
Impian setiap wanita selepas mendirikan rumah tangga pastinya mahu memiliki zuriat sendiri. Namun, perjalanan untuk bergelar ibu tidak selalunya mudah dan setiap wanita mempunyai kisah serta ujian yang berbeza.
Begitu juga dengan Eriyca Baiduri atau lebih mesra disapa sebagai Madammu. Selepas mendirikan rumah tangga bersama Muhammad Azri Che Noh, atau dikenali juga dengan gelaran TP, pada tahun 2015, Madammu terlebih dahulu memikul tanggungjawab sebagai ibu kepada tiga orang anak TP, iaitu Zahara, Qally dan Ahmadhi.
Di sebalik kesibukan membesarkan anak-anak, jauh di sudut hati Madammu tetap menyimpan impian untuk merasai sendiri pengalaman mengandung dan melahirkan zuriat. Namun, rasa takut, dilema emosi serta masalah kesihatan membuatkan impian itu mengambil masa yang panjang untuk direalisasikan.
Tanggal 9 Jun 2023 akhirnya menjadi detik paling bermakna buat usahawan kecantikan dan kosmetik di sebalik Noir Health & Beauty itu apabila selamat melahirkan zuriat sulungnya, seorang bayi lelaki.
Selepas berdepan kesukaran untuk hamil secara semula jadi, ikhtiar Madammu menjalani rawatan kesuburan IVF akhirnya membuahkan hasil dengan kehadiran cahaya mata yang diberi nama Ahmad Kayden.
Dalam perkongsian bersama Borak Pa&Ma, Madammu mengakui kehidupan selepas berkahwin tidak sama seperti yang pernah dibayangkannya.
Jika kebanyakan pasangan melalui fasa mengenali kehidupan berdua terlebih dahulu, Madammu pula terus masuk ke dalam kehidupan berkeluarga bersama tiga orang anak yang masih kecil.
Madammu menjelaskan bahawa dia sebenarnya bukan dalam fasa TTC (Trying to Conceive) , namun pengalaman berkahwin dengan seorang duda yang mempunyai tiga orang anak membuatkan dia perlu menyesuaikan diri dengan tanggungjawab sebagai ibu kepada tiga anak secara serta-merta. Situasi itu turut meninggalkan kesan trauma kepadanya, namun dia sedar bahawa pilihan tersebut dibuat sendiri dan perlu dihadapi dengan sebaiknya.
Namun jauh di sudut hatinya, Madammu mengakui pada ketika itu dia sendiri mempunyai gambaran tertentu tentang kehidupan berkeluarga. Dia membayangkan hanya mahu mempunyai seorang anak kerana baginya, kualiti dalam membesarkan lebih penting daripada kuantiti.
Walaupun menerima anak-anak suami sebagai sebahagian daripada kehidupannya, perubahan besar itu tetap memberi kesan kepada emosi Madammu. Dia belajar menjadi ibu dalam keadaan dirinya sendiri masih menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai isteri. Jiwanya ingin memberikan yang terbaik buat tiga orang anak tirinya membuatkan dirinya memilih untuk melewatkan kehamilan. Bimbang dirinya berubah hati apabila mempunya anak sendiri.
Dalam tempoh membesarkan anak-anak, Madammu tidak pernah menolak kemungkinan untuk mempunyai anak kandung sendiri.
Namun, ada satu perkara yang sentiasa bermain dalam fikirannya. Dia takut kehadiran anak kandung akan mengubah perasaannya terhadap anak-anak yang sudah dibesarkan sejak kecil.
Bagi Madammu, ketakutan itu sangat nyata kerana dia mengakui dirinya seorang yang sangat melibatkan emosi ketika membesarkan anak.
Madammu sedar membesarkan anak bukan perkara mudah. Ada fasa anak-anak membesar, ada perubahan emosi, ada salah faham dan ada cabaran tersendiri yang perlu dihadapi seorang ibu.
Disebabkan itu, dia takut sekiranya mempunyai anak kandung akan mewujudkan perbezaan layanan tanpa disedarinya. Dia mahu memastikan kasih sayang kepada anak-anak yang sudah dibesarkan sejak kecil tidak berubah hanya kerana kehadiran seorang bayi baru.
Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya
Sepanjang bertahun-tahun tidak mempunyai anak kandung, Madammu turut berdepan dengan pertanyaan daripada orang sekeliling. Lebih-lebih lagi apabila kehidupan seseorang sering menjadi perhatian di media sosial.
Ada yang bertanya mengapa dirinya masih belum mempunyai anak walaupun sudah lama berkahwin. Malah ada yang bertanya secara terus sama ada dirinya mempunyai masalah kesuburan.
Apa yang menariknya, sepanjang tempoh itu Madammu tidak pernah benar-benar membuat pemeriksaan khusus untuk mengetahui sama ada dirinya boleh hamil atau tidak. Baginya pada ketika itu, keutamaan masih diberikan kepada anak-anak yang sedang membesar. Nyata, hatinya begitu ikhlas untuk menjaga anak tirinya yang masih kecil ketika itu.
Dalam masa yang sama, suami juga tidak pernah memaksa Madammu untuk mempunyai anak. Menurut Madammu, TP sekadar memberikan hint secara bersahaja.
Sikap suami yang tidak mendesak memberikan ruang kepada Madammu untuk membuat keputusan mengikut kesediaan dirinya sendiri.
Dalam satu keadaan yang tidak disangka, Madammu mula berdepan masalah kesihatan. Dia mengalami rasa lenguh, sakit kaki dan keadaan fizikal yang semakin mengganggu kehidupan hariannya. Selepas mendapatkan pemeriksaan doktor, barulah diketahui bahawa dirinya mempunyai masalah pada tiub fallopio.
Doktor kemudian memberitahu bahawa usia Madammu ketika itu masih muda dan dia masih mempunyai peluang untuk hamil. Menurut Madammu, doktor turut menggalakkannya mencuba untuk mempunyai anak sendiri sekurang-kurangnya sekali.
Namun, pada waktu tersebut hati Madammu masih belum benar-benar terbuka. Masalah kesihatan pula semakin mengganggu sehingga ada ketika dirinya sukar berjalan dan berasa seperti sebelah kaki tidak berfungsi dengan baik.
Keadaan itu membuatkan doktor mencadangkan rawatan serta pembedahan bagi menangani masalah tiub fallopio. Selepas prosedur berkenaan, doktor turut menjelaskan bahawa peluang untuk hamil mungkin lebih baik. Namun Madammu memilih untuk tidak terlalu meletakkan harapan.
Tahun demi tahun berlalu. Apabila Ahmadhi mencecah usia sekitar 10 tahun, permintaannya untuk mempunyai adik masih belum berubah.
Kali ini, Madammu mula melihat permintaan itu dengan hati yang berbeza.
Kata-kata itu menjadi antara faktor yang menguatkan semangat Madammu untuk memulakan perjalanan mendapatkan zuriat. Akhirnya, dia membuat keputusan untuk menjalani rawatan kesuburan IVF.
Namun sebelum proses IVF dapat diteruskan, Madammu masih perlu menjalani prosedur berkaitan masalah tiub fallopio yang dihadapinya.
Walaupun sudah nekad, ketakutan tetap ada. Antara perkara yang paling ditakuti Madammu ialah perlu memasuki bilik pembedahan.
Perasaan itu membuatkan dirinya berbelah bahagi untuk meneruskan prosedur yang diperlukan. Namun satu pengalaman akhirnya mengubah cara Madammu melihat ketakutan tersebut. Dia pernah bermimpi mengenai arwah TP dan dalam mimpi itu timbul satu perasaan yang sangat mendalam.
Madammu terfikir bagaimana jika dirinya pergi meninggalkan dunia tanpa sempat merasai pengalaman mempunyai bayi yang selama ini tersimpan dalam hati.
Daripada situ, dia akhirnya mengumpulkan keberanian. Madammu meneruskan pembedahan yang diperlukan sebelum melangkah ke fasa seterusnya dalam rawatan IVF.
Artikel trending: Scoliosis Pada Anak: Jangan Abaikan Badan Senget, Kenali Tanda Awal & Cara Mengesannya
Artikel viral: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!
Artikel: Pelajar 12 Tahun Meninggal Mengejut Selepas Latihan Silat, Mengadu Sakit Kepala Sebelum Rebah
Selepas melalui pelbagai prosedur dan permainan emosi, Madammu akhirnya memulakan perjalanan IVF. Dengan izin Allah, percubaan pertamanya membuahkan hasil. Kehamilan itu tentunya menjadi satu berita yang sangat bermakna selepas bertahun-tahun melalui dilema dan ketakutan.
Daripada seorang wanita yang pernah takut untuk mempunyai anak kandung kerana bimbang perasaannya terhadap anak-anak lain berubah, kini Madammu akhirnya bersedia menerima satu lagi amanah dalam kehidupannya. Kehadiran Ahmad Kayden menjadi pelengkap kepada perjalanan panjang tersebut.
Walaupun impian untuk hamil sudah tercapai, Madammu mengakui kehamilan turut membawa cabaran tersendiri. Sebagai seorang wanita yang sukakan kecantikan dan menjaga penampilan, perubahan fizikal ketika hamil menjadi sesuatu yang perlu dipelajarinya untuk diterima.
Tubuh berubah, rutin harian berubah dan emosi juga melalui fasa yang berbeza. Namun, Madammu memilih untuk melihat semua perubahan itu dari sudut yang lebih positif.
Jika sebelum ini dirinya sering dibayangi ketakutan tentang apa yang akan berlaku apabila mempunyai anak kandung, kehamilan tersebut akhirnya mengajarnya tentang penerimaan.
Perkongsian Madammu memperlihatkan bahawa perjalanan untuk mempunyai anak tidak sama bagi setiap wanita. Ada yang sudah bersedia sejak awal perkahwinan tetapi masih menanti rezeki. Ada yang mempunyai masalah kesihatan tanpa disedari.
Ada juga yang sebenarnya mahu memiliki zuriat, tetapi masih belum bersedia dari sudut emosi. Dalam situasi Madammu, keinginannya untuk mempunyai anak tidak pernah hilang.
Dia cuma mengambil masa untuk berdamai dengan ketakutannya sendiri. Bagi Madammu, keputusan untuk mempunyai anak bukan sekadar tentang keinginan untuk mengandung atau melahirkan.
Ia turut melibatkan kesiapsiagaan hati untuk menerima perubahan besar dalam kehidupan. Lebih-lebih lagi apabila dirinya sudah terlebih dahulu mempunyai tiga orang anak yang dibesarkan sejak kecil.
Akhirnya, selepas lapan tahun melalui pelbagai fasa, keresahan dan ujian, rezeki bergelar ibu kepada anak kandung sendiri hadir pada waktu yang dirasakan paling tepat.
Nak tahu lebih lanjut tentang perjalanan Madammu, daripada dilema membesarkan anak-anak, ketakutan untuk memiliki zuriat sendiri sehinggalah melalui rawatan IVF dan kehamilan, jangan lupa ikuti perkongsian penuh dalam podcast Borak Pa&Ma di saluran YouTube Pa&Ma.
Banyak lagi cerita, luahan dan pengalaman yang dikongsikan Madammu secara terbuka dalam episod ini. Jangan lupa tonton sampai habis!
Jom sertai Edutainment Fest 2026! 🎈 Festival kanak-kanak yang menggabungkan pembelajaran 📚 dan keseronokan 🎨 sambil memberi pendedahan tentang kepentingan simpanan pendidikan untuk masa depan anak-anak 🌟 📅 Tarikh: 5–6 September 2026 ⏰ Masa: 10.00 pagi – 10.00 malam 📍 Lokasi: Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur Lebih menarik, 500 peserta terawal yang mendaftar akan menerima: 💰 Akaun Simpan SSPN bernilai RM30 🎁 Goodies istimewa 📜 Sijil penyertaan Daftar sekarang dan bawa anak-anak menikmati pengalaman belajar yang menyeronokkan! 👇 https://www.majalahpama.my/edutainment-fest/