Wanita lebih sensitif semasa sedang hamil. Ini kerana, perubahan dalam hormon mereka membuatkan mereka kadangkala berkelakuan tidak rasional. Semasa hamil, ibu perlu menanggung kesakitan, kerap berjumpa doktor, dan juga sering keletihan. Justeru itu, sebagai suami, anda perlu menunjukkan sokongan anda kepada pasangan.
Bercakap dengan isteri anda tentang keinginannya semasa bersalin nanti. Anda perlu melakukannya sepanjang masa. Walau bagaimanapun, anda perlu ingat bahawa isteri yang hamil ini adalah lebih sensitif dan emosi kerana mereka perlu menangung pelbagai kerisauan dan ketakutan untuk menghadapi hari bersalin mereka. Biarkan isteri anda berkongsi dan bercerita tentang perasaan dan kegusaran mereka kepada anda.
Menemani isteri ke kelas kelahiran
Pergi ke kelas antenatal bersama isteri dengan pandangan terbuka. Anda akan mendapat informasi asas dan padu tentang proses bersalin. Jika anda bersama-sama dengan isteri semasa kelas tersebut, anda boleh belajar untuk membantu isteri anda menyelesaikan masalahnya.
Ads
Buat perancangan masa depan bersama
Ibu hamil mempunyai banyak benda yang perlu mereka lakukan, seperti memilih nama bayi, membeli pakaian bayi, menyiapkan tempat tidur bayi dan peralatan tidur, perabot, serta banyak lagi. Jadi, bantu isteri anda melaksanakan tugasan ini. Terutamanya, dalam mencari nama bayi perlulah menggunakan pendapat anda juga.
Temani isteri berjumpa doktor, atau sekurang-kurangnya mengambil tahu tentang kunjungan isteri ke klinik
Jika boleh, temani isteri anda dalam temu janjinya berjumpa doktor. Semasa kunjungan tersebut, anda berpeluang mendengar denyutan jantung bayi atau melihat imbasan ultra bunyi pada usia kandungan 20 minggu. Ini bukan sahaja akan menimbulkan perasaan bertanggungjawab anda untuk menerima kehadiran bayi baru dalam keluarga, tetapi juga cara ini dapat menunjukkan sokongan emosi anda terhadap isteri. Jika anda terlampau sibuk dan tidak dapat menemaninya, ambil berat akan jadualnya ke klinik dan bertanyakan tentang perkembangannya dan kandungan.
Jangan terkejut jika anda lihat kadangkala isteri hendakkan sesuatu makanan, dan ada hari dia tidak mahu makanan tersebut. Jangan marah kepadanya, sebaliknya anda boleh bertanyakan mengapa keinginannya berubah-ubah. Cuba untuk faham perangai mengidam isteri. Walau bagaimanapun, jangan paksa isteri untuk makan makanan yang tidak disukai kerana boleh membuatkannya bertambah sakit.
Semasa awal proses bersalin, isteri anda masih mampu untuk duduk dan berborak-borak dengan anda. Namun, ketika sudah tiba masa bersalin, anda akan lihat isteri anda mengerang dan merintih. Dia juga mungkin akan menjerit dan mahu menanggalkan pakaiannya yang tidak menyelesakannya. Tidak mustahil juga dia mahu mendengar muzik ataupun ingin senyap-sunyi sahaja.
Isteri anda mungkin mahu anda memegang tangannya ataupun memeluknya – atau mungkin juga meminta anda meninggalkannya bersendirian. Ketika ini, usahlah anda mengambil hati akan kata-kata isteri yang sedang menanggung kesakitan untuk melahirkan anak anda. Sebaik sahaja bayi anda lahir, isteri anda akan ‘kembali’ seperti asal.
Sumber: Hello Health
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mabuk hamil adalah salah satu di antara banyak cabaran yang harus dilalui seorang ibu mengandung. Ada yang langsung tak merasainya, ada yang sangat teruk sehingga terlantar sakit dan ada juga yang dialami oleh sang suami. Oh, betapa sayangnya suami kepada isteri, sampai sanggup berkongsi kesakitan. Barulah dikatakan susah senang bersama. Setuju?
APA ITU MABUK HAMIL?
Sebelum kita pergi ke cara mengatasi mabuk hamil, mari kita lihat definisi mabuk hamil atau morning sickness terlebih dahulu. Mabuk hamil adalah merupakan perasaan loya atau mual yang seringkali dialami oleh wanita hamil di dalam trimester pertama. Ia biasanya berlaku pada waktu pagi dan hilang dengan sendirinya menjelang tengahari atau petang. Bergantung kepada tahap keseriusan, terdapat beberapa cara untuk atasi mabuk hamil tersebut.
BERAPA LAMA TEMPOH MABUK HAMIL?
Setiap orang tidak sama tempoh mereka mengalami morning sickness. Perubahan hormon dalam tempoh 12 minggu pertama adalah mungkin salah satu sebab-sebab kenapa seseorang itu mengalami mabuk hamil. Mungkin juga kerana kekurangan vitamin B6 dalam diet.
Morning sickness biasanya bermula pada kira-kira 6 minggu pertama kehamilan dan akan beransur-ansur pulih di antara tempoh 14 minggu dan 16 minggu. Tetapi anda mungkin mendapati bahawa pelbagai peringkat loya akan terus berlaku sehingga 20 minggu, dan mungkin juga dalam keseluruhan tempoh kehamilan.
Jika anda mengalami kesakitan, demam atau sakit kepala, atau rasa loya dan muntah-muntah untuk kali pertama selepas sembilan minggu kehamilan, berjumpa dengan doktor anda.
BERAPA LAMAKAH MABUK HAMIL AKAN BERPANJANGAN?
Seperti diberitahu, rasa loya dan muntah lazimnya bermula sekitar 6 minggu kehamilan. Kebiasaanya ia berlaku pada waktu pagi, tetapi ianya boleh juga berlaku pada bila-bila masa siang atau malam. Sumber dari Kementerian Kesihatan ini menyatakan, lebih kurang 80% wanita akan berhenti mengalami gejala ini sekitar 12 minggu kehamilan, selebihnya beransur pulih sekitar 16 minggu kehamilan. Walau bagaimanapun ada juga segelintir wanita yang akan mengalami masalah ini sepanjang kehamilannya.
CARA MENGATASI MABUK HAMIL
JUMPA DOKTOR DAHULU
Pertama sekali, jika anda bangun dan merasakan loya yang teramat dan muntah-muntah sehingga lemah seluruh anggota badan, adalah lebih baik jika anda segera dapatkan rawatan doktor dan ambillah cuti pada hari tersebut. Jika perlu, doktor akan berikan ubat yang sepatutnya.
Kemungkinan besar badan anda sedang bekerja lebih masa bagi membantu perkembangan bayi anda dan badan anda amat memerlukan rehat yang secukupnya. Ia dapat membantu anda dari segi fizikal dan mental untuk menempuh hari-hari yang bakal mendatang.
HIDU BAU LIMAU
Kebanyakan mabuk hamil berpunca dari bau yang kuat terutamanya bau busuk seperti lori sampah yang lalu depan rumah ataupun bau masam ketika sedang berada dalam sebuah pengangkutan awam dalam perjalanan ke tempat kerja. Jika anda mula berasa mual, antara cara termudah untuk atasinya adalah dengan membawa ekstrak limau atau bunga rosmeri di dalam beg anda, dan menghidunya apabila berpeluang. Aroma segar ini dapat melupakan hidung anda daripada bau busuk tersebut dan rasa mual pun akan beransur-ansur hilang.
MINUM AIR DALAM KUANTITI YANG BANYAK
Salah satu cara mengatasi mabuk hamil adalah dengan mengambil air sekurang-kurangnya 2 liter sehari. Ini adalah disebabkan kekurangan air dalam badan, akan menyebabkan lebih teruk mabuk hamil anda sekiranya ia berlaku. Ada juga yang mengatakan, minum segelas air sejuk berais atau pun minum secawan teh panas dapat membantu mengatasinya. Cubalah.
ELAKKAN PERUT KOSONG
Anda juga boleh cuba untuk makan sedikit biskut bagi mengelakkan perut kosong dan masuk angin. Dengan cara mengalas perut, kesan mabuk hamil tidaklah seteruk berbanding perut yang kosong.
MINUM TEH HALIA
Bagaimana dengan halia? Kalau kebiasaannya kita minum teh halia untuk membuang angin di dalam badan, sebenarnya kandungan di dalam halia juga dapat membantu mengurangkan kesan mabuk hamil tersebut. Tetapi jika anda seorang yang memang tak boleh tahan dengan halia, janganlah paksa diri pula untuk menelan halia tadi. Ok?
MAKAN VITAMIN
Cuba ambil Vitamin B6 jika anda mahukan suplemen di dalam tubuh anda. Pengambilan 50mg Vitamin B6 setiap hari terbukti dapat membantu di dalam mengurangkan peluang untuk mendapat mabuk hamil.
Tidak ada orang yang mahukan mabuk hamil tetapi terdapat pelbagai cara mengatasi mabuk hamil tersebut. Semoga petua hilangkan mabuk hamil ini dapat membantu serba sedikit.
Sumber: Kelab Ibu Hamil, Menyusu & Berpantang
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bukanlah sesuatu yang asing apabila seseorang wanita mendapat kencing manis ketika hamil. Sempena Hari Diabetes Sedunia hari ini, ayuh ikuti penerangan dari Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita & Kehamilan. Menurutnya, kencing manis ketika hamil dipanggil sebagai Gestional Diabetes.
Ianya terjadi apabila terdapat kerintangan insulin – sejenis hormon yang dihasilkan oleh badan manusia untuk mengawal atur kawalan paras gula di dalam darah, untuk memenuhi keperluan ketika mengandung. Hasilnya, paras gula di dalam darah meningkat.
14 November – Hari Diabetes Sedunia.
Sempena Hari Diabetes Sedunia, saya nak bercerita sikit pasal diabetes (kencing manis) ketika hamil.
Diabetes yang bermula apabila anda disahkan mengandung dikenali sebagai Gestational Diabetes. Ianya terjadi apabila terdapat kerintangan insulin – sejenis hormon yang dihasilkan oleh badan manusia untuk mengawal atur kawalan paras gula di dalam darah, untuk memenuhi keperluan ketika mengandung. Hasilnya, paras gula di dalam darah meningkat.
Pada kebiasaannya, keadaan Gestational Diabetes terjadi pada pertengahan ataupun pada lewat usia kandungan.
Keadaan Gestational Diabetes ini kerap berlaku. Kadar kebiasaannya, dalam 100 orang wanita mengandung, 18 orang akan menghidapi penyakit ini. Dalam erti kata lain, 18 % wanita mengandung akan ‘dihantui’ dengan masalah ini. Amat biasa bukan?
Apakah risiko-risiko bagi saya untuk menghidapi diabetes ketika hamil?
Anda berisiko tinggi menghidapi diabetes ketika mengandung, jika anda mempunyai salah satu daripada faktor-faktor yang tertera di bawah:
Indeks Jisim Badan (BMI) adalah 30 ataupun lebih Sejarah kelahiran bayi besar, melebihi 4 kg ataupun lebih Sejarah kandungan yang mempunyai Diabetes ketika mengandung Ibu bapa, adik-beradik yang juga mempunyai Diabetes
Bagaimana saya tahu jika saya mempunyai kencing manis dalam kehamilan?
Jika anda mempunyai salah satu faktor seperti yang tertera, anda akan menjalani ujian toleransi glukosa (GTT) ketika mengandung. Ini adalah sejenis ujian mudah yang dijalankan pada awal peringkat kandungan dan akan diulang pada usia kandungan 24 hingga 28 minggu.
Ujian toleransi glukosa GTT memerlukan anda untuk berpuasa semalaman iaitu tidak makan atau minum, kecuali air kosong/ air mineral sahaja.
Pada awal pagi nya, sebelum anda menikmati sarapan, ujian darah akan dijalankan terlebih dahulu. Kemudian anda akan diminta untuk menghabiskan larutan gula yang berperisa Oren atau Cola.
Kemudian, ujian darah akan diulang sekali lagi selepas 2 jam anda menikmati larutan gula ini. Mudah bukan?
Jika anda menghidapi kencing manis pada kandungan sebelumnya, anda akan diminta membuat ujian toleransi glukosa GTT ini pada lebih awal kandungan untuk pengesanan awal Diabetes ketika mengandung, justeru dapat mengawal atur paras gula di dalam darah. Kawal atur gula di dalam darah pada peringkat awal mengandung adalah teramat penting dalam tempoh pembentukan organ-organ penting bayi anda pada ketika ini dan mengurangkan komplikasi Diabetes pada bayi dan juga ibu. Jika keputusan ujian toleransi glukosa GTT normal, ujian ini perlu diulang pada usia kandungan 24 hingga 28 minggu kandungan.
Apakah kesan kencing manis pada kehamilan saya?
Kebanyakan ibu yang menghidapi diabetes ketika mengandung ini tidak mempunyai masalah sepanjang proses kehamilan dan rata-rata melahirkan bayi yang sihat dan comel, tetapi terdapat segelintir kes diabetes ini membawa masalah yang serius pada ibu dan juga bayi, lebih-lebih lagi jika diabetis tidak dikesan awal dan dirawat dengan optimum. Kebolehan untuk mengesan awal diabetes ketika mengandung dan mengawal atur paras gula dengan optimum dapat mengurangkan banyak risiko serta komplikasi yang berkaitan.
Amatlah penting ibu-ibu sekalian memastikan paras glukosa di dalam darah terkawal. Jika paras gula di dalam darah ibu kekal tinggi dan tidak terkawal, bayi akan memberikan respon kepada paras gula yang tinggi ini dengan menghasilkan lebih banyak insulin, di mana bayi anda akan membesar secara berlebihan di dalam rahim, seterusnya anda akan diminta untuk bersalin lebih awal daripada tarikh dijangka bersalin (induction), juga terdapat risiko berakhir dengan pembedahan caesaerean akibat daripada bayi besar ataupun kegagalan proses induksi (induction). Jika anda bersalin biasa pula, risiko bahu bayi tersangkut ketika kelahiran normal dan kecacatan saraf mungkin berlaku.
Risiko kematian bayi di dalam rahim (in utero death) secara mengejut juga meningkat jika paras gula di dalam darah tidak dikawal.
Bayi anda yang menghasilkan lebihan hormon insulin tadi turut akan mengalami paras gula rendah pula selepas kelahiran. Maka, bayi anda perlu dimasukkan dalam wad rawatan rapi bayi untuk pemerhatian oleh pakar paediatrik.
Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang mempunyai kencing manis juga mempunyai risiko menghidap kencing manis dan masalah kegemukan bila ianya meningkat dewasa kelak.
Maka, ibu-ibu perlu mengawal paras gula di dalam darah dalam proses kehamilan dan proses kelahiran untuk mengurangkan risiko dan komplikasi pada ibu dan juga bayi anda.
Bagaimanakah diabetes ketika hamil dirawat?
Jika anda menghidapi Diabetes ketika mengandung, anda perlukan rawatan susulan oleh pakar perbidanan dan sakit puan, pakar perubatan/ endokrinologi, pegawai zat makanan dan jururawat diabetes. Anda akan diminta supaya membuat rawatan susulan lebih kerap untuk pemeriksaan.
Yang penting ketika menghidapi diabetes adalah memastikan tabiat permakanan yang sihat dan senaman. Kebiasaanya diabetes ketika mengandung dapat dikawal dengan kawalan diet atau permakanan sahaja.
Walau bagaimanapun, daripada 5 ibu yang menghidapi diabetes, seorang ibu memerlukan rawatan insulin untuk mengawal paras gula di dalam darah. Jika anda memerlukan rawatan insulin, jururawat diabetes akan menerangkan kepada anda bagaimana anda boleh melakukannya.
Ibu-ibu tidak perlu risau, seharunya kesempatan ini diambil untuk berbincang dengan pegawai dietitik mengenai pemilihan makanan yang berkhasiat untuk anda dan bayi anda, dalam masa yang sama dapat mengawal paras gula pada tahap yang memuaskan.
Bagaimanakan proses kelahiran saya nanti? Bilakah saya akan diminta untuk bersalin?
Ibu yang menghidapi Diabetes ketika mengandung, akan diminta bersalin pada usia kandungan 38 hingga 40 minggu, mengikut keadaan Diabetes dan kawalan paras gula dalam darah. Cara kelahiran juga akan dibincangkan bersama anda dan pasangan, mengenai kelebihan bersalin biasa, induced labour ataupun pembedahan caesaerean mengikut keadaan Diabetes ibu dan juga anggaran saiz bayi.
Apakah yang perlu saya lakukan selepas bersalin?
Selepas tempoh pantang 6 minggu, temujanji akan diberikan kepada anda untuk mengulang semula ujian toleransi glukosa GTT, untuk memastikan anda bebas daripada Diabetes selepas kelahiran. Jika ujian ini tidak normal, anda akan dirujuk kepada pakar perubatan/endokrinologi untuk rawatan susulan diabetes.
Wanita yang menghidapi diabetes ketika mengandung, mempunyai kebarangkalian 1 di dalam 3 menghidapi Diabetes Jenis 2 dalam tempoh 5 tahun berikutnya. Justeru itu, anda dinasihatkan untuk menjalani Ujian Glukosa berpuasa (Fasting Blood Glucose) setahun sekali.
Bagaimana jika saya bercadang untuk hamil sekali lagi selepas ini?
Sebelum bercadang untuk mengandung lagi, pastikan berat badan anda sesuai dengan tinggi anda, mempunyai Indeks Jisim Badan BMI yang ideal, mengamalkan permakanan dan gaya hidup yang sihat, untuk mengurangkan risiko anda menghidapi sekali lagi diabetes ketika mengandung.
Jika bercadang untuk mengandung lagi, anda boleh memulakan pengambilan asid folik tambahan 5mg sehari sekali sebelum menghentikan perancangan keluarga dan pada 3 bulan pertama kehamilan. Anda memerlukan preskripsi doktor untuk ubat ini.
Kecacatan kelahiran adalah lebih tinggi dalam kehamilan diabetik berbanding dengan kehamilan biasa. Mengambil asid folik tambahan akan mencegah bayi anda daripada kecacatan kelahiran seperti spina bifida yang disebabkan oleh tiub saraf yang tidak tertutup dengan baik.
Cuba pastikan tahap gula dalam darah anda dikawal dengan baik sebelum anda hamil dan anda akan berada dalam keadaan yang lebih baik untuk mengawalnya sepanjang kehamilan anda. Ini akan mengurangkan risiko masalah kesihatan bertambah bagi anda dan bayi anda.
Kehamilan anda mungkin berisiko tinggi, tetapi ini tidak bermakna anda akan mengalami masalah, terutamanya jika anda terus mengawal tahap gula dalam darah anda pada tahap normal sebaik mungkin di bawah pengawasan doktor dan petugas kesihatan anda.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pelakon dan penyanyi kesayangan ramai, Ayda Jebat berkongsi khabar gembira buat para peminat apabila mendedahkan dirinya kini sedang hamil anak ketiga. Perkongsian manis itu dibuat menerusi akaun Instagram miliknya, sekali gus mencuri perhatian warganet dan rakan artis yang tidak putus-putus menitipkan ucapan tahniah.
Ayda, atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 33, memaklumkan dirinya kini hamil empat bulan. Sebagai seorang selebriti yang aktif, berita ini nyata membuatkan ramai teruja kerana sebelum ini Ayda masih kelihatan lincah dan ceria menguruskan kerjaya serta keluarga.
Hantaran yang dibuat Ayda segera dibanjiri doa dan ucapan manis, termasuk daripada rakan artis rapat, Mira Filzah yang pernah bergandingan dengannya dalam drama Mandul Bukan Pilihan. Mira dengan nada berseloroh menulis,
“Awak rahsiakan dari kami ya. Tapi saya gembira jadi antara yang pertama tahu. Kalau tak, memang saya tak bagi Elhan (watak Ashraf Muslim) campak-campak awak. Tahniah, jangan nakal-nakal okey.”
Ayda yang terkenal dengan sifat ramah dan mesra, membalas dengan penuh kasih sayang, “Maaf sayang, saya terpaksa. Kalau tak mesti kalian tak bagi buat dramatik. Insya-Allah semuanya okey. Sayang kamu semua.”
Untuk rekod, Ayda mendirikan rumah tangga bersama pelakon dan pengacara, Nabil Mahir pada tahun 2020. Pasangan ini sudah dikurniakan dua cahaya mata, Ana Nayla yang kini berusia empat tahun serta Aali Mateen yang berusia dua tahun. Kini, kehadiran anak ketiga pastinya menambah keceriaan rumah tangga mereka.
Bagi ibu-ibu, kehamilan anak ketiga biasanya membawa pengalaman berbeza. Walaupun tubuh sudah terbiasa dengan proses kehamilan, tanggungjawab mengurus dua anak kecil serentak boleh menjadi cabaran. Namun, sokongan pasangan serta keluarga menjadi kunci utama untuk memastikan ibu hamil kekal positif dan sihat sepanjang tempoh mengandung.
Berita gembira ini bukan sahaja mengundang senyuman buat peminat, malah memberi inspirasi kepada para ibu bahawa setiap anak adalah rezeki yang tidak ternilai. Semoga kehamilan Ayda dipermudahkan dan bayi yang bakal lahir nanti sihat serta menjadi penyeri keluarga kecil mereka.
✨ Tahniah sekali lagi buat Ayda Jebat dan Nabil Mahir!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.