Kalau kena chickenpox atau cacar air mesti rasa tak selesa, kan? Jangan risau ada kaedah semula jadi sebagai rawatan cacar air yang boleh dicuba di rumah.
Rawatan cacar air
Merupakan jangkitan biasa yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak disebabkan oleh virus varicella. Ia merupakan penyakit yang senang berjangkit dan boleh merebak daripada seorang individu ke individu lain.
Seseorang yang dijangkiti virus ini akan mengalami demam dan timbul ruam lepuh (blisters). Jika mengalaminya, rawatan cacar air melibatkan pengurusan simptom sehingga badan anda mampu melawan jangkitan.
Kaedah semula jadi sebagai rawatan cacar air
Walaupun jangkitan ini biasanya berlaku kepada kanak-kanak, namun tidak dinafikan individu dewasa juga tidak terkecuali untuk mengalaminya.
Jadi berikut beberapa tip menggunakan kaedah semula jadi yang boleh dicuba:
#1. Aloe vera
Gel lidah buaya membantu menyejukkan dan menenangkan kulit gatal dan meradang. Ia mempunyai sifat antiradang yang boleh mengurangkan rasa gatal dan melembapkan kulit.
Jika ingin mencuba cara merawat cacar air ini, anda hanya perlukan tumbuhan aloe vera.
-Ambil daun aloe vera dan keluarkan isi gel yang terdapat di dalamnya.
-Pindahkan gel tersebut ke dalam bekas kedap udara.
-Sapu dan biarkan gel tersebut pada ruam cacar.
-Ulang sapuan gel sebanyak 2 hingga 3 kali sehari.
#2. Madu
Madu adalah antara kaedah semula jadi terbaik untuk merawat luka. Tapi pastikan anda menggunakan madu asli.
Bahan ini dapat mengurangkan keinginan untuk menggaru kawasan bermasalah dan membantu mengurangkan parut.
Caranya:
-Sapukan sedikit madu pada kawasan jangkitan.
-Biarkan selama lebih kurang 20 minit.
-Kemudian, lap dengan lembut menggunakan kain atau tisu basah. Boleh juga memilih untuk membilas dengan sedikit air.
-Ulang rawatan cacar air ini 2x sehari.
Ads
#3. Mandian baking soda
Baking soda atau serbuk penaik dapat membantu meredakan ruam dan gatal pada kulit. Ia mempunyai sifat antimikrob dan boleh membantu mempercepatkan proses pemulihan.
Anda juga boleh menambah cecair antiseptik ke dalam air mandian. Anda memerlukan:
-Serbuk penaik – 1 cawan
-Air suam untuk mandi
Caranya:
-Masukkan serbuk penaik dan air di dalam baldi.
-Siramkan air mandi pada badan.
-Lakukan mandian ini setiap hari sehingga sembuh.
-Jika menggunakan tab mandi, anda cuma perlu rendamkan diri untuk tempoh kira-kira 10 hingga 20 minit.
#4. Mandian oat
Mandian ini sangat baik sebagai kaedah semula jadi bagi merawat cacar air.
Oat dikatakan dapat membantu menghilang dan menenangkan kulit dijangkiti. Ia mengurangkan rasa gatal dan bertindak sebagai agen pelembap yang hebat.
Bahan diperlukan:
-Oat – 2 cawan
-Air – 4 cawan
-Beg kain atau kain bersih
-Air suam
-Tab mandi atau baldi
Ads
Caranya:
-Kisar oat dan rendamkan ia dalam bekas berisi 4 cawan air. Biarkan selama beberapa minit.
-Kemudian, masukkan campuran ke dalam beg kain. Jika tiada, anda boleh masukkan campuran ke dalam kain bersih dan ikat dengan ketat.
-Letakkan campuran ke dalam tab mandi berisi air suam dan rendam selama beberapa minit.
-Jika tiada tab, letakkan campuran ke dalam baldi berisi air suam dan siramkan badan dengan air tersebut.
-Ulang rawatan cacar air ini sekali setiap hari.
#5. Rebusan daun jambu
Daun jambu sering digunakan dalam perubatan Ayurveda dan Cina bagi merawat kerengsaan dan jangkitan kulit.
Ini kerana daun tersebut mempunyai sifat antimikroba dan kaya vitamin C. Ia dapat mengurangkan ruam dan mencegah kewujudan parut.
Bahan diperlukan:
-Daun jambu batu – 10 hingga 12 helai
-Air – 2 cawan
-Madu – bahan pemanis
Caranya:
-Rebuskan daun selama 10 hingga 15 minit.
-Tapiskan airnya dan masukkan madu mengikut citarasa.
-Minum air rebusan ini ketika suam.
-Ulang minum air untuk 2 hingga 3 cawan setiap hari.
Individu dengan hipoglikemia tidak boleh meminum air rebusan ini kerana ia boleh mengurangkan kadar gula dalam darah.
Mereka dengan penyakit jantung juga patut menghindari daripada menggunakan kaedah semula jadi ini.
Ads
#6. Kacang pea
Dalam Ayurveda, kacang pea digunakan pada luka dan lepuh untuk penyembuhan segera. Ia kaya dengan vitamin C, vitamin B6 dan asid folik. Kacang pea berfungsi melawan keradangan dan mengurangkan gatal. Ia juga dapat menenangkan kulit.
Bahan diperlukan:
-Kacang pea – 200 gram
-Air
Cara rawatan cacar air ini:
-Rebus kacang dan kisar untuk dijadikan pes.
-Sapukan pes kacang pada ruam jangkitan.
-Biarkan selamat sejam.
-Kemudian mandi dengan air suam.
-Lakukan sehari sekali.
#7. Daun neem
Neem, kaya sifat antibakteria dan antivirus. Ia membantu melegakan gatal, mengeringkan lepuh dan mempercepatkan proses penyembuhan.
Bahan diperlukan:
-Segenggam daun neem
-Air
Cara menggunakan kaedah semula jadi ini:
-Kisarkan daun neem bersama air sehingga menjadi pes.
-Sapukan pada ruam jangkitan dan biarkan selama beberapa jam.
-Juga boleh lakukan mandian neem dengan menambah daun bersama air suam untuk mandian.
-Lakukan mandian ini sebanyak 2x sehari.
Komplikasi daripada cacar air ini adalah berbeza pada setiap individu terutama bayi, wanita hamil dan mereka dengan sistem imun yang lemah. Rawatan cacar air menggunakan kaedah semula jadi ini biasanya berkesan tanpa memerlukan rawatan perubatan moden.
Walau bagaimanapun, jika keadaan semakin teruk, dapatkan rawatan doktor dengan segera.
Kredit: Hello Health
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bahu bayi tersangkut ketika kelahiran (shoulder dystocia) ialah antara masalah kecemasan yang boleh berlaku ketika kelahiran. Ikuti penerangan Dr Sharina Mohd Razali, Pakar Perbidanan & Sakit Puan Columbia Asia Bukit Rimau.
Bahu bayi tersangkut ketika kelahiran ia adalah keadaan di mana kepala bayi yang telah lahir tetapi bahunya tersangkut pada tulang pubis ibu. Sekiranya berlaku, doktor perlu melakukan langkah kecemasan tambahan (additional manouvres) untuk membantu melepaskan bahu bayi yang tersangkut pada tulang pubis tersebut.
Kebanyakan masa bahu bayi boleh dilepaskan tanpa sebarang masalah tetapi dalam beberapa kes bahu tersangkut ini kadangkala boleh menyebabkan masalah kepada bayi seperti patah tulang bahu, kecederaan pada saraf dan kekurangan oksigen (birth asphyxia)
Masalah ini boleh berlaku dalam 1 dalam 150 kelahiran (0.7%) dan lebih kerap berlaku pada ibu-ibu yang menghidap penyakit kencing manis semasa mengandung. Hakikatnya ia sangat sukar diramal.
Golongan berisiko tinggi
Oleh sebab ia sukar diramal ketika hamil, ibu-ibu yang perlu memahami siapa yang berisiko tinggi untuk mengalami bahu bayi tersendat ketika kelahiran. Dengan ini perlu mengambil langkah awal serta persediaan mental dan fizikal.
Kes kecemasan
Bagi kes kecemasan di mana ia terjadi tanpa jangkaan atau dikenali sebagai obstetric emergency, pakar sakit puan dan bidan yang bertugas akan memberikan rawatan segera. Sekiranya berlaku bahu bayi tersendat semasa proses kelahiran, red alert akan dimulakan untuk mendapat bantuan dari pasukan perubatan. Ibu akan diminta berhenti meneran untuk mengelakkan kecederaan lebih teruk pada bayi.
Ibu menghidap kencing manis
Masalah bahu bayi tersangkut ini sukar dielakkan kerana sukar diramal. Cara yang boleh dilakukan untuk mengelakkannya ialah dengan adalah ambil langkah berjaga-jaga jika ibu mempunyai risiko terutamanya ibu yang menghidap kencing manis. Bersalin secara induksi boleh mengelakkan masalah ini. Elakkan sama sekali kehamilan yang terlebih tempoh bagi ibu yang mempunyai kencing manis. Doktor selalunya akan mencadangkan bersalin melalui pembedahan Caesarean jika berat bayi melebihi berat normal iaitu 4kg. Walau bagaimanapun risiko bahu tersangkut masih boleh berlaku pada bayi yang mempunyai berat kurang dari 4kg lebih-lebih lagi jika ibu menghidap diabetes
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mengekalkan bentuk badan dengan berat ideal seperti sebelum mengandung pastinya cukup sukar. Bagi Yatt Hamzah, dia mengakui untuk mengekalkan beratnya selepas bersalin seperti bersalin anak pertama dan kedua, jauh bezanya dengan sekarang.
Kata Yatt jika dahulu, di usia awal 20an, dia berjaya mengekalkan semula beratnya dengan mudah namun kini tidak lagi. Faktor usia sudah semestinya menjadi penyebab.
Malah kata Yatt menerusi Instagramnya, selepas bersalin anak kelimanya, beratnya sudah pun turut sebanyak 15kg.
” Memang makin ramai anak, makin susah nak kurus ya? Masa ni lepas berpantang anak ke 4, baby #SuciHawaZulaikha. Berat masa ni 65kg turunlah dalam 13-14kg lepas berpantang.
“Masa kak Nia 11 tahun dulu lagi power, badan lebih kurus dan slim lepas bersalin daripada sebelumnya. 49-50kg masa tu memang melidi.
“Yelah masa tu zaman aktif berlakon drama memang eloklah kurus slim takdelah nampak macam tong dalam TV.
“Sekarang berat 70kg lagi ni haa, tapi turun banyak lebih 15kg sebab masa bersalin haritu dekat 90kg,” kongsi Yatt.
Berat makin susah nak turun
Kata ibu kepada lima orang cahaya mata ini lagi, di usianya yang kini sudah pun memasuki 40 tahun, dia mengakui agak sukar menurunkan berat badan. Tambah pula dia langsung tidak mengambil suplemen untuk kurus dan hanya mengamalkan pemakanan sihat sahaja.
Tambah Yatt lagi, sesekali dia akan bersenam dan amalkan cara hidup sihat.
“Fuhh, mencabar betul Bonda anak 5 di usia 40an ni nak lose weight. Bonda pula bukan jenis ambil-ambil ubat atau supplement kurus.
“I always believe in eating clean and exercising in order to lose weight. There’s no such thing as short cut kalau nak kurus.
“Kena rajin bersenam dan amalkan cara hidup sihat. Supplement semua tu sebagai booster sahaja. Yang paling penting bersenam dan jaga makan.
“Mak-mak boleh amalkan tips ni, pagi-pagi atau petang boleh stroll anak-anak kat taman. Tolak baby sambil berlari-lari anak sikit. Jangan laju-laju kang terbalik anak tu naya,” kongsi Yatt lagi.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ramai ibu yang sedang menunggu masa untuk melahirkan anak ‘terlupa’ untuk solat. Sedangkan selagi bayi belum keluar, diwajibkan untuk melaksanakan rukun Islam ini. Namun ada yang terlepas pandang dan menganggap bila kontraksi dan bukaan dah ada bermakna solat itu tak perlu.
Sedangkan waktu kita menunggu untuk ‘berjuang’ antara hidup dan mati inilah sepatutnya dilakukan dulu selain minta doa banyak-banyak agar Allah permudahkan semuanya.
Seperti yang dikongsikan oleh Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan, Dr Muhammad Izzat , sebelum melahirkan bayi, ibu tetap wajib menunaikan solat. Begitu juga dalam perkongsian di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang turut menjelaskan hukum sebenar mengenai hal ini.
Soalan:
Apakah hukum bagi wanita yang keluar darah bercampur lendir beberapa hari sebelum bersalin? Adakah dia perlu mandi wajib dan bersolat? Bagaimana pula sekiranya air ketuban keluar secara berterusan sebelum bersalin?
Jawapan:
Sabda Nabi Muhammad S.A.W daripada Abdullah bin Mas’ud R.A:
إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة، ثم يكون علقة مثل ذلك، ثم يكون مضغة مثل ذلك، ثم يرسل الله إليه الملك، فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات: بكتب رزقه وعمله وأجله وشقي أو سعيد
Maksudnya: “Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus seorang malaikat lalu diperintahkan empat kalimat (hal), dan dikatakan kepadanya: Tulislah amal, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya kemudian ditiupkan ruh kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)
Hadis di atas menerangkan tentang proses kejadian manusia mengikut peringkat-peringkat tertentu di dalam rahim ibu sehinggalah proses kelahiran. Pakar perubatan mengatakan antara tanda-tanda awal proses kelahiran ialah keluar lendir bercampur darah keluar dari faraj, pecah air ketuban, sakit semakin kerap dan tempoh sakit semakin panjang. Rujuk: www.myhealth.gov.my
Berdasarkan persoalan di atas, apakah hukum lendir bercampur darah dan air ketuban yang keluar sebelum proses kelahiran ini?
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita
Ulama’ membahagikan darah yang keluar daripada faraj wanita kepada beberapa kategori, di antaranya:
Pertama: Haid
Darah haid ialah darah tabi’e (semula jadi) yang keluar daripada pangkal rahim perempuan yakni darah itu keluar daripada rahim yang terletak di bahagian bawah saluran kencingnya semasa waktu sihatnya dan ia keluar pada hari-hari haid iaitu dalam tempoh haid selepas dia mencapai peringkat umur baligh. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 36).
Kedua: Nifas
Darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim perempuan ssetelah kosongnya rahim tersebut (tempat peranakan) daripada janin atau ketulan darah (‘alaqah) atau ketulan daging (mudghah) dan darah itu keluar sebelum berlalu masa 15 hari selepas bersalin, yakni walaupun yang keluar daripada tempat peranakan itu ialah ketulan darah (alaqah) atau ketulan daging (mudghah). (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Izalah al-Iltibas, hlm.803).
Ketiga: Istihadhah
Darah istihadhah ialah darah penyakit yang keluar daripada azal (hujung urat) yang berada di bawah rahim selepas tempoh sebanyak-banyak haid dan selepas tempoh sebanyak-banyak nifas, sama ada keluarnya istihadhah itu mengiringi kesan (bekas) darah haid atau tidak mengiringi darah haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 214).
Keadaan istihadhah:
Bagi darah istihadhah ada dua keadaan:
Pertama: Sama ada darah tersebut keluar berterusan selepas haid atau nifas yakni melebihi tempoh sebanyak-banyak haid atau nifas.
Kedua: Darah tersebut keluar bukan selepas haid atau nifas tetapi ia tidak memenuhi mana-mana syarat haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 219).
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita sebelum bersalin
Secara kebiasaannya para ibu akan mengalami darah bercampur lendir keluar daripada rahim sebelum melahirkan. Ia merupakan salah satu tanda awal seseorang ibu akan bersalin. Darah ini keluar disebabkan terbukanya saluran ‘cerviks’ atau pangkal rahim dan juga pemisahan kantung bayi dari dinding rahim bahagian bawah. Darah ini akan bercampur dengan lendir yang juga dihasilkan oleh kelenjar di bahagian pangkal rahim.
Darah yang keluar kerana sakit hendak beranak ini dinamakan dam al-thalaq iaitu darah sakit hendak beranak. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Menurut pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafie, darah yang keluar daripada faraj wanita sebelum beranak bukanlah dalam kategori darah haid atau darah nifas tetapi ia adalah darah fasad. Ini juga adalah pandangan ulama’ mazhab Hanafi dan Hanbali. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Al-’Inayah Syarh al-Hidayah, 1/165; Al-Insof, 1/392).
Berkata Imam al-Nawawi: “Dan darah yang kelihatan (keluar) kerana al-thalaq (kesakitan beranak) itu bukanlah darah nifas dan bukan juga darah haid mengikut pendapat yang sahih”. (Rujuk: Raudhah al-Tolibin, 1/175)
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami: “Darah ini tidak dinamakan darah haid atau darah nifas kerana ia merupakan kesan daripada kesakitan hendak beranak. Dan juga tidak dinamakan darah nifas kerana darah tersebut keluar sebelum kelahiran sepenuhnya anak tersebut yakni darah itu keluar bersama keluarnya anak. Jadi kedua-dua darah tersebut ialah darah yang keluar semasa sakit hendak beranak dan darah yang keluar bersama kelahiran anak adalah dam al-thalaq (darah rosak) kecuali sekiranya darah tersebut berhubung dengan darah haid yang sebelumnya, maka ia dihukumkan darah haid (sekiranya menepati syarat-syarat haid)”. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Justeru, di sisi mazhab Syafie hukum darah yang keluar sebelum bersalin ialah darah fasad (rosak) dan bukannya darah haid atau darah nifas. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan darah haid sebelum itu dan mencukupi syarat-syarat darah haid maka ia dianggap darah haid kerana wanita yang hamil juga didatangi haid menurut pandangan yang sahih dalam mazhab syafie . (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 1/355).
Oleh itu, hukumnya adalah seperti hukum orang yang beristihadhah iaitu wajib bagi wanita tersebut membersihkan diri daripada najis, berwudhuk dan mengerjakan solat seperti biasa. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:
عن عائشة رضي الله عنها قالت: (جاءت فاطمة بنت أبي حبيش إلى النبي صلى الله عليه وسلم، فقالت: يا رسول، إني امرأة أستحاض فلا أطهر، أفأَدَعُ الصلاة؟ قال: ((لا، إنما ذلك عِرْقٌ وليس بحيضٍ، فإذا أقبَلَت حيضتُك فدَعِي الصلاة، وإذا أدبَرَت فاغسلي عنك الدم ثم صلِّي )
Maksudnya: “Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha: Telah datang Fatimah binti Abi Hubaisy menemui Rasulullah S.A.W dan berkata: “Wahai Rasululullah, aku adalah seorang perempuan yang beristihadhah dan oleh kerana itu, aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Sabda Nabi S.A.W: “Janganlah kamu meninggalkan solat, hanyasanya istihadhah itu adalah sejenis darah penyakit dan bukannya darah haid. Apabila haid datang, maka engkau tinggalkanlah solat dan apabila ia putus yakni berhenti, maka bersihkanlah dirimu daripada darah tersebut dengan mandi dan hendaklah engkau menunaikan solat”.
Riwayat al-Bukhari (255)
Justeru, wajib bagi orang yang beristihadhah atau orang mengambil hukum istihadhah melakukan perkara berikut sebelum menunaikan solat:
Membasuh faraj. Menyumbat faraj dengan kapas atau seumpamanya supaya darah tidak menitis keluar. Wajib membalut faraj dengan kain atau seumpamanya yang boleh menahan darah daripada mengalir keluar. Bersuci dengan berwudhuk atau bertayammum. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/278)
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Definisi Air Ketuban
Air ketuban atau dikenali sebagai cecair amniotik dalam istilah perubatan ialah cecair jernih yang berwarna agak kekuningan yang meliputi janin di dalam rahim sepanjang proses kehamilan, ia berada di dalam kantung ketuban dan mempunyai banyak fungsi.
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Para ulama’ mengatakan bahawa air ketuban tidak termasuk dalam kategori nifas, kerana darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim wanita. Sedangkan air ketuban ialah ialah cecair yang berada dalam kantung ketuban yang meliputi janin. Justeru air itu keluar akibat daripada pecahnya kantung ketuban untuk memudahkan proses bersalin.
Di sisi mazhab Syafie hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk kerana semua perkara yang keluar daripada dua jalan adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Ini juga adalah pandangan jumhur ulama’ dan pandangan yang muktamad di sisi mazhab Maliki. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111; Bada’ie al-Sona’ie, 1/24; Hasyiyah al-Dasuqi, 1/175; Syarh Muntaha al-Iradat, 1/73).
Berkata Imam Khatib al-Syarbini: “Salah satu daripadanya (perkara yang membatalkan wudhuk) ialah keluarnya sesuatu daripada qubul dan dubur kecuali mani. Yang dimaksudkan sesuatu itu ialah keluar sesuatu samada dalam bentuk zat (ain) atau angin, yang suci yang atau yang bernajis, yang kering atau basah, yang keluar secara kebiaasaan seperti seperti kencing atau secara jarang-jarang, yang sedikit atau banyak, yang keluar secara semulajadi atau dipaksa”. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111).
Berkata Imam al-Dasuqi: “Dan wajib berwudhuk apabila keluarnya ia (air ketuban) iaitu darah putih yang keluar ketika dekatnya proses bersalin kerana hukumnya sama seperti hukum air kencing”. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/286).
Justeru, di sisi mazhab Syafie, hukum air ketuban adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Maka wanita itu perlu bersuci terlebih dahulu untuk menghilangkan najis tersebut dan berwudhuk seperti biasa sebelum solat jika air ketubannya sudah kering. Namun sebegitu, sekiranya air ketuban itu berterusan keluar, maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah, maka diwajibkan bagi para wanita menjaga beberapa perkara sebelum menunaikan solat sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.
Cara Mengerjakan Solat Ketika Sakit
Oleh itu, tetap diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat ketika dia sakit hendak beranak, walaupun setelah keluar air ketuban atau darah daripada faraj sebelum beranak kerana darah itu dihukumkan sebagai darah rosak.
Sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri, maka solat secara duduk, sekiranya tidak mampu maka solat secara mengiring di atas lambung kanan, sekiranya tidak mampu maka solat secara berbaring menelentang dan sekiranya tidak mampu maka solat melalui isyarat mata. Hal ini sebagaimana hadis nabi S.A.W yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain R.A berkata, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W berkenaan solat. Baginda S.A.W bersabda:
Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring di atas lambung kanan.”
Riwayat al-Bukhari (1066)
Namun begitu, sekiranya keadaannya sangat sakit sehingga tidak mampu untuk mengerjakan solat, maka wajib ke atas wanita itu menqadha’ solatnya kelak.
Setelah meneliti perbahasan di atas, kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:
Di sisi mazhab Syafie, darah yang keluar sebelum bersalin atau dam al-thalaq dihukumkan sebagai darah fasad (rosak) iaitu hukumnya seperti hukum istihadhah. Justeru diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat kerana kewajipan solat tidak gugur. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan haid yang sebelumnya maka ia dihukumkan sebagai darah haid (sekiranya mencukupi syarat-syarat haid).
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin ialah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Oleh itu diwajibkan ke atas wanita untuk bersuci kemudiannya menunaikan solat setelah air ketubannya kering. Namun sekiranya air ketuban itu keluar secara berterusan maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah.
Diwajibkan bagi wanita yang mengalami keadaan-keadaan istihadhah seperti yang telah disebutkan sebelum ini untuk menjaga beberapa perkara yang perlu dijaga oleh seseorang yang beristihadhah sebelum menunaikan solat (sebagaimana yang telah disebutkan di atas).
Sekiranya seseorang wanita tidak mampu untuk menunaikan solat kerana sakit hendak beranak, maka hendaklah dia solat mengikut kemampuannya iaitu samada solat secara duduk atau berbaring di atas lambung kanan atau berbaring menelentang atau melalui isyarat mata. Namun sekiranya dia tetap tidak mampu untuk bersolat, maka wajib ke atasnya untuk menqadha’ solatnya itu kelak. Wallahu a’lam.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!