Sayangnya! Jika susu ibu yang sangat berharga dikendalikan dengan cara yang salah, ia tidak boleh digunakan lagi. Bersesuaian dengan khasiatnya, ia memerlukan perhatian dan dihargai sepenuhnya. Susu ibu tidak dikatakan basi tetapi dikategorikan sebagai susu yang tidak boleh digunakan lagi.

Artikel Menarik: [Keracunan Walaupun Hanya Minum Susu Ibu. Bila Periksa, Rupanya Botol Tercalar]

Tidak boleh ambil mudah, para ibu harus belajar cara yang betul untuk mengendalikan susu perahan. Ikuti penjelasan daripada Juzaila Abdul Satar, Kaunselor Laktasi, tentang atur cara pengendalian susu ibu secara berkesan. Semoga perkongsian ini dapat membantu para ibu yang masih belajar.

Bagaimana Nak Tahu Susu Sudah Rosak?

Perhatikan jika susu perahan anda mempunyai ciri-ciri ini. Jika ada, jangan diberi kepada si manja dikhuatiri mendapat keracunan makanan.

  • Berbau tidak sedap
  • Mempunyai aroma yang tidak sedap dan berbau tengik.
  • Tidak larut ketika digoncang
  • Ketika disimpan dalam peti ais, komponen lemak dalam susu akan terpisah. Jika ia masih segar dan elok, kedua-dua komponen ini akan larut bersama. Sekiranya ia bergumpal dan tidak larut, maka ia sudah rosak.
  • Bau masam dan rasanya masam
  • Semasa menyediakan susu untuk anak anda, jika terdapat bau dan rasa yang masam, elakkan daripada diberikan kepada bayi anda kerana ia sudah rosak.

Macam Mana Nak Kendalikan Susu Ibu?

Terdapat aturan dalam mengendalikan susu perahan bermula dari diperah untuk disimpan dan kemudian dicairkan apabila hendak digunakan. Ada tempoh tertentu susu tersebut boleh digunakan. Aturan ini bertujuan supaya bayi mendapat khasiat susu ibu yang paling optimum.

Artikel Menarik: [Hamil Lagi, Patut Ke Bercerai Susu? Ikuti Tip Penyusuan Ketika Hamil]

 

Ketika mengendalikan susu perahan, terdapat panduan yang perlu diikuti. Tujuannya adalah untuk memelihara khasiat susu ibu kerana susu ibu akan kehilangan nutrien kesan daripada proses penyimpanan.

  • Gunakan bekas yang steril untuk menyimpan susu perahan samada menggunakan beg plastik susu (sekali kali kegunaan sahaja) atau menggunakan botol bebas BPA (tempoh guna sehingga enam bulan).
  • Labelkan tarikh dan masa pada bekas penyimpanan.
  • Simpan di dalam peti ais di bahagian paling dalam sekiranya tidak dibekukan.
  • Gunakan susu yang paling lama di simpan. Panaskan susu yang pertama mengikut tarikh disimpan kepada bayi anda.
  • Simpan susu secara teratur jika diletak bersama bahan mentah lain. Pastikan bahan mentah disimpan di dalam bekas bertutup.

Perbezaan Ketika Mengendalikan Susu Segar, Susu Sejuk & Susu Sejuk Beku

Susu segar: Jika hendak berikan bayi susu segar, sejurus diperah boleh diberikan terus kepada bayi dan hendaklah dihabiskan dalam tempoh 1 jam. Tidak boleh disimpan bakinya  jika bayi tidak habis minum dan sekiranya bayi belum minum, susu boleh berada di dalam suhu bilik sehingga empat jam tetapi tidak digalakkan kerana suhu di negara kita panas bukan seperti di luar negara.

Susu sejuk: Susu di bahagian chiller peti ais boleh disimpan sehingga lima hari mengikut kekerapan buka dan tutup pintu peti ais. Jika peti sering dibuka, selepas tiga hari susu tersebut hendaklah dibekukan. Jika hendak diberikan kepada bayi, susu boleh disuamkan atau boleh diberikan dalam suhu bilik atau ada bayi menerima susu sejuk dengan baik. Susu hendaklah dihabiskan dalam tempoh sejam dan baki susu tidak boleh disimpan semula.

Susu beku: Jangka susu beku berbeza-beza mengikut peti ais yang digunakan. Bagi peti ais satu pintu, jangka hayat susu beku adalah dua minggu. Bagi peti ais dua pintu pula, jangka hayat susu beku adalah sehingga tigabulan. Bagi yang menggunakan deep freezer,  jangka hayat susu beku adalah sehingga enam bulan. Sekiranya terdapat keperluan untuk memindahkan susu beku, hayat susu tersebut mengikut tarikh susu diperah.

Harus Prihatin Sejak Susu Diperah

  1. Pastikan tangan telah dibasuh sebelum memerah dan begitu juga dengan peralatan memerah.
  2. Setelah susu diperah, simpan di dalam bekas penyimpanan dan susu hendaklah diisi sehingga 3/4 bekas/plastik sahaja. Tutup bekas penyimpanan dengan rapat dan labelkan.
  3. Simpan di dalam beg yang mengandungi gel ais beku yang cukup untuk memastikan suhu susu tidak berubah berkurang.
  4. Setelah sampai di rumah, jika hendak digunakan pada hari esok, boleh di simpan di dalam chiller di bahagian paling dalam. Jika ingin dibekukan, boleh dimasukkan terus ke dalam deep freezer.

Simpan Dalam Botol, Plastik Aau Bekas Lebih Selamat?

Untuk kekalkan kesegaran susu ibu, penting untuk memastikan peti ais diaturkan bahan masakan dengan baik. Ini bermaksud semua bahan masakan termasuklah bahan mentah disimpan di dalam bekas bertutup dan ditutup rapat. Ini kerana susu ibu boleh menyerap bau peti ais dan boleh menyebabkan bayi menolak susu sejuk/susu beku.

Setiap medium penyimpanan ada kebaikan dan kekurangannya. Jika menggunakan botol, boleh digunakan berulang kali sehingga enam bulan tetapi mengambil ruang penyimpanan. Jika menggunakan plastik pula, penggunaan hanya sekali pakai sahaja tetapi dapat menjimatkan ruang penyimpanan. Oleh itu, ibu perlu bijak membuat pilihan mengikut kesesuaian.

Artikel Menarik: [Berbaloi Dua Jam Sekali Bangun Malam. Penyusuan Waktu Ini Banyak Kelebihan Untuk Anak]

Kesilapan Paling Biasa Dibuat Ketika Menyimpan Susu

  • Meletakkan susu perahan di bahagian pintu peti ais. Sepatutnya susu ibu perlu diletakkan jauh dari pintu kerana aktiviti membuka pintu peti ais menganggu kestabilan suhu peti ais.

  • Susu perahan bercampur dengan bahan mentah masakan yang tidak disimpan di dalam bekas bertutup menyebabkan susu ibu berbau ikan,bawang dan sebagainya.
  • Menggunakan bekas simpan yang bukan dalam senarai bekas yang selamat digunakan. Contoh menggunakan plastik aiskrim untuk menyimpan susu.

Jom sertai komuniti ibu Pa&Ma Moms To Be. Anda boleh ikuti forum, ajukan soalan-soalan kepada doktor dan menggunakan pelbagai tools di sini. Sign up di https://momstobe.majalahpama.my