Penyanyi Jacyln Victor mempunyai cara tersendiri untuk mendidik anak-anaknya, Jonah Joshiah Rivera dan Molly Marguerite Rivera.
Kata Jac, dia tidak akan lagi membenarkan gajet dan teknologi melekakan dan menjadi pengasuh anak-anaknya mulai sekarang.
“Perkara paling teruk yang saya lakukan sepanjang menjadi ibu ialah membenarkan televisyen dan gajet berperanan sebagai pengasuh.
“Mudah bukan, tayangkan sahaja apa yang anak-anak suka dan biarkan mereka. Adoi.
“Anak-anak saya memang hebat. Mereka membesar dengan sihat dan gembira tetapi saya pasti mereka mampu melakukan lebih daripada itu.
Ads
“Saya mahu mereka memaksimumkan untuk memperbetukan kesilapan saya, kembali mendidik dengan cara old school sepertimana saya dibesarkan oleh ibu saya,” katanya.
Memikirkan tentang peranannya sebagai ibu, kata Jac lagi sudah menjadi pilihannya untuk membesarkan anak-anak tanpa bantuan pengasuh.
“Saya banyak memikirkan betapa teruknya saya sebagai ibu mereka.
Ads
“Saya memilih untuk membesarkan mereka tanpa pertolongan pengasuh sebab tidak mahu terlepas melihat mereka. Kiasu bukan?
“Saya ingat saya sudah melakukan perkara terbaik buat mereka dengan membantu mereka menguruskan diri tetapi saya sepatutnya membiarkan mereka melakukan perkara itu dengan berdikari,” tambahnya.
Penyanyi lagu Gemilang itu telah berkahwin dengan penyanyi Amerika Syarikat, Shawn Rivera pada Julai 2014 dan berpisah 2020.
Mesti ada di antara anda terfikir, bukankah melelapkan mata itu satu kemahiran semula jadi? Bagi sesetengah individu dewasa, masa untuk tidur dianggap perkara yang mudah. Malahan, untuk mereka yang baharu bergelar ibu bapa, kepenatan menjaga si kecil mungkin membuatkan anda terus tertidur sebaik sahaja berbaring.
Tetapi keadaan itu berbeza bagi bayi kecil. Mereka masih belum mempunyai kemahiran yang sama. Latihan tidur adalah satu proses untuk membantu bayi belajar melelapkan mata dan kekal tidur sepanjang malam.
Kebanyakan bayi dapat mengadaptasi kemahiran ini dengan mudah dan cepat.
Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah anak yang berdepan kesukaran untuk tidur atau kembali melelapkan mata selepas terjaga.
Adakah anda tahu bilakah masa yang sesuai untuk melatih anak tidur sendiri?
Pakar mengesyorkan waktu yang sesuai untuk memulakan latihan tidur ketika bayi berusia 4 hingga 6 bulan. Di bawah ada penjelasan lebih lanjut mengenai kesesuaian batas usia anak:
# Baru lahir hingga 2.5 bulan
Bayi yang baru lahir tidak dapat membezakan antara malam dan siang kerana mereka tidak menghasilkan cukup melatonin.
Mereka juga memerlukan penyusuan pada waktu malam yang kerap. Jadi buat masa ini, ia bukanlah masa sesuai untuk melatih anak tidur sendiri.
# 3 hingga 4 bulan
Menjelang usia 3 hingga 4 bulan, bayi mula membentuk kitaran tidur malam. Mereka mudah bergaul, tidak mengalami kegelisahan perpisahan dan dapat melelapkan mata dengan lebih baik.
Pun begitu, kebanyakan kanak-kanak pada usia ini, masih belum bersedia untuk menenangkan diri sendiri. Jadi wujud sedikit kesukaran untuk melatih si kecil tidur.
# 4.5 hingga 5.5 bulan
Kebanyakan pakar mencadangkan untuk memulakan latihan tidur anak pada sekitar usia ini. Ia disebabkan oleh keadaan bayi yang boleh melelapkan mata sehingga tempoh 6 hingga 8 jam tanpa perlu melakukan penyusuan pada waktu malam.
Seperkara harus diingatkan pada batas usia anak ini, mereka sudah mula belajar bahawa tangisan akan mendapat tindak balas segera daripada anda. Jadi bersedialah untuk mendengar rengekan si manja nanti apabila anda melangkah meninggalkan mereka!
# 6 hingga 8 bulan
Pada usia ini, bayi dikatakan lebih berminat untuk mencari mainan daripada memerhatikan anda. Jadi sekiranya anda sedang merancang untuk melatih anak tidur sendiri, inilah masa yang sesuai untuk melakukannya! Bayi juga dikatakan kurang cerewet sekiranya terjaga pada waktu malam.
# 9 hingga 11 bulan
Bayi mula memahami bahawa ibu bapa masih ada walaupun setelah meninggalkan mereka. Jadi si kecil akan menggunakan senjata terhebat mereka – tangisan – untuk memanggil anda kembali. Pada tempoh ini, latihan tidur mungkin boleh mewujudkan rasa penat dan kecewa pada diri anda. Pun begitu, tiada apa yang boleh menghalang anda jika mahu terus mencuba latihan tidur ini.
# 12 hingga 16 bulan (1 tahun 4 bulan)
Dalam batas usia anak ini, mereka mula menumpukan perhatian untuk mengembangkan kemahiran pertuturan dan fizikal, jadi anak akan ‘kurang melekat’ dengan ibu ayah. Jadi gunakanlah tempoh ini untuk melakukan latihan tidur.
# 17 hingga 21 bulan (1 tahun 5 bulan hingga 1 tahun 9 bulan)
Agak pelik tetapi pada usia ini anak sedang dalam proses untuk berdikari dan mereka mungkin akan lebih memerlukan sokongan anda. Jadi hentikan dulu rancangan untuk melatih anak tidur sendiri.
5 petua latih anak tidur sendiri
Anda sudah tahu batas usia anak yang sesuai untuk memulakan latihan tidur tetapi ada rasa khuatir jika tidak berjaya? Usah bimbang, apa kata cuba 5 petua berikut:
1. Wujudkan rutin waktu tidur
Setiap malam, lakukan rutin tidur yang boleh menenangkan fikiran dan mempersiapkan tubuh mereka untuk melelapkan mata. Ia melibatkan teknik menenangkan seperti mandi, membaca buku atau pun menyanyikan lagu dengan irama mengasyikkan seperti ‘Twinkle-twinkle Little Star’.
Pastikan rutin ini dilakukan secara konsisten untuk memberitahu bayi bahawa ia adalah masa tidur. Teknik ini juga dapat mengembangkan jam dalaman mereka.
2. Tetapkan tarikh efektif untuk melakukannya
Walaupun pada hakikatnya tidak ada masa yang tepat untuk melatih anak tidur sendiri, tetapi elakkan memilih waktu hampir dengan perkara-perkara penting lain dalam kehidupan anak.
Antaranya seperti masa untuk berjumpa pengasuh baharu atau minggu pertama memperkenalkannya dengan mainan gigi (teething toys). Kebanyakan ibu bapa memilih untuk memulakan latihan tidur pada hari Jumaat dan menggunakan kelebihan waktu hujung minggu. Ada juga yang mengambil cuti daripada tugasan kerja bagi mengelakkan isu mengantuk sewaktu bekerja.
3. Waktu siang untuk bermain
Bercakap dan bermain dengan bayi pada siang hari akan dapat memanjangkan waktu si kecil berjaga.
4. Letakkan bayi di katil tidur ketika masih terjaga
Berapa ramai ibu bapa yang memilih untuk meletakkan si kecil di katil mereka saat sudah melelapkan mata? Tindakan anda itu mungkin akan menyukarkannya untuk kembali tidur apabila terbangun pada waktu malam.
Langkah terbaik, apabila si kecil tampak mengantuk tetapi masih lagi berjaga, ia merupakan waktu sesuai untuk meletakkan mereka di katil tidur.
5. Fahami isyarat bayi letih
Perhatikan jika si kecil menguap, menggosok mata atau mula merengek. Ia adalah isyarat mereka sudah letih dan biasanya akan berlaku pada waktu yang sama setiap malam. Penting untuk meletakkan bayi di tempat tidur ketika mereka mengantuk tetapi tidak terlalu letih.
Ini kerana jika bayi terlalu penat, mereka lebih sukar untuk tidur dan cenderung untuk bangun lebih awal.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Apakah hukumnya jika isteri melarang suami untuk berpoligami?
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.
Tidak berdosa hukum ke atas seorang isteri untuk melarang suaminya untuk berpoligami apabila terdapat keperluan untuk membantahnya. Hanya sanya perkara yang dilarang oleh Hukum Syarak adalah mengharamkan apa yang Allah Taala telah halalkan dan menghalang suami daripada berkahwin lain dengan tindak tanduk yang tidak mematuhi Syarak seperti mengugut mencederakan diri sendiri atau orang lain.
Adapun jika melarang dengan menjustifikasikan dengan perkara-perkara yang disyariatkan maka adalah dibenarkan dan dianjurkan. Misalnya, jika berpoligami akan menyebabkan kezaliman pada nafkah dan qismah (pembahagian hari antara isteri) isteri-isteri, atau nafkah anak-anak dan ibu bapa, maka perbuatan melarang serta menghalang itu adalah adalah suatu nasihat yang terpuji dalam agama.
Ini termasuklah untuk mencegah daripada menyakiti hati isteri dan mengakibatkan gangguan berlebihan apabila isteri itu ditimpa penyakit cemburu. Ini berdalilkan sebuah hadis daripada al-Miswar bin Makhramah RA bahawa Rasulullah ﷺ berkhutbah di atas minbar:
Maksudnya: “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin kepadaku agar aku menikahkan anak wanita mereka dengan Ali bin Abu Thalib, namun aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka! Kecuali jika Ali bin Abu Tolib menceraikan anakku lalu menikahi anak wanita mereka. Sesungguhnya anakku (Fatimah) adalah bahagian dariku, aku merasa senang dengan apa sagaja yang menyenangkannya dan aku merasa sakit atas semua yang menyakitinya.”
Riwayat al-Bukhari (5320) dan Muslim (2449)
Berkata Imam Ibn Hajar al-Asqalani: “Dan sebab padanya (larangan ke atas Ali untuk berpoligami semasa pernikahan dengan Fatimah) seperti mana yang telah disebut dahulunya dalam (bab) manaqib (Fatimah) bahawa beliau telah ditimpa (ujian) kehilangan ibunya (Khadijah) kemudian saudari-saudari perempuannya, seorang demi seorang, sehingga tiada siapa yang tinggal untuk beliau mengadukan isu-isu kerahsiaan (rumah tangga) supaya melegakan perasaan akibat cemburu.”
Ibn Hajar juga membawa riwayat al-Zuhri yang menyebut sabda Rasulullah ﷺ:
Maksudnya: “Dan aku risau bahawa agamanya (yakni Fatimah) akan ditimpa ujian fitnah,” yakni Fatimah menjadi tidak sabar kerana cemburu lalu berlaku sesuatu yang tidak layak pada darjat beliau pada agama daripada beliau semasa marah.”
Rujuk Fath al-Bari (9/329)
Dalam hadis riwayat Muslim menyebut bahawa Ali bin Talib telah meminang anak Abu Jahal (yang sudah Islam), sedangkan beliau telah bernikah dengan Fatimah, anak perempuan Rasulullah ﷺ. Apabila Fatimah mendengar hal itu, beliau berjumpa Nabi ﷺ dan berkata kepada beliau: “Sesungguhnya kaummu telah mengatakan bahawa engkau tidak marah demi anakmu, apabila Ali bernikah dengan anak Abu Jahal.” Berkata Miswar (perawi hadis): Lalu Nabi ﷺ bangkit dan aku mendengar baginda bersyahadah kemudian berkhutbah:
Maksudnya: “Amma ba’du, sesungguhnya aku telah menikahkan Abu al-`Aas bin al-Rabi’ (suami Zainab) lalu memberitahuku dan membenarkanku. Sesungguhnya Fatimah binti Muhammad adalah segumpal daging dariku, dan sesungguhnya aku benci apa sahaja yang membawa fitnah kepadanya. Demi Allah, tidak akan berhimpun anak Rasulullah dengan anak musuh Allah di sisi seorang lelaki selama-lamanya.”
Berkata al-Miswar: lalu Ali meninggalkan pinangannya.
Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak mengharamkan apa yang halal dan tidak menghalalkan apa yang haram, tetapi demi Allah, tidak akan berhimpun anak Rasulullah dengan anak musuh Allah di sisi seorang lelaki selama-lamanya.”
Riwayat al-Bukhari (no. 3110)
Berkata Imam al-Nawawi: “Ertinya aku tidak ada berkata suatu perkara yang bertentangan dengan hukum Allah, maka apabila Allah hukumkan perkara itu adalah halal maka aku tidak akan mengharamkannya, dan jika perkara itu Allah haramkan aku aku tidak akan menghalalkan dan aku tidak akan diam daripada mengharamkannya kerana diamnya aku adalah penghalalan baginya. Dan menjadilah daripada kalangan wanita yang diharamkan berkahwin ialah menghimpunkan antara anak Nabi Allah dan musuh Allah.”
Rujuk al-Minhaj Syarh al-Nawawi `ala Muslim (4/15-16)
Jika kita melihat daripada sudut fiqh, ternyata poligami pada hukum asalnya adalah diharuskan sahaja. Namun begitu dalam beberapa hal yang mendatang, hukumnya boleh berubah kepada tiga (Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/25-26;
Disunatkan: Ini sekiranya lelaki itu mempunyai keperluan untuk berkahwin lain jika beristeri satu tidak dapat menjadikan dirinya afif (menjaga syahwatnya daripada zina dan maksiat), atau isteri itu sakit, atau mandul tidak dapat mengandung, sedangkan suami itu inginkan anak, dalam keadaan suami itu memiliki keyakinan untuk berlaku adil antara isteri-isterinya. Ini kerana terdapat keperluan yang diraikan Syarak seperti meramaikan anak, dan inilah yang menjadi pedoman ramai Sahabat Rasulullah ﷺ, Para Tabi’ie dan generasi selepas mereka.
Dimakruhkan: Jika semata-mata untuk berlazat-lazat dan berhibur, atau syak terhadap kemampuannya untuk berlaku adil antara isteri-isteri. Ini kerana tidak ada keperluan untuknya. Juga kerana terdapat kemungkinan berlakunya mudarat ke atas isteri-isteri kerana tidak mampu berlaku adil. Berkata Imam al-Khatib al-Syirbini: “Dan disunatkan untuk tidak menambah isteri lebih satu tanpa ada keperluan yang zahir.“ Rujuk Mughni al-Muhtaj (3/127).
Diharamkan: Jika diyakini bahawa lelaki tidak mampu berlaku adil lantaran kelemahannya, atau kerana hilangnya kepercayaan terhadap dirinya daripada bertindak bias dan pilih kasih, atau kerana keadaannya yang fakir. Ini kerana poligami itu akan mengakibatkan mudarat kepada orang lain. Daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh mendatangkan mudarat dan membalas mudarat dengan mudarat yang lain.”
Maksudnya: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”
(Surah al-Nisa’: 3)
Maksud “keadilan” yang dijadikan kriteria di atas ini adalah tanggungjawab ke atas lelaki dalam keadilan dan sama rata dalam pemberian nafkah, tempat tinggal, kehidupan bersama yang berkualiti, dan menunaikan hak-hak isteri. Manakala soal hati dan perasaan adalah perkara yang relatif dan sukar dikawal. Oleh itu, perbezaan dalam hal emosi tidak membawa kepada dosa, sekiranya dijaga aspek zahir dan tidak membawa kepada kezaliman dan penganiayaan. Ini yang dimaksudkan dalam firman Allah ﷻ:
Maksudnya: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Nisa’: 129)
Oleh sebab itu, Rasulullah ﷺ sendiri adalah seorang yang paling adil terhadap isteri-isteri baginda pada memberi mereka pembahagian hari dan muamalat yang baik, namun baginda lebih menyayangi Aisyah R.Anha. Baginda berdoa:
Maksudnya: “Ya Allah, inilah pembagianku yang aku mampu, maka janganlah Engkau cela aku pada sesuatu yang Engkau mampu dan tidak aku mampu.”
Riwayat Abu Daud (1822). Beliau berkata; “yaitu hati.”
Kembali kepada perbincangan asal, apabila hukum berpoligami itu sendiri boleh jadi mubah, sunat dan haram, maka tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan. Justeru, ia bukan sahaja masuk dalam bab nasihat yang baik antara Muslim, tetapi juga adalah sebahagian perlaksanaan konsep Syura yang dituntut oleh Syarak. Ini kerana seorang wanita apabila mengetahui suaminya ingin memadukannya, perlu memastikan hak-hak dirinya seperti nafkah yang telah ditentukan mengikut uruf dan persetujuan bersama, tidak dilanggar atau ditindas apabila berlakunya poligami. Dalam erti kata lain, seorang isteri ada hak menyuara pendapat yang berbeza dalam sesi syura bersama suami untuk berkahwin lain. Hak kebebasan berpendapat dalam sistem Syura ini dinaskan dalam al-Quran. Firman Allah ﷺ:
Maksudnya: “Bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”
(Surah Ali Imran: 159)
Berkata Syeikh Muhammad Tohir Ibn Asyur: “Maka telah jelaslah bahawa musyawarah yang disuruh oleh ayat ini di sini adalah musyawarah pada hal ehwal umat dan maslahat-maslahatnya. Allah telah mengarahkan perlaksanaannya di sini dan telah memujinya ketika menceritakan tentang kaum Ansar dalam firman-Nya Ta’la yang lain:
وَأَمْرُهُمْ شُورى بَيْنَهُمْ
Maksudnya: “dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka;”
(Surah al-Syura: 38)
dan Allah telah mensyaratkannya dalam urusan keluarga seperti mana firman-Nya:
Maksudnya: “Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya);”
(Surah al-Baqarah: 233)
Maka Allah telah mensyariatkan dengan ayat-ayat yang telah disebutkan tadi perlaksanaan musyawarah pada pelbagai lapisan maslahat; iaitu maslahat keluarga, kabilah, negeri dan maslahat umat keseluruhan.”
Rujuk Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir (4/147-148)
Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa hukum isteri melarang suaminya untuk berpoligami tidak berdosa, sekiranya dibuat atas dasar nasihat, Syura demi untuk mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap haknya. Kami mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan masyarakat agar sentiasa mendidik wanita dengan keperibadian Muslimah dan menjaga hak-hak mereka daripada ditindas atau dilanggar. Inilah pesanan Rasulullah ﷺ dalam khutbah terakhir beliau yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA:
Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kalian telah mengambil mereka dengan amanah Allah, dan telah halal bermesraan secara seksual bagi kaum dengan kalimah Allah… dan ke menjadi tanggungjawab kamu untuk memberikan nafkah rezeki kepada mereka dan pakaian dengan ukuran yang makruf.”
Riwayat al-Nasaie (no. 9135)
Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua.
Sebagai ibu bapa, anda pasti setiap anak bersatu hati, saling menghormati antara satu sama lain dan sayang menyayangi.
Memang kadang-kadang akan ada perbalahan kecil sesama mereka. Namun, jika anda sejak daripada awal, sudah mendidik mereka erti kasih sayang antara adik-beradik, tidak mustahil mereka akan berbaik dalam masa yang singkat lantaran tahu menilai kasih sayang yang telah anda terapkan dalam diri mereka.
Berikut adalah antara perkara yang perlu dilakukan semasa anak-anak anda masih lagi kecil. Diharapkan ia dapat membantu anda membina hubungan adik-beradik yang kukuh sepanjang hayat.
1. Makan bersama
Dalam sehari, pastikan anda dan anak-anak berkumpul seisi keluarga untuk makan bersama-sama. Selesai makan, anda dan mereka boleh saling berbual dan bercerita tentang apa sahaja yang berlaku pada hari kejadian. Dengan yang demikian, semua ahli keluarga berasa seronok apabila dapat terlibat dalam aktiviti seharian masing-masing.
2. Jaga antara satu sama lain
Sentiasa ingatkan anak-anak untuk menjaga diri mereka antara satu sama lain. Yang lebih berusia perlu tengok adiknya yang lebih kecil. Malah anak yang lebih muda pun boleh melakukan perkara yang sama juga.
Sebelum tidur katakan pada anak-anak “Abang atau kakak perlu jaga adik. Begitu juga adik. Perlu juga jaga abang atau kakak.” Percayalah jika dari kecil anda sudah ingatkan perkara ini kepada anak-anak, apabila mereka dewasa kelak, pesanan ini akan sentiasa kukuh dalam ingatan mereka.
3. Berlaku adil
Tanpa sedar, kadang-kadang ibu bapa itu sendiri berlaku tidak adil kepada anak-anaknya.
Paling biasa dilakukan ialah apabila adik buat silap, kakak atau abangnya akan dipersalahkan. Hal sebegini akan membuatkan anak yang tua berasa kecil hati dan berdendam kepada adiknya.
Sama juga halnya apabila membeli sesuatu barangan. Pastikan anda sentiasa berlaku adil. Hal ini penting untuk tidak menimbulkan perasaan cemburu di antara mereka. Tidak kira apa-apa pun, sebenarnya setiap anak mahu dihargai secara sama rata. Untuk itu, anda perlu bijak mengawal keadaan.
4. Tolong-menolong
Biarpun anak-anak masih kecil tetapi sikap tolong-menolong perlu diajar daripada awal. Antara yang boleh anda lakukan ialah meminta adik dan kakak atau abangnya sama-sama mengemas alat permainan yang telah digunakan semasa bermain bersama-sama. Sambil mereka mengemas, jangan lupa selitkan kata-kata pujian kepada mereka. Pastikan mereka bangga dapat berbuat baik sesama sendiri.
5. Tunjukkan contoh baik
Jika mahu anak-anak berhubungan baik antara satu sama lain, anda sendiri pun perlu menjaga hubungan dengan adik-beradik. Sikap saling tolong-menolong, ziarah-menziarahi dan saling berhubung antara anda dan adik-beradik, secara tidak langsung menunjukkan bahawa ikatan kekeluargaan yang ada itu perlu dijaga setiap masa. Contoh yang baik seperti ini dapat mereka jadikan panduan di masa hadapan mereka.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!