Manjakan anak dengan kemewahan bukan cara didikan berkesan tapi buat anak lemah. Anda orang pertama yang mereka kenal dan contohi. Oleh itu mulakan didikan positif untuk menjadikan mereka anak yang genius dunia dan akhirat.
Berikan contoh yang terbaik kepada anak-anak. Biar anak tahu mereka sebenarnya membesar dalam satu keluarga yang penuh harmoni. Jadi sebagai ibu bapa anda boleh lakukan beberapa tip ini untuk memastikan anak membesar menjadi seorang yang hebat.
1) Mulakan hidup anak dengan nama panggilan yang baik
Nama yang baik adalah satu doa kepada mereka. Oleh itu, pilihan nama yang mempunyai makna baik dan panggil anak-anak dengan nama sebenar mereka bukan nama gelaran yang kadangkala membawa maksud buruk kepada si anak.
Ads
2) Peluklah anak sentiasa
Kajian mendapati anak-anak yang sering dipeluk dan dicium oleh ibu bapa sejak kecil akan membesar sebagai anak-anak yang positif dan kaya dengan kasih sayang. Bahkan IQ mereka juga lebih baik berbanding dengan anak-anak yang jarang dipeluk.
3) Jangan didik anak dengan kemewahan
Ads
Walaupun anda mampu memberikan kemewahan kepada anak-anak tetapi jangan biasakan mereka membesar dengan segala macam barangan atau percutian mewah. Anak-anak mesti diajar menjadi orang yang pandai menghargai. Jika mereka terlalu dimanjakan dengan kemewahan, bimbang si anak akan membesar sebagai seorang yang terlalu manja.
4) Kurangkan gajet
Ads
Biarpun dunia masa kini tidak boleh lari dengan teknologi gajet tetapi jangalah mendidik anda keterlaluan bermain gajet. Usia kecil bukanlah masa terbaik untuk mereka meneroka teknologi gajet. Gajet hanya memberikan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan kepada anak-anak kecil.
5) Pandang anak dengan pandangan kasih sayang
Pandangan ini akan membuatkan anak lebih berkeyakinan apabila berhadapan dengan persekitaran. Pandangan tersebut membuatkan anak rapat dan lebih mesra dengan ibu bapa. Bagaimanapun jika mereka melakukan kesalahan, kita masih perlu marah atas perbuatan mereka itu.
Sumber: muslimparentingnetwork
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mewarna antara salah satu aktiviti terpenting dalam perkembangan anak-anak. Dari mewarna, anak akan belajar cara untuk fokus dan menulis dengan baik.
Namun aktiviti mewarna selalu dipandang ringan. Kenapa pentingnya aktiviti mewarna ni? Ikuti perkongsian ini.
IBU BAPA AMBIL PERHATIAN!
Ini berkaitan hasil kerja anak-anak dengan keupayaan mereka memberi fokus ketika belajar. Langkahnya, ambil sehelai kertas A4, lukiskan satu bulatan sederhana besar di tengah then bagi arahan untuk anak warnakan bulatan tersebut..just arahan “warnakan bulatan itu” 😊😊
Untuk anak 3 hingga 6 tahun ye..
Take note ye parents, fokus adalah kemahiran..bila sebut kemahiran ni, anak boleh belajar melalui aktiviti-aktiviti semudah menuang air dari bekas ke bekas, bermain penyepit baju dll..yang penting kita dapat tahu keupayaan & tahap fokus anak..jangan compare antara satu sama lain.. 😉
1) MENCONTENG DAN TIDAK MENGIKUT ARAHAN
– jika anak tidak mewarnakan bulatan tersebut, sebaliknya hanya menconteng keseluruhan kertas, bermakna dia belum mampu mencipta fokus ketika proses pembelajaran dijalankan ke atasnya.
2) MEWARNA SATU BAHAGIAN SAHAJA DARIPADA KESELURUHAN BULATAN
– bermakna anak hanya mampu fokus pada satu-satu perkara yang disukainya sahaja. Dalam erti kata lain, anak hanya memberi fokus jika kita ajar perkara yang diminatinya. Anak takkan fokus kepada sesuatu yang tidak diminatinya.
3) MEWARNA SELURUH BAHAGIAN, TETAPI BANYAK YANG MELEPASI GARISAN BULATAN (TERKELUAR)
– bermakna anak sudah memberi fokus semasa belajar tetapi tidak konsisten. Kadangkala sangat fokus, namun ada masanya tidak menunjukkan minat langsung ketika belajar.
4) MEWARNAKAN BULATAN TERSEBUT SEPENUHNYA DAN TIDAK MELEPASI GARISAN
– tidak perlu ambil kira faktor kekemasan @ kecantikan warna, apabila anak berjaya mewarnakan keseluruhan bulatan tanpa melepasi garisan, bermakna anak mampu mencipta fokus dengan baik ketika proses pembelajaran dilakukan ke atasnya.
Jadikan ini sebagai penanda aras untuk kenalpasti kemampuan fokus anak-anak. Mereka perlu difahami, barulah mudah untuk beri kefahaman kepada mereka..fokus adalah kemahiran yang boleh dipertingkatkan dari masa ke masa. Perlu lebih kreatif untuk anak lebih fokus ..pelbagaikan aktiviti untuk tingkatkan fokus mereka! 😊😊
Istilah ‘manja’ mempunyai makna yang negatif dalam konteks sosial. Ia boleh ditakrifkan sebagai sikap memberi kasih sayang yang terlalu berlebihan dalam fasa awal mengasuh anak-anak. ‘Anak manja’ sering merujuk kepada anak yang cenderung menunjukkan sikap menuntut perhatian yang berlebihan dan ingin dilayani tanpa memperdulikan orang lain. Sikap ini tidak dapat dibendung oleh ibu bapa kerana keliru antara perasaan sayang anak atau manjakan anak.
Sikap manja secara alaminya timbul pada usia setahun lebih apabila bayi mula membina hubungan sosial dengan orang-orang di sekitarnya. Sekiranya sikap manja dituruti oleh ibu bapa sehingga usia tiga hingga empat tahun, akan menghasilkan sikap memberontak (tamper tantrums) atau sikap terlalu bergantung (clinging). Pada usia lima hingga enam tahun, jika berlarutan akan mempengaruhi perkembangan emosi, sosial dan juga intelek anak-anak kerana pada tahap umur tersebut anak-anak mula berinteraksi dengan persekitaran yang lebih luas seperti di taska atau tadika.
Faktor penyebab
Umumnya disebabkan corak asuhan daripada kecil yang menyebabkan anak menjadi manja. Ikuti selanjutnya faktor penyebab anak menjadi manja.
1.Terlalu berlebihan sayang anak
Ibu bapa tidak mahu anak merasa ‘susah’ atau beranggapan sepatutnya lakukan segalanya untuk anak. Kemungkinan juga ibu bapa tidak yakin anak mampu melakukan sesuatu dengan sendiri.
2.Kurang tegas dalam mengasuh
Ibu bapa kurang tegas dalam usaha mengasuh atau mendidik anak. Akibatnya sejak kecil kemahuan dan kehendak anak dituruti dan dibiarkan membuat sesuka hati tanpa ditegur. Akhirnya jadilah ‘anak yang tidak mendengar kata’ iaitu ibu bapa menjadi ‘pak turut’ kepada anak-anak mereka.
3.Pengalaman ibu bapa semasa kecil
Ibu atau bapa pernah diasuh dengan corak asuhan authoritarian (kawalan yang ketat,tidak bertolak ansur atau fleksibel dengan anak). Mereka tertekan semasa membesar, jadi beranggapan untuk anak sendiri, mereka perlu memberikan the best iaitu dengan memanjakan anak mereka.
4.Alasan tiada masa
Ibu bapa yang sibuk beranggapan kekurangan masa berkualiti dengan anak dapat digantikan dengan menurut segala kemahuan anak.
Kesan manja kepada perkembangan
Akibat sering mendapat apa yang dimahukan atau bebas berbuat sesuatu mengikut kehendak hati, anak-anak menjadi:
1.Kurang berdikari atau kurang keinginan atau perasaan untuk melakukan sesuatu dengan sendiri. Anak ini akan mengharapkan dan mendesak orang lain untuk mengambil tanggungjawab yang diberi.
2.Sering bergantung kepada orang lain dalam apa sahaja.
3.Tiada atau kurang keyakinan diri menyebabkan kesukaran dalam menonjolkan potensi diri.
4.Kurang keinginan untuk membuat eksplorasi yang akan menjejaskan perkembangan inteleknya.
Bagaimana untuk mengatasinya
Bagi membendung kesan kemanjaan yang akan mempengaruhi jati diri dan hubungan sosial anak-anak apabila meningkat remaja, terdapat beberapa faktor yang ibu bapa perlu ambil peduli.
1.Ibu bapa mesti sedar kesilapan mereka dan beriltizam untuk memperbaiki corak pengasuhan anak.
2.Kedua-dua ibu bapa perlu konsisten dalam mengamalkan ketegasan dalam mengasuh anak-anak.
3.Membimbing anak-anak sedikit demi sedikit untuk bersikap lebih berdikari. Contohnya oleh dimulakan dengan meminta anak menyuap makanan atau memakai baju mereka sendiri tanpa bantuan. Dengan cara ini, anak-anak mula membina kepercayaan bahawa mereka mampu berdikari.
4.Mempercayai dan memberi kepercayaan kepada anak-anak akan kemampuan mereka untuk melakukan sendiri perkara-perkara yang bersesuaian tahapumur mereka. Ibu bapa perlu sabar kerana anak-anak mungkin memerlukan masa untuk boleh membuat sesuatu secara sendiri dengan baik.
5.Memberi peluang kepada anak-anak untuk bersosial dengan rakan sebayanya (contoh menyertai kumpulan bermain; play group) seawal usia dua tahun supaya pengalaman bersama rakan sebaya dapat membentuk kemahiran bersosial yang positif.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nak pujuk anak makan atau suruh diam bila makan diluar, perkara pertama yang dilakukan adalah dengan membuka cerita kartun atau apa saja rancangan kegemaran sebagai tarikan anak.
Alasannnya jika tak buat macam ni, anak susah makan, tak boleh duduk diam kerana bosan dan sebagainya. Sampai bila?
Menerusi perkongsian dari Perunding Keibubapaan, Puan Noor Afidah Abu Bakar, ibu bapa yang silap dalam hal ni.
Anak kecil itu diam tanpa sebarang pergerakan. Dia juga langsung tidak bersuara. Matanya memandang tepat ke hadapan tanpa berkelip. Dia terpaku dengan apa yang dilihatnya. Segala yang berlaku di sekeliling seolah-olah tidak memberi makna apa-apa kepada anak itu. Sebarang bunyi, sebarang pergerakan mahupun sebarang keajaiban yang berlaku di sekelilingnya seperti tidak langsung menimbulkan tanda tanya dalam dirinya. Perkara yang menjadi tumpuan utama dalam hidupnya dan dalam dunianya ketika itu hanyalah apa yang sedang ditonton di hadapannya.
Sudah berkali-kali saya melihat anak-anak yang diprogramkan oleh skrin yang berada di hadapan mereka ketika waktu makan. Anak-anak ini seumpama robot yang mengunyah, tanpa menunjukkan sebarang emosi dan tanpa interaksi. Mereka dinafikan hak untuk menjadi kanak-kanak yang memerlukan didikan dan bimbingan oleh orang dewasa ketika waktu makan.
Mungkin anak-anak kecil ini diharapkan lahir dalam keadaan sempurna akhlaknya tanpa bimbingan yang mengambil masa. Mungkin anak-anak kecil ini diharapkan agar berupaya untuk memenuhi harapan dan jangkaan orang dewasa dengan serta merta. Mungkin anak-anak kecil ini diharapkan agar berupaya menyuapkan makanan dengan sendiri tanpa mensepahkannya. Mungkin anak-anak kecil ini diharapkan agar dapat memberi tumpuan pada makanan tanpa mengganggu. Mungkin anak-anak kecil ini diharapkan agar melekat di tempat duduk mereka tanpa berganjak. Mungkin anak-anak kecil ini diharapkan agar dapat membisukan mulut mereka dari bersuara.
MUSTAHIL.
Kata si Ibu “Jika saya tidak beri skrin kepada anak saya, anak saya tidak mahu makan.”
Persoalannya siapakah yang mula memberikan anak skrin? Siapakah yang tidak melatih anak makan tanpa kebergantungan pada skrin dari awal lagi?
Waktu makan yang sepatutnya menjadi: momen yang mewujudkan perhubungan yang rapat antara ibubapa dan anak, momen penerapan adab dan akhlak, momen berinteraksi dan bergurau senda antara ahli keluarga, momen memerhatikan persekitaran yang menimbulkan sifat ingin tahu, momen memahami emosi, momen memahami komunikasi verbal dan tidak verbal, momen memantapkan skil motor halus dan motor kasar, momen mengembangkan skil bahasa dan menambahkan kosa kata, momen memahami nilai dalam keluarga dan masyarakat, kini hanya menjadi momen mengisi perut dan membasahkan tekak sambil dihiburkan oleh watak-watak yang ditonton di skrin.
Tiada latihan pengucapan Bismillah, dan tiada doa di awal makan untuk diamalkan anak kerana anak-anak ini terlalu asyik dihiburkan. Tiada ucapan penghargaan dan terima kasih yang diucapkan anak kepada ayah atau ibu yang berusaha menyuapkan makanan dengan penuh kasih sayang kerana anak-anak ini terlalu leka. Tiada senyuman di antara ibu atau ayah yang menyuap dan anak yang disuap. Tiada pandangan mata diantara ayah atau ibu dan anak, Tiada ekspresi wajah yang menggambarkan kegembiraan, kekecewaan dan tegahan daripada ayah atau ibu untuk difahami oleh anak. Tiada luahan emosi di antara ibubapa dan anak. Semuanya menjadi hambar tanpa sebarang keintiman dan emosi sesama manusia. Sedangkan perkara yang diabaikan inilah yang membezakan di antara MANUSIA dan ROBOT.
Anak-anak yang menyentuh, melihat, merasa, menghayati dan menikmati setiap butir dan suapan makanan yang masuk ke mulut mereka lebih mudah untuk mempelajari erti bersyukur akan nikmat rezeki yang dilimpahkan ke atas mereka oleh Allah SWT. Apabila tontonan skrin dipaksakan ke atas anak ketika waktu makan dari usia awal, seluruh sensori yang melahirkan rasa kesyukuran ini akan mati kerana fokus mereka bukannya pada pengalaman menghayati rezeki yang disuapkan ke mulut mereka tetapi fokus mereka kepada pengalaman menghayati skrin.
Latihlah anak menjadi manusia yang memuliakan adab dan akhlak ketika makan, menghargai ibubapa atau orang dewasa yang menyuapkan mereka makanan, memahami bahasa kasih sayang ibubapa, menghormati perhubungan sesama manusia, peka dengan sekelilingnya dan mensyukuri rezeki pemberian Allah kepadanya walaupun anak mungkin kurang menggemarinya.
Anak-anak kita dilahirkan sebagai manusia. Usah diubah mereka menjadi robot tanpa kerelaan mereka hanya kerana kita sangkakan itu lebih mudah.
Dalam gambar di artikel ini adalah anak kembar yang tidak diberikan skrin oleh ayah dan ibu mereka ketika waktu makan. Saya sendiri kagum dengan usaha ayah dan ibu ini untuk memanusiakan anak mereka walaupun sudah tentunya mencabar.
Syabas diucapkan kepada ayah dan ibu lain yang turut sama berusaha.