
Pastinya anda mengetahui bahawa tekanan ketika kehamilan adalah tidak baik bagi ibu serta kandungan. Namun kesannya tidak terhenti di situ sahaja. Ini kerana tekanan turut dikatakan mempunyai kaitan dengan jantina bayi. Untuk mengetahui lebih lanjut, ikuti perkongsian artikel ini.

Tekanan sesuatu yang subjektif
Sememangnya ibu mengandung yang berdepan dengan tekanan cenderung menjejaskan janin dan mengganggu perkembangan anak serta proses kelahiran. Namun, berdasarkan satu kajian terbaru yang dilakukan di Columbia University Vagelos College of Physicians and Surgeons dan NewYork-Presbyterian, tekanan juga mempunyai kesan kepada fizikal dan psikologi bayi.
Menurut Pakar Psikologi Perubatan di Columbia University Vagelos College of Physicians and Surgeons dan Pengarah Women’s Mental Health di Department of Obstetrics & Gynecology di NewYork-Presbyterian / Columbia University Irving Medical Center, Dr Catherine Monk menyatakan, “Rahim adalah rumah pertama yang penting kepada janin. Oleh kerana itu ia penting untuk proses tumbesaran.”
Kaitan tekanan dan jantina bayi
Tekanan dapat dilihat dalam pelbagai cara, sama ada secara melalui pengalaman subjektif atau penilaian fizikal dan gaya hidup, oleh kerana penyelidikan ini dilakukan dengan melibatkan 27 penunjuk tekanan psikososial, fizikal dan gaya hidup yang dikumpulkan daripada kajian soal selidik, catatan buku harian dan penilaian fizikal ke atas 187 individu wanita mengandung berusia antara 18 hingga 45 tahun.
Hasil analisis yang dilakukan mendapati lebih kurang 17 peratus (32) individu wanita mengalami tekanan secara psikologi dengan tahap kemurungan, kebimbangan dan tekanan yang tinggi secara klinikal. 16 peratus (30) mengalami tekanan secara fizikal, yang berkaitan dengan peningkatan tekanan darah dan pengambilan jumlah kalori secara berlebihan berbanding wanita mengandung yang lain. Manakala bakinya, iaitu melibatkan 67 peratus (125) individu wanita mengandungi adalah sihat.
Daripada kajian ini, penyelidik mencadangkan bahawa wanita yang hamil dan mengalami tekanan fizikal dan psikologi sukar untuk mempunyai bayi lelaki. Ini kerana dalam kajian ini, purata jantina bayi perempuan berbanding lelaki dalam kalangan kumpulan wanita yang mengalami tekanan fizikal adalah 9:4, manakala tekanan psikologi pula 3:2.
Impak tekanan yang lain
Tekanan turut akan memberikan impak lain, seperti:
-Peningkatan tekanan darah tinggi dan pengambilan kalori cenderung menyebabkan -kelahiran pramatang
-Kadar denyutan bayi dalam kandungan juga menurun dalam kalangan ibu mengandungi dengan tekanan fizikal – ia merupakan penunjuk perkembangan sistem saraf pusat lebih perlahan
-Ibu mengandung dengan tekanan psikologi akan lebih berdepan dengan komplikasi kelahiran berbanding ibu dengan tekanan fizikal
Pentingnya sokongan sekeliling
Penyelidik juga menyatakan perbezaan antara ibu dengan tekanan fizikal, ibu dengan tekanan psikologi dan ibu yang sihat adalah sokongan sosial yang diterima daripada rakan dan ahli keluarga. Sebagai contoh, ibu yang menerima sokongan sosial adalah lebih berkemungkinan untuk mempunyai bayi lelaki.
Apabila setiap kumpulan menerima sokongan sosial secara seimbang, kesan tekanan untuk melahirkan bayi pramatang dapat disingkirkan. Monk menjelaskan, “Walaupun kajian yang dilakukan adalah berskala kecil, tetapi ia menunjukkan bahawa sokongan sosial berpotensi untuk mengurangkan masalah berkaitan klinikal.”
Sumber: Hello Health
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Susahnya Nak Dapat Awak Ni Anak,” Elizad Mula Proses IVF Pertama, Semoga Dipermudahkan!

Rawatan kesuburan In Vitro Fertilisation (IVF) adalah salah satu cara dan usaha untuk setiap pasangan mendapatkan cahaya mata. Umum mengetahui bahawa pelakon dan pengacara, Elizad Sharifuddin kini dalam usaha untuk mendapatkan cahaya mata setelah lima tahun mendirikan rumah tangga.
Berkongsi menerusi hantaran terbaru di Instagram, pemilik nama Siti Elizad Sharifuddin ini semalam memulakan proses suntikan IVF di rumah sendiri dibantu suaminya, Shamsul Baharin Rahman.

“Bismillahhirrahmanirrahim . Hari pertama suntikan untuk IVF. Hari ni check darah .
“Sambil tu doktor dan dan nurse ajar suami cara nak suntik dekat bahagian perut .
“Jadi hari ni hari pertama kami . Dah mula proses cucuk-cucuk sendiri dekat rumah sendiri , doakan kami ya.
“Insya-Allah jumpa doktor lagi dua minggu,” katanya.
Penyampai radio Sinar itu berkongsi perkara tersebut di akun Instagram miliknya.
Baca: ”Doakan Kami Ya,” Elizad Mula Rawatan IVF, Doktor Nasihatkan Tak Buat Aktiviti Lasak
Menerusi entri tersebut dia memuat baik foto dan rakaman video ketika rawatan tersebut.

Tambah Elizad lagi bukan mudah untuknya menimang cahaya mata apabila perlu melalui pelbagai proses.
“Susahnya nak dapat awak ni anak . Harap awak tengok lah video dan gambar-gambar macam mana ’struggle’ saya nak dapatkan ‘awak’ .
“ Ya Allah perkenankan lah doa ku yang satu ni , juga buat mereka yg senasib dengan saya,” luahnya lagi.
Terdahulu Elizad mendedahkan dia mengambil keputusan untuk melalui proses IVF selepas 5 tahun mencuba mendapatkan zuriat.
Elizad dan suami, Shamsul Baharin Rahman mendirikan rumah tangga sejak 2015 dan masih menantikan zuriat sulung mereka.
Sumber: IG Elizad
EPISOD 7 PA&MA JOURNEY BERSAMA JOVIANINA: ANAK ENSIKLOPEDIA
Anak-anak zaman sekarang lebih advance dan suka mempelajari benda baru. Dengan teknologi terkini, anak-anak banyak belajar dari program TV dan internet. Ibu bapa perlu menjadi kreatif untuk bercerita pada anak-anak namun pastikan anda memantau setiap yang mereka pelajari.
Saksikan Episod ke 7, Pa&Ma Journey Bersama JoviaNina pada 7 Oktober 2020, jam 9 malam hanya di Astro Ria saluran 104/124.
Nak macam-macam info? Join channel Telegram Pa&Ma D Parents

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Niat Nak Hadiahkan Anak Untuk Suami” Dalam Setahun 3 Kali Gugur, Beratnya Dugaan

Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengimpikan zuriat sebagai penyeri kehidupan rumahtangga. Namun tak semua pasangan yang bernasib baik, ada yang terpaksa menunggu bertahun lamanya, ada juga yang berhabis ribuan ringgit hanya untuk mendapatkan seorang anak.
Ujian dan dugaan setiap pasangan yang berkahwin berbeza-beza. Begitu juga yang dihadapi oleh wanita ini, diuji dengan sangat hebat. Berkali-kali diuji dengan keguguran, bukan mudah namun mereka terus tabah menghadapinya. Ikuti perkongsian daripada Puan HusnieyHussain.

3 Kali Diuji Keguguran Tahun 2020, Pengalaman Kali Ini Berbeza Benar Perit
Assalamualaikum dan Hai semua pembaca tersayang. Banyak ujian tahun 2020. Sungguh tak ku duga ujian itu datang lagi. Kali ini paling berat rasanya dalam tempoh 6 tahun sudah berkahwin. Memang yakin disebalik usaha pasti ada hasilnya. Dah fikir positif, usahakan itu ini untuk pregnant dan niat untuk menghadiahkan suami anak. Namun husniey hanyalah hamba yang lemah. Kita hanya mampu merancang.. Entri ini agak panjang ya..
Saat Saat Manis Ketahui UPT Positif
23 Mei UPT test positif walau tak sama terang, jelas kelihatan bergaris dua. Tak sangka lekat lagi. Period memang dah lambat tapi ingatkan hormon tak menentu, sebab baru lepas gugur 10 April lalu. Petang last puasa baru terdetik nak check urine pregnancy test (UPT). EH EH BIAR BETUL. Pregnant. LAGI? SERIUS TAK PERCAYA. Terus tak buat kerja rumah. Banyak berbaring di katil 😅
UPT pertama dibuat pada hari last berpuasa

Berhari raya tahun ini memang berhati-hati dengan pergerakan, elak makan benda tajam. 29 & 30 Ramadan ada kemas mengemas sikit, dan sempatlah buat beberapa jenis kuih raya tapi memang tak ada angkat berat pun dah lama elakkan angkat benda berat. Repeat test 25 Mei, 28 Mei makin terang warnanya. Petanda baik maknanya ada janin sedang membesar dalam rahim ibu ni. Ikutkan tak sempat period pun lepas keguguran bulan April tu. Patutlah bulan Ramadan husniey puasa penuh. Sedar haid dah lewat, tapi tak nak kalut check UPT sebab memang tak jangka akan pregnant lagi dalam masa terdekat. Lagi pun jenis yang tak ada alahan muntah muntah. Hanya mengidam nak makan nasi lemak sebab deria bau ni tetiba terbau kuah nasi lemak, hahaha.

Berhari raya 2020. Bahagia, ada baby dalam perut
Ada beberapa kejadian sebelum tahu pregnant, tiba tiba tak boleh tahan dengan bau masakan suami terasa pelik dah masa tu, siap tanya husniey ‘eh sayang tak datang lagi haid kan lepas gugur bulan 4 haritu?’. Bulan puasa haritu ada bakar ikan kat luar rumah, nak muntah weh bau asap. Meloyakan. Wek wek. Suami dah pelik asyik loya. Berat naik mendadak walaupun bulan puasa. Sepanjang hari raya tu okay je takde keluar darah ke apa. Memang berjaga jaga.
30 Mei ada spotting sikit, secalit. Terus ke klinik intan check dengan doktor sahkan betul dah pregnant kalau positif ni (Dr rujuk gambar UPT husniey tunjukkan). Doktor cuma scan rahim nampak dah bengkak tu maknanya memang pregnant cuma maybe baru lagi takde nampak janin lagi. Okay aje ayat Dr tu takde beri husniey stress pun. Maybe baru lagi. Diberi ubat duphaston = kuatkan peranakan. Total hangus RM 150 termasuk ubat. Boleh tahan mahal juga ubat duphaston, cas scan tu. Jumpa tak sampai 10 minit. Hahaha biasalah kan klinik swasta. Balik rumah sambung berehat, macam biasalah banyak baring. Bosan tapi memang kena hadaplah nak baby kan 😌. Sabarlah. Selang 3 hari ada spotting tapi sikit sangat. Tak berlarutan. Coklat aje warna dia.
Tersenyum indah tiapkali buat pregnancy test

Dah sedar memang wajib manjakan diri tiapkali pregnant jadi semua kerja rumah tuan suami uruskan. Terasa perubahan demi perubahan. Kali ini dari awal sebelum tahu pregnant dah ada tanda. Alahan bau masakan berterusan, bau tumis masakan tak boleh weh tutup pintu baru okay. Bau busuk sikit je loya. Bau suami tak boleh juga 🙈. Semua benda tak kena. Mudah emosi dan sensitif. 1 hb hingga 5 June masih cantik bila buat test UPT. Terang naik bagi kedua garis pada UPT.
Hari Kejadian Gugur Di Rumah | Hanya Terasa Sakit Perut
9 June 2020. Lepas 12 tengah malam tak boleh nak tidur, rasa tak selesa dekat bawah perut. Ingatkan perut masuk angin atau lapar. Biasanya sebab lapar kalau tengah malam ni. Pukul 4 pagi terjaga ada terasa sakit perut lagi. Tapi belum rasa memulas. Bangun minum susu kurma. Sambung tidur. Masuk waktu Subuh tepat, dengar orang azan. Sakit makin kuat. Memulas. Ke tandas belum sempat duduk, plurpp bunyi sesuatu jatuh dalam mangkuk tandas turun bersama lelehan darah. Allahuakbar ketulan darah. Darah beku, kenyal macam asam keping. Selepas keluar ketulan darah beku itu makin banyak darah merah fresh (Heavy bleeding). Dari jam 6 pagi membawa ke 7 pagi.
Sakit perut memulas. Sakit tak terkata makin teruklah tahap sakit tu. Berpeluh peluh menahan sakit. Padahal suasana pagi sejuk, tak boleh nak baring Husniey melutut bertahan sakit, rasa macam ada lagi yang nak keluar. Jadi tak selesa nak baring. Dah macam contraction nak bersalin, belum sakit nak bersalin lagi. Allahuakbar 😭. Pukul 8 pagi. Terasa ada isi yang nak terkeluar. Kali ini terasa lebih pejal, cepat ke tandas bila dah makin nak keluar. Takut darah berkubang dalam bilik. Nasiblah bilik utama ini ada tandas sekali tak perlu jauh bergerak.
Plurppp, ketulan itu jatuh dalam lubang tandas. Tak sempat nak duduk elok. Meraung masa ni tengok darah banyak sangat. Takutt, sedih. Sakitt tapi lega bila isi tu keluar. Kutip isi tu dari dalam mangkuk tandas & bersihkan ia sempat tilik sekejap, sah ini baby. Yang pertama keluar itu mungkin kantung baby. Nampak isinya warna pink lembut, bergulung dengan kantung yang berwarna gelap. Pejal. Liat. Macam jelly tak hancur. SubhanaAllah, dah ada rupa bentuk. Nampak kepalanya, tangannya kakinya.
Saiz kecil tapak tangan husniey janin itu. Sayu tengok, cantik je anak ibu turun, keguguran sebelum ini tak pernah tengok jatuh elok macam tu. Kadang keluar hancur takde bentuk janin. Basuh ia bersih bersih. Letak dekat sinki. Dah pesan kat suami minta tanamkan janin. Masih terasa sakit tapi tak seteruk sebelum itu, hanya heavy bleeding dan ada ketulan darah beku yang tersisa keluar sikit demi sikit. Tiap 30 minit husniey ke tandas, salin pad baru. Badan penat dan mengantuk dari awal subuh bertarung sakit perut.
Hampir pengsan jam 11.30 am ke tandas nak salin pad sebab terasa dah penuh darah. Tidur pun tak lena bila darah banyak sangat ni, lebih 5 kali salin pad pagi itu (09 June 2020). Masuk aje tandas terkejut tengok darah beku banyak keluar, sakit juga. Baru nak basuh, tiba-tiba pitam gelap pandangan husniey ni. Tersandar sambil berdiri di dinding, lemah tak berdaya. Suami memanggil “sayang, sayangg.. Allahuakbar.. Tak boleh nak sahut panggilan dia.. Gelap semuanya. Dia pergi ambil minyak angin sapu kat dahi, bagi hidu dan bancuh air coklat manis suruh husniey minum. Barulah okay semula. Nangis tersedu sedan bila tersedar dah duduk di lantai tandas tu dengan darah banyak belum sempat bersihkan. Nak muntah, sedih bercampur sebak semua ada. Suruh suami cepat-cepatlah tanamkan janin. Hampir satu jam duk dalam tandas nak bersihkan semuanya. Jam hampir pukul 1 tengahari baru siap, dah siap mandi terus.
Nekad Ke Hospital Lepas Waktu Zohor
Jam 2 petang tiba di bahagian kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Doktor pertama check husniey, dia bising kenapa tinggi sangat degupan jantung awak ni, berdebar ke? Nada garang gila. Mestilah berdebar Dr. Adeh tengah bleeding tak selesa + sakit ni dia marah-marah pulak tak boleh nak rileks sikit ke Dr ni. Terus Dr panggil rakan dia yang lain, “aku tak sedap hati ni patient ni PV Bleeding, BP tinggi, heart rate tak comel aku nak bawa masuk dalam je dia ni”. Faham dah ayat Dr tu, walaupun husniey bukanlah dari bidang perubatan tapi memang fahamlah sikit sebanyak. Masa itu dah pujuk hati tak kisahlah kena tahan wad pun janji aku sihat balik. Lama juga duk di bahagian permantauan (masih di bahagian kecemasan), hampir 2 jam.
Bermulalah episod cucuk sana cucuk sini. Kena seluk kat bawah wajib laa. Sabar ajelah. Siap husniey tanya Dr yang incharge, ini nak buat prosedur VE kah? Slow slow sikit ya haritu saya dah terkena sakit sangat. Bermacam soalan Dr tanya, soalan yang paling popular. “Haritu puan ada datang masa bulan April kan, Dr sahkan complete miscarriage kan?” Haah. Jadi ini kandungan yang lama ke macamana puan? Ini kandungan baru. Saya memang selalu pantau buat UPT dekat rumah. Last period bila ye (husniey bagitau date hari pertama keguguran keluar darah). 10 April. Ikutkan 8 weeks lebih dah kandungan kali ini. Dicucuk ubat kecutkan rahim dekat peha. Fuhh first time kena. Redha walau sakit weh kena cucuk jarum semua tebal tebal!

Benda wajib hadap kalau ada bleeding. Nak check jalan rasanya.
Hm any comment tentang experience korang.. sila tinggalkan komen ya..
Check in 4.30 pm. Kes Bleeding (incomplete miscarriage at 8 weeks), kena masuk air 2 botol, masuk ubat tahan muntah, ubat tahan sakit, ubat kecut peranakan. Memang banyaklah yang kena cucuk masuk. Allahuakhbar. Sabarlah hati. Masa ini okay lagi tapi perasanlah macam pening tengok darah banyak. Masa check in wad, diberi baju hospital untuk disalin, husniey baru aje pakai baju hospital dalam masa 30 minit dah kena salin balik sebab darah banyak sangat bocor sampai ke kain. Kena pakai pad yang saiz overnight. Risau juga bergerak kehulu kehilir nak ke tandas, sebab jauh juga katil husniey ke tandas. Nasib takde perkara buruk jadi. Risau kalau pitam dalam bilik air.
10 June – Prosedur Menyakitkan (Sedut Cara Manual Tak Berjaya)

Branula itu dipakai pada jam 4.40 pagi. Doktor datang kejutkan.
Sakit juga nak mencari urat aku tu payah juga dah makin gemuk bila pregnant.
Ya Allah, malam pertama di hospital tak boleh nak tidur. Padahal haritu dah macam-macam benda husniey lalui dari awal pagi tak cukup rehat. Malam itu rasa panas. Badan berpeluh peluh. Sebelum tidur, nurse dah beri arahan untuk berpuasa esok waktu pagi selepas sarapan pagi. Esok pagi diberitahu tak perlu melalui D&C, husniey kena melalui prosedur lain iaitu MVA. Tertanya jugalah nama penuh prosedur itu. Masuk bilik rawatan dalam wad aje. Semasa dalam bilik rawatan baru husniey dapat jawapan nama penuh rawatan itu, terbaca pada kotak yang tersimpan alat-alat untuk prosedur ini.

MVA – Manual Vacuum Aspirator. Ternampak juga doktor bawa keluar alat-alat itu. Ada 3 orang doktor yang incharge. Lama juga diaorang berbincang, nak guna yang berapa cm panjangnya ni. Aduh seram weh macam batang paip rupanya tu, berwarna putih. Allahuakbar, banyak kali husniey sebut Allah. Seksa sangat prosedur ini dibuat dalam keadaan kita sedar 😭😭, waktu tengahari prosedur dibuat. Sebelum prosedur dilakukan doktor minta husniey ke tandas lagi walau tak terasa nak kencing, sebab takut terkencing. Lepas dah siap tu tunggu pula pesakit lain duk dalam bilik rawatan itu. Bilik kecil aje tapi sibuk keluar masuk pesakit kena jumpa doktor. Bila dah masuk untuk mulakan rawatan, barulah doktor drip masuk ubat tahan sakit. Tak sampai 10 minit rawatan dimulakan.
Diarah berpuasa waktu lepas sarapan pagi, masuk tengahari dah kena buat MVA. Alat itu macam boleh diputar putar, siap ada bunyi tau. Allahu gerun dengar benda tu berputar. Dengar doktor ni cakap ni macam dah nak close lah. Husniey fahamlah sikit. Maybe laluan dah nak tertutup, (dalam hati husniey yelah kan dah masuk ubat kecutkan rahim semalam dicucuk kat peha) darah dah berkurang tak teruk macam hari pertama.. Masa darah banyak semalam bukaan rahim terbuka laa kot tu tak sakit sangat dimasukkan muncung itik. Semua itu hanya berlegar dalam fikiranku, tak terluah beritahu doktor alah saya ni pesakit aje takde ilmu diiktiraf sekadar tahu sikit sebanyak sebab suka membaca, menambah ilmu pengetahuan am.
Doktor nak sedut darah beku yang masih tertinggal sisa dalam rahim. Kalau korang rasa kena seluk dimuncung itik tu dah sakit, yang ini lagilah sakit. Double triple sakitnya. Blood clot yang ada di lower part pun dah terasa sakit itu. Sebelumnya mestilah kena check tvs scan terlebih dahulu. Scan dari bawah, diseluk alat itu dari bawah. Haa semasa prosedur ini dibuat, seorang doktor sambil scan dari atas perut, seorang lagi doktor tolong pegang dan cubaan tarik blood clot dengan alatnya tu. Allah, peritnyaa! Mulut tak henti-henti baca bismillah 5 ‘Bismillahi Syafi, Bismillahi Kahfi, Bismillahi Muaafii, BismillahiLazzi La Yadurru..’ Terkumat kamit ulangkali dibaca, rasanya doktor pun terdengar.
Nampaklah blood clot yang tersisa bila tengok kat skrin. Dalam bilik rawatan itu sejuk sangat suhu aircond, mengigil dibuatnya kata mesin scanner itu manja sikit dia kena suhu sejuk. Doktor marah husniey terkemut dan terangkat punggung. Tak sengaja bukan saja nak angkat, tak ajar hal sepatutnya buat sebelum prosedur dijalankan. Bila husniey tersilap barulah doktor terangkan puan tarik nafas hembus, jangan kemut ye. Aduh awal awal tak cakap, sudah merasa tak tertahan sakit pedih baru nak beritahu. Dengar doktor tu tertanya rakannya, ni anak ke berapa. Maybe terasa sempit kot susah sikitlah. Husniey tolong jawabkan; ‘anak pertama saya tak pernah bersalin’. Hanya sikit aje blood clot. Doktor tunjukkan blood clot dalam bekas. Katanya lagi ada lagi sedikit yang tersisa selepas scan dibuat. Jauh sikit diatas memang tak boleh nak capai dah situ kata doktor. So kita kena buat D&C pula. InsyaAllah harini juga, awak kena sambung berpuasa lagi. Pukul berapa yer doktor, tak tahu lagi baru nak masukkan nama awak. Kat sini saya tengok ada 6 orang pesakit yang akan buat D&C harini. Allahuakbar, lambat lagi.
Sesusai prosedur MVA itu husniey diminta keluar, berjalan sendiri tertunduk pegang perut menahan sakit, terkepit berjalan ke katil. Takde bantuan sesiapa. Call suami mengadu pada mulanya tak nangis tak nak dia risau, sedang duk bercerita sakit sungguh doktor sedut kat bawah ni.. Ternangis.. Teresak esak nangis masa call tuan suami. Dia hanya mampu jawab sabarlah, ‘sabarlah sayang’..

Maklumlah musim pandemik ni, pelawat tak dibenarkan masuk, suami tak boleh temankan. Berbaring dari jam 1 tengahari, pukul 4.30 petang baru berani bangun ke tandas, sengaja rehat dan tidur je sebab nak tahan diri dari pergi kencing, takutlah pedih. Ternyata memang pedih bila nak buang air kecil.. Allah😭 Dengan tekak dah mula rasa dahaga tapi tak boleh minum air langsung kena berpuasa sampailah operate. ‘Entah pukul berapalah ni siap operate’- detik hatiku.. Petang itu lepas mandi, dalam jam 6 petang husniey dipanggil nurse untuk ke ruang X-ray, di tingkat bawah. Lama juga menunggu giliran, nurse yang iringi husniey dah minta diri sebab ada kerja lain nak kena settle katanya. Best duk situ sambil tengok tv, tenangkan jiwa tak nak berdebar sangat dengan proses D&C nanti. Relaks sajalah kan kena bius nanti.
Hari Yang Sama MVA Tak Berjaya, Sebelum Maghrib Ditolak Ke Dewan Bedah Untuk D&C
Dalam 20 minit selepas balik dari tempat x-ray, disapa nurse. Nurse; “Assalamualaikum, awak Che Engku Husniyah kan, dah nak kena masuk ke dewan bedah.. Ini baju, salin pakai yang ini. Buka semua pakaian dalam, barang kemas, contact lens kalau ada. Spek mata pun tak boleh pakai juga.” Saya ni dah la rabun, heee. Dekat dewan tu nanti baru cabut okay ke. Kata nurse takut tercicir lagipun tak perlu baca apapun, nanti doktor tolong bacakan borang kebenaran pembedahan semua tu, awak cuma perlu jawab Ya atau Tidak. Baiklah menurut perintah.

Gambar ini diambil oleh mak mertua, kebetulan datang hantar makanan puas pujuk rayu dekat guard boleh juga naik. Tuan suami tak dapat nak jumpa langsung semasa dalam wad 😊
Dua orang nurse tolak katil husniey keluar wad menuju masuk ke Dewan Bedah, kebetulan tiba di dewan bedah terdengar suara azan, dah waktu magrhib. Masa dalam dewan bedah memang tak dapat nak cam, yang mana satu doktor.. Semua berbaju biru. Haih macam dalam K Drama. Haha. Beberapa orang doktor keluar dari bilik OT, menyapa husniey di katil. Katil itu ada tag number. Sempatlah belek tengok, nombor 7. Doktor lelaki datang tegur, tunggu kejap ye nak pergi solat.
Aura positif terasa dalam tu sambil bercakap dengan yang incharge di kaunter. Petugas disitu sempat meneka pekerjaan husniey. Soalannya dah buat ambe rasa tercuit hati. ‘Awak kerja cikgu ya?’😂. ‘Eh tak. Saya surirumah je, penulis blog’. Padahal masa tu kita tengah pakai baju operation yang diberikan tuk masuk ke dewan bedah ye bukannya pakai cantik rapi berbaju kurung ke kan. Adehh, hahaa kelakor sokmo bila orang ingat staff nurse atau cikgu. Ku hanya insan biasa-biasa saja.
Pakar Bius: Awak nama penuh Che Engku Husniyah betul kan.
Tahu kenapa awak di Dewan Bedah?
Aku: Ye tahu Dr, Incomplete miscarriage at 8 weeks pregnancy
Pakar Bius: Good. Awak staff nurse ke puan?
Selepas menjawab soalan pertamanya terus ditanya begitu pula.
Aku: Tak Dr, cuma saya tahu terms medik sebab banyak membaca info
dah 6 tahun kahwin trying to conceive, hee 😅
Paling best bersembang dengan pakar bius. Diterangkan beberapa keadaan apabila kita dibius penuh atau separuh badan. Bius penuh akan ditidurkan, sedar sedar aje nanti dah siap semuanya. Selepas diberi sedut oxygen tu then bergantung penuh pada mesin ventilator + oxygen, puan akan lena katanya. Nanti kita tengoklah yang mana sesuai dengan puan. Alhamdulilah dibius penuh, kalau dibius separuh kau masih celik ye. Seram juga tu. Perbualan dan penerangan dari pakar bius sangat sempoi, tenang sikit takde lah rasa gusar. Pakar hanya menyampaikan info & kemungkinan risiko yang bakal jadi. Jarang sekali katanya perkara sebaliknya berlaku. Ibarat mati hidup semula. Bernafas dengan mesin berjam jam tu, macam-macam boleh jadi kan. Ada juga tanya pakar itu, agaknya lama ke nak siap ni.. Doktor pakar cakap bergantung pada keadaan tiba-tiba ada komplikasi atau pendarahan yang banyak akan memakan masa lama. Masuk dalam bilik OT tu, seram sejuk weh. Lampu terang penuh, dibuka baju bahagian dada. Ditampal itu ini nak setup tiub and sambung dengan mesin kot. Fuh seramm. Terus dipakai oksigen dalam dua minit husniey terus mamai tak sedarkan diri.
Alhamdulilah selesai urusan di dewan bedah, sedar bila dipanggil nama. Macam dikejutkan dari lena. Bila tersedar mamai berat rasa kepala dan badan, tak leh nak bangun. Lemah tak daya. Sejuk sangat weh. Selesema pulak. Haha aku ni jenis tak tahan duk dalam tempat sejuk sensitif betul hidung ni. Nak baiki selimut kat kaki tak boleh, sebut jelahh “sejukkknyaa.. ” One words terkeluar terus doktor datang bantu selimutkan elok² 😅
Nurse dua orang ditugaskan untuk tolak kita kembali ke wad dengan katil, mereka jugalah angkatkan & pakaikan baju tika tiba di wad. Terasa tak selesa dibawah perut. Nurse pesan jangan minum atau makan dalam tempoh satu jam. Jam di telefon dilihat pukul 9.45 pm. Alhamdulilah ya Allah, dah selesai. Haih tekak ni kering sangat dah rasanya, kena tahan lagi sejamlah.

Ummi, kawan katil sebelah dalam wad 1EF. Berat ujiannya. Anak meninggal dalam perut bulan Feb haritu, then ada rezeki pregnant lagi keguguran puasa haritu. Sepatutnya kena D&C juga tapi last minute doctor cancel maybe sebab keadaan dia okay takde bleeding. Kes dah lama, cuma kena followed up lagi kes dia. Moga ummi kuat 🙂

Terlihat wayar air dengan ubat di atas meja, masa lepas operate susah nak bergerak
Pukul 11 pm barulah dapat teguk air masak. Alhamdulillah, nikmatnya. Bayangkan dari tengahari terasa dahaga, ada nurse lalu lalang minta nurse tuangkan air dalam cawan. Nurse juga berikan ubat tahan sakit disuruh makan lagi. Lepas sejam lebih tu, minum air dan cuba nak telan roti butterscoth, sakitnya tekak ni perit betul. Terfikir ini mungkin kesan pakai alat tiub kot, 3 hari baru betul-betul hilang rasa tak selesa pada tekak. Perit juga rupanya. Kesan bius masih terasa tak berani nak turun katil untuk ke tandas, terasa tak selesa juga pada bahagian bawah ni risau kot darah bocor ke katil je. Yelah setahu kita sebelum masuk dewan bedah tu memang tak kena pakai apa-apa kan. Dalam pukul 1 pagi husniey gagahkan diri bangun pergi tukar pad, barulah nampak tali yang diikat kat bawah itu. Seksa juga pada mula nak membuang air kecil tu, dengan bawa kehulu kehilir wayar air kat tangan tu.
11 June, Akhirnya Discaj Wad
Alhamdulilah 11 June dapat keluar wad. Pagi itu juga nurse check dulu tekanan darah husniey, dah normal agaknya baru dibenarkan balik. Doktor beri tarikh appointment seterusnya, juga berpesan minta turunkan berat badan sikit serta untuk mengandung lagi kena jarakkan. Para doktor tengah nak siasat kes keguguran husniey. Lega bila dapat berita boleh keluar wad, terasa lebih segar, ceria. Tak sabar nak balik rumah jumpa suamiku.

Mimi sederet dengan husniey, dia pun keguguran juga.
Sedih tapi dia dah punya anak 🙂
Terima kasih sahabat.. ramai sebenarnya yang dm husniey
tak larat nak screenshot satu persatu..
Penat mental fizikal 3 hari 2 malam tersiksa di hospital. Sambung berpantang di rumah. Kali ini berpantang gugur lebih lama, biasanya sebelum ini buat 2 minggu saja. Hebat betul ujian dilalui kali ini. Sungguh Hanya Allah Maha Tahu Segala rasa.. Pedih, perit, sakit, tangis, duka lara semuanya dirasa. Bukanlah mudah 🙂
Terima kasih kalian yang sudi membaca kisah yang panjang lebar. Semoga terselit manfaat, tak mahu melupakan kenangan ini. Ada pahit manis. Nanti akan datang bila doktor tanya sejarah keguguran ke apa, boleh rujuk balik entri ini. Doakan kami suami isteri diberi ganti rezeki anak yang terbaik, ya. Manalah tahu dalam ramai-ramai pembaca ini ada seorang dua doanya Allah mudah kabulkan.
Kredit: HusnieyHussain
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ini Vitamin Yang Ibu Hamil Perlu Ambil Demi Kesihatan Ibu & Bayi Dalam Kandungan

Perlukah ibu hamil mengambil sebarang vitamin ataupun suplemen kesihatan sepanjang kehamilan? Adakah bakal ibu masih tercari-cari apakah vitamin atau suplemen kesihatan yang sesuai semasa kehamilan?

Apabila disahkan hamil, seorang bakal ibu pastinya akan merujuk dan mencari sumber terbaik bagi bayi yang bakal dilahirkan. Salah satu soalan yang sering ditanya oleh ibu hamil ialah berkaitan keperluan pengambilan vitamin atau suplemen kesihatan.
Diet yang seimbang adalah cara terbaik bagi mendapatkan nutrient yang diperlukan oleh ibu dan bayi dalam kandungan. Justeru itu, ibu hamil dinasihatkan mengambil makanan daripada pelbagai sumber bagi memastikan bayi dalam kandungan mendapat semua vitamin dan mineral yang diperlukan. Ia juga bagi memastikan ibu mendapat tenaga yang diperlukan sepanjang kehamilan.
Walau bagaimanapun,terdapat sesetengah ibu hamil yang tidak dapat memakan makanan yang mengandungi nutrien tertentu atas sebab alahan, mual-mual atau loya, muntah yang teruk, dan sebagainya. Oleh sebab itu, pengambilan suplemen vitamin adalah disarankan bagi melengkapkan keperluan nutrien yang diperlukan, bukan sahaja untuk ibu malahan untuk tumbesaran bayi dalan kandungan.
Pengambilan vitamin dan suplemen kesihatan semasa hamil digalakkan kerana dapat mengurangkan risiko kecacatan bayi, kelahiran pramatang dan kekurangan berat bayi.
Apakah vitamin dan suplemen kesihatan yang penting bagi ibu hamil?
Secara amnya, ibu hamil disarankan mengambil vitamin dan suplemen mengikut keperluan dirinya atau saranan daripada doktor dan ahli farmasi. Beberapa vitamin dan suplemen yang biasanya perlu di ambil oleh ibu hamil adalah:
Asid Folik
Asid folik merupakan suplemen yang paling penting terutamanya semasa trimester pertama kehamilan. Pengambilan asid folik boleh mengurangkan risiko bayi mengalami kecacatan pada tulang belakang (kecacatan tiub neural). Kecacatan tiub neural iaitu spina bifida berlaku apabila saraf di dalam tulang belakang terdedah dan rosak.
Sebaik-baiknya asid folik diambil apabila seseorang wanita merancang untuk hamil. Asid folik dengan dos 400mcg perlu diambil setiap hari sehingga sekurang-kurangnya 12 minggu pertama kehamilan. Ibu hamil juga dinasihatkan mengambil makanan yang mengandungi folat (bentuk semulajadi Asid Folik) seperti sayur-sayuran hijau dan kekacang.
Dalam sesetengah keadaan, dos asid folik yang lebih tinggi iaitu sebanyak 5mg mungkin akan disyorkan oleh doktor. Sebagai contohnya:
- Ibu hamil yang pernah mengalami masalah bayi dengan kecacatan tiub neural dalam kehamilan terdahulu.
- Ibu hamil yang sedang mengambil sebarang ubat anti-epileptik.
- Ibu hamil yang menghidapi penyakit kencing manis.
Zat Besi
Ibu hamil biasanya akan menjalani ujian darah yang akan menunjukkan sama ada kandungan zat besi dalam badan mencukupi ataupun tidak. Jika kandungan zat besi ibu hamil rendah, suplemen zat besi perlu diambil. Ini disebabkan jumlah darah dalam badan ibu semakin bertambah bagi menyokong tumbesaran bayi dalam kandungan. Badan akan menggunakan zat besi yang tersimpan dalam badan sekiranya ibu kurang mengambilnya dalam diet. Akibatnya, penyimpanan zat besi dalam badan akan berkurang dan boleh membawa kepada anemia.
Risiko kelahiran pramatang dapat dikurangkan dengan pengambilan zat besi. Selain itu, pengumpulan zat besi dalam badan juga penting kerana ibu akan kehilangan banyak darah semasa melahirkan. Bayi yang bakal lahir juga mempunyai simpanan zat besi dalam badan mereka. Zat besi ini berasal daripada darah ibunya melalui uri dan boleh bertahan sehingga 4 bulan.
Biasanya, jika ibu mengambil zat besi lebih daripada kuantiti yang disyorkan iaitu 30mg, ia boleh mengganggu saluran pencernaan seperti mengalami sembelit yang dialami oleh kebanyakan ibu hamil, loya ataupun cirit-birit. Suplemen kesihatan dengan kandungan zat besi dalam kuantiti 30mg atau kurang biasanya tidak memberikan sebarang masalah berkaitan.
Ibu hamil disyorkan berbincang dengan doktor berkaitan ketidakselesaan yang dialami. Sekiranya ibu hamil tidak mengalami anemia, terdapat pilihan untuk bertukar kepada suplemen kesihatan dengan kandungan zat besi yang lebih rendah. Walau bagaimanapun, bagi ibu hamil yang mengalami anemia dan tiada pilihan untuk bertukar kepada suplemen lain, disyorkan untuk minum jus prun ataupun mengambil buah-buahan dengan lebih kerap bagi mengatasi masalah sembelit.
Sumber makanan terbaik yang mengandungi zat besi adalah seperti daging merah, kismis, kurma, kekacang dan sayur-sayuran.
Kalsium
Ibu hamil juga memerlukan kalsium bagi pembentukan tulang dan pertumbuhan gigi bayi terutamanya pada trimester ketiga. Kalsium juga penting sepanjang kehamilan bagi mengelakkan kekejangan otot kaki ibu. Sekiranya ibu hamil kekurangan kalsium, ia turut menyebabkan berlaku kekejangan otot dan kerosakan gigi kepada ibu itu sendiri.
Biasanya suplemen ini akan diperskripsikan untuk wanita hamil yang alah terhadap susu atau tidak dapat mengambil kalsium yang cukup dalam pemakanan harian mereka. Kekurangan kalsium yang serius boleh mendedahkan wanita hamil kepada risiko pre-eklampsia yang boleh membawa maut kepada ibu dan bayi dalam kandungan.
Pengambilan kalsium sehari yang dicadangkan untuk ibu hamil ialah dalam dos 1300mg (ibu berumur 14-18 tahun) dan 1000mg (ibu berumur 19-50 tahun).
Asid Lemak Perlu
Asid Lemak Perlu seperti asid lemak omega-3 DHA dan EPA juga penting bagi pembentukan otak dan saraf bayi dari peringkat awal pembentukan. Ikan adalah sumber utama DHA dan EPA tetapi ibu perlu berhati-hati supaya tidak makan terlalu banyak ikan yang mengandungi kandungan merkuri yang tinggi. Memandangkan omega-3 adalah sangat penting untuk bayi, adalah idea yang baik untuk berbincang dengan doktor sama ada ibu memerlukan suplemen tambahan yang mengandungi omega-3 ataupun tidak.
Vitamin D
Vitamin larut lemak seperti vitamin D turut membantu mengekalkan tulang dan gigi yang kuat kerana vitamin D memainkan peranan penting dalam mengekalkan tahap kalsium dan fosforus di dalam badan. Oleh itu, adalah penting bagi ibu hamil mengambil vitamin D tambahan bagi memastikan tulang yang sihat serta menyediakan bayi dengan vitamin D yang mencukupi bagi beberapa bulan pertama mereka. Dos yang dicadangkan ialah 200IU vitamin D setiap hari.
Sumber makanan terbaik yang mengandungi vitamin D adalah ikan sardin, ikan mackerel, ikan salmon, telur dan daging.
Tips pengambilan vitamin dan suplemen
Sebelum membeli sebarang vitamin atau suplemen, baca label dengan teliti bagi memastikan dos dan kandungan yang tepat dan selamat dipilih agar sesuai dengan keperluan ibu.
Berbincang dengan doktor atau ahli farmasi tentang penggunaan ubat serta gaya hidup bagi menentukan vitamin dan suplemen kesihatan yang terbaik dan selamat diambil.
Pastikan ibu hamil tidak mengambil sebarang vitamin atau suplemen kesihatan selain yang dicadangkan oleh doktor ataupun ahli farmasi.
(Followers Pa&Ma jom rileks jap, klik link ni! https://bit.ly/3fRSN23)
Bagi mengelakkan loya, cuba ambil suplemen kesihatan pada waktu malam sebelum tidur. Ibu hamil juga dinasihatkan mengambil sebarang vitamin atau suplemen kesihatan selepas makan bagi mengurangkan iritasi dengan perut kosong.
Bincanglah dengan doktor atau ahli farmasi mengenai multivitamin khas untuk kehamilan. Ia seharusnya mengandungi asif folik, zat besi, vitamin D dan kalsium. Dapatkan juga multivitamin yang mengandungi vitamin C, vitamin D, vitamin B seperti B6 dan B12, potassium, zink dan vitamin E.
Multivitamin bagi kehamilan tidak mengandungi retinol, iaitu vitamin A daripada sumber haiwan, kerana jika diambil dalam kuantiti yang banyak, retinol boleh menjadi racun kepada bayi dalam kandungan. Ibu hamil juga perlu mengelakkan makanan yang mengandungi kandungan vitamin A yang tinggi seperti hati dan juga produk berasaskan hati seperti minyak hati ikan (fish liver oil).
Bagaimanapun, vitamin A boleh diambil dalam bentuk provitamin A, iaitu betakarotin yang diperolehi daripada sumber tumbuhan dan selamat untuk bayi.
Kredit: Myhealth Portal
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Tinggal lagi 6 hari sahaja webinar Mama Tak Penat Susukan Anak akan berlangsung. Tahniah & terima kasih admin ucapkan kepada 1000 orang yang sudah mendaftar sebagai peserta webinar terbesar ini. Mohon semua peserta untuk join Telegram Group Mama Tak Penat Susukan Anak di https://t.me/joinchat/a_u8xHQS-09mZDA1 kerana kita akan update segala info, itinerary webinar, pemenang cabutan bertuah, cara nak menang hadiah kuiz semasa webinar. Jadi penting ya untuk semua peserta join Telegram webinar.
Bagi yang belum daftar sebagai peserta webinar, anda boleh daftar di https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-mama-tak-penat-susukan-anak/ kemudian terus join grup Telegram webinar ya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


