
Sesi persekolahan 2026 bermula 11 Januari, menandakan permulaan baharu yang dinanti-nantikan oleh ibu bapa, guru dan anak-anak di seluruh negara.
Selepas beberapa tahun takwim persekolahan berubah akibat pandemik Covid-19, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akhirnya berjaya mengembalikan semula sesi akademik ke bulan Januari seperti sebelum pandemik melanda. Inilah detik yang ditunggu-tunggu seluruh warga pendidikan di Malaysia!

Takwim Sekolah 2026: Kembali Seperti Dulu!
Menurut kenyataan rasmi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Kalendar Akademik Tahun 2026 bagi sekolah kebangsaan dan sekolah bantuan kerajaan akan bermula pada 11 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026 bagi negeri Kumpulan A, manakala Kumpulan B bermula sehari selepas itu iaitu pada 12 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026.
- 📍 Kumpulan A: Kedah, Kelantan dan Terengganu
- 📍 Kumpulan B: Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya
Kalendar penuh boleh dimuat turun di portal rasmi KPM melalui pautan berikut:
👉 https://www.moe.gov.my/surat-siaran-kpm-bil-3-tahun2025-kalendar-akademi
Kejayaan Berperingkat, Tanpa Ganggu Pengoperasian Sekolah
Menurut Fadhlina, kejayaan mengembalikan semula sesi persekolahan ke bulan Januari dilakukan secara berperingkat dan tertib tanpa menjejaskan operasi harian sekolah.
“Ia adalah hasil perancangan rapi dan komitmen tidak berbelah bahagi warga pendidikan di semua peringkat. Usaha ini menyerlahkan tekad KPM untuk memberi keutamaan kepada aspek kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah,” katanya.
Sebelum ini, sesi persekolahan bermula pada bulan Mac sejak tahun 2022 susulan pelanjutan sesi akademik yang terkesan akibat pandemik Covid-19. Kini, sesi persekolahan 2026 menjadi simbol kejayaan pemulihan sistem pendidikan negara.

Ibu Bapa, Sedia Sedia! Masa Untuk ‘Back To School’ Betul-Betul
Dengan kembalinya takwim ke bulan Januari, ibu bapa kini boleh mula merancang lebih awal. Dari pembelian pakaian seragam, alat tulis, hinggalah penyusunan semula rutin tidur anak-anak, semua perlu disiapkan sebaik mungkin supaya anak tidak terkejut dengan perubahan jadual baharu.
Jangan lupa juga untuk mula latih semula waktu tidur dan bangun pagi anak-anak beberapa minggu sebelum sekolah dibuka. Ini penting supaya hari pertama persekolahan nanti lebih tenang, ceria dan bebas tangisan!
Pa&Ma Tip Tambahan Untuk Ibu Bapa
- 💡 Susun jadual harian lebih awal – anak lebih bersedia dan kurang stres.
- 💡 Sediakan ruang belajar yang kemas – semangat belajar pun meningkat.
- 💡 Libatkan anak dalam persiapan sekolah – beri mereka rasa tanggungjawab dan teruja.
- 💡 Baca doa dan berikan kata-kata semangat setiap pagi.
Sesi Persekolahan 2026: Simbol Harapan Baharu
Sesi persekolahan 2026 bukan sekadar permulaan baharu dalam kalendar pendidikan, tetapi juga simbol harapan untuk melihat anak-anak kembali membesar dan belajar dalam suasana yang lebih stabil, tersusun dan menyeronokkan seperti dahulu.
Kerana bagi setiap ibu bapa, melihat anak melangkah ke sekolah dengan senyuman adalah permulaan yang paling indah untuk tahun baru. 🌸
Sumber : Malaysia Gazette
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
















