Simptom Awal Kehamilan, 3 Tanda Normal Anda Mungkin Sedang Berbadan Dua!

Share

Ciri-ciri simptom awal kehamilan pada setiap wanita mungkin berbeza antara satu sama lain tetapi ada tiga tanda awal yang menunjukkan anda mungkin sedang mengandung. Mungkin ia nampak biasa, tapi sebenarnya ia boleh menjadi petunjuk halus bahawa anda kini sedang hamil, cuma badan saja yang tahu dulu sebelum kita sedar!

Tempoh kehamilan akan dikira dari hari pertama haid yang terakhir. Berkemungkinan ketika minggu pertama atau kedua, anda tidak akan merasai sebarang simptom tetapi boleh jadi ia akan datang selepas minggu ketiga kerana waktu itu telah berlaku implantasi iaitu proses di mana embrio telah menempel ke dinding rahim.

Pada fasa ini, ramai wanita masih rasa semuanya normal, seolah-olah tiada apa yang berlaku sedangkan di dalam badan sedang berlaku proses yang sangat penting. Anda dah nak jadi ibu!

1. Lewat Datang Haid Antara Simptom Awal Kehamilan

Salah satu simptom awal kehamilan yang paling common berlaku dalam kalangan wanita adalah lewat datang haid. Sekiranya lewat dua atau tiga hari mungkin boleh diabaikan, namun jika sudah mencapai tempoh seminggu, lebih baik buat ujian kehamilan.

Mana tahu sebenarnya anda sedang hamil! Jangan terlalu cepat membuat andaian, tetapi jangan juga terlalu lama menunggu sehingga tertanya-tanya tanpa jawapan.

Walau bagaimanapun, kelewatan haid tidak semestinya bermaksud anda sedang hamil kerana kitaran haid boleh terganggu disebabkan tekanan, perubahan berat badan atau masalah hormon. Kadang-kadang badan ini memang suka buat kejutan kecil, jadi lebih baik semak dengan ujian yang tepat untuk kepastian.

2. Perubahan Fizikal Pada Tubuh

Apabila seseorang wanita hamil, anda mungkin akan mengalami beberapa perubahan fizikal yang ketara. Rasa sakit pada payudara mungkin akan menyebabkan anda tidak selesa kerana rasa ketat ketika mengenakan pakaian dalam.

Selain itu, anda boleh melihat terdapat perubahan warna pada kawasan areola iaitu sekitar puting yang menjadi lebih gelap. Perubahan ini mungkin kecil, tetapi cukup untuk memberi petanda bahawa tubuh sedang menyesuaikan diri dengan hormon baharu.

Sangat normal jika anda mengalami peningkatan keputihan pada faraj dan biasanya ia tidak mempunyai bau. Namun jika ia mulai berubah warna kekuningan disertai rasa sakit, kegatalan dan bau yang kurang enak, segeralah merujuk masalah itu kepada doktor kerana dikhuatiri anda mungkin terkena jangkitan faraj.

Walaupun ia mungkin nampak seperti perkara kecil, kesihatan tetap perlu diberi perhatian supaya ibu dan bayi kekal selamat sepanjang kehamilan.

3. Rasa Kurang Selesa Pada Badan

Lenguh-lenguh pada bahagian belakang badan mahupun sakit kepala boleh menjadi petunjuk anda sedang mengandung. Perubahan hormon ada kalanya menjadi punca mengapa masalah ini berlaku.

Kadang-kadang, anda mungkin akan merasa kembung perut atau kesukaran membuang air besar. Hormon progesteron boleh menyebabkan rasa loya atau mual yang cenderung membuatkan seseorang itu menjadi lesu dan keletihan berpanjangan.

Badan terasa seperti baru habis larian maraton walaupun sebenarnya cuma menjalani rutin harian biasa.

Tanpa disedari, bila seorang wanita itu hamil, anda akan cenderung untuk ke tandas lebih kerap. Biasanya hal ini akan terjadi apabila bayi semakin membesar dan meningkatkan aliran darah ke buah pinggang yang membuatkan anda sentiasa mahu membuang air kecil.

Nampak remeh, tetapi ia adalah antara tanda awal yang sering berlaku dan kadang-kadang menjadi petunjuk paling konsisten.

Jangan panik kalau tiba-tiba anda menangis, tak lama selepas itu rasa nak marah pula. Perubahan emosi secara mendadak adalah normal kerana hormon yang berubah-ubah.

Bukan mengada-ngada, tapi ia berlaku di luar kawalan. Dalam satu minit rasa sebak, minit seterusnya rasa sensitif, semuanya berpunca daripada perubahan dalaman yang sedang berlaku.

Cara Mudah Sahkan Kehamilan

Paling mudah, pergi ke farmasi berdekatan dan dapatkan kit ujian kehamilan. Paling digalakkan untuk membuat ujian air kencing pada waktu awal pagi untuk keputusan yang lebih jelas.

Penjelasannya mudah saja, air kencing ketika ini lebih pekat dan kit ujian dapat mengesan hormon kehamilan atau hCG dengan lebih baik serta mengurangkan risiko keputusan negatif.

Langkah ini ringkas tetapi sangat membantu untuk mendapatkan jawapan yang lebih tepat.

Untuk pengesahan lanjut, anda boleh ke klinik berdekatan bagi membuat pemeriksaan sama ada benar-benar hamil atau tidak.

Jika anda merancang untuk membuat ujian imbasan ultra bunyi, sebaik-baiknya tunggulah sehingga lapan hingga sepuluh minggu kehamilan kerana ia masa yang sesuai untuk mengesan degupan jantung bayi atau melihat kedudukan janin di dalam rahim dengan lebih jelas.

Pada tahap ini, gambaran biasanya lebih jelas dan memberi kepastian yang lebih meyakinkan kepada bakal ibu.

Baca lagi: Jangan Tunggu Anak Jadi Hebat Baru Nak Puji, Rugi!

Mak Ayah Elakkan Perkara Ni Berlaku Dalam Rumah, Anak Ingat!

Sumber: Youtube Pa&Ma 

 

Published by
SRM