Stop pukul anak! Fahami mereka sebelum menghukum. Masih ramai ibu bapa yang cenderung menggunakan pukulan sebagai cara mendidik anak apabila mereka merasa geram.
Stop Pukul Anak! Fahami Mereka Sebelum Menghukum
Melihat anak lambat bertindak atau kurang responsif kepada arahan sering kali membuatkan kita hilang sabar. Namun, adakah tindakan ini benar-benar membantu anak kita, atau sebenarnya hanya menambah tekanan kepada mereka?
Sebagai ibu bapa, penting untuk kita memahami bahawa pukulan, kritikan negatif, atau jeritan tidak akan membantu anak menjadi lebih baik. Sebaliknya, ia hanya menjatuhkan keyakinan diri mereka dan memberi kesan buruk kepada perkembangan emosi mereka.
Kenapa Anak Lambat Bersiap?
Anak yang lambat bersiap mungkin bukan kerana mereka sengaja melambatkan diri, tetapi kerana mereka menghadapi cabaran dalam mengurus fokus. Contohnya, semasa mereka hendak mandi, tiba-tiba teringat mereka perlu mencari baju dahulu. Ketika mencari baju, mereka pula teringat hendak berkongsi cerita tentang kucing yang beranak di bilik kepada ibu.
Keadaan ini menjadikan mereka lambat bertindak dan susah untuk mengatur aktiviti dengan baik. Kadang-kadang, ini berakhir dengan kerja yang tidak siap dan mereka hanya termenung atau mengelamun.
Dalam situasi ini, anak memerlukan bimbingan dan sokongan daripada ibu bapa, bukan kritikan atau pukulan.
Kesan Negatif Kritikan Dan Hukuman Fizikal
Menurut kajian dan pengalaman, hukuman fizikal seperti pukulan hanya memberi kesan buruk kepada jiwa anak-anak. Mereka mungkin:
Ads
*Menjadi semakin rendah diri.
*Kehilangan keyakinan untuk mencuba perkara baru.
*Cepat putus asa apabila menghadapi cabaran.
*Lebih mudah stres dan murung.
*Menghadapi kesukaran dalam pembelajaran.
Lebih menyedihkan, pengalaman negatif ini berpotensi mempengaruhi kehidupan mereka hingga dewasa. Anak yang sering dikritik atau dipukul mungkin tumbuh menjadi individu yang kurang yakin, moody, dan takut untuk menghadapi cabaran baru.
Anak Adalah Amanah Kita
Sebagai ibu bapa, kita harus ingat bahawa anak adalah amanah yang perlu kita pelihara dengan kasih sayang dan pendidikan yang betul. Melabel anak dengan perkataan seperti “lembab”, “bodoh”, atau “degil” hanya akan merosakkan jiwa mereka. Sebaliknya, kita perlu memahami keperluan sebenar mereka dan menyediakan sokongan yang sesuai.
Contohnya, jika anak kita lambat bersiap, cuba fahami apa yang mengganggu fokus mereka dan bantu mereka mengatur langkah dengan lebih baik. Bersabar dan beri bimbingan secara berterusan.
Ads
Sebagai ibu bapa, kita bertanggungjawab untuk mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan kesabaran. Hindarilah hukuman fizikal dan kritikan negatif, kerana ia hanya akan membawa kesan buruk kepada perkembangan jiwa dan emosi mereka.
Anak-anak kita adalah cerminan kasih sayang dan bimbingan kita. Mari kita bantu mereka membesar dengan keyakinan diri, kebahagiaan, dan jiwa yang kuat untuk menghadapi cabaran hidup.
“Biarlah saya suap anak makan, asalkan dia tak main dengan makanan dan tak bersepah” akhirnya anak tak pandai gunakan tangan untuk menyuap makanan, lebih sedih tak tahu fungsi tangan untuk menyuap makanan, memegang sudu kerana terbiasa makan bersuap. Malah hal ini berlarutan hinggalah anak berusia 6 tahun.
Membiarkan anak-anak melakukan sendiri bukan bermakna anda ibu bapa yang tidak peka terhadap anak-anak, malah anda adalah ibu bapa yang hebat kerana percaya dan memberikan peluang untuk anak meneroka kehidupan mengikut tahap usianya.
BIARKAN ANAK URUS DIRI?
Saya memang Mummy yang malas sebab banyak biarkan anak. 😔
– Biarkan anak menangis untuk luahkan perasaan sedih dia. 😭
– Biarkan anak jalan depan saya bila di “shopping mall”, saya ikut dia nak pergi mana-mana yang dia mahu. 💃
– Biarkan anak pakai pakaian sendiri dan uruskan diri sendiri. 👕
– Biarkan anak mewarna ikut warna yang dia mahu walaupun salah. 🏝
– Biarkan anak menconteng ikut imaginasi dia. 🏡
– Biarkan anak pakai kasut terbalik sampai dia sedar dan betulkan sendiri. 🩴
– Biarkan anak makan cekodok pisang dengan sos tomato bila dia kata nak cuba. 🤭
– Biarkan anak main apa yang dia mahu main. 🎈
– Biarkan anak pakai berlapis-lapis atau main tukar-tukar baju. 👕
– Biarkan anak basuh cawan dan pinggan sendiri. 🥛
– Biarkan anak mandi lama-lama sampai dia penat mandi. 🛀
Sebab apa?
Sebab anak belajar melalui 3 E terutamanya semasa 3 tahun kebawah,
1. Experience (Pengalaman)
2. Experiment (Eksperimen)
3. Exploration (Eksplorasi)
Selagi tak melangkaui limit, selagi itu saya akan biarkan sebab kita kena faham yang anak memang sentiasa dalam proses pembelajaran. Tapi dalam membiar-biarkan perlu ada limitnya, tak adalah segala benda kita biarkan. Contohnya, anak gunting duit kertas pun kita biarkan. 😅
Limit saya lebih daripada segi adab, pemakaian (pakaian berlainan jantina dan terdedah) dan pemilihan pemakanan.
Banyak sangat kes yang saya jumpa berkaitan kelewatan perkembangan apabila mak ayah terlampau rajin sehingga tak beri peluang anak buat sendiri.
Makan bersuap,
Pakaikan pakaian,
Pakaikan kasut,
Sentiasa dukung anak,
Tak pernah beri kebebasan untuk anak berjalan sendiri di luar rumah walaupun anak dah pandai jalan.
Kalau sekali sekala nak bermanja tak ada masalah, yang menjadi masalah apabila anak tak diberi peluang langsung untuk uruskan diri sendiri.
Saya teringat pernah ada 1 kes, anak umur 6 tahun tetapi perkembangan di tahap umur 2 tahun. Bermakna sudah terlewat 4 tahun. Apabila diselidik rutin harian anak, rupa-rupanya mak ayah tak pernah biarkan anak buat apa-apa sendiri. Iyalah, satu-satunya anak tunggal.
Terlampau sayang dan rajin sehingga mengganggu perkembangan anak.
Percaya tak bila saya cakap, 2 bulan sahaja perkembangan anak menjadi normal bila saya minta mak ayah biarkan dan beri peluang untuk anak buat semua perkara sendiri.
Tapi mak ayah jangan silap sangka ya, ini kes terpencil dimana anak itu lahir normal cuma mak ayah yang tak tahu sebenarnya anak perlu belajar uruskan diri sendiri dan diberi kebebasan. Berbeza dengan kes Autisme, ADHD, Global Delay Development (GDD), Cerebral Palsy (CP) atau lain-lain. ⚠️
Risau pula ada yang melabel semua anak yang ada masalah perkembangan adalah disebabkan kesilapan mak ayah.
Jadi, kali ini saya nak kongsikan:
KELEBIHAN ANAK URUSKAN DIRI SENDIRI
1. PERKEMBANGAN NORMAL 🏆
Banyak komponen perkembangan lain akan meningkat semasa anak belajar uruskan diri sendiri selain skil urus diri. Contohnya,
– Butang atau zip pakaian ➡️ Skil motor halus
– Pakai seluar sambil berdiri ➡️ Keseimbangan badan dan skil motor kasar
– Basuh pinggan ➡️ Deria sentuhan dan koordinasi dua belah badan
– Melipat baju ➡️ Skil kognitif (pemikiran)
– Kalau kita bercakap dan bercerita dengan anak ataupun anak cerita apa yang dilakukan ➡️ Skil bertutur
– Semua aktiviti yang anak buat sendiri ➡️ Skil fokus
2. EMOSI DAN SOSIAL 🥰
Mengikut teori dari Erik Erikson berkaitan perkembangan psikososial (psikologi dan sosial), anak umur:
– 1 TAHUN 6 BULAN HINGGA 3 TAHUN
Anak akan melalui fasa autonomi vs malu/ragu-ragu. Waktu ini memang normal anak akan nak buat semua perkara sendiri dan waktu terbaik untuk anak belajar. Jika anak diberikan kebebasan untuk uruskan diri, tahap keyakinan diri anak akan berkembang.
Tetapi jika anak sentiasa disekat, anak akan jadi ragu-ragu dengan kebolehan diri sendiri dan secara tak langsung menyebabkan masalah kurang keyakinan diri.
– 3 TAHUN HINGGA 5 TAHUN
Anak akan melalui fasa inisiatif vs kesalahan. Jika kita banyak beri kebebasan untuk anak uruskan dan buat pilihan semasa 3 tahun ke bawah, waktu ini anak akan mula berinisiatif dan mempunyai banyak idea sendiri semasa bermain.
Skil imaginasi dan skil bermain akan berkembang banyak semasa ini. Anak akan mula banyak buat “projek” sendiri tapi penting juga untuk tekankan aspek keselamatan. Tetapi jika anak tak dapat kembangkan perasaan nak berinisiatif, anak akan menjadi seorang yang takut-takut nak mencuba perkara baru.
Inilah isu yang paling merisaukan sebab kesannya bukan waktu ini sahaja tetapi di masa akan datang.
Jadi, bila kita banyak beri kebebasan pada anak secara tak langsung keyakinan diri anak juga meningkat. Sekiranya ada permintaan, saya kongsikan lebih lanjut tentang fasa ini. 😉
3. KURANG STRESS ⛔
Bila anak dapat pilih apa yang dia mahu pakai, main atau belajar, secara tak langsung anak akan rasa yang dia belajar sebab dia yang nak belajar. Bukannya belajar sebab mak ayah suruh.
Contohnya anak ambil sendiri kertas dan pensil untuk melukis atau mewarna sebab dia rasa nak melukis sesuatu bukan sebab mak ayah yang suruh. (Self-directed play)
Tiada paksaan untuk anak belajar semasa 7 tahun ke bawah ya, tarik minat anak untuk belajar dan pastikan anak yang mahu belajar dan bukannya kita yang nak anak belajar.
Penting sangat untuk mak ayah pastikan anak sudah bersedia untuk membaca atau menulis sebelum mulakan. (Writing/reading readiness)
Saya pernah jumpa beberapa kes anak cemerlang di tadika dan darjah 1 hingga darjah 3 tetapi suatu masa tiba-tiba keputusan peperiksaan anak merosot mendadak. Bila diselidik, rupa-rupanya anak dah bosan belajar. Waktu itu, kita dah tak boleh putarkan masa balik. 😔
Tetapi perlu ingat juga dalam biar-biarkan pun perlu tekankan aspek keselamatan dan adab juga terutamanya jika melibatkan masalah tingkahlaku anak. Dapatkan bantuan terapis sekiranya memerlukan.
Maka, ayuhlah kita beri ruang dan peluang untuk anak belajar uruskan diri sendiri. Jomlah jadi mak ayah yang malas dalam aspek pengurusan diri anak. 🤣
Ada geng saya tak?
Terima kasih, silakan share sekiranya bermanfaat untuk mak ayah lain.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jangan sangka anak yang masih kecil tidak faham apa yang anda katakan padanya. Si kecil lebih mudah dididik sekiranya dilakukan sejak awal lagi.
BOLEH DIMULAKAN DARI USIA 6 BULAN
Disiplinkan anak pada usia bayi, adakah terlalu awal? Jawapannya ialah tidak. Mungkin ramai yang akan berkata terlalu awal mendisiplin anak daripada usia bayi. Bak kata pepatah, melentur buluh daripada rebungnya. Usia 15 bulan pertama boleh anda manfaatkan sebagai penekanan kepada disiplin.
Mama papa perlu tahu yang disiplin bukan dengan cara menengking, memukul atau mendenda. Disiplin ialah kebolehan diri si kecil untuk mengawal kelakuan diri dan memikirkan tentang orang lain.
Ia sangat baik untuk perkembangan dirinya dan pembentukan sahsiah diri. Lebih baik dimulakan lebih awal daripada anda membiarkan lama sehingga terpaksa mendisiplinkan anak yang sudah besar dengan cara yang keras!
Anda tidak boleh mengatakan bayi nakal pada usia enam bulan pertamanya kerana dia masih belum boleh memahami. Situasi akan berubah apabila bayi pada usia 6 hingga 12 bulan. Dia akan mula untuk memahami perkataan ‘tidak’ pada reaksi negatifnya.
Ingat bahawa ia bukan memaksa, tetapi menngajarnya. Jadi tidak perlu mengugut untuk mendisiplinkan anak pada usia ini. Perkataan asal disiplin daripada bahasa Latin discipline yang bermaksud learning atau belajar. Jadi, ia bermaksud anak perlu belajar melalui disiplin. Dia sepatutnya takut. Terangkan kepadanya dan tunjukkan cara yang betul.
Cuba cipta suasana di rumah yang membantunya mengikuti peraturan anda seperti menyediakan bakul mainan untuknya mengemas mainan, memastikan dia mendapat tidur, makan dan rehat yang cukup untuk mengelakkan amukan tantrum dan sebagainya. Ini akan membantunya untuk berkelakuan baik.
Mama papa perlu sentiasa tenang bila anak mula buat perangai tidak seperti apa yang anda tetapkan. Jika anda marah kepadanya, dia akan rasa sedih dan tidak akan belajar sesuatu daripada kesilapannya tadi. Cuba bertegas tetapi elakkan memarahi.
#2 TERANGKAN PERATURAN
Anda tahu bayi anda sebagai contohnya, berusia 9 bulan dan tidak memahami sepenuhnya apa yang anda terangkan tentang dia perlu ikut peraturan dan kenapa. Tapi mama papa teruskan sahaja, terangkan kepadanya berulang kali. Lama kelamaan dia akan memahaminya.
#3 ELAKKAN DENDA & MEMUKUL
Memukul tidak akan mendisiplin sebaliknya akan memberikan kesan jangka pendek sahaja. Memukul juga hanya akan menyebabkan anak takut kepada anda, keras hati dan sukar dibentuk.
#4 GUNAKAN PENGUATKUASAAN POSITIF
Salah satu cara berkesan yang boleh mendisiplinkan anak ialah dengan memujinya apabila dia mengikuti peraturan anda. Peluk dan ciumnya dan beritahu ia adalah kerana anda suka dia ikut peraturan dan berkelakuan baik.
#5 TEGAS TAPI FLEKSIBEL
Setiap peraturan perlu dilaksanakan dengan ketegasan. Mama dan papa jangan kena kentalkan hati. Tapi pastikan ada budi bicara dan pemerhatian. Tengok sekiranya si kecil mencebikkan muka kepada sepupunya, mungkin ia kerana dia terlalu seronok bermain atau bergurau.
MAMA PAPA KENA SIAP SEDIA
Corak didikan demokrasi yang lebih fleksibel disarankan. Selain itu, bersiap sedia menjadikan diri model tingkah laku kepada anak kerana mereka sering memerhatikan anda. Fahami keadaan semasa anak, perkembangan semasanya dan elakkan melabel!
Si kecil dalam proses belajar untuk mengikuti peraturan anda dan sedang membesar. Berikannya masa. Bayi ialah individu yang berlainan. Apa yang anda lakukan pada anak pertama mungkin kesannya tidak sama kepada anak kedua. Tapi mama dan papa jangan putus asa!
Gigi kekal sudah tumbuh di belakang, perlukah gigi susu dicabut? Hal ini sering menjadi dilema pada mama papa. Perlukah dibawa ke klinik atau biarkan ia tercabut sendiri.
“Mama tengok ni. Ada gigi baru tumbuh kat belakang gigi Anis,” kata Anis sambil mengangakan mulut ke arah ibunya. Setelah diteliti, memang ada gigi baru kekal tumbuh di belakang gigi kacip bawah. Memang sudah agak panjang dan tumbuhnya menyenget. Gigi kacip susunya itu juga sudah mula bergoyang apabila ditolak lembut dengan jari. Timbul kekeliruan pada fikiran si ibu sama ada ingin mencabut gigi susu tersebut untuk memberi laluan kepada gigi kekal tumbuh atau membiarkan sahaja gigi susu tersebut tercabut sendiri. Mama dalam dilema…
Situasi begini biasa terjadi pada kanak-kanak yang mula melalui fasa tumbuh gigi kekal seawal usia enam tahun. Bagaimana untuk membuat keputusan sama ada perlu mencabutnya atau tidak? Sekiranya dibiarkan adalah gigi kekal tersebut akan tumbuh senget dan bertindan.
GIGI SUSU MULA GOYANG
Menurut pandangan profesional pergigian, Dr Mazleen Abdul Rahman dari Klinik Pergigian Dr. Leen mengatakan masalah atau dilema ini biasa berlaku terutama sekali bagi ibu bapa dan anak pertama mereka. Katanya ramai yang mendapatkan perkhidmatan untuk mencabut gigi apabila gigi susu anak mereka mula bergoyang.
“Gigi susu pertama biasanya akan tumbuh apabila umur kanak-kanak berusia sekitar enam bulan dan biasanya apabila kanak-kanak berusia dua setengah hingga tiga tahun, semua gigi susunya telah tumbuh sepenuhnya. Biasanya gigi kacip akan tumbuh terlebih dahulu, diikuti dengan gigi geraham pertama, kemudian gigi taring dan gigi geraham kedua. Gigi bawah akan tumbuh dulu diikuti dengan gigi atas mengikut urutan tetapi ada juga yang sebaliknya gigi atas tumbuh dulu.
“Apabila umur kanak-kanak sekitar enam tahun, biasanya gigi kacip bahagian bawah akan mula bergoyang. Hal ini terjadi kerana akar gigi susu tersebut telah dihakis oleh gigi kekal yang mula bergerak ke permukaan gusi. Jika gigi yang bergoyang dicabut terlalu awal, maka gigi kekal yang bakal tumbuh akan menjadi makin lambat tumbuh kerana akar gigi yang menjadi rujukan telah tiada. Biasanya gigi yang bergoyang akan tanggal dengan sendirinya apabila tiba masanya,” kata Dr Mazleen.
Kanak-kanak akan memiliki 20 batang gigi susu. Warnanya putih dan akan mula luruh apabila mencecah usia lima tahun ke atas dan diganti dengan gigi kekal.
5 KEADAAN GIGI SUSU PERLU DICABUT OLEH DOKTOR
Walau pun begitu, Dr Mazleen memberikan beberapa keadaan yang memerlukan gigi si manja dicabut oleh doktor gigi iaitu:
1. Apabila gigi kekal telah tumbuh di bahagian belakang gigi susu pada bahagian rahang bawah atau gigi kekal telah tumbuh di bahagian hadapan gigi susu bagi rahang atas sedangkan gigi susu masih belum tanggal lagi.
2. Gigi susunya si manja boleh dicabut apabila ia telah rosak teruk dan selalu menyebabkan gusi bengkak dan bernanah serta sakit yang menyebabkan kanak-kanak sukar makan walaupun pernah dirawat beberapa kali oleh doktor gigi.
3. Keadaan gigi susu yang menyekat pertumbuhan gigi kekal atau menghalang gigi kekal dari tumbuh ke tempat sepatutnya.
4. Apabila sudah sampai masanya untuk gigi itu tanggal tetapi tidak tanggal juga pada usia lapan tahun. Hal ini kerana biasanya bila gigi kekal tidak kelihatan kerana berada di bawah gigi susu.
5. Sekiranya ibu dan bapa tidak mampu dan atau tidak berani untuk mencabut sendiri gigi anak yang sudah bergoyang.
MITOS TENTANG GIGI TIDAK TERSUSUN
Selain itu, menurut Dr Mazleen, terdapat mitos yang mengatakan sekiranya gigi susu yang sudah bergoyang tidak dicabut segera, gigi kekal yang tumbuh akan menjadi tidak tersusun dan bertindan. Katanya,hal tersebut adalah tidak benar sama sekali. Terdapat beberapa keadaan dan faktor yang boleh menyebabkan gigi kekal tumbuh menjadi tidak teratur? 1. Keturunan Rahang muka yang kecil dan gigi yang besar menyebabkan gigi tidak mendapat tempat untuk tumbuh jadi tumbuh secara tidak teratur. Jika ibu atau ayah atau kedua-duanya sekali mempunyai gigi yang tidak teratur maka besar kemungkinan anak juga mempunyai masalah yang sama.
2.Gigi yang dicabut terlalu awal Gigi yang rosak atau bergoyang yang dicabut terlalu awal akan menyebabkan gigi lain bergerak mengambil tempat kawasan yang dicabut. Hal ini mengakibatkan gigi yang sepatutnya tumbuh di lokasi tersebut tiada tempat . Biasanya gigi yang berlapis adalah gigi geraham kecil dan juga gigi taring.
3.Gigi susu yang tidak dicabut Gigi tidak teratur biasanya terjadi apabila gigi susu yang tidak dicabut walaupun gigi kekal telah tumbuh. Pada kebanyakan keadaan, gigi kekal menjadi berlapis-lapis dan tidak tersusun.
TIP ELAK ANAK TRAUMA UNTUK PERIKSA GIGI
Dr Mazleen menyarankan ibu bapa agar membawa si manja untuk pemeriksaan gigi dari usia muda iaitu dalam usia dua atau tiga tahun. Bukan sahaja bertujuan cabut gigi, tetapi untuk pemeriksaan berkala sekurang-kurangnya sekali setahun.
“Hal ini amat penting kerana apabila mereka sudah biasa dan tidak takut dengan doktor gigi maka senang untuk mendapatkan rawatan sama ada tampalan atau cabut. Jangan sesekali memaksa mereka untuk mendapatkan rawatan gigi. Pujuklah dengan cara yang baik. Bimbang sekiranya mereka tidak melakukan dengan rela hati mereka boleh menjadi trauma dan tidak mahu lagi membuat rawatan gigi sehingga dewasa kelak,”.
Katanya lagi, gigi yang bergoyang tidak semestinya terus dicabut. Gigi susu juga tidak semestinya dicabut oleh doktor gigi. Berjumpalah dengan doktor gigi untuk mendapatkan nasihat tentang apa yang perlu dilakukan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.