
Seronok melihat gelagat anak yang comel, petah bercakap dan kadangkala mencuit hati. Sebagai ibu ayah, pasti ada keinginan untuk merakam setiap momen istimewa si kecil, lebih-lebih lagi ketika mereka sedang membesar.
Tidak hairanlah media sosial kini dipenuhi dengan pelbagai perkongsian mengenai anak-anak, daripada video pertama kali berjalan, telatah lucu sehinggalah aktiviti harian bersama keluarga.
Namun, pernahkah ibu ayah terfikir bahawa gambar atau video yang dianggap sekadar kenangan manis sebenarnya boleh memberi kesan terhadap privasi, keselamatan dan emosi anak pada masa hadapan?
Lebih membimbangkan apabila ada kanak-kanak yang terlalu kerap dipaparkan di media sosial sehingga setiap pergerakan dan kehidupan peribadi mereka menjadi tontonan umum, sedangkan mereka sendiri masih belum memahami maksud privasi.

Terlalu Kerap Kongsi Gambar Anak Di Media Sosial, Ini Risiko Sharenting!
Menurut Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Dr. Rozita Wahab, fenomena berkongsi gambar, video dan maklumat anak-anak secara dalam talian dikenali sebagai sharenting.
Istilah tersebut merupakan gabungan dua perkataan bahasa Inggeris iaitu sharing dan parenting, yang merujuk kepada amalan ibu bapa atau penjaga berkongsi kehidupan anak-anak menerusi platform digital.
Walaupun kebanyakan perkongsian dibuat untuk menyimpan kenangan atau berkongsi perkembangan anak dengan keluarga dan rakan, amalan tersebut berisiko mendedahkan kehidupan peribadi kanak-kanak kepada orang ramai tanpa persetujuan mereka.
“Walaupun kebanyakannya bertujuan merakam kenangan, amalan ini berpotensi menjadikan kehidupan peribadi kanak-kanak sebagai tontonan umum tanpa persetujuan mereka.
“Kajian kebangsaan terhadap 720 ibu bapa dan orang dewasa oleh penyelidik Universiti Malaya mendapati 47.4 peratus responden tidak pernah mendengar istilah sharenting sebelum menyertai kajian berkenaan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Video Anak Lebih Banyak Dapat Perhatian, Ibu Ayah Perlu Berwaspada
Menariknya, kajian tersebut turut mendapati sebanyak 63.1 peratus ibu bapa mengakui hantaran yang memaparkan anak-anak mereka menerima lebih banyak interaksi berbanding perkongsian lain.
Situasi ini secara tidak langsung boleh mendorong ibu ayah untuk terus menghasilkan kandungan yang menampilkan anak-anak kerana mendapat perhatian, tanda suka dan komen daripada pengguna media sosial.
Bagaimanapun, perkara yang perlu diberi perhatian bukanlah jumlah tontonan yang diterima, sebaliknya sejauh mana privasi dan kesejahteraan kanak-kanak dilindungi.
Anak-anak mungkin kelihatan gembira ketika dirakam, tetapi itu tidak semestinya bermakna mereka memahami bahawa video berkenaan boleh ditonton oleh ribuan atau jutaan individu yang tidak dikenali.

Jangan Dedahkan Lokasi Rumah, Sekolah & Rutin Harian Anak
Salah satu risiko utama amalan sharenting ialah kehilangan kawalan terhadap maklumat peribadi anak-anak selepas kandungan dimuat naik ke Internet.
Menurut Dr. Rozita, gambar dan video yang dikongsikan boleh disalin, disimpan atau disebarkan semula oleh pihak lain tanpa pengetahuan serta kebenaran ibu bapa.
Lebih membimbangkan apabila kandungan berkenaan turut mendedahkan maklumat yang boleh digunakan untuk mengenal pasti lokasi dan rutin harian kanak-kanak.
“Maklumat seperti pakaian sekolah, lokasi kediaman dan rutin harian juga berpotensi mendedahkan keselamatan kanak-kanak kepada pihak tidak bertanggungjawab.
“Selain itu, jejak digital yang terbentuk sejak kecil boleh mempengaruhi identiti dan kesejahteraan emosi mereka apabila meningkat dewasa,” ujarnya.
Justeru, ibu ayah perlu lebih peka sebelum berkongsi gambar anak, terutama kandungan yang memperlihatkan nama sekolah, alamat rumah, lokasi semasa atau tempat yang sering dikunjungi.
Anak Boleh Rasa Malu Apabila Besar, Jangan Jadikan Mereka Bahan Hiburan
Bukan sahaja melibatkan keselamatan fizikal, perkongsian berlebihan mengenai anak-anak juga boleh memberi kesan terhadap perkembangan emosi dan keyakinan diri mereka.
Bayangkan video anak menangis, dimarahi atau melakukan sesuatu yang memalukan dimuat naik ketika mereka masih kecil.
Pada pandangan ibu ayah, situasi tersebut mungkin dianggap lucu dan sekadar gurauan. Namun, apabila anak semakin meningkat usia, mereka mungkin berasa malu atau tidak selesa apabila kandungan itu masih boleh ditonton orang lain. Jadi fikirkan!

5 Perkara Ibu Ayah Perlu Fikir Sebelum Kongsi Gambar Anak
Sebagai langkah berjaga-jaga, berikut antara perkara yang boleh ibu ayah amalkan sebelum memuat naik kandungan melibatkan anak-anak.
- Elakkan berkongsi maklumat peribadi. Jangan dedahkan alamat rumah, nama penuh, lokasi sekolah atau jadual harian anak secara terbuka.
- Jangan muat naik video yang memalukan anak. Elakkan kandungan ketika anak menangis, dimarahi, berpakaian tidak sempurna atau berada dalam situasi peribadi.
- Minta persetujuan anak. Bagi anak yang sudah boleh memahami, tanyakan terlebih dahulu sama ada mereka selesa gambar atau video dikongsikan.
- Hadkan siapa yang boleh melihat perkongsian. Gunakan tetapan privasi dan elakkan memaparkan kandungan anak kepada orang yang tidak dikenali.
- Fikirkan kesannya apabila anak dewasa. Sebelum menekan butang muat naik, bayangkan sama ada anak akan berasa selesa melihat kandungan tersebut beberapa tahun akan datang.
Hakikatnya, tidak salah untuk ibu ayah merakam kenangan indah bersama anak-anak. Namun, tidak semua kenangan perlu dikongsikan kepada umum.
Kadangkala, momen paling berharga ialah yang disimpan untuk tatapan keluarga sendiri tanpa perlu mendapat pengiktirafan daripada orang lain.
Menarik: Surah Al-Ikhlas & 3 Zikir Ni Jangan Tinggal Masa Anak Jawab Peperiksaan!
Zikir Ibu Ayah Ketika Anak Hadapi Peperiksaan, Amalan Mohon Permudahkan Urusan!
Disiplinkan Anak Tanpa Jerit & Ugut Rotan, Ikut Langkah Ni Guna Time Out
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

