
Ada ibu ayah yang menganggap puting bayi atau pacifier sebagai penyelamat apabila si kecil sukar ditenangkan. Namun, ada juga yang memilih untuk tidak menggunakannya kerana bimbang bayi keliru puting, susah menyusu atau terlalu bergantung sehingga besar.
Jadi, adakah bayi sebenarnya perlu menggunakan puting?
Jawapannya, tidak semestinya. Puting bukan satu keperluan wajib untuk semua bayi, tetapi ia juga bukan sesuatu yang perlu dianggap buruk. Seperti yang dijelaskan oleh Dr Nisa Khalil, puting bukanlah penentu utama. Sebaliknya, cara ibu ayah memperkenalkan, menggunakan dan menghentikannya pada waktu yang sesuai jauh lebih penting.
Bayi dilahirkan dengan refleks menghisap. Selain untuk mendapatkan susu, perbuatan menghisap juga boleh memberikan rasa tenang dan selamat kepada sesetengah bayi.
Puting bayi boleh membantu bayi yang mempunyai refleks menghisap yang kuat, menenangkan bayi ketika meragam serta memudahkannya untuk tidur.
Garis panduan tidur selamat American Academy of Pediatrics (AAP) turut menyarankan ibu ayah mempertimbangkan pemberian puting ketika waktu tidur siang dan malam kerana penggunaannya ketika tidur dikaitkan dengan risiko Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS) yang lebih rendah. Bagaimanapun, puting hanyalah salah satu langkah tambahan dan tidak boleh menggantikan amalan tidur selamat yang lain.
Bayi masih perlu:
Bagi bayi yang menyusu badan sepenuhnya, ibu disarankan menunggu sekurang-kurangnya tiga hingga empat minggu atau sehingga penyusuan benar-benar stabil sebelum memperkenalkan puting bayi.
Dalam tempoh awal selepas kelahiran, bayi dan ibu masih belajar mendapatkan lekapan (latch) yang baik. Penyusuan yang kerap juga membantu merangsang dan mengekalkan penghasilan susu.
Sekiranya puting diberikan terlalu awal atau digunakan untuk melambatkan sesi penyusuan, bayi mungkin kurang berada di payudara. Keadaan ini berpotensi mengganggu rangsangan penghasilan susu, terutama jika bayi sebenarnya sedang lapar.
Namun, selepas penyusuan sudah stabil, ibu ayah boleh memberikan puting sekiranya benar-benar diperlukan. Ia bukan bermaksud semua bayi mesti menggunakannya hanya kerana bayi lain turut memakai puting.
Tangisan ialah cara bayi berkomunikasi. Bayi mungkin menangis kerana lapar, lampin basah, terlalu panas, kesejukan, sakit, mahu dipeluk atau mengalami ketidakselesaan lain.
Oleh itu, puting tidak sepatutnya terus dimasukkan ke dalam mulut setiap kali bayi menangis.
Periksa dan penuhi keperluan asas bayi terlebih dahulu. Puting boleh digunakan untuk menenangkan bayi selepas ibu ayah memastikan bayi sudah kenyang, selesa, sihat dan tidak memerlukan pertolongan lain.
Paling penting puting bukan untuk “mendiamkan” bayi, tetapi untuk membantu menenangkannya apabila keperluan lain sudah dipenuhi.
Pada awalnya, puting mungkin membantu bayi melelapkan mata. Namun, jika bayi hanya boleh tidur dengan puting dan kerap terjaga apabila puting terjatuh, ia mungkin sudah menjadi pergantungan tidur atau sleep crutch
.Keadaan ini boleh memenatkan ibu ayah kerana mereka perlu bangun berkali-kali untuk memasukkan kembali puting ke dalam mulut bayi.
Tidak perlu menghentikannya secara mendadak. Ibu ayah boleh mengurangkan penggunaan secara perlahan-lahan dengan mengehadkan puting kepada waktu tidur sahaja. Pada masa yang sama, perkenalkan cara menenangkan lain seperti mendukung, mengusap badan, mendodoi atau menggunakan bunyi yang lembut.
Pilih puting yang bersesuaian dengan usia bayi dan mempunyai pelindung mulut yang cukup lebar supaya tidak boleh masuk sepenuhnya ke dalam mulut.
Penggunaan puting dalam jangka masa panjang boleh mempengaruhi pertumbuhan mulut, susunan gigi dan cara gigi atas serta bawah bertemu.
American Academy of Pediatric Dentistry menyatakan penggunaan puting selepas usia 12 bulan boleh meningkatkan risiko jangkitan telinga tengah, manakala penggunaan berpanjangan selepas kira-kira 18 bulan boleh mula memberikan kesan terhadap perkembangan rahang dan gigitan kanak-kanak.
Sebaiknya, ibu ayah mula mengehadkan penggunaannya secara berperingkat apabila anak semakin besar dan berbincang dengan doktor atau doktor gigi kanak-kanak jika anak sukar berhenti.
Baca lagi: Extra Joss Tak Sesuai Untuk Anak, Ganggu Degupan Jantung!
Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia
Buku Pink Ibu Hamil Jangan Tunjuk Sesuka Hati, Banyak Maklumat Peribadi!
Sumber: Thread @dr.nisa.khalil