Semua pasangan yang sudah berkahwin tentu sahaja mengimpikan ada zuriat sendiri. Namun tidak semua pasangan direzekikan mudah mendapat cahaya mata.
Ada ramai yang diuji belum dikurniakan kehadiaran anak meskipun sudah mendirikan rumah tangga sekian lama bahkan ada yang sudah mencecah belasan dan puluhan tahun.
Penyanyi, Indah Ruhaila, 35, yang sudah mendirikan rumah tangga dengan suaminya Ahmad Shariff Ahmad Taufiq, 41, tidak menafikan apabila bersendirian dia kerap terfikir mengenai kehadiran zuriat dalam hidup mereka.
Ini berikutan apabila terlalu kerap menerima soalan tersebut daripada orang sekeliling.
Mengakui dia dan suami sememangnya teringin sangat menimang cahaya mata sejak berkahwin pada 24 Disember 2017, namun akur rezeki mereka belum kesampaian.
Ads
Bila Sendirian Mula Terfikir
“Sebenarnya saya nak sangat anak, cuma belum ada rezeki Allah beri kepada saya dan suami selepas lima tahun berkahwin.
“Hal pasal zuriat ini, bila orang tanya macam senang saja. Tapi bila saya duduk sendirian, saya terfikir memang susah sebenarnya.
Saya terfikir kalau tiada anak, siapa jaga saya bila tua nanti? Tapi saya tak nak fikir yang tak baik sebab Allah lebih tahu masa tepat untuk beri cahaya mata kepada saya,” katanya.
Ads
Menurut Indah, ramai saja di luar sana berdepan perkara sama. Ada yang melakukan kaedah rawatan persenyawaan in vitro (IVF) tetapi masih belum memperoleh cahaya mata.
“Saya enggan menekan diri. Kalau orang tanya, saya akan cakap tak nak tekan diri sendiri, suami pun tak tertekan. Tak apa sudah sampai masa nanti akan dapat.
“Masih awal lagi untuk saya buat rawatan sebab baru lima tahun kan. Saya masih lagi mencuba cara semula jadi. Saya pun bukannya tua sangat,” katanya.
Ads
Pa&Ma mendoakan agar Indah dan suami dikurniakan zuriat sendiri satu hari nanti. Insya Allah.
Dengan bayaran RM20, pembukaan akaun Simpan SSPN akan dibuat secara automatik. Lebih menarik, untuk peserta-peserta terawal yang mendaftar akan menerima hadiah istimewa dari Pa&Ma. Jangan tunggu lagi, ayuh daftar segera di https://toko.ideaktiv.com/product/ajar-anak-simpan-duit/
Merawat ketidaksuburan boleh jadi suatu perkara yang menyukarkan. Ia memerlukan pelbagai usaha, terutama jika anda berada dalam lingkungan 30-an, bermakna peluang anda untuk hamil adalah rendah berbanding wanita yang berusia awal 20-an.
Ini belum lagi termasuk risiko keguguran atau kecacatan kehamilan yang meningkat bagi wanita yang hamil pada lanjut usia. Malahan, lelaki juga berdepan dengan masalah yang sama. Bagaimanapun, terdapat rawatan untuk menangani masalah ketidaksuburan.
Apakah rawatan ketidaksuburan untuk wanita?
Rawatan ketidaksuburan bergantung kepada jenis masalah yang anda alami kini. Jika anda mengalami masalah ovulasi, pengambilan ubat adalah salah satu pilihan untuk anda. Terdapat ubat Clomiphene atau Metformin untuk membantu masalah ovari. Jika keadaan bertambah buruk, seperti sistem pembiakan atau reproduktif anda tidak berfungsi dengan betul, maka pembedahan mungkin diperlukan untuk memulihkannya semula.
Walau bagaimanapun, bukan semua punca ketidaksuburan perlu dipulihkan atau dikesan dahulu. Dengan punca yang tidak dapat dijelaskan, masa dan keadaan terkini anda mungkin dapat membantu dalam merawat masalah ini.
Apakah pula rawatan ketidaksuburan untuk lelaki?
Ketidaksuburan lelaki selalunya melibatkan sperma. Lazimnya, terdapat berjuta-juta sperma dalam setiap ejakulasi dan hanya satu yang akan disenyawakan. Walau bagaimanapun, jika anda mengalami ketidaksuburan, ini bermakna sperma anda tidak cukup baik. Terdapat kemungkinan anda mengalami sperma abnormal, bilangan sperma rendah atau mungkin tiada sperma dalam air mani anda. Dalam kes-kes seperti ini, sperma anda mungkin akan dikumpul dan dirawat bergantung kepada keadaan.
Rawatan lazim untuk ketidaksuburan
Dengan teknologi perubatan yang maju, berikut merupakan jenis rawatan baru yang bermanfaat untuk kedua-dua jantina – ART – Bantuan Teknologi Reproduktif.
Dengan ART, proses persenyawaan tidak berlaku seperti biasa semasa melakukan hubungan intim, sebaliknya ia berlaku dengan campur tangan saintifik. Terdapat beberapa jenis ART, seperti di bawah:
Rawatan pembenihan In vitro – IVF
Jika satu telur tidak cukup untuk sperma, maka dengan IVF, masalah ini hampir dapat diselesaikan. Telur diletakkan ke dalam uterus wanita, sekali gus meningkatkan peluang untuk persenyawaan. Kaedah ini boleh dilakukan di luar, iaitu di dalam makmal, dengan tiub tiruan. Sebaik sahaja telur telah disenyawakan, ia akan dimasukkan ke dalam uterus wanita. Kaedah ini boleh meningkatkan peluang untuk hamil lebih daripada seorang bayi memandangkan proses ini melibatkan lebih daripada satu telur.
Suntikan Sperma Intracytoplasmic – ICSI
Anda mungkin sudah boleh mengagak kaedah ini apabila melihat kepada namanya. Berbanding membiarkan sperma pergi ke telur secara semula jadi, rawatan ICSI adalah kaedah di mana sperma disuntik terus ke dalam telur di makmal. Telur yang disenyawakan kemudian ditempatkan semula ke dalam uterus wanita. Melalui kaedah ini, keupayaan untuk sperma menembusi telur tidak lagi perlu dibimbangkan, sebaliknya satu-satunya perkara yang tinggal adalah persenyawaan.
Permanian/ Penyuntikan mani
Permanian atau penyuntikan mani memerlukan kurang tindakan berbanding dengan kaedah yang lain, kerana ia hanya bermaksud suntikan sperma. Semasa tempoh ovulasi wanita, sperma akan disuntik ke dalam uterus. Beberapa ubat sering digunakan untuk meningkatkan jumlah sperma.
Ketidaksuburan boleh jadi amat memberi tekanan kepada si penghidapnya. Jadi, adalah lebih baik jika anda mempersiapkan diri untuk menghadapinya memandangkan kaedah-kaedah yang dinyatakan belum tentu memberikan hasil yang anda harapkan. Malahan, kosnya juga adalah tinggi. Oleh itu, rancanglah dengan pasangan anda dan doktor bagi melihat sejauh mana anda boleh berusaha untuk menanganinya.
Musim Ke-4, berkonsepkan Jurnal Kehamilan akan bermula Selasa ini, 12/3/19 bersama pengacara baru Fad Bocey & Sya. Saksikan episod pertama Rancang Kehamilan di Astro Prima & Prima HD pada pukul 12 tengah hari dan ulanganya 9 malam.
Ramai yang teruja dan tak sabar untuk membuat ujian imbasan kehamilan tertutama 3D4D scan. Kebanyakkan pasangan ingin melihat wajah anak dengan jelas ketika dalam kandungan. Namun ramai yang tidak tahu tentang detailed scan dan kepentinganya.
Rasa terpanggil untuk menjelaskan, Puan Ell berkongsi mengenai detailed scan yang telah dilakukan beliau dan menerima dugaan dengan hati yang terbuka.
Bismillah. Bila tengok video Lana Nordin haritu, memang menangis teresak-esak sama. Tengok anaknya Billy, perasaan ni boleh kata nak sama walaupun belum bersua muka lagi dengan baby sendiri ni.
Sebenarnya nak kongsi benda ni bila baby dah keluar. Tapi memandangkan ramai kawan dekat FB ni berbadan dua, jadi saya kongsikan saja. Semoga bermanfaat untuk semua.
Detailed Scan lebih penting daripada 3D4D
Pesanan untuk bakal ibu dan ayah, kalau ada rezeki lebih, buatlah detailed scan masa si ibu mengandung. Lebih penting daripada buat 3D4D scan hanya untuk lihat wajah baby ikut hidung mak ke, ikut bibir ayah ke.
Detailed scan ni untuk tengok anggota-anggota badan baby secara terperinci seperti otak, jantung, buah pinggang, perut, bilangan jari tangan jari kaki, tulang belakang, kedudukan antara mata dan lain-lain.
Kepala baby yang doktor check termasuklah cecair dalam otak, saiz kepala. Tengok juga baby ada sumbing ke tak. Ada ciri-ciri down syndrome ke tak. Jantung tu tengok dinding jantung, salur darah di jantung, ada kebocoran atau tidak. Buah pinggang pula tersumbat ke tidak. Macam-macam lagi.
Boleh dibuat antara 18-28 minggu
Detailed scan ni boleh buat bila usia kandungan antara 18-28 minggu tapi lebih baik antara 18-22 minggu sebab makin besar baby makin susah nak check, susah nak detect, susah nak tengok apa yang tak normal dan sebagainya.
2 orang anak sebelum ni, memang kami tak pernah buat. Kandungan kali ni memang tergerak hati nak buat. Masa tu dah 25 minggu. Dugaan buat kami. Doktor dapat kesan ada kebocoran di jantung baby. Terus kena rujuk pakar di hospital.
Apabila scan, Baby ada masalah VSD
Mengikut doktor pakar, baby kami baby VSD iaitu mempunyai masalah “ventricular septal defects” atau kecacatan septum ventrikel. Secara spesifiknya PMVSD (Perimembranous Ventricular Septal Defects).
Tapi inshaAllah ada harapan untuk “spontaneous closure” maksudnya lubang tertutup dengan sendiri. Sama ada sebelum baby keluar, atau selepas baby keluar.
Seharian juga menangis sampai demam bila dapat tahu. Tapi alhamdulillah ada hikmahnya juga. Sekurang-kurangnya dapat tahu awal, dapatlah nasihat sedikit sebanyak dari pakar sebelum bersalin. Juga boleh bersedia dari segi mental. Boleh merancang kelahiran baby ni, juga penjagaan selepas baby keluar nanti.
Sepanjang kehamilan kali ni, memang banyak dugaannya. Terlalu penat fizikal & mental sampai kadang rasa tak nak cakap dengan sesiapa. Nak duduk rumah diam-diam macam duduk dalam gua. Malas nak layan ragam manusia. Sekarang ni masih cuba positif setiap hari, walaupun risau & gundah gulana tu tetap ada.
Detailed anatomy scan sangat penting!
Alhamdulillah ‘ala kulli hal. Dalam ujian Allah pasti ada hikmah & kebaikannya. Doakan baby keluar nanti sihat walafiat, dipermudahkan kelahirannya dan tiada komplikasi; mamma dan juga baby. Aamiin ya Mujib.
Cuma saya harap semua dapat mesej yang saya nak sampaikan. Detailed anatomy scan ni penting. Buatlah.
As usual, Ell.
Extra note: Ada yang tanya kos berapa. Saya ambil pakej detailed scan + 3D4D RM150. Kalau detailed scan saja RM110. Kos bergantung kepada klinik/hospital swasta tersebut.
Memang ajal dan maut telah ditentukan. Tapi setiap kehilangan pasti dirasakan, apatah lagi bagi ibu yang kehilangan si kecil pernah menghuni rahimnya.
Catatan ibu ini benar-benar menyebakkan. Kuatnya berdepan dengan pemergian si kecil selepas 18 minggu dalam kandungan. Bertarung dengan asma yang teruk dan si kecil dalam kandungan, tapi siapakah kita untuk menidakkan ketentuan takdir Allah. Beliau sangat positif dan tenang dan reda. Inilah catatannya;
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang… Kenangan 21 & 22 Januari 2018 Zon Merah & Wad Rawatan Rapi (ICU) Hospital ****** Umpama mati hidup kembali!
Hasbi Allah… syukur ke hadrat-Mu kerana Engkau telah memberikanku syifa, serta memberi aku peluang kedua dengan tiupan roh yang telah Engkau kembalikan semula ke dalam jasadku yang kian terlantar rebah. Doa tanpa bicara, asbab untuk aku terus beribadah kepada-Nya.
Andai ada yang bertanya, pernahkah kau merasai mati? Ya, aku pernah merasainya. Tatkala nafas tiba-tiba tersekat di kerongkong dan kau seolah-olah sedang menunggu Malaikat Maut yang datang menjemput untuk merentap nyawa yang berdegup kencang di tangkai hati.
Allah, sakitnya sakratulmaut itu! Takdir Allah telah menentukan segalanya, tanpa kau pinta. Sekelip mata juga ianya berlaku, tanpa kau duga. Naifnya kehidupan kau, jika tiada bantuan disisi Allah. Alllahuakbar… “Adakah ini saatnya perngakhiranku dalam khusnul khotimah?”
Ahad –7 petang 21 Januari 2018 “Ayah, jom kita pergi hospital,” ujar aku dalam nada suara yang tersekat-sekat. “Ibu okey atau tidak ni?” balas suamiku dengan sedikit cemas. Hanya gelengan sahaja yang aku mampu, tanda balasan kepada persoalannya tadi. “Kakak, abang Afiq dan Afia, duduk kat rumah dahulu tau. Ayah bawa adik Afiz aje, nak hantar ibu ke hospital. Jangan keluar pergi mana-mana! Kalau ada orang datang, jangan buka pintu! Apa-apa telefon ayah dulu!” bertalu-talu arahan Encik Suami kepada anak-anak yang semuanya masih di bawah usia 12 tahun.
Lantas sahaja kunci kereta di ambil dan Encik Suami terus memecut laju membawa aku pergi ke Hospital ****** bagi mendapatkan rawatan Asma. Seingat aku, sudah hampir sebulan aku menanggung keperitan batuk berkahak dan sudah 4 kali jugalah aku pergi ke Klinik ******, waimah klinik****** bagi mendapatkan rawatan awal.
Ubat terlalu kuat & ada steroid, tak elok untuk bayi dalam kandungan
“Maaf Puan, saya hanya boleh beri rawatan Nebulizer sahaja. Saya tidak boleh beri “Predisolone” kerana ubat itu agak kuat dan ada kandungan steroid. Tak elok untuk bayi di dalam kandungan Puan, kerana ianya boleh menyebabkan keguguran,” jelas Doktor tiap kali aku pergi dapatkan rawatan.
Akur. Hanya nebulizer yang diberi bagi meredakan saluran pernafasan yang sempit, kerana Doktor tidak mahu menanggung risiko dengan memberi aku pelbagai ubat, atas alasan aku sedang mengandung! Ditambah pula dengan cuaca yang sejuk dan tekanan kerja mungkin, mengakibatkan keadaan aku bertambah teruk.
Petang Ahad itu memang aku sudah terlalu lelah, kerana aku benar-benar butuhkan kandungan oksigen. Masakan tidak, baru beberapa langkah sahaja aku sudah mulai penat. Lebih 10 sedutan ventolin telah masuk ke dalam ruang rongga paru-paruku. Namun, keadaan aku masih sama… penat!
“Ibu okey tak? Sabar ya, kejap lagi kita sampai hospital”
Ah, soalan hampir sama berulang kali ditanya oleh Encik Suami. Pedal minyak ditekan kuat agar destinasi yang dituju segera sampai. Aku hanya mendiamkan diri disebelahnya, cuba mengawal pernafasan yang sedikit tercungap. Allahu Allah…
“Jom ibu, kita dah sampai,” ujar En Suami dengan nada sedikit lega. Sementara kereta hanya dipakir sahaja di hadapan Bahagian Kecemasan Hospital ******, aku sudah dikejarkan ke “Asthma Bay” oleh Pembantu Perubatan dan diberi nebulizer.
“Puan memang ada Asma ke?’ tanya jururawat yang bertugas. Aku hanya mengangguk malas. “Kalau begitu, Puan sedut gas ini dahulu, kejap lagi Doktor yang bertugas akan datang periksa Puan ya,” lembut tutur katanya lagi walaupun aku melayannya acuh tak acuh.
Ambil nebulizer masih susah bernafas
Namun, seusai mengambil nebulizer, aku masih rasa sukar lagi untuk bernafas seperti biasa dan kuajukan perasaan ini kepada en Suami. Dengan perasaan risau, dia memaklumkan keadaan aku kepada Pembantu Doktor yang bertugas. “Puan rasa macam mana ya?” Tanya Pembantu Doktor. “Masih susah nak bernafas. Macam ada bunyi lagi”, jawabku perlahan.
Doktor dipanggil untuk memeriksa semula bahagian belakang badanku dengan menggunakan stetoskop. “Puan, keadaan Puan sekarang ini agak “severe” dan kami akan menghantar Puan ke Zon Merah untuk rawatan rapi,’ kata Doktor itu lagi.
Allahu Allah… agak cemas bunyinya!
Terus sahaja aku ditolak dengan menggunakan kerusi roda menuju ke Zon Merah. Sesampai aku di sana, doktor yang bertugas menyuruh aku mengira nombor 1 hingga 10.
Namun, pertuturan aku tersekat di nombor 4, dan aku sudah mulai tercungap. Aku kemudiannya diminta baring di atas katil yang disediakan, sementara tangan kiriku dicucuk dengan branula. Terasa sejuk apabila “Hydrocort” dimasukkan ke dalam tubuh ini yang bertujuan untuk membuka ruang saluran pernafasan. Nebulizer kali kedua juga diberi. Alhamdulillah, aku sudah mula rasa tenang.
Melihat keadaanku yang agak stabil, suami meminta izin untuk keluar sekejap kerana ingin melayan anak yang kecil untuk membeli makanan. Aku sekadar mengiyakan sahaja permintaannya itu. Namun, tidak sampai 5 minit suami keluar dari Zon Merah, tiba-tiba aku mengalami kesukaran untuk bernafas yang teramat sangat. Allahuakbar!!!
Tiada tangisan yang berlagu. Tiada tutur bicara yang hendak diungkap
Lidahku kaku untuk menuturkan walau hanya sepatah kata. Hanya lambaian tangan memanggil Doktor yang sedang bertugas, mengharap mereka segera meluru ke arah ku. Ya Allah, terasa diri ini terlalu dekat dengan-Mu.
“Mazlinda…Mazlinda…sedut gas ini perlahan-lahan. Tarik nafas, hembus. Tarik nafas, hembus”, kata Doktor yang sudah pun duduk di birai katil. “Allah, sesungguhnya aku sudah tidak merasai langsung nafas untuk dihela. Bantulah aku Ya Allah,” membungkam kata-kataku di dalam hati.
“Mazlinda, kami tengok keadaan Mazlinda agak kritikal. Kami terpaksa mengambil keputusan untuk memasukkan tiub di dalam badan ya,” serius sahaja pertuturan Doktor Pakar yang kebetulan baru sahaja turun mengawasi Zon Merah.
“Cepat buat pengumuman. Panggil suami Mazlinda sekarang juga!” jeritnya dengan kuat. Pasrah dan menyerah. Aku tidak mampu lagi hendak bernafas. Hanya mengharap keajaiban daripada-Nya. Sungguh, lidahku sudah kelu untuk meneruskan bicara. Di ingatanku, terbayang jelas wajah suami, anak-anak, mak abah dan adik-beradik yang disayangi.
Nafas terlalu genting untuk dikecap
“Mazlinda, mengucap sekarang. Kami nak bius awak”, kata Doktor Pakar kepadaku di saat nafasku terlalu genting untuk dikecapi.
Ya Allah, sungguh diri ini berasa terlalu dekat dengan-Mu. Hanya dengan beberapa kali lafaz syahadah, aku terus berasa seperti di awang-awangan. Hidup atau matikah? Aku sendiri tidak pasti.
Suami yang baru sahaja melangkah ke ruangan menunggu di luar, terus bergegas masuk ke Zon Merah setelah namanya dipanggil berulang kali.
Allahuakbar! Seakan hilang arah tujunya membayangkan kehilangan kasih sayang seorang isteri. Hanya tangisan yang mengiringinya sewaktu melihat keadaan aku yang sedang bertarung nyawa, melihat doktor bertungkus lumus menyelamatkan aku. Anak kecil yang berada disisi suami pula, diam terkedu tanpa kata. Hanya menepuk lembut badan si ayah, seolah-olah memahami apa yang sedang berlaku.
Perpisahan, mungkin berlaku!
Bertambah kencang degupan jantung si suami tatkala melihat aku berombak dada menahan kesakitan, diampuh pula perasaan resah bilamana dia melihat aku berada di tempat arwah bapanya menghembuskan nafas terakhir. Pastinya kenangan 7 tahun yang lalu sedikit terusik dan menggetarkan jiwanya. Allahu Allah…
Bayi di dalam kandungan? Doktor awal-awal sudah memaklumkan yang mereka akan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawa ibu dahulu, tanpa memeriksa keadaan bayi. Sekali lagi suami pasrah. Segalanya diserahkan bulat-bulat kepada-Nya !
Ya Allah, apakah perpisahan ini benar-benar terjadi? Bangunlah sayang….!!!!!!!
La hawla wala quwata illah billah…. Tiba-tiba hatiku tersentak. Ketika Doktor memasukkan tiub di dalam badanku, aku seakan tersedar! Mungkin bius tidak berapa kuat dan aku mendengar pertuturan sesama Doktor, walaupun ianya tidak berapa jelas.
Namun, aku tidak berdaya langsung hendak membuka mata atau menggerakkan tubuh badan. Ada ketika, aku seperti tidak bernafas! Aku dapat rasakan rohku sedang merawang mencari Nur untuk bersatu semula dengan jasadku.
Suami bertambah tidak keruan, bilamana dia melihat satu garisan panjang yang terpapar di mesin bersebelahan denganku. “Ibuuuuuu…..,” jerit Encik Suami meraung. Ya Allah, apakah perpisahan ini benar-benar terjadi? Namun, kuasa Allah tiada siapa yang mampu menghalangnya. Syukur ke hadrat-Mubilamana getaran bacaan nadi itu kembali turun naik. Tawakkalna-Alai-Allah… Bangunlah sayang….!!!!!!!
Isnin – 12 tgh malam 22 Januari 2018 Sanah helwah buat aku! Syukur alhamdulillah. Allah telah memanjangkan usiaku yang ke 37 tahun.
Menjengah ke tengah malam setelah diriku di “intubated”, aku ditolak oleh Jururawat ke wad di Unit Rawatan Rapi apabila Doktor melihat keadaan aku agak stabil di Zon Merah.
Sementara itu, kedua pergelangan tanganku diikat kerana Doktor risau aku akan hilang kawalan dan mencabut tiub dimulut. Dengan bantuan “ventilation”, aku berupaya untuk bernafas dan terus bernafas. Syukur padamu Ya Allah!
Suami ada memberitahu, Doktor telah menambah bius lagi semasa aku berasa di Unit Rawatan Rapi yang membuatkan terus aku terlena sehingga jam 2 petang keesokan harinya.
Allah! Allah! Jam 2 petang keesokan harinya, aku mulai tersedar dari lenaku. Sesekali mesin di sebelahku berbunyi tanda isyarat. Tekak pula sudah merasa haus. Tepat jam 4 petang, Doktor datang memeriksa aku dan membuat keputusan untuk mencabut tiub di mulut, kerana ingin aku bernafas tanpa bergantung sepenuhnya kepada “ventilator”. Semasa proses mencabut tiub, aku dalam keadaan sedar dan tidak bius sedikit pun. Allahuakbar…sakitnya hanya Dia yang mengerti.
Sabar dalam tangisan!
Oksigen terus diberikan kepadaku dengan memasang tiub kecil di hidung pula dan mereka memantau kandungan oksigen yang telah mereka telah periksa dgn ujian darah. Setiap beberapa jam, pasti darahku diambil di atas buku lali kanan. Kaki lenguh yg teramat… sabar dalam tangisan!
Jam 10 malam, Jururawat meminta suamiku membeli makanan yang lembut untuk aku makan. Sementara Encik Suami turun ke bawah, 2 orang Jururawat datang ke arahku dan menyatakn hasrat untuk mencuci seluruh badanku dan aku mengiyakan sahaja. Entah bagaimana, ketika mereka menjirus badanku dan mula menyabun ke seluruh tubuhku, tiba-tiba bibir aku terketar-ketar menahan kesejukan.
Astagfirullah hal a’zim… nafas terasa penat sangat dan asma mula menyerang kembali. Ya Allah! Kelam kabut Jururawat tadi membalut seluruh tubuhku dengan selimut dan bantuan pernafasan diberikan. Allahu Allah. Sedikit cemas dan aku masih lagi trauma. Tentunya Encik Suami juga kembali risau.
Rabu – 12 tengahari 24 Januari 2018 Syukur alhamdulillah. Setelah 3 hari di Unit Rawatan Rapi, aku dipindahkan pula ke wad biasa. Kesihatan aku bertambah stabil.
Khamis – 11.30 pagi 25 Januari 2018 Pagi ini, Doktor daripada bahagian Obstetrik dan Ginekologi datang ke wad dan membawa aku ke klinik pakar O&G yang terletak di aras bawah dengan menggunakan kerusi roda. Sepanjang turun ke bawah, hati berdebar-debar dengan risau akan keadaan bayi dalam kandunganku ini, yang baru sahaja berusia 12 minggu. Bermacam-macam yang aku fikirkan.
“Insya-Allah, doa banyak-banyak ya ibu andai ada lagi rezeki buat kita. Semoga Allah memberi segala kebaikan untuk ibu dan anak di dalam kandungan ini,” kata En Suami dengan penuh harapan.
Walaupun Encik Suami cuba merawat hati yang gundah gulana, namun aku masih resah. Menanti giliran untuk di “scan”, membuat hati aku bertambah tidak keruan. Sambil aku mengusap lembut perutku, aku berdoa agar bayi di dalam kandunganku ini juga mengerti.
“Puan baring di atas katil ini dahulu ya. Sekejap lagi Doktor Pakar akan datang memeriksa Puan,” kata Jururawat itu kepadaku. Ya Allah. Ya Rahman. Ya Rahim.
Menitis air mata ini, bila aku nampak degupan jantung bayi di paparan itu. Mimpikah aku? Tidak. Aku tidak bermimpi. Bayi di dalam kandungan masih berada di dalam keadaan sempurna dan baik-baik sahaja. Syukur ke hadrat-Mu Ya Allah… masih ada lagi rezeki untuk kami. Nikmat apa lagi yang ingin kau dustai?
Selasa – 10.00 pagi 30 Januari 2018
Hari ini genap hari ke 10 aku di wad. Pakar Perubatan Pernafasan memeriksa aku buat kali terakhirnya sebelum membenarkan aku pulang. Beliau memantau keadaan aku dari sehari ke sehari, bagi mengelakkan sebarang komplikasi.
Kesan luka dan bengkak akibat dimasukkan tiub tempoh hari, boleh menyebabkan saluran pernafasan tertutup kembali. Tambahan pula, aku sedang mengandung dan kandungan oksigen mestilah mencukupi untuk bayi juga.
Semoga bayiku diberikan kesihatan baik…
“Ya Allah, Kau berikanlah kesihatan yang baik buat aku. Semoga bayi di dalam kandungan ini juga diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan sehingga aku melahirkannya,”doaku di dalam hati.
Terima kasih yang telah mendoakan kesejahteraan aku. Sesungguhnya doa kalian telah dimakbulkan oleh-Nya. Asbab di sebalik apa yang terjadi ini, pasti Allah kurniakan hikmahnya. BarakAllahu feekum…
Khamis – 10.15pagi 15 Mac 2018
Seawal jam 8.40 pagi, kami sudah sampai di perkarangan Klinik Obstetrik dan Ginekologi, **** untuk berjumpa dengan Doktor bagi pemeriksaan bayi di dalam kandunganku. Walaupun sudah ramai ibu-ibu mengandung yang menunggu giliran, kami tetap sabar menanti kerana hari ini ada ujian imbasan sekali.
“Sekejap ya ayah, ibu nak pergi beli “hot chocolate” dan roti. Lapar pula,”ujarku kepada Encik Suami. Setelah sekian lama menunggu, nombor pun dipanggil. Lantas sahaja kami bangun dan menuju ke bilik “scan” sebelum berjumpa dengan Doktor. Aku diminta baring di atas katil yang disediakan. Tak sabar nak melihat pergerakan bayi di dalam kandunganku ini. Namun, semasa di dalam proses mengimbas, Doktor berulang kali menekan perutku sambil matanya tepat ke paparan.
Kenapa dengan bayi saya?
Hatiku sudah berdegup kencang, bilamana Doktor mengukur kebesaran bayi dan jelas terpapar ukurannya baru mencecah 14 minggu lebih sahaja. Sedangkan ketika itu, bayi aku sudah berusia 18 minggu.
“Kenapa Doktor? Bayi saya kecil ke?,” tanyaku cemas. “Tidak. Saya masih tidak dapat mengesan jantung bayi,” jawab Doktor itu kepadaku. Kami pun saling diam membisu dan berpandangan sesama sendiri. Encik Suami sudah menggengam erat tanganku, seolah-seolah memberi isyarat meminta aku sabar, sementara kami menanti kehadiran 3 orang Doktor lain datang memeriksa aku.
“Assalamualaikum Puan Mazlinda. Saya Doktor *****, Pakar bahagian Obstetrik dan Ginekologi. Izinkan saya memeriksa kandungan Puan ya,” ujar salah seorang Doktor dengan lembut.
Degupan jantung & pergerakan bayi tiada lagi…
Aku hanya membalas sahaja dengan sebuah anggukan dan memerhati sahaja beliau memeriksa kandungan ini. “Macam ni Puan, sepatutnya kandungan Puan sudah berusia 18 minggu. Akan tetapi, saya melihat ukuran bayi Puan masih lagi 14 minggu lebih dan saya tidak dapat mengesan jantung, juga pergerakan bayi. Maafkan saya Puan, bayi Puan sudah tiada,” Innalillah hi waiinaila hirojiun….
Airmata mengalir deras bagaikan empangan sudah pecah! Encik Suami memujuk hatiku dengan menyuruh aku istigfar dan sabar dengan dugaan yang diberi. Ternyata Allah lebih menyayanginya. Allah! Allah! Sekali lagi dugaan untuk kami sekeluarga. Pasti ada hikmah yang ingin disampaikan.
Bagaimana untukku lahirkan bayi yang sudah tidak bernyawa ini?
Dalam menahan esak tangis, aku dimasukkan ke wad bersalin di tingkat 1. Perasaan semakin libang libur apabila kiri, kanan dan hadapan katil dipenuhi ibu-ibu yang sudah melahirkan bayi mereka. Mendengar sahaja suara tangisan si kecil, buat diriku lemah. Bagaimana ingin aku lahirkan bayi yang sudah meninggal dunia, jika aku sendiri tidak kuat?
“Sabar banyak-banyak ibu. Allah beri ujian sebab Dia sayangkan kita. Ibu kena redha ya,” kata Encik Suami memberi kata-kata semangat. “Dikala hati sedang gundah gelana. Maka ingatlah Allah kerana dengan mengingati Allah, hti kita akan menjadi tenteram” – Qa Arra’Du:28.
Ku bacakan Yaasin khas untukmu, malam terakhir dalam rahim ibu
Malam itu, aku membaca surah Yasin dan aku sedekahkan buat anak di dalam kandunganku. Allahurobbi, tenangnya ku rasa ketika itu. Aku buang jauh-jauh kesedihan yang mencengkam di lubuk sanubari. Aku mesti rehat secukupnya kerana esok aku akan melahirkan bayi ini secara normal.
“Tidurlah dengan tenang duhai anakku, buat sekelian kalinya di dalam rahim ibu,”
Jumaat – 8.00 pagi 16 Mac 2018
Pagi Jumaat yang barokah, Doktor sudah memasukkan ubat dan kira-kira jam 11 pagi, aku sudah mulai rasa kontraksi untuk bersalin. Ya, rasanya sama seperti hendak bersalin bayi yang cukup kandungannya. En Suami sudah bersedia dengan kelengkapan dan memaklumkan kepada ibunya, juga penggali kubur yang akan menguruskan jenazah bayi kami.
Menjelang Zohor, aku sudah rasa sakit yang teramat. Seusai diperiksa oleh Doktor, aku pun baring di atas katil wad. Tidak semena, aku rasa seperti ada sesuatu yang keluar dengan pantas. Hilang segala sakit kontraksi dan sakit pinggang yang ku tanggung tadi.
Wildan syurga ibu sempurna kejadiannya
“Ya Allah! Nurse….nurse….,” jeritku sambil tangan melambai memanggil Jururawat. Lantas sahaja mereka datang dan menutup tirai di sekeliling katil. Doktor juga dipanggil untuk proses kelahiran wildan syurga. Alhamdulillah, semuanya dipermudakan oleh-Nya. Mengalir lagi airmata ini tanda syukur melihat jasad wildan syurga yang sudah sempurna kejadiannya.
Muhammad Adam Bin Mohd Hairil nama diberi. Jenazahnya disempurnakan di bilik mayat diaras bawah hospital, sambil ditemani oleh Encik Suami. Sebelum jenazah di bawa pulang ke rumah, Encik Suami membawa wildan syurga yang diletakkan di dalam bakul naik semula ke wad untuk berjumpa denganku.
Ciumlah sepuasnya ibu, biar Adam pergi dengan tenang
“Ibu, adik Adam ibu….,” dihulur jenazah kecil yang sudah pun dikafankan kepadaku. “Ciumlah sepuasnya ibu, buat kali terakhir. Jangan ditangisi pemergiannya, biarkan adik Adam pergi dengan tenang. Tempatnya sudah ada di syurga Allah. Insya-Allah, moga kita ketemu juga nanti,” kata Encik Suami tenang. Allah Allah…
Kita sama-sama bertarung nyawa, manakan ibu tidak sedih
Ibu mana yang tidak sedih bila anaknya pergi buat selamanya. Walaupun kami belum bersua di alam fana, namun kami pernah bersama selama 4 bulan.
Sama-sama bertarung nyawa saat aku sesak nafas dan dimasukan tiub pernafasan satu ketika dahulu. Sama-sama menahan kesakitan, saat badan ku berselirat wayar di badan. Sama-sama merasai aliran pelbagai ubat-ubatan yang mengalir di dalam tubuh ini.
Kenangan dengan Adam ibu ikat ketat-ketat dalam ingatan
Aku percaya takdir Illahi. Aku tahu Allah Maha Mengetahui. Dia pastinya tahu apa yang terbaik untuk aku. Dan dengan perlahan-lahan, aku letakkan semula jenazah adik Adam di dalam bakul untuk En Suami bawa pulang, seterusnya disemadikan di tanah perkuburan.
Akan aku simpan ketat-ketat kenangan ini di dalam memoir hingga ke akhir hayatku. Akan aku ceritakan kisah adik Adam kepada anak-anak yang lain, agar mereka mengambil tauladan agar sentiasa berkasih sayang sesama adik-beradik. Akan aku ingatkan mereka, agar sedekahkan Al-Fatihah buat adik Adam selepas tiap kali solat.
Adam, damailah di singgahsana
Doa buatmu adik Adam. Kami akan sentiasa menyayangimu sepertimana anak-anak yang lain. Damailah kau di singgahsana. Betapa beruntungnya kami punyai wildan syurga yang boleh menarik kami ke syurga Allah.
Al-Fatihah.
“Setiap kali kita rasa kecewa, cuba tanya hati kita pada manusia atau pada Allah. Jika fokus manusia dan dunia, kau akan tertekan. Tapi jika kau fokus pada Allah dan akhirat, nescaya kita akan tenang dan redha”
Luka Caesarean memerlukan penjagaan rapi selepas bersalin. Ketahui 7 tip penting termasuk berjalan awal, pemakanan seimbang, penyusuan susu ibu dan penjagaan luka untuk mempercepatkan proses pemulihan.