Mahu menambah anak kedua. Itu yang dikongsikan oleh pelakon dan penyanyi Ayda Jebat dan suaminya, Nabil Mahir. Akuinya, dia dan suami sememangnya sudah punya perancangan awal untuk menambah zuriat kedua mereka dalam tahun ini.
Tambah Ayda lagi, biarpun dia dinasihati oleh doktor untuk menunggu tempoh dua tahun sebelum kembali punya anak lagi, namun sebolehnya dia tidak mahu terlalu banyak jarak usia anak-anak.
“Sejujurnya, kalau nak ikutkan saya nak cuba untuk hamil. Memang la doktor kata tunggu dua tahun tapi rasanya dah tak boleh nak tunggu.
“Sebab kita rasa macam momentum dari segi tenaga dan barang-barang baby pun masih ada untuk digunakan.
“Kalau nak tunggu tiga atau empat tahun itu tak tahu nak kena beli lagi ke,” kongsinya lagi.
Ads
Bahkan kata Ayda lagi, dia sebolehnya tidak mahu jarak usia yang terlalu jauh kesemua anak-anaknya kelak. Tambah pula peningkatan usia yang semakin bertambah.
“Lagipun, saya tak nak gap itu terlalu jauh dan bila kita makin tua, anak masih kecil lagi. Takut juga kalau banyak sangat gap, saya ada kerja lain juga.
“Jadi, saya dan Nabil ambil keputusan untuk merancang kalau boleh dalam tahun ini juga,” katanya berkongsi.
Ads
Anak sulung pasangan ini, Ana Nayla kini sudah pun berusia setahun lebih dan sentiasa menjadi penghibur kedua-duanya.
Walau dihimpit jadual dan tugas yang padat saban waktu, Ayda sebolehnya cuba meluagkan masa buat anaknya yang kini sedang membesar.
Terdahulu, Ayda mendirikan tangga dengan Nabil Mahir pada 1 Januari 2021. Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata, Ana Nayla yang kini berusia setahun lebih.
Mama kena dapatkan suntikan ini sebelum bersalin, terutamanya yang mungkin bersalin awal dari tarikh jangkaan. Penting sangat!
Menurut pegawai perubatan Obstetrik & Ginekologi, Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, suntikan amat penting untuk ibu yang berkemungkinan melahirkan bayi pramatang. berikut ialah perkongsian beliau di laman Medical Mythbusters Malaysia;
Corticosteroid adalah sejenis ubat yang diberikan kepada ibu, jika seseorang ibu itu dijangka akan melahirkan bayi pramatang/ tak cukup bulan. Ubat ini diberikan secara suntikan pada otot, sama ada pada peha, lengan atau pada punggung. Ianya diberikan melalui 2 dos atau ada yang memberikan sebanyak 4 dos dalam tempoh 24 – 48 jam
Mengapa corticosteroid membantu mengurangkan risiko berkaitan dengan bayi pramatang?
Ubat ini sudah digunakan bertahun-tahun lamanya, diberikan kepada ibu yang dijangkakan akan melahirkan bayi pramatang, meningkatkan peluang bayi pramatang hidup selepas dilahirkan. Selain itu, ianya mengurangkan risiko bayi pramatang mendapat komplikasi serius seperti masalah pernafasan (disebabkan peparu bayi masih tidak matang), pendarahan di dalam otak, jangkitan kuman yang serius ataupun masalah pada salur pencernaan.
Adakah corticosteroid berbahaya kepada saya dan bayi?
Suntikan sebanyak 2 atau 4 kali dianggap selamat untuk ibu dan bayi. Lebih banyak kajian diperlukan untuk mengatakan suntikan lebih daripada itu adalah selamat.
Bilakah sepatutnya saya mendapat suntikan corticosteroid ?
Suntikan diberikan pada minggu kehamilan ke 24 dan 34 minggu 6 hari. Jika anda akan menjalani pembedahan elektif, suntikan corticosteroid amatlah digalakkan jika pembedahan itu akan berlangsung pada 35 hinggga 38 minggu 6 hari kehamilan.
Suntikan corticosteroid boleh diberikan sebelum 24 minggu kehamilan, tetapi bukti corticosteroid dapat membantu bayi seawal ini masih lagi tidak jelas, pakar perunding akan berbincang dengan anda terlebih dahulu.
Berapa lama suntikan corticosteroid ini menjadi efektif?
Suntikan corticosteroid ini membantu jika dos terakhir diberikan antara tempoh 24 jam sehingga 1 minggu sebelum bayi dilahirkan. Ada juga kebaikan sekiranya bayi dilahirkan dalam tempoh 24 jam dari dos yang pertama.
Siapakah yang sepatutnya menerima suntikan corticosteroid?
Anda akan dinasihatkan untuk menerima suntikan ini jika anda berpotensi untuk melahirkan bayi pramatang, sebelum 35 minggu kehamilan. Ini termasuklah :
Kelahiran pramatang ni tak boleh disekat-sekat walaupun doktor guna pelbagai ubat untuk hentikan proses bersalin. Apa yang boleh dibuat, bantu mempersiapkan bayi pramatang yg bakal lahir untuk matangkan peparunya agar kurang komplikasi berkaitan dengan kelahiran pramatang
Manusia hanya merancang, Allah yang menentukan segala-galanya. Ini ikhtiar kita
Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak
Pegawai Perubatan
Obstetrik & Ginekologi
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
Bapa kepada tiga cahaya mata perempuan yang digelar The Pocket Rocketman, Datuk Mohamad Azizulhasni Awang berkata sebolehnya setiap hari dia mahu luangkan masa sepenuhnya dengan isteri dan anak-anak seperti tiada hari esok. Bukan itu saja. sebolehnya, tanpa anak-anak tahu yang abinya mungkin akan pergi pada bila-bila masa.
Demikian antara kata-kata yang diungkapkan jaguh berbasikal negara, Datuk Mohamad Azizulhasni Awang di Facebooknya, yang baru-baru ini menjalani pembedahan jantung di Australia.
Datuk Azizulhasni sebelum ini disahkan mengalami masalah yang dipanggil ‘anomalous aortic Origin of right coronary artery’ (AOORCA).
Azizul mengadu mengalami sakit dada pada Februari lalu dan dirujuk kepada pakar jantung di Melbourne, Dr Barveen Aisha untuk pemeriksaan lanjut.
Dia kemudian menjalani pembedahan di Hospital Epworth Richmond di Victoria, Australia pada 21 April.
“Saya nak luangkan masa sepenuhnya dengan anak-anak.
“Doktor kata kalau saya seorang manusia biasa yang tidak aktif pun risiko dia dah tinggi, apatah lagi apabila rutin harian saya sentiasa berlatih di tahap intensiti tinggi dan berlumba di peringkat dunia termasuklah Olimpik Tokyo baru-baru ini.
Tidak ada mustahil jika Allah mengkehendakinya” itu ujar jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang saat mengetahui dirinya disahkan menghidap penyakit jantung Anomalous Right Cor0nary Artery.
Menyifatkan keadaan kesihatan dirinya ibarat ‘bom jangka’, Azizulhasni berkongsi pengalaman beliau buat pertama kali kepada orang ramai berkenaan penyakit jantung yang dihidapinya itu melalui hantaran di Facebooknya baru-baru ini.
Cerita Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman ini, simptom penyakitnya itu sudah lama dirasakan namun ia semakin kuat dan jelas ketika beliau membuat persia-pan ke Sukan Olimpik.
“Ketika itu saya ingat semua tu adalah disebabkan oleh faktor umur yang semakin meningkat.
“Semuanya bermula apabila saya kembali berlatih selepas tamat Sukan Olimpik. Selepas pulang dari satu sesi latihan tu, saya rasa sakit dada yang teramat dan tidak pernah saya alami situasi seperti itu.
“Saya tahu kali ini bukan biasa-biasa kerana simptom dia adalah lain daripada yang lain.
“Isteri saya kerisauan dan memaksa untuk terus ke hospital kerana tanda-tanda itu sedikit seperti serangan jantung.
“Saya ni boleh pula memilih untuk pergi selepas dah selesai solat Isyak atas alasan nak selesaikan kewajiban dulu serta saya juga tahu mesti akan lama punya kena tahan nanti. Mengamuk member. Saya berada di wad kecemasan hampir 5 jam, mereka melakukan pelbagai ujian dan hasilnya tidak pun menunjukkan yang saya ada serangan jantung.
“Tidak ada peningkatan Troponin dalam darah tetapi doktor di wad kecemasan telah mengesan sesuatu yang agak berlainan sedikit pada graf keputusan ECG saya”
“Dari sinilah doktor keluarga saya (family GP) iaitu Dr Ati memainkan peranan penting pada peringkat awal untuk merungkai apakah permasalahan yang sebenarnya,” kongsinya.
Pertama kali mengetahui akan kondisi penyakitnya, doktor pakar jantung terkejut dan menyifatkan jaguh sukan itu seorang yang sangat-sangat bertuah.
“Keadaan saya ini ibarat bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa. Doktor juga bagi perumpaan yang melintas jalan raya, kemungkinannya untuk selamat adalah lebih tinggi dari situasi kondisi jantung saya ini.
“Yang mana faham, mereka fahamlah. Saya memang pasrah waktu tu. Saya boleh mati pada bila-bila masa, bayangkan kalau korang dapat berita macam tu. Doktor nasihatkan saya untuk berhenti berlatih dahulu buat seketika waktu sebelum membuat diagnosis kedua untuk ‘double check’.
“Akan tetapi saya sedikit degil, masih teruskan latihan seperti biasa sebab memikirkan Sukan Komanwel tinggal berapa bulan je lagi.
“Waktu tu juga hemat saya, kalau saya akan mati ‘anytime’ pun, saya nak buat apa yang saya nak buat dulu. Saya nak teruskan aktiviti kegemaran saya iaitu berkayuh dan setiap hari saya luangkan masa sepenuh-penuhnya dengan isteri dan anak-anak seperti tiada hari esok. Tanpa anak-anak tahu yang abi nya mungkin akan pergi pada bila-bila masa.
“Apa yang kita boleh belajar dari perkongsian saya hari ini? Terus melakukan ‘full screening’ jika anda mempunyai simptom atau masalah berkaitan jantung kerana ianya adalah ‘life threa-tening situation’.
“Kalau anda dinasihatkan untuk berehat maka berehatlah dan janganlah memilih untuk memperjudikan nyawa anda,” katanya.
Jangan abaikan keselamatan si manja ketika berada dalam kereta. Belajar tentang fungsi car seat serta ketahui kecederaan yang akan berlaku kerana impak kemalangan. Ketahui lebih lanjut tentang car seat di E-Workshop Sayangi Nyawa Anak Anak Dalam Kereta, Let’s Buckle Up!
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anemia atau kurang darah di kalangan ibu hamil tidak boleh dianggap remeh sebab kesannya cukup bahaya pada bayi. Bagi kebanyakan ibu mengandung, ibu akan rasa mudah letih, berasa tidak sihat, emosi mudah terganggu dan tubuh lemah.
Penyebab utama anemia di kalangan ibu mengandung adalah kekurangan zat besi.
Semasa mengandung, badan manusia akan menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin.
Sekiranya zat besi atau vitamin B12 dan folat tidak dibekalkan dengan cukup, penghasilan darah merah mungkin tidak cukup untuk keperluan. Bila jangkamasa kandungan semakin meningkat isipadu darah makin bertambah dan ini menyebabkan pencairan darah berlaku.
Walaupun sel darah merah makin bertambah, namun penghasilan plasma darah lagi bertambah dan menyebabkan keadaan yang kita panggil anemia relative atau fisiologi.
Di kalangan populasi yang cukup zat besi, seseorang itu dikatakan mengidapi anemia bila tahap hemoglobin kurang dari 11 g/dl semasa trimester pertama, 10.5 g/dl semasa trimester kedua dan 10 g/dl dalam trimester ketiga.
Penyebab-Penyebab Anemia Semasa Mengandung
Kekurangan Zat Besi
Terdapat 75-95% wanita yang mengandung mengidap anemia disebabkan oleh kekurangan zat besi. Wanita yang mengandung sentiasa mengalami kekurangan zat besi untuk menampung keperluan semasa mengandung.
Wanita yang mengandung disarankan agar meningkatkan pengambilan zat besi dalam diet harian mereka. Pemeriksaan darah perlu dijalankan secara rutin semasa lawatan pertama ke klinik ibu mengandung. Nilai MCV kurang dari 80 fL dan MCH kurang dari 27 pg menunjukkan kemungkinan anemia dengan saiz darah merah yang kecil dan pucat.
Tahap hemoglobin yang kurang dari 7g/dl mesti dirujuk untuk siasatan lanjut dan rawatan susulan. Siasatan lanjut seperti kajian tentang zat besi dan analisa haemoglobin perlu dijalankan untuk memastikan kekurangan zat besi atau Talasemia.
Gejala-gejala anemia adalah seperti letih, tidak bermaya, sakit kepala, pening, berdebar-debar dan sesak nafas.
Anemia boleh menyebabkan komplikasi seperti kelahiran pra matang, kematian bayi dalam kandungan dan kemurungan selepas kelahiran. Kesan pada bayi pula boleh menyebabkan tumbesaran yang terbantut, kerencatan perkembangan akal dan psikomotor.
Rawatan zat besi secara rutin adalah disarankan dalam program penjagaan ibu mengandung. Sekiranya, ibu-ibu mengandung tidak dapat mengambil zat besi dengan cara biasa, maka disarankan pengambilan suntikan zat besi yang akan dilakukan di klinik atau hospital. Pihak doktor akan berbincang dengan pesakit sebelum terapi dijalankan.
Ada lagi cara lain yang kita boleh lakukan untuk meningkat paras haemoglobin iaitu dengan pemindahan darah.
Anemia Kerana Kekurangan Folate dan Vitamin B12
Kekurangan vitamin B dan folat lebih jarang ditemui berbanding dengan kekurangan zat besi. Walau bagaimana pun, pemberian folat disarankan untuk semua ibu mengandung untuk mengurangkan risiko kecacatan saraf tunjang (neural tube defect) pada bayi.
Kekurangan vitamin-vitamin ini akan menyebabkan anemia ‘non-pernicious megaloblastic’ dengan MCV lebih dari 100 fL. Sekiranya anemia yang berlaku kerana kekurangan ketiga-tiga zat ini, zat besi, folat dan B12, MCV akan menunjukkan bacaan yang normal (normocytic anaemia). Sekiranya pesakit mempunyai paras folat yang rendah, beliau perlu mengambil dos yang lebih tinggi.
Pesakit yang mengalami kekurangan vitamin B12 memerlukan siasatan lanjut untuk memastikan paras ‘intrinsic factor’ (yang diperlukan untuk penyerapan vitamin B12). Keadaan di mana berlakunya kekurangan ‘intrinsic factor’ ini dipanggil ‘pernicious anaemia’. Tetapi setengah ujian contoh nya Schilling test hanya dapat dijalankan selepas kelahiran bayi kerana ianya melibatkan penggunaan bahan-bahan radioaktif.
Anemia kerana Infeksi
Anemia jenis ini sering berlaku di negara-negara bukan industri. Antara jangkitan infeksi yang boleh menyebabkan anemia adalah HIV, malaria, cacing, hepatitis, TB dan sebagainya. Sekiranya sejarah pesakit menunjukan terdapatnya pendedahan kepada jangkitan ini,maka perlu dijalankan siasatan yang berpatutan.
Talasemia
Talassemia adalah penyakit yang biasa kita jumpai. Penyakit ini terdapat diseluruh dunia, terutamanya di kawasan yang endemik kepada jangkitan malaria, di mana penyakit ini membolehkan pengidap talasemia dilindungi dari malaria. Kawasan tersebut termasuklah kawasan Mediterranean, Afrika Tengah dan sebahagian benua Asia.
Ianya adalah disebabkan oleh pembentukan tidak normal rantai peptid globin yang terdapat dalam haemoglobin. Orang dewasa yang sihat patut mempunyai lebih dari 95% haemoglobin A yang mempunyai 2 rantai ‘alpha’ dan 2 rantai beta peptid.
Terdapat dua jenis utama talasemia, iaitu talasemia ‘alpha’ dan talasemia ‘beta’. Kedua-dua jenis talasemia ini terbentuk kerana pengurangan pembentukan rantai-rantai tersebut di atas. Bila berlaku kekurangan Hb A yang normal ini, maka pembentukan sel darah merah yang tidak sempurna, pemecahan darah merah dan kekurangan darah merah akan berlaku.
Pembawa gen talasemia biasanya tidak mempunyai masalah dan hanya akan dapat dikesan apabila mereka melakukan ujian saringan FBC.
Pewarisan adalah secara resesif autosomal, iaitu anak lelaki dan perempuan mempunyai peluang yang sama untuk mewarisinya. Dan jika anak-anak mewarisi satu gen talasemia dari ayah dan satu lagi dari ibu, maka anak itu akan mendapat dua gen talasemia. Keadaan ini menyebabkan anak itu adalah pesakit talasemia, berbanding dengan ayah dan ibu yang hanya seorang pembawa.
Kedua-dua jenis talasemia ini boleh dibahagi kepada beberapa peringkat lagi berdasarkan kepada keterukan pesakit dan kekerapan transfusi darah; talasemia minor, talasemia intermedia and talassemia major. Yang paling teruk yang boleh dialami adalah ‘ hydrop foetalis’ di mana janin akan mati dalam rahim atau meninggal semasa dilahirkan.
Pesakit talasemia major akan memerlukan pemindahan darah pada umur setahun ke atas bila mana haemoglobin fetus ditukarkan ke haemoglobin dewasa yang tidak normal.
Manakala pesakit talasemia intermedia pula, mereka akan memerlukan pemindahan darah kemudian bila mana mereka semakin dewasa atau semasa jangkitan kuman, mengandung atau semasa pembedahan.
Keadaan seperti ini akan mempercepatkan kadar pemecahan darah merah (haemolysis) dan menyebabkan anemia menjadi bertambah teruk. Pada masa yang sama, kelenjar limpa makin membesar kerana terpaksa bekerja keras untuk memusnahkan sel-sel darah yang kurang sempurna ini. Keperluan pemindahan darah meningkat disebabkan kelenjar limpa semakin membesar dan semakin banyak sel-sel darah berkumpul dalam kelenjar limpa.
Bagi mereka yang mengidap talasemia minor, biasanya mereka tidak mempunyai masalah kesihatan yang serius dan boleh hidup secara normal. Tapi keadaan mereka boleh menjadi teruk sekiranya mereka mengalami kekurangan zat besi atau gabungan bersama kekurangan folat dan Vitamin B12 yang diperlukan untuk pembentukan sel-sel darah semasa mengandung, jangkitan kuman atau sebarang keadaan yang mungkin mempercepatkat kadar pemecahan sel darah merah.
Walaupun pemindahan darah boleh memperpanjangkan jangka hayat, bila mana digabungkan dengan perawatan mengeluarkan zat besi, ramai wanita boleh mengalami kemandulan pada masa-masa yang lampau. Namun akhir-akhir ini, makin ramai wanita pengidap talasemia boleh mengandung tanpa masalah sekiranya transfusi darah dapat dijalankan dengan teratur.
Jenis-jenis anemia yang lain
Anemia ‘Diamond-Blackfan’ dan penyakit ‘sickle cells’ jarang dijumpai di kalangan wanita Malaysia. Walau bgaimana pun, dengan bertambahnya rakyat-rakyat dari Africa yang bermastautin di Malaysia, maka tidak mustahil akan berlaku peningkatan anemia ‘sickle cells’ ini.
Bagaimanakah anemia semasa kehamilan dirawat?
Rawatan anemia semasa kehamilan bertujuan untuk memulihkan dan mengekalkan tahap hemoglobin dan zat besi yang mencukupi dalam badan.
*Suplemen zat besi.
*Vitamin B12 atau suplemen asid folik.
*Lebihkan pengambilan makanan kaya zat besi seperti daging merah tanpa lemak, ayam, ikan, sayur-sayuran berdaun hijau, kekacang, dan lentil. Menggabungkan makanan kaya zat besi dengan sumber vitamin C seperti buah sitrus, strawberi dan tomato boleh meningkatkan penyerapan zat besi.
Pemindahan Darah Pada Masa Mengandung
Pemindahan darah mungkin perlu dilakukan sekiranya berlaku anemia yang teruk di kalangan wanita mengandung yang hampir bersalin. Tahap haemoglobin yang perlu untuk pemindahan darah mungkin lebih rendah di kalangan mereka yang mempunyai anemia yang kronik berbanding dengan mereka yang megalami hemolisis akut.
Adalah sukar untuk memberi paras hemoglobulin yang sesuai untuk pemindahan darah. Tetapi adalah penting untuk memberi darah kepada wanita mengandung 34 minggu ke atas yang mempunyai haemoglobin kurang dari 7g/dl. Dan seboleh-bolehnya, anemia yang teruk mesti dirawat sebelum kelahiran bayi untuk mengelakkan komplikasi yang berpunca dari pendarahan semasa kelahiran.
Buat ibu-ibu yang sedang mengandung, datang mengikut jadual kedatangan yang disediakan di klinik ibu mengandung untuk pemeriksaan setiap bulan. Ini adalah sangat penting untuk memastikan keselamatan dan kesihatan ibu dan anak.