
Menjelang penghujung sesi persekolahan, antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh ibu ayah adalah urusan pemulangan buku teks sekolah anak-anak.
Maklumlah, selepas hampir setahun digunakan, ada buku yang masih elok, ada yang sudah koyak pembalutnya, malah tidak kurang juga yang hilang atau terselit entah di mana.
Walaupun nampak seperti urusan biasa, sebenarnya proses pemulangan dan pengagihan buku teks memerlukan kerjasama ibu ayah, murid serta guru bagi memastikan semuanya berjalan lancar.
Lebih-lebih lagi bagi anak-anak Tahap 1 yang masih kecil dan memerlukan bantuan untuk menyusun serta membawa buku teks ke sekolah.
Seorang guru kelas tampil berkongsi beberapa tips dan pesanan buat ibu ayah yang bakal memulangkan buku teks anak pada hujung tahun ini.
Menurutnya, perkara kecil seperti memastikan bilangan buku mencukupi, menggunakan plastik yang sesuai dan memeriksa keadaan buku sebenarnya dapat memudahkan urusan guru di sekolah.

Panduan Pulangkan Buku Teks Sekolah, Ini Pesanan Cikgu Buat Ibu Ayah
Menerusi perkongsiannya menerusi akaun Thread @@hungryhelpers_my, guru berkenaan menitipkan pesanan khusus buat ibu ayah, terutama yang mempunyai anak di Tahap 1.
“Tips dan pesanan untuk parents yang nak hantar buku teks hujung-hujung tahun ni. Especially yang anak Tahap 1, bagi memudahkan kerja cikgu.”
Berikut merupakan panduan yang dikongsikan:
Masa Hantar Buku Teks
1. Pastikan buku ada ikut senarai – Pastikan buku ada ikut senarai, jangan kurang, jangan lebih sebab ada ya yang bagi terlebih.
2. Isi dalam plastik yang tebal sikit – Isi buku teks dalam plastik yang tebal sikit, sebab dorang mengangkut dari kereta ke kelas, ada dah koyak-koyak plastiknya. Lepas tu nak bagi budak baru pulak.
3. Tak perlu ikat buku teks – Saya tak prefer ikat sebab susah cikgu nak check buku teks rosak atau salah.

Masa Terima Buku Teks Baharu, Jangan Lupa Buat Perkara Ini!
Selain proses pemulangan buku teks, guru berkenaan turut mengingatkan ibu ayah supaya lebih peka ketika anak menerima buku teks untuk sesi persekolahan seterusnya.
Ini kerana buku yang diterima mungkin sudah digunakan oleh murid lain sebelum ini. Jadi, penting untuk ibu ayah memeriksa keadaan buku terlebih dahulu supaya tidak timbul masalah pada kemudian hari.
Masa Terima Buku Teks
1. Pastikan tulis nama anak pada semua buku teks – Pastikan tulis nama anak di semua buku teks yang diterima.
2. Tukar pembalut buku yang sudah lama – Kalau boleh tukarlah pembalut yang dah bertahun tak berganti tu. Untuk keselesaan anak kita juga.
3. Segera maklumkan jika buku rosak atau tidak cukup muka surat
Kalau terima buku rosak atau tak cukup muka surat, segera minta tukar sebab unit buku teks ada spare buku-buku untuk tukar.
Jangan tunggu masa sesi nak hantar semula baru bagitahu buku rosak. Jadi kita kira tuan yang guna tahun semasa yang rosakkan.

Buku Teks Diberi Pinjam Secara Percuma, Ajar Anak Jaga Dengan Baik
Dalam perkongsian sama, guru berkenaan turut menitipkan pesanan yang cukup bermakna buat semua ibu ayah.
Katanya, buku teks yang diberikan secara percuma menerusi pinjaman sekolah seharusnya dijaga dengan baik kerana ia akan digunakan semula oleh murid lain.
“Akhir kata, sekolah dah bagi pinjam, percuma, jagalah elok-elok.
“Ajar anak tanggungjawab jaga barang, jaga ilmu dalam buku tu, bukan tinggal merata, biar koyak semua.”
Ibu Ayah, Sama-Sama Mudahkan Urusan Cikgu!
Sebenarnya, pesanan yang dikongsikan oleh guru ini cukup mudah untuk diamalkan. Namun, jika semua ibu ayah memberikan kerjasama, sudah tentu proses pemulangan dan pengagihan buku teks dapat dilakukan dengan lebih teratur.
Bayangkan jika seorang guru perlu memeriksa puluhan set buku teks daripada murid-murid dalam satu kelas. Sudah tentu proses ini mengambil masa, lebih-lebih lagi jika ada buku yang tidak mencukupi, tersalah hantar atau rosak.
Justeru, sebelum menghantar buku teks anak ke sekolah, ibu ayah bolehlah luangkan sedikit masa untuk menyemak senarai buku, memastikan semuanya lengkap dan menyusunnya dengan kemas.
Ingat ya ibu ayah, buku teks yang anak gunakan hari ini mungkin akan menjadi buku pembelajaran anak orang lain pula tahun hadapan.
Jadi, sama-samalah kita mendidik anak untuk menghargai buku, menjaga kebersihannya dan memulangkannya dalam keadaan yang baik.
Menarik: Surah Al-Ikhlas & 3 Zikir Ni Jangan Tinggal Masa Anak Jawab Peperiksaan!
Zikir Ibu Ayah Ketika Anak Hadapi Peperiksaan, Amalan Mohon Permudahkan Urusan!
Disiplinkan Anak Tanpa Jerit & Ugut Rotan, Ikut Langkah Ni Guna Time Out
Sumber: Thread @hungryhelpers_my

sekarang!
