan perkongsian mengenai tips sediakan makanan bayi ketika mengerjakan umrah ini dapat memberi manfaat kepada anda.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bila anak menangis, mengamuk ibu ayah jangan sekali mengamuk pukul anak. Kena banyak bertenang, tarik nafas dan cuba kawal perasaan tu. Anak-anak kecil ini dia tak akan faham dan hanya tahu untuk meluahkan perasaannya saja.
Selalu juga orang kata, cakap memang mudah tapi yang laluinya saja akan faham bila anak dalam situasi tersebut.
Ada cara ibu bapa boleh lakukan seperti yang dikongsikan oleh Ustazah Nazirah Abd Rahim. Caranya adalah melalui teknik amalan terapi al-Quran dengan surah Al-Fatihah kerana ia dianggap surah penawar segala penyakit dan ujian.
Dalam tempoh PKP, inilah masa untuk kita mantapkan “nilai solehah” dalam diri amalan mendidik dengan akhlak al-Quran dan akhlak Rasulullah.
Kemuliaan didikan terapi al-Quran. Tak ada emosi marah bagi kita terutama ibu bapa yang mengadap anak sedang mengamuk dan menangis.
Ada masa anak menangis boleh dipeluk…ada masa boleh dipujuk
Ada masa tak boleh nak peluk dan pujuk…dia akan menangis saja..
Caranya Ustazah kongsikan;
1. Baca sahaja Al-Fatihah kuat didengari oleh diri dan anak adalah lebih baik kesannya.
2. Baca Al-Fatihah dengan tenang. Baca dengan tenang sambil melihat wajah anak dengan kasih sayang. Jika dalam emosi marah, geram teruskan baca dengan tenang. Fungsi awal adalah lebih pada tenangkan diri ibu. Subhanallah
Sampai ibu rasa diri ibu dah tenang…dan boleh senyum dengan anak anak. Barulah ibu “sedia” memujuk anak dan mendidik anak dengan meminta #pertolonganallah. Inilah rahmat besar amalkan didikan kaedah #terapialquran. Kita meminta #pertolonganallah. Subhanallah
3. Niatkan Allah tenangkan anak kita (khawlah)…agar Allah jadikan dia anak taat … Baca terus dengan tenang. Sambil tiup anak. Kesan tenang ini akan makin kelihatan pada nada tangisan anak. Gerak tubuh anak dan emosi ibu.
4. Bila anak dah tenang, segera panggil anak “peluk dan cium” peluk dan cium dengan terapi al-Quran. Kita dapat pahala amal soleh. Jika tak dapat kebaikan dunia peluk dan cium sahaja. Bezakan jadi ibu akhirat dan ibu dunia.
5. Tiup di ubun-ubun anak. Dan anak terus tenang. Ibu pun tenang. Subhanallah. Rumah kita makin bercahaya rahmat al-Quran.
Selamat beramal. Moga Allah berikan kita semua kekuatan menjadi ibu bapa yang sabar dan pahala berpanjangan.