Pernah tak ibu bapa tertanya..“Kenapa bayi saya nangis bila dipegang orang lain, tetapi bila ibu atau ayah dukung terus senyap?”

“Kenapa bayi saya tak nak tidur selagi tak pegang tangan saya?”

“Ada beza ke sentuhan penyayang dengan sentuhan biasa?”

Kita boleh tahu niat seseorang hanya dengan sentuhan. Contohnya, bila orang hulur tangan, kita tahu dia nak salam untuk memperkenalkan diri atau atas dasar hormat menghormati. Bila Ibu peluk kita, kita tahu yang dia sayangkan kita. Itulah keajaiban deria sentuhan. Untuk bayi pula bagaimana?

Sentuhan Ibu Ayah Kuat Auranya! Selalulah Peluk, Cium & Dukung Selagi Ada Peluang

Sentuhan itu nutrien penting untuk bayi baru lahir 

Semasa dalam rahim, sentuhan adalah deria pertama yang terbentuk. Sentuhan mula terbentuk sekitar minggu ke-8 kehamilan. Selama beberapa minggu, badan bayi akan mengembangkan rangkaian saraf yang membentuk deria sentuhan ini. Walaupun dalam rahim, bayi boleh mula merasai sesuatu. Sebelum mereka dilahirkan lagi, bayi telah “diurut” disebabkan oleh pergerakan dalam rahim dan pergerakan fizikal ibu.

Oleh itu, bayi memerlukan rangsangan sentuhan ini secara berterusan untuk perkembangan yang baik. Sentuhan merupakan antara NUTRIEN PENTING untuk perkembangan otak, fizikal, dan emosi anak kecil.

Dalam banyak-banyak deria yang ada (sentuh, dengar, lihat dsb), deria sentuhanlah yang membantu bayi baru lahir mengetahui bahawa dia disayangi. Tanpa sentuhan berunsur kasih sayang (nurturing, gentle touch) pada usia awal, perkembangan bayi boleh terganggu.

Bahkan kekurangan sentuhan penyayang di antara penjaga dan bayi boleh membawa kepada kematian, seperti yang berlaku dalam kalangan sesetengah bayi yang sering diabaikan. Ini kerana bayi mempunyai keperluan untuk disayangi dan dilindungi yang sangat tinggi. Walaupun dimandikan, ditukarkan lampin dan diberi susu (procedural, passing touch), bayi yang tidak pernah disayangi, dipeluk, diusap atau dicium boleh terbantut perkembangannya dan dalam kes yang lebih teruk, bayi tersebut boleh meninggal.

Bagi bayi yang lahir pramatang pula, sentuhan penyayang adalah SANGAT PENTING untuk tumbesarannya. Bayi pramatang selalu terdedah kepada prosedur perubatan yang menyakitkan. Bayi pramatang juga sangat sensitif kepada rangsangan sentuhan, menyebabkan prosedur perubatan lebih menyakitkan berbanding untuk bayi yang cukup bulan.

IKLAN

Mereka juga tidak mempunyai ruang yang banyak untuk bergerak sepanjang berada dalam NICU. Ini juga boleh menyebabkan gangguan dalam sistem sensori dan perkembangan emosi. Oleh itu, sentuhan kulit ke kulit (skin to skin contact) dari ibu bapa sangat disyorkan kerana dapat membantu mengurangkan rasa sakit dan meningkatkan ketahanan terhadap rangsangan sentuhan. Secara tidak langsung, perkembangan sosial dan emosi bayi akan bertambah baik dan ini boleh membantu bayi “catch up” dengan perkembangan yang normal.

Sentuhan Ibu Ayah Kuat Auranya! Selalulah Peluk, Cium & Dukung Selagi Ada Peluang

Sentuhan penting untuk proses pembelajaran 

Melalui sentuhan, bayi dapat belajar bagaimana menggerakkan badannya, mengenali dunia sekeliling dan berkomunikasi dengan keluarganya. Pada usia 60 hari, bayi memberikan respons yang baik terhadap sentuhan di tangan, kaki, dan terutamanya di bibir. Ini adalah asas untuk bayi mengenalpasti setiap fungsi anggota badannya (seperti mulut digunakan untuk makan dan bercakap).

Seawal usia 7 bulan, bayi sudah boleh mengenalpasti bahawa orang lain juga mempunyai anggota badan sepertinya (tangannya sama bentuk macam tangan ibunya, bibirnya sama bentuk dengan ayahnya dan sebagainya). Ini membentuk asas kepada kemahiran meniru perbuatan (imitation skill) dan bersikap empati (memahami perasaan orang lain).

Sentuhan membentuk asas dalam sikap empati 

IKLAN

Bayi akan merasa selamat, dilindungi dan disayangi apabila dipegang oleh ibu bapanya. Pelukan dari ibu bapa akan membina kepercayaan dalam hubungan antara ibu bapa dan anak kerana memberikan kesan yang menenangkan dan meyakinkan.

Sentuhan penyayang yang konsisten dan responsif akan terus merapatkan dan mengukuhkan hubungan ibu dan anak. Inilah sebabnya bayi baru lahir boleh membezakan siapa yang memegangnya. Semakin bayi membesar, bayi akan cuba meniru sentuhan yang sama. Secara tidak langsung, perasaan empati akan terbentuk dari usia yang awal dan membantu bayi mempelajari komunikasi sosial pada masa yang akan datang.

Sentuhan kasih sayang yang berlebihan TIDAK AKAN “terlalu memanjakan/merosakkan” bayi baru lahir

Mungkin kita biasa dengar orang tua kita selalu suruh letak bayi yang baru lahir dan jangan selalu dukung kerana bimbang bayi kita akan menjadi “terlalu manja”, tidak biasa tidur sendiri dan akan menyusahkan kita walaupun baru berusia berapa hari saja. Jangan risau, banyak kajian telah buktikan bahawa tiada istilah memeluk atau mencium anak secara berlebihan itu boleh “memudaratkan” anak. Tetapi kekurangan kasih sayang sudah tentu akan mengganggu perkembangan anak dan hubungan antara ibu/bapa dan anak.

Ya, realitinya amat sukar bagi sesetengah ibu bapa untuk sentiasa memberi sentuhan penyayang untuk anaknya pada setiap masa seperti yang diinginkan. Kemungkinan kita mempunyai beban kerja yang banyak atau perlu menguruskan anak yang lain juga. Namun begitu, ibu bapa perlu jadikan setiap masa yang kita habiskan dengan bayi amat bermakna dan penuh dengan kasih sayang ❤️, kerana setiap sentuhan yang diberi akan membantu otak bayi untuk terus berkembang dengan pesat.

Sentuhan Ibu Ayah Kuat Auranya! Selalulah Peluk, Cium & Dukung Selagi Ada Peluang

IKLAN

 Cara mudah memberi rangsangan sentuhan di rumah 

➡️angkat/peluk/dukung bayi apabila dia nangis atau memandang kita

➡️gendong bayi atau “baby wearing”

➡️Urut bayi setiap kali tukar lampin atau selepas mandi

➡️letakkan/baringkan bayi di atas pelbagai tekstur (tuala, selimut, tikar, playmat)

➡️berikan rangsangan pelbagai tekstur di tangan dan kaki seperti tekstur basah, melekit, sejuk, lembut, dan berkedut

➡️kurangkan waktu bayi berada dalam buai atau baby carrier

➡️Buka sarung tangan bayi untuk menggalakkan “explore” tangannya sendiri

Dah peluk cium anak anda hari ini?

Sumber: Syahirah Jermadi
School Based Occupational Therapist,
Liyana Raya Training&Consultancy

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI