Apakah hukumnya jika isteri melarang suami untuk berpoligami?
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.
Tidak berdosa hukum ke atas seorang isteri untuk melarang suaminya untuk berpoligami apabila terdapat keperluan untuk membantahnya. Hanya sanya perkara yang dilarang oleh Hukum Syarak adalah mengharamkan apa yang Allah Taala telah halalkan dan menghalang suami daripada berkahwin lain dengan tindak tanduk yang tidak mematuhi Syarak seperti mengugut mencederakan diri sendiri atau orang lain.
Adapun jika melarang dengan menjustifikasikan dengan perkara-perkara yang disyariatkan maka adalah dibenarkan dan dianjurkan. Misalnya, jika berpoligami akan menyebabkan kezaliman pada nafkah dan qismah (pembahagian hari antara isteri) isteri-isteri, atau nafkah anak-anak dan ibu bapa, maka perbuatan melarang serta menghalang itu adalah adalah suatu nasihat yang terpuji dalam agama.
Ini termasuklah untuk mencegah daripada menyakiti hati isteri dan mengakibatkan gangguan berlebihan apabila isteri itu ditimpa penyakit cemburu. Ini berdalilkan sebuah hadis daripada al-Miswar bin Makhramah RA bahawa Rasulullah ﷺ berkhutbah di atas minbar:
Maksudnya: “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin kepadaku agar aku menikahkan anak wanita mereka dengan Ali bin Abu Thalib, namun aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka! Kecuali jika Ali bin Abu Tolib menceraikan anakku lalu menikahi anak wanita mereka. Sesungguhnya anakku (Fatimah) adalah bahagian dariku, aku merasa senang dengan apa sagaja yang menyenangkannya dan aku merasa sakit atas semua yang menyakitinya.”
Riwayat al-Bukhari (5320) dan Muslim (2449)
Berkata Imam Ibn Hajar al-Asqalani: “Dan sebab padanya (larangan ke atas Ali untuk berpoligami semasa pernikahan dengan Fatimah) seperti mana yang telah disebut dahulunya dalam (bab) manaqib (Fatimah) bahawa beliau telah ditimpa (ujian) kehilangan ibunya (Khadijah) kemudian saudari-saudari perempuannya, seorang demi seorang, sehingga tiada siapa yang tinggal untuk beliau mengadukan isu-isu kerahsiaan (rumah tangga) supaya melegakan perasaan akibat cemburu.”
Ibn Hajar juga membawa riwayat al-Zuhri yang menyebut sabda Rasulullah ﷺ:
Maksudnya: “Dan aku risau bahawa agamanya (yakni Fatimah) akan ditimpa ujian fitnah,” yakni Fatimah menjadi tidak sabar kerana cemburu lalu berlaku sesuatu yang tidak layak pada darjat beliau pada agama daripada beliau semasa marah.”
Rujuk Fath al-Bari (9/329)
Dalam hadis riwayat Muslim menyebut bahawa Ali bin Talib telah meminang anak Abu Jahal (yang sudah Islam), sedangkan beliau telah bernikah dengan Fatimah, anak perempuan Rasulullah ﷺ. Apabila Fatimah mendengar hal itu, beliau berjumpa Nabi ﷺ dan berkata kepada beliau: “Sesungguhnya kaummu telah mengatakan bahawa engkau tidak marah demi anakmu, apabila Ali bernikah dengan anak Abu Jahal.” Berkata Miswar (perawi hadis): Lalu Nabi ﷺ bangkit dan aku mendengar baginda bersyahadah kemudian berkhutbah:
Maksudnya: “Amma ba’du, sesungguhnya aku telah menikahkan Abu al-`Aas bin al-Rabi’ (suami Zainab) lalu memberitahuku dan membenarkanku. Sesungguhnya Fatimah binti Muhammad adalah segumpal daging dariku, dan sesungguhnya aku benci apa sahaja yang membawa fitnah kepadanya. Demi Allah, tidak akan berhimpun anak Rasulullah dengan anak musuh Allah di sisi seorang lelaki selama-lamanya.”
Berkata al-Miswar: lalu Ali meninggalkan pinangannya.
Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak mengharamkan apa yang halal dan tidak menghalalkan apa yang haram, tetapi demi Allah, tidak akan berhimpun anak Rasulullah dengan anak musuh Allah di sisi seorang lelaki selama-lamanya.”
Riwayat al-Bukhari (no. 3110)
Berkata Imam al-Nawawi: “Ertinya aku tidak ada berkata suatu perkara yang bertentangan dengan hukum Allah, maka apabila Allah hukumkan perkara itu adalah halal maka aku tidak akan mengharamkannya, dan jika perkara itu Allah haramkan aku aku tidak akan menghalalkan dan aku tidak akan diam daripada mengharamkannya kerana diamnya aku adalah penghalalan baginya. Dan menjadilah daripada kalangan wanita yang diharamkan berkahwin ialah menghimpunkan antara anak Nabi Allah dan musuh Allah.”
Rujuk al-Minhaj Syarh al-Nawawi `ala Muslim (4/15-16)
Jika kita melihat daripada sudut fiqh, ternyata poligami pada hukum asalnya adalah diharuskan sahaja. Namun begitu dalam beberapa hal yang mendatang, hukumnya boleh berubah kepada tiga (Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/25-26;
Disunatkan: Ini sekiranya lelaki itu mempunyai keperluan untuk berkahwin lain jika beristeri satu tidak dapat menjadikan dirinya afif (menjaga syahwatnya daripada zina dan maksiat), atau isteri itu sakit, atau mandul tidak dapat mengandung, sedangkan suami itu inginkan anak, dalam keadaan suami itu memiliki keyakinan untuk berlaku adil antara isteri-isterinya. Ini kerana terdapat keperluan yang diraikan Syarak seperti meramaikan anak, dan inilah yang menjadi pedoman ramai Sahabat Rasulullah ﷺ, Para Tabi’ie dan generasi selepas mereka.
Dimakruhkan: Jika semata-mata untuk berlazat-lazat dan berhibur, atau syak terhadap kemampuannya untuk berlaku adil antara isteri-isteri. Ini kerana tidak ada keperluan untuknya. Juga kerana terdapat kemungkinan berlakunya mudarat ke atas isteri-isteri kerana tidak mampu berlaku adil. Berkata Imam al-Khatib al-Syirbini: “Dan disunatkan untuk tidak menambah isteri lebih satu tanpa ada keperluan yang zahir.“ Rujuk Mughni al-Muhtaj (3/127).
Diharamkan: Jika diyakini bahawa lelaki tidak mampu berlaku adil lantaran kelemahannya, atau kerana hilangnya kepercayaan terhadap dirinya daripada bertindak bias dan pilih kasih, atau kerana keadaannya yang fakir. Ini kerana poligami itu akan mengakibatkan mudarat kepada orang lain. Daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh mendatangkan mudarat dan membalas mudarat dengan mudarat yang lain.”
Maksudnya: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”
(Surah al-Nisa’: 3)
Maksud “keadilan” yang dijadikan kriteria di atas ini adalah tanggungjawab ke atas lelaki dalam keadilan dan sama rata dalam pemberian nafkah, tempat tinggal, kehidupan bersama yang berkualiti, dan menunaikan hak-hak isteri. Manakala soal hati dan perasaan adalah perkara yang relatif dan sukar dikawal. Oleh itu, perbezaan dalam hal emosi tidak membawa kepada dosa, sekiranya dijaga aspek zahir dan tidak membawa kepada kezaliman dan penganiayaan. Ini yang dimaksudkan dalam firman Allah ﷻ:
Maksudnya: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Nisa’: 129)
Oleh sebab itu, Rasulullah ﷺ sendiri adalah seorang yang paling adil terhadap isteri-isteri baginda pada memberi mereka pembahagian hari dan muamalat yang baik, namun baginda lebih menyayangi Aisyah R.Anha. Baginda berdoa:
Maksudnya: “Ya Allah, inilah pembagianku yang aku mampu, maka janganlah Engkau cela aku pada sesuatu yang Engkau mampu dan tidak aku mampu.”
Riwayat Abu Daud (1822). Beliau berkata; “yaitu hati.”
Kembali kepada perbincangan asal, apabila hukum berpoligami itu sendiri boleh jadi mubah, sunat dan haram, maka tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan. Justeru, ia bukan sahaja masuk dalam bab nasihat yang baik antara Muslim, tetapi juga adalah sebahagian perlaksanaan konsep Syura yang dituntut oleh Syarak. Ini kerana seorang wanita apabila mengetahui suaminya ingin memadukannya, perlu memastikan hak-hak dirinya seperti nafkah yang telah ditentukan mengikut uruf dan persetujuan bersama, tidak dilanggar atau ditindas apabila berlakunya poligami. Dalam erti kata lain, seorang isteri ada hak menyuara pendapat yang berbeza dalam sesi syura bersama suami untuk berkahwin lain. Hak kebebasan berpendapat dalam sistem Syura ini dinaskan dalam al-Quran. Firman Allah ﷺ:
Maksudnya: “Bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”
(Surah Ali Imran: 159)
Berkata Syeikh Muhammad Tohir Ibn Asyur: “Maka telah jelaslah bahawa musyawarah yang disuruh oleh ayat ini di sini adalah musyawarah pada hal ehwal umat dan maslahat-maslahatnya. Allah telah mengarahkan perlaksanaannya di sini dan telah memujinya ketika menceritakan tentang kaum Ansar dalam firman-Nya Ta’la yang lain:
وَأَمْرُهُمْ شُورى بَيْنَهُمْ
Maksudnya: “dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka;”
(Surah al-Syura: 38)
dan Allah telah mensyaratkannya dalam urusan keluarga seperti mana firman-Nya:
Maksudnya: “Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya);”
(Surah al-Baqarah: 233)
Maka Allah telah mensyariatkan dengan ayat-ayat yang telah disebutkan tadi perlaksanaan musyawarah pada pelbagai lapisan maslahat; iaitu maslahat keluarga, kabilah, negeri dan maslahat umat keseluruhan.”
Rujuk Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir (4/147-148)
Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa hukum isteri melarang suaminya untuk berpoligami tidak berdosa, sekiranya dibuat atas dasar nasihat, Syura demi untuk mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap haknya. Kami mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan masyarakat agar sentiasa mendidik wanita dengan keperibadian Muslimah dan menjaga hak-hak mereka daripada ditindas atau dilanggar. Inilah pesanan Rasulullah ﷺ dalam khutbah terakhir beliau yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA:
Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kalian telah mengambil mereka dengan amanah Allah, dan telah halal bermesraan secara seksual bagi kaum dengan kalimah Allah… dan ke menjadi tanggungjawab kamu untuk memberikan nafkah rezeki kepada mereka dan pakaian dengan ukuran yang makruf.”
Riwayat al-Nasaie (no. 9135)
Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua.
Anak-anak kalau menangis atau sakit majoritinya akan mencari ibu untuk menenangkan mereka. Namun itu tak bermakna ayah tidak mempunyai kepentingan dalam mendapatkan kasih sayang dan juga menguruskan anak-anak.
Perkongsian yang dibuat oleh Puan Usawatun Hasanah, Konsultan Tangisan & Tidur Bayi Malaysia merungkai kenapa anak-anak lebih selesa dengan ibu berbanding para ayah. Dalam perkongsian tersebut juga Puan Uswatun memberikan tip untuk ayah turut melibatkan diri dalam urusan anak-anak sebagai usaha untuk hubungan yang lebih rapat dengan si kecil tersayang.
Ikuti perkongsian Puan Uswatun:
Persoalan pertama yang perlu di rungkai :
Kenapa majoriti anak lebih suka ibu berbanding ayah?
Anak telah hidup di dalam badan ibu selama 9 bulan. Ibu adalah individu paling anak kenal walau sebelum di lahirkan. Anak seawal 1 hari sudah boleh memaling muka ke arah span yang di rendam dengan susu ibu walau tidak pernah merasai susu ibu. Malah, boleh merangkak mencari kedudukan susu ibu bila di tiarapkan di atas badan ibu.
Hubungan bonding ibu-anak ini di lanjutkan dengan aktiviti breastfeeding. Ramai ibu BF menjadikan dada mereka bukan sahaja sebagai ‘tempat makan’ tetapi juga sebagai 1 stop center: makan, tempat bertenang, tempat tidur. Itulah kelebihan ibu.
Majoriti para ibu adalah pihak utama yang menguruskan kebajikan dan keperluan anak. Mereka menghabiskan lebih banyak masa bersama anak berbanding para bapa yang keluar mencari nafkah.
Kedua-dua sebab di atas bukanlah begitu pelik. Sifir mudahnya: anak lebih terikat dengan individu yang lebih terlibat langsung dalam hidup mereka: pandang, sentuh, bau dan dengar.
Maka, atas sebab yang sama, kita juga boleh melihat senario:
– Anak angkat yang sayangkan ibu angkat walau tidak di kandung dan di lahirkan oleh ibu angkatnya.
-Anak yang lebih rapat dengan nenek yang menjaganya berbanding ibu kandung yang pulang setiap hujung minggu akibat jarak tempat kerja.
-Anak yang terlebih manja dengan bibik.
Berbalik kepada topik asal, walaupun alasan di sebalik isu ini dapat di fahami, ia tetap buat sebahagian ayah rasa sedih, kurang yakin diri malah terpinggir dari anak. Dalam masa yang sama, ia buat si ibu mula stress dan penat bila perlu buat serba-serbi !
Berikut ialah 4 tips mudah untuk atasi hal ini.
Biarkan Ayah Turun Padang
Hanya kerana ibu yang mengandungkan dan melahirkan anak, TIDAK bermakna ibu lebih tahu dan lebih berhak daripada ayah. Kata kuncinya: AYAH BUKAN PEMBANTU IBU. AYAH HARUS BERADA SAMA ARAS DENGAN IBU DALAM BAB PENJAGAAN ANAK.
Misalnya: Ibu susukan anak, ayah pula tenangkan dan tidurkan anak yang dah kenyang.
Ibu siapkan air mandi dan baju anak, ayah pula mandikan dan siapkan anak. Ganti giliran ini dengan adil.
Ibu masak makanan anak, ayah pula suapkan anak. Juga, ganti giliran ini dengan adil.
Ingat: adil BUKAN bermaksud sama bahagi. Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Maka susunlah tugasan ikut kesesuaian tuntutan hidup masing-masing asalkan keseimbangan dapat di capai.
Saya pernah menulis artikel berdasarkan dokumentari Netflix mengenai bayi bagi kajian kasih sayang (love) dan pasukan saintis buktikan, anak manusia akan jatuh cinta dengan SESIAPA saja yang sering menyingsing lengan menguruskan hidupnya! ➡ https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3320053918038667&id=126226717421419
Anak kecil tidak ‘bias’ /double standard’ (berat sebelah), anak kecil tidak ‘racist’ dan anak kecil tidak menghukum
2. Ibu Usah Asyik Nak Selamatkan Anak dari Ayah !
Ini pun satu hal juga. Ramai ibu(atau kaum perempuan) sukar menahan diri dari segera ambil anak yang menangis dari si ayah (kaum lelaki). Paling bikin frust, bila si ayah masih kelihatan mahu mencuba mengawal situasi namun anaknya bagai ‘di rampas’ darinya 🤧
Bukankah ayah si bayi itu adalah pasangan hidup kita yang kita letak kepercayaan untuk habiskan hidup bersamanya?
Bukankah ayah si bayi adalah bapa kandung bayi?
Jadi kenapa sebahagian ibu bertindak seolah – olah: ‘awak tak tau cara diamkan dia macam saya’, ‘awak tak faham dia macam saya faham dia’, ‘awak tak pandai layan dia’…?
Seperti yang telah di nyatakan pada awal artikel, majoriti kaum ayah kurang dapat luangkan masa urus anak akibat tanggungjawab mencari nafkah dan ketiadaan payudara wanita sebagai 1 stop center: makan + tenang + tidur.
Maka tak hairan jika sebahagian bapa kurang skil. OLEH ITU, berilah masa untuk si ayah cuba kendalikan situasi dan cuba cari jalan untuk faham anak dan beli hati anak tak kisahlah berapa kuat anak menangis memanggil si ibu. Jika setiap kali anak BARU mula menjerit ibu dah datang selamatkan, bilakah ayah ada peluang untuk kawal anak ?
Jangan Amalkan Kritik Ayah Depan Anak (teraplikasi juga pada kenyataan: Jangan Amalkan Kritik Pasangan Depan Anak)
” Salah ni cara awak ikat rambut anak kita ni..”
” Bukan macam tu la cara bancuh susu dia! Letak la air dulu baru letak susu..”
” Dia tak suka minum terus dari cawan lah. Bagi la straw kat dia macam saya selalu buat..”
” Tu bukan baju untuk pakai kat rumah la. Tu baju pakai kalau nak gi jalan je. Bukak balik ! ”
” Awak tak basuh punggung dia guna air paip ke? Main lap dengan wet wipes je? ”
….dan senarai perbalahan isu remeh temeh berterusan. Hal yang kecil ini jadi besar kerana ia berlaku hampir setiap hari dan anak menyaksikan setiap satu darinya. Ini bukan saja buat anak keliru malah mengukuhkan idea bahawa salah seorang dari ibu/ayahnya memang kurang boleh di harapkan.
Soal ‘who get the job done’ itu lebih utama dari ‘who did a better job’ selama mana ia tiada merisikokan isu keselamatan, kesihatan dan kebajikan anak.
Parenting yang sempurna ialah bila dua orang manusia yang tidak sempurna berusaha sebagai satu pasukan untuk menjayakannya.
Peruntukan ‘Me Time’ Antara Ayah – Anak
Sibuk bukan alasan. Bagi anak kecil: kualiti itu lebih besar dari kuantiti. Jika ayah hanya ada masa untuk melayan anak di awal pagi sebelum bergerak ke tempat kerja, maka jadikan waktu awal pagi, setiap hari sebagai masa istimewa ayah -anak. Peruntukan masa itu untuk benar- benar fokus dengan anak.
Jika ada mana-mana ibubapa berfikir berada bersama anak dari pagi hingga ke petang itu sudah memenuhi maksud meluangkan masa berkualiti dengan anak, mereka SILAP BESAR.
Berapa ramai dari kita yang benar-benar enjoy menguruskan anak? Yang benar-benar ambil masa: ‘be in the moment’ bila bersama anak?
Misalnya: Adakah kita rasa terpaksa bila kena main bersama anak? Jasad ada di depan anak namun riak muka, bahasa badan, intonasi suara dan fikiran sibuk memikir untuk segera pergi menguruskan hal lain? Rasa malas betul nak melayan permintaan anak yang mahu ke taman permainan. Jika anak bermain pun, si ibu atau ayah sibuk melayan telifon di tepi taman berbanding bermain bersama anak.
Adakah kita sering nak cepat-cepat bila memakaikan baju anak sepertinya ia cuma satu tugasan yang perlu di siapkan supaya kita dapat beralih ke tugasan lain? Kita marah-marah anak yang tak reti duduk diam untuk memakai lampin. Kita tak puji cantiknya rambut kerinting anak yang kita bantu sikatkan. Kita tak pandang mata anak dan puji betapa comelnya dia sambil membutang bajunya.
Tahukah anda menghabiskan masa bersama individu yang ‘tidak ada rasa’ untuk duduk bersama-sama dengan anak, sudah cukup untuk menaikkan kadar stress anak kecil seawal beberapa minit?
Anda pernah dengar tentang ‘still face experiment’? Ia satu eksperimen popular yang pertama kali dijalankan pada tahun 70an oleh seorang infant developmental psychologist, Dr Edward Tronick, yang membuktikan anak kecil sangat sensitif mengesan respon beremosi (emotional) VS respon tanpa emosi (non-emotional) yang dia dapatkan dari penjaganya.
Anak akan segera menjerit, menangis, bertantrum dan ‘buat perangai’ untuk menarik perhatian penjaga yang dia rasa ‘tidak berminat’ /tak beremosi bila bersamanya. Inilah antara asas kepada hakikat: anak yang bertantrum **salah satunya** akibat anak ingin menagih perhatian dan merasa tidak puas emosinya.
Jangan lupa saksikan Pa&Ma Journey Bersama JovianNina. Akan bersiaran setiap Rabu pada jam 9 malam, dan ulangan setiap Ahad jam 9.30 pagi hanya di Astro Ria saluran 104 & 124.
Urutan sememangnya meredakan anak malah membuatkan anak kekal selesa dan relaks. Pun begitu, melakukan urutan pada bayi memerlukan teknik yang tepat.
Menurut pakar perbidanan, Puan Mazidah Ghazali, urutan pada bayi sememangnya harus dilakukan ketika bayi masih berada di dalam pantang lagi. Bukan hanya ibu yang melahirkan, malah bayi juga disyorkan untuk melakukan urutan ini.
Bayi juga seperti orang dewasa. Bayi turut mengalami masalah ketegangan otot dan lenguh-lenguh pada sendi. Masalah kembung perut, tidur yang tidak nyenyak dan berkualiti antara petanda bayi memerlukan urutan. Semua ini terjadi kerana badan merasa kurang selesa.
Disebabkan itulah bayi di bawah usia enam bulan disarankan untuk melakukan urutan. Ini bagi melancarkan perjalanan darah dan melegakan seluruh anggota badan.
SARANAN URUT
Ibu bapa yang tahu akan kepentingan urutan dan mahu anaknya lebih selesa dan paling penting melancarkan seluruh tubuh bayi mereka pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk melakukan urutan. Namun tiga kategori bayi ini diwajibkan untuk melakukan urutan.
*Tidak Cukup Bulan
Bayi tidak cukup bulan amat disarankan bagi melancarkan aliran darahnya ke seluruh tubuhnya yang masih kecil. Hal ini juga membantu kenaikan berat bayi dengan lebih cepat.
*Anak Sindrom Down
Bagi ibu bapa yang mempunyai bayi sindrom down, urutan memainkan peranan penting untuk menenangkan mereka.
*Hyperaktif
Begitu juga dengan anak hyperactive atau terlalu aktif. Urutan membuatkan mereka lebih tenang malah mempunyai tidur yang lebih berkualiti.
Apa yang ibu bapa perlu tahu, selepas diurut, bayi akan mengeluarkan sejenis hormon yang baik untuk perkembangannya. Disebabkan itulah mengapa bayi disarankan untuk diurut.
Selain melancarkan perjalanan darah, memberi ketenangan dan tidur lebih nyenyak, sebenarnya ada tiga kelebihan lain yang ibu bapa harus tahu.
*Elak Angin Pasang
Urutan sebenarnya harus dilakukan lebih awal pada bayi lelaki bagi mengelakkan masalah angin pasang berlaku. Hal ini paling kerap terjadi kepada anak masih kecil. Ini merupakan sebahagian pencegahan awal.
*Elak Kembung Perut
Urutan juga mengelakkan masalah kembung perut yang sering terjadi kepada bayi selepas dilahirkan. Urutan sebenarnya cukup membantu dalam masalah ini.
*Tali Pusat Tersembul
Urutan pada awal kelahiran juga mampu mencegah masalah tali pusat tersembul yang kerap berlaku kepada bayi.
Urutan Vitaflek Untuk Bayi
Teknik urutan pada bayi sedikit berbeza bagi orang dewasa. Malah darjah tekanan ketika diurut pada tubuh bayi pula hanya 0.01mm sahaja kerana bimbang ia mampu memberi kesan kepada bayi.
Ia biasanya dimulakan dengan urutan Vitaflek yang dilakukan di bahagian kaki seperti refleksologi orang dewasa. Teknik ini memfokuskan kepada sistem pembiakan, perkumuhan serta kawasan ENT iaitu mata, hidung dan telinga.
Seterusnya barulah diurut dibahagian betis, paha, dada, tangan, kepala dan muka serta bahagian belakang yang dibawa turun hingga ke kaki.
Tip Perlu Tahu
*Pastikan perut bayi kosong dan tidak disusukan sebelum proses urutan bermula. Ini bagi mengelakkan mereka muntah.
*Waktu disarankan adalah selepas bayi mandi atau waktu sebelum mereka tidur. Ini bagi membolehkan bayi tidur dengan lebih nyenyak dan berkualiti.
* Paling penting sekali adalah memilih minyak urutan yang tepat. Dilarang sama sekali menggunakan minyak dengan pewangi yang memudaratkan kulit bayi. Paling disarankan adalah minyak kelapa dara (VCO) atau sebarang minyak lain tanpa bahan kimia.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ketika anak masih kecillah mereka patut dididik dalam segala hal, bukan ketika mereka sudah besar dan mula memahami keadaan disekelilingnya.
Antara perkara yang mak ayah boleh mulakan sejak anak kecil lagi adalah mendidik anak bersolat. Perkongsian ibu ini, Dr. Farhuda Zulaikha yang mendidik anak-anak kecilnya bersolat boleh dijadikan contoh dan panduan untuk kita sama-sama mendidik anak kita bersolat.
Tak susah pun nak ajar anak-anak solat sejak kecil. Yang penting ibu ayah pun perlulah menitik beratkan hal solat masing-masing. Ini antara TIPS mudah ajar anak-anak solat.
1. Solat ibu ayah perlulah awal waktu, tunjukkan bahawa solat itu penting untuk kita dahulukan.
2. Sebaiknya solat di depan anak-anak sejak mereka bayi lagi. Walaupun ada anak kecil atau bayi, usahalah untuk solat berjemaah suami isteri. Letakkan bayi di sebelah kalian. Jika dia sudah pandai merangkak atau berjalan, pastikan keadaan sekitar tidak merbahaya sebelum kalian mulakan solat.
Ye mungkin kadangkala mereka akan memanjat, masuk dalam kain dan sebagainya. Itu fitrah mereka. Segala itu akan menjadi kenangan nanti. Bukankah cucu Rasulullah pun memanjat baginda ketika bersolat?
3. Lagi bagus jika ada ruang khas solat di rumah. Boleh jadi bilik khas mahupun sekadar suatu sudut khas. Pastikan keadaan kawasan berkenaan bersih dan jauh dari bunyi bising. Jika bersolat di ruang tamu, ajarkan anak-anak bahawa tv perlu ditutup atau dihentikan ketika waktu solat.
4.Jika ayah tiada di rumah, ibu harus memainkan peranan untuk ajak anak solat bersama. Jika ibu ‘cuti’ pastikan anak-anak tetap disuruh bersolat.
5. Sekiranya ada anak-anak yang baru sahaja melelapkan mata apabila tiba waktu solat, pastikan sebaik sahaja mereka bangun mereka harus solat biarpun telah melepasi waktu. Ajarkan yang solat itu wajib. Apabila sudah boleh berfikir, ajarkan apa itu solat qada’ dan juga masbu’.
6. Ayah perlu baca surah kuat-kuat, tertib dan tartil. Biar dapat didengari anak sepatah-demi sepatah. InsyaAllah mereka boleh menghafal surah dengan hanya mendengar bacaan kita setiap hari.
7. Ajarkan mereka perlahan-lahan. Tidak perlu tunggu mereka pandai semua rukun baru nak suruh solat. Biarkan mereka bersolat walupun sekadar meniru pergerakan dalam solat. Walaupun ada yang kejap meniarap, kejap menonggeng, kejap pandang belakang. Semakin besar nanti ajarlah mereka apa itu rukun solat, apa yang tidak boleh dilakukan.
8. Ajarkan wudhu’ bila mereka sudah faham. Awal-awal belajar solat itu wudhu’ boleh diajar kemudian. Kalau tidak, jenuh juga bertukar baju yang lencun nanti bila yang umur 3 tahun ambil wudhu’. Slowly but surely.
9. Didik dan semailah dalam jiwa mereka kenapa kita perlu melaksanakan solat. Ajarkan berapakah solat wajib yang perlu dilaksanakan. Berapa rakaatkah setiap solat. Apakah tanda masuknya waktu solat.
10. Ibu ayah, jika boleh solatlah berjemaah. Selain pahalanya berganda-ganda, anak-anak juga akan lebih excited jika mereka memerhatikan semua perkara kita buat bersama-sama. Berjemaahlah sekalipun hari itu kita tengah berkecil hati/ salah faham/ berperang dunia dengan pasangan kita. InsyaAllah akan sejuk selepas itu.
11. Sediakan sejadah peribadi milik mereka setiap satunya. Sekarang ini pelbagai jenis sejadah moden yang dijual. Ada juga yang specially designed untuk kanak-kanak dengan gambar kartun dengan saiz yang lebih kecil. Kami membelikan sejadah kecil begini untuk mereka. Sejadah-sejadah ini dibeli ketika masih kecil, kebetulan pula warna-warna itu bertepatan dengan warna character kartun PJ Mask dengan Owlette (merah), Geko (hijau), Catboy (biru). Rehal pun beli warna yang sama.
12. Reward system. Ketika mereka masih kecil, boleh galakkan mereka untuk solat dengan sistem reward menggunakan sticker. Tampalkan sticker pada board peribadi mereka. It may look for fun but it works.
13. Beri peluang kepada anak-anak kecil untuk mengetuai bacaan doa. Usai doa abah yang panjang, minta merela mengetuai bacaan doa ringkas sambil kita turut menadah tangan. Contoh doa yang paling mudah adalah doa ibu bapa. Si anak bujang boleh diberi mandat untuk Iqamah.
Tidak lupa ajak juga anak – anak untuk membaca alFatihah untuk ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Semoga mereka istiqamah melakukan perkara yang sama apabila kita meninggal kelak.
14. Apabila tiba sahaja waktu untuk solat, boleh minta abah yang garang bagi hint : Whudu’!! Maka akan bertempiaran larilah yang si besar-besar untuk segera ambil wudhu’ meninggalkan apa yang sedang mereka kerjakan.
15. Solat tidak boleh tinggal langsung. Jika di rumah solat lima waktu ajarkan juga mereka bahawa sama juga jika balik kampung atau semasa jalan-jalan. Tiada pengecualian.
16.Akhir sekali, tunggulah mereka di atas tikar sejadah sebelum kalian mengangkat takbir. Pastikan semua orang bersedia sepenuhnya barulah mereka bersemangat solat bersama dan tanda kita mahu mereka bersama-sama menghayati solat.
Marilah melentur buluh dari rebungnya. Children won’t follow your orders, they imitate you.
Impian Kecil, Semangat BesarDi zaman moden yang dipenuhi cabaran dan pengaruh digital, mencari jalan terbaik untuk membina potensi anak bukanlah mudah. Namun, kisah sekumpulan...