Bukan mudah bagi seorang lelaki bergelar suami memikul tanggungjawab membesarkan anak-anak yang masih kecil dan dalam masa sama kena menguruskan rumah tangga.

Mungkin di awal-awal rasa susah sebab semua urusan isteri yang banyak lakukan. Namun apabila kehilangan isteri dalam keadaan mengejut tanpa suami rasa bersedia untuk kehilangannya, kekuatan itu datang dengan sendirinya.

Perkongsian dari seorang bapa, Khairul Abdullah mengenai perjalanannya membesarkan 3 anak lelaki yang masih kecil selepas pemergian isteri tahun lalu cukup membuktikan hebatnya kasih seorang ayah.

“Saya Mommy, Sayalah Daddy.” Jaga Amanah Isteri Bukan Mudah. Walaupun Penat, Puas Hati!

Seorang lelaki hendak menjaga 3 anak kecil yang mana paling kecil ketika itu berusia 7 bulan, masih bayi lagi adalah di luar jangkaan. Orang tak percaya kot. Aku rasa aku boleh dan walau susah aku gagahkan juga.

Melayan kerenah 3 anak kecil yang sedang lasak bukannya mudah. Tahap kesabaran kena tinggi melampau, tahap stress tu kadang-kadang sampai dah tak boleh bawak bincang.

Beberapa bulan pertama adalah bulan air mata untuk aku. Penat mengurus rumahtangga, sedih mengenang isteri yang dah tiada, sedih mengenang anak-anak yang tiada ibunya. Redup mengenang masa depan kami semua.

IKLAN

Namun kini semuanya jauh lebih mudah.

Penat lelahnya tetap sama namun kerjanya lebih mudah kerana semuanya telah menjadi rutin. Setakat nak gosok baju berpuluh helai tu sekali harung sahaja no hal. Setakat nak cuci bilik air, vakum, mengemop semuanya pun kacang sahaja. Masak-memasak pun boleh pejam mata sahaja. Kalau malas, bungkus sahaja.

Anak-anak pun sudah ok semuanya. Sudah redha yang ibu mereka sudah pergi selamanya. Aku puas sebenarnya.

“Saya Mommy, Sayalah Daddy.” Jaga Amanah Isteri Bukan Mudah. Walaupun Penat, Puas Hati!

Puas kerana dapat membesarkan sendiri ketiga-tiga anak aku ini. Aku rasa susah payahnya. Aku hadap penat lelahnya. Aku bahagia dengan gelak tawa mereka walaupun kadangkala aku rasa macam nak rotan sahaja kesemuanya.

IKLAN

Betapa kini aku menghargai dan mengagumi insan yang boleh membesarkan anak tanpa ada wanita. Susah oihhhh. Bagi yang ada isteri tu, tolonglah hargai mereka.

Paling kagum aku dengan wanita terutamanya kaum ibu. Depa ni sangat champion sebenarnya. Depa boleh buat segalanya dan tangan depa ada lapan gamaknya.

“Saya Mommy, Sayalah Daddy.” Jaga Amanah Isteri Bukan Mudah. Walaupun Penat, Puas Hati!

Aku juga sedar, menjadi bapa bukanlah sekadar memberi sperma dan nafkah seadanya. Menjadi bapa harus berkorban bersama-sama. Berganding bahu melakukan segalanya. Jika kita penat bekerja, isteri lebih 100 kali ganda penatnya, apatah lagi yang bekerja dan balik menguruskan pula rumahtangga.

IKLAN

Bagi yang baru bergelar bapa, belajarlah untuk membantu isteri selayaknya. Bangun malam tukar lampin anak. Belajar mandi dan siapkan anak. Sama-sama atau bergilir masuk dapur siapkan makanan. Sama-sama atau bergilir mengemas rumah atau paling penting menyental bilik air.

Pakat-pakatlah membantu kerana urusan rumahtangga adalah kerja yang sangat-sangat memenatkan. Pedulikan kata-kata orang kononnya kalau kita masuk dapur, urus anak, vakum lantai kita kena queen control. Pedulikan.

Bila kita boleh buat semuanya sama seperti apa yang isteri kita buat maka jadilah kita seorang suami dan bapa yang dikagumi anak-anak dan juga isteri.

“Saya Mommy, Sayalah Daddy.” Jaga Amanah Isteri Bukan Mudah. Walaupun Penat, Puas Hati!Paling penting, kita adalah role model kepada anak-anak. Kalau kita jadi raja dan buli isteri, anak-anak nanti akan turut buli mak dia, dan dah besar dia buli isteri dia, dia buli semua wanita sekeliling dia. Hentikan kitaran yang tidak bagus ini.

Semoga semua ayah, papa, abah, apak, baba, walid, daddy atau apa sahaja panggilannya sentiasa diberikan kesihatan yang baik agar dapat menjadi seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab dan hero di mata anak-anak dan juga isteri.

Selamat Hari Bapa buat semua.

KHAIRUL ABDULLAH
#DiariSuperDaddy

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI