Tidak mencuci & mensterilkan peralatan makan minum anak & pemerahan susu ibu dengan betul boleh jadi punca bayi selalu jatuh sakit. Mama papa tolong jangan skip langkah ini, ia sangat mustahak!

Tata cara mencuci memainkan peranan penting dalam tahap kebersihan perkakas penyusuan si manja. Kesilapan mencuci peralatan penyusuan boleh menyebabkan ia kurang bersih dan membiakkan pelbagai kuman yang boleh menyebabkan penyakit  seperti keracunan, cirit birit sebagainya.

Pensterilan juga perlu dilakukan sebagai cara menyahkuman. Mensterilkan peralatan penyusuan boleh dilakukan menggunakan pelbagai kaedah seperti merebus, menggunakan pensteril elektrik, bekas pensteril yang menggunakan ketuhar gelombang mikro, pensteril tanpa air dan sebagainya.

Susu ibu lazimnya meninggalkan kesan berminyak manakala susu formula pula meninggalkan kesan dan bau masam sekiranya tidak dibersihkan segera. Bukan sahaja botol susu, bahagian breast shield pam payudara, milk collector, nipple shield, cawan, mangkuk, sudu dan puting (pacifier) juga perlu disterilkan.

Bagi anda yang mempunyai bayi bawah 12 bulan, steril semula peralatan jika tidak digunakan selepas 24 jam untuk mengelakkan recontamination.

LANGKAH PENSTERILAN SANGAT PENTING

Peralatan penyusuan bayi yang berusia di bawah 12 bulan perlu dinyahkuman atau disterilkan. Ini kerana sistem keimunan mereka masih lemah. Maka, langkah pencucian rapi dan pensterilan boleh merendahkan risiko jangkitan dan penyakit kepada si manja. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, bakteria seperti E. sakazakii boleh berkembang biak sekiranya langkah ini diabaikan.

Permukaan peralatan penyusuan yang selalunya melibatkan puting, botol, dan gegelang. Bahagian ini perlu dipastikan bersih dan steril sebelum diberikan kepada bayi. Ibu bapa perlu mengelakkan daripada cuai dalam melakukan langkah ini untuk mengelakkan bayi daripada terkena cirit birit dan muntah akibat keracunan.

8 INFO STERIL BOTOL ANAK

  • Pastikan tangan anda bersih semasa proses mencuci peralatan penyusuan.
  • Sebaik-baiknya cuci botol bayi sebaik selepas penyusuan. Elakkan membiarkan susu rosak dan berkulat sehingga membuatkan keadaan di dalam botol menjadi berbau dan kekotoran sukar ditanggalkan.
  • Gunakan berus botol khas untuk botol susu untuk menanggalkan sisa yang tertinggal di dalamnya.
  • Berus khas untuk puting perlu digunakan untuk membersihkan puting.
  • Pastikan peralatan dibilas dengan air sehingga bersih.
  • Pastikan air mendidih semasa memasukkan peralatan yang ingin disteril.
  • Selepas disteril, pastikan ia tidak disentuh dengan tangan kotor. Anda boleh memasang ia selepas kering untuk mengelakkan kontaminasi semula.
  • Berus yang digunakan juga perlu bersih. Cara mencucinya ialah dengan perlu direndam dengan larutan cuka dan air suam dengan nisbah 1:5 setelah dicuci bagi mengelakkan pembiakan bakteria.

Tonton video ini untuk rujukan cara betul cuci peralatan botol susu anak.