Sebenarnya kalau guna teknik ajar anak pandai membaca dengan betul tak memerlukan penggunaan buku pun tak mengapa. Biar betul? Ajar anak membaca tanpa guna buku?
Kadangkala ramai dikalangan ibu bapa telah menggunakan teknik yang salah untuk mengajar anak membaca. Rata-rata mula kalut bila anak yang baru berusia lima tahun dan sudah bersekolah tadika masih belum pandai membaca.
Mulalah ibu ayah pilih kaedah memaksa dan menghukum anak semasa mengajarnya membaca. Cara ini hanya akan membuatkan si kecil tak suka membaca dan stres.
Apa kata ikut teknik yang diajar oleh Guru Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Puan Ashikin Hashimini. Semoga anak bukan sahaja pandai membaca tapi ada tabiat suka membaca sampai bila-bila.
Tip Peringkat Awal Membaca Bukan Dengan Buku?
Biar benar Teacher Ashikin. Kalau tak guna buku macam mana nak pandai baca ya?
Di sinilah silap kita. Kita sangka nak anak pandai baca buku, kita ajar dia membaca hanya dengan guna buku. Ini silap besar.
Apa akan berlaku bila kita hanya guna buku sahaja?
1. Anak akan dikatakan cepat BOSAN.
2. Anak akan dikatakan asyik MAIN.
3. Anak akan dikatakan LAMBAT belajar.
Ini adalah tuduhan yang tidak adil kepada seorang anak kecil.
Buku bukanlah semata-mata sumber yang kita ada untuk mengajar anak membaca.
Anak belajar melalui bermain. Dan melalui bermain itulah sebenarnya dia boleh membaca. Bagaimana ya?
Rajin-rajin bacakan buku pada si kecil
Ibu Ayah Kena Ikut Syarat Ini!
Mari saya bantu anda. Sebelum nak anak pandai baca, kena ada SYARAT dulu. Apakah ia?
Ads
1. Jangan GOPOHatau tergesa-gesa nak anak pandai baca. Anak kita bukan ROBOT. Mereka manusia biasa yang perlukan ruang dan masa untuk belajar.
2. Jangan BANDINGkan anak kita dengan anak orang lain. Sedangkan di kalangan adik beradik pun dah berlainan inikan pula anak jiran. Anak kita punya upaya dan kekuatannya yang tersendiri. Jadi, BANTU lah mereka.
3. Jangan TAK TAHUbahawa membaca ini adalah satu proses. Ia bukan berlaku secara tiba-tiba atau anak lahir terus pandai. Ia juga tidak berlaku dengan pantas saat anak masuk tadika. Proses ini panjang dan kompleks. Berlainan mengikut keupayaan anak. Maka BERSABARLAH.
4. Jangan INGATtadika anak tempat SEPATUTNYA anak pandai baca. Guru hanya pemudah cara tetapi IBU BAPA lah guru PERTAMA dan RUMAH pula sekolah UTAMA. Jadi proses membaca seharusnya bermula dari Rumah.
5. Jangan LUPA siapa yang bagi kita pandai? Ya…ALLAH. Setelah kita berhempas pulas nak pandaikan anak, yang bagi pandai sebenarnya bukan kita tapi ALLAH. Kita minta kepada Allah supaya diberikan kita kekuatan dan ilmu dalam mendidik anak kita. Jika anak kita punya masalah, bawalah kepada yang pakar.
Baik. Ini langkah-langkah yang perlu kita ambil dan mulakan seawal mungkin jika mahu anak ON TRACK. Maksudnya bukan nak minta anak pandai baca umur 2 atau 3 tahun ya. Jika 6 tahun atau darjah 1 pun masih BELUM LANCAR, ia masih belum dikira LAMBAT.
Anak saya yang pertama boleh membaca pada umur 4 tahun. Yang kedua pada umur 5 tahun tapi yang ketiga hanya lancar pada umur 7 tahun. Namun mereka kini berada pada tahap ilmu dan keupayaan yang baik mengikut umur mereka.
Saya pernah bertanya kepada seorang OCCUPATIONAL THERAPIST, pada umur berapakah kita perlu risau jika anak masih belum tahu membaca langsung? Beliau berkata pada hujung tahun DARJAH 1.
Jadi, jika anak sekarang baru 4 tahun dan masih belum tahu membaca, ITU NORMAL.
Jika anak sekarang 5 tahun dan masih belum tahu membaca, ini juga masih NORMAL.
Ads
Jika anak sekarang 6 tahun dan masih belum lancar membaca, ini juga NORMAL.
Cuma bila anda atau guru mereka mendapati yang anak anda perlukan pemeriksaan pakar kerana sebab-sebab kesihatan dan masalah pembelajaran contohnya, bawalah berjumpa pakar.
Cara Betul Ajar Anak Baca
Jom kita mula ajar anak membaca cara santai dan tidak STRES.
Mulakan dari bayi lagi. Bagaimana? KOMUNIKASI DAN INTERAKSI dengan anak. Jangan mulakan dengan SKRIN. Maksudnya jangan perkenalkan GAJET. Belum tiba masa.
Ajar anak membaca bukan hanya dengan tunjuk buku semata-mata. Bila kita sempitkan skop membaca hanya dengan buku maka kita tak banyak dapat nak bantu anak kita. Sebenarnya banyak sangat sumber yang boleh bantu dia. Seperti BERCERITA atau BACAKAN BUKU (bacakan buku ya bukan suruh anak baca buku sebelum dia tahu membaca. Beza tu 🙂 ) dapat membantu anak meningkatkan KOSA KATA nya. Bila kosa kata anak banyak, maka bila belajar baca akan jadi mudah. Sebab dia dah kenal banyak bunyi huruf dan banyak kenal benda.
Kerap berborak dengan anak akan menambah kosa katanya
KOMUNIKASI dengan anak sekerap yang mungkin. Ini saya sudah sebut serba sedikit tadi. Walaupun bayi, biasakan bercakap dengannya. Bila anak dah semakin besar berbuallah dengan mereka ketika shopping, ketika pakaikan baju, ketika bermain, ketika memasak, ketika bawa kereta. Komunikasi akan jadi terbantut atau terhalang jika kita hanya berikan anak GAJET.
MAIN, MAIN, MAIN. Berilah peluang dan ruang secukupnya untuk mereka bermain. Bila main anak akan belajar banyak benda termasuklah mengumpul kosa kata, membina ayat, menyoal, menjawab soalan, berinteraksi dengan orang sekeliling. Inilah antara kunci bagi memudahkan proses membaca.
BACAKAN BUKU. Ini pun saya dah sebut di atas tadi. Bacakan buku ini sangat POWERFUL. Selain boleh tambah kosa kata anak, ia juga dapat tambah ilmu pengetahuan am anak. Dan yang paling best dapat rapatkan hubungan kita dengan anak.
Manfaatkan waktu sebelum anak tidur. Iaitu sebelum anak sampai ke peringkat DEEP SLEEP atau tidur lena. Berbuallah (berbual lagi? ) dengan anak. Masa ini sangat bagus untuk nak menasihati anak. Anak dalam keadaan paling relax dan mudah dengar kata.
Inilah peringkat pertama untuk anak-anak membaca. Tiada guna apa-apa metod nak bagi anak pandai baca. Mulakan dengan KOMUNIKASI dengan anak.
Layan anak bermain banyak faedah kepada si kecil
BERBUAL
BERCERITA
BACAKAN BUKU
MAIN
Masa inilah anak-anak kumpul perkataan. Masa inilah anak-anak dibiasakan mendengar pelbagai perkataaan.
Jadi, bila sampai peringkat kenal suku kata, anak tak akan terkejut. Mereka dah biasa dengan pelbagai perkataan dan bunyi. Jadi ia memudahkan proses membaca berlaku.
Kita belajar Fun-fun je. Jangan stress. Janganlah guna buku 24 jam. Anak-anak belajar secara hands-on dan bermain.
Belajarlah juga membaca dari tanda jalan, tajuk akhbar, label, senarai barang, poster dan sebagainya.
InshaAllah jika anak kita tiada masalah kesihatan dan pembelajaran, anak kita pasti boleh baca. Kuncinya SABAR dengan proses ini, KONSISTEN dengan usaha dan YAKIN dengan hasilnya nanti.
Selamat mendidik dengan kasih sayang.
Ashikin Hashim
Early Childhood Practitioner.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sudah tentu ada yang tak tahu potensi diri anak. Namun hakikatnya bakat, kepintaran dan kecerdasan secara semulajadi tidak menjamin kejayaan masa hadapan kanak-kanak yang berpotensi tinggi melangkaui rakan-rakan sebaya mereka.
Malah, jika dibiarkan begitu sahaja, ada kemungkinan potensi hebat ini akan hilang sejajar dengan masa atau terbantut kerana tekanan rakan sebaya dan pengaruh tidak sihat nanti.
Jelaslah betapa pentingnya usaha untuk mencari serta membangunkan potensi diri si kecil anda! Konsep ‘potensi’ berasal dari frasa Latin ‘in potentia’ yang membawa maksud ‘daya’, ‘kuasa’, ‘pengaruh’, ‘suatu kemungkinan’ dan ‘sesuatu yang berkemungkinan besar untuk berlaku jika semua pra-syarat telah dipenuhi’.
Ikuti panduan oleh Dr Airil Haimi Mohd Adnan adalah Ketua Pusat Pengajian di UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal.
Tip #1: Bakat, kepintaran, kecerdasan berubah-ubah sekitar usia 0-6 tahun
Keanjalan (flexibility) pemikiran kanak-kanak dalam lingkungan usia pendidikan praformal 0-6 tahun bererti bakat, kepintaran dan juga kecerdasan mereka akan sentiasa berubah-ubah ketika mereka mencari identiti diri pada awal usia. Namun, ini tidak pula bererti anda sebagai papa dan mama yang prihatin tidak perlu memberi fokus kepada bakat, kepintaran dan juga kecerdasan si kecil!
Sebaliknya, berikanlah sebanyak mungkin pendedahan kepada si kecil dalam semua bidang, hal dan perkara yang sesuai dengan peringkat umurnya. Dari aktiviti memasak ke melukis hinggalah ke aktiviti menari dan mengaji, setiap pendedahan yang diberikan akan memberi peluang si kecil anda itu ‘berjumpa’ dengan potensi sebenar dirinya.
Tip #2: Bakat, kepintaran, kecerdasan perlu bimbingan pakar yang sesuai
‘Pakar’ di sini, bukanlah bererti seseorang yang memiliki ijazah kedoktoran atau seorang profesor universiti yang bertauliah. Ambil contoh aktiviti memasak. Jika si kecil anda sebenarnya berpotensi untuk menjadi seorang tukang masak profesional pada masa depan, dia memerlukan bimbingan seseorang dengan nyalarasa (passion) yang tinggi akan aktiviti masak-memasak.
Boleh jadi individu itu mamanya atau pun papanya… atau mungkin kedua-duanya sekali. Tidak mustahil juga nenek atau datuk yang boleh memberi bimbingan terbaik kepada bakal ‘Junior MasterChef’ anda itu. Penyelidikan sains sosial membuktikan manfaat daripada bimbingan ‘pakar’ untuk mengenali seterusnya meningkatkan potensi diri kanak-kanak.
Tip #3. Mencari dan mengasah bakat, kepintaran, kecerdasan perlu bantuan
‘Bantuan’ yang paling baik sudah tentu datangnya dari guru tadika atau pengasuh di taska si kecil kesayangan anda. Anda mungkin merasakan bahawa anak anda amat cenderung kepada aktiviti menggambar dan mewarna kerana di rumah, melukis menjadi aktiviti yang amat dia sukai.
Akan tetapi, anda mungkin tidak tahu bahawa di tadika si kecil anda, dia amat menyukai aktiviti fizikal yang lasak seperti berlari dan memanjat serta bermain bola kerana aktiviti seperti ini berbentuk sosial dan perlukan rakan-rakan sepermainan. Anak anda melukis sahaja di rumah kerana dia anak tunggal, misalnya! Oleh itu, ambil sedikir masa untuk berbincang dan mendengar pendapat guru, pengasuh dan pembimbing si kecil anda, okay!
Tip #4. Bakat, kepintaran, kecerdasan akan memperlihatkan kecenderungan diri
Kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat (gifted and talented) lazimnya akan menunjukkan tahap kecenderungan yang amat tinggi kepada perkara atau kemahiran yang selari dengan minat dan nyalarasa diri mereka. Itu sebabnya kanak-kanak seperti ini menunjukkan tahap perkembangan yang lebih cepat dan sangat maju, berbanding kanak-kanak lain!
Pada masa yang sama, ‘kecenderungan’ si kecil juga akan berubah-ubah. Minggu ini dia mungkin amat suka bermain dengan blok ‘Lego’ tetapi dua minggu lagi dia lebih senang menulis komik dengan penceritaan daripada imaginasi dirinya. Oleh itu, sentiasalah cuba berfikiran terbuka dan perhatikan tahap perkembangan si kecil anda pada tempoh masa yang lebih panjang untuk mendapat gambaran yang lebih jelas tentang potensinya.
Tip #5. Bakat, kepintaran, kecerdasan boleh diuji secara sistematik dan saintifik
Bakat, kepintaran dan kecerdasan si kecil anda sebenarnya boleh diukur dan juga dinilai melalui ujian-ujian yang sistematik lagi saintifik. Cara ini mungkin yang terbaik, lebih-lebih lagi jika si kecil anda menunjukkan potensi pintar cerdas dan berbakat yang jauh melangkaui kebolehan dan kemahiran rakan-rakan yang sebaya dengannya.
Ini mungkin disebabkan usia mental (mental age) si kecil anda jauh lebih tinggi daripada usianya sekarang ini. Ada ujian berasaskan pemerhatian seperti Scale for Rating the Behaviour Characteristics of Superior Students atau SRBCSS yang boleh dilakukan untuk mencari, melihat seterusnya menilai tahap potensi tinggi si kecil anda.
‘Program Kanak-Kanak Pintar Cerdas’ seperti PERMATA Pintar Negara dan Program Pintar Cerdas POTENTIA (yang kami jalankan di UiTM Cawangan Perak) menggunakan ujian seperti ini supaya kami dapat menilai dan meningkatkan potensi diri si kecil yang pintar, cerdas dan berbakat. Ujian berbentuk akademik atau ilmiah seperti ini perlukan masa dan hanya boleh diawasi oleh ahli sarjana dan pakar yang terlatih.
Namun begitu, anda juga pastinya boleh membaca dan memahami aspek-aspek ujian SRBCSS (atau ujian kepintarcerdasan lain) sebagai wadah untuk mengenalpasti potensi si kecil kesayangan anda mulai detik ini!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nak kawal kemarahan anak kecil tentunya sukar kerana mereka ini mengikut rasa emosinya seperti akan menjerit, membaling barang, memusnahkan permainan dan sebagainya.
Perkongsian blog pusat perkembangan Excel Qhalif Playgroup ini menjelaskan bahawa kanak-kanak mempunyai perasaan kecewa atau marah kerana hajatnya tidak difahami dan dipenuhi.
Anak adalah anugerah daripada Allah buat setiap ibubapa. Setiap apa pendidikan yang kita berikan kepada anak kita, itulah cerminan buat diri kita.
Kanak-kanak dalam lingkungan umur 2-6 tahun (prasekolah memang sering dilabelkan lasak kerana ingin mencuba apa sahaja yang dilihat dan mereka juga didapati ‘tidak dengar kata’. Apa yang berlaku ialah ketiadaan komunikasi dua hala di antara ibu bapa dan anak.
Di samping itu kanak-kanak sebenarnya tidak dapat mendengar arahan dengan baik kerana tidak memberikan perhatian kepada suara ibu bapa. Sebaliknya perhatian mereka hanya tertumpu kepada permainan mereka dan alam sekeliling yang ingin diterokai.
Kanak-kanak mempunyai komunikasi verbal yang sangat terhad disebabkan mereka tidak mempunyai pengetahuan (input) tentangnya. Mereka juga baru sahaja belajar bercakap, oleh itu ibu bapa kerapkali tidak dapat memahami apakah sebenarnya yang dimahukan oleh anak.
Maka jadilah anak tersebut menjerit, membaling barang, memusnahkan permainan dan sebagainya lantaran kekecewaan kerana hajatnya tidak difahami dan dipenuhi. Kanak-kanak pun tahu kecewa sebenarnya ibu bapa sekalian. Justeru itu siapakah yang bersalah? Sudah tentulah orang dewasa kerana tidak berusaha untuk memahami kehendak si anak.
5 tip yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa bagi berusaha mengatasi masalah ini :
1.KASIH SAYANG
Kanak-kanak sangat memerlukan belaian kasih sayang dan perhatian dari kedua ibu bapa. Sekiranya bapa jarang mendampingi anak, sudah tentulah anak akan mengalihkan perhatian kepada ibunya.
Oleh itu cuba fahami bahasa anak dengan bertanya secara lemah lembut kepadanya. Tinggalkan sebentar apa yang anda lakukan dan berikan perhatian kepada anak. Pandang mukanya dan tatap matanya. Berapa kalikah dalam sehari kita bertentang mata dengan anak Eye contact sangat penting di dalam apa-apa jenis komunikasi walaupun dengan anak kecil.
2.MASA BERSAMA ANAK-ANAK
Sebaik sahaja anda pulang dari bekerja dan mengambil anak dari taska, luangkan masa setengah jam terlebih dahulu bersama anak. Jangan terus ke dapur memasak, angkat kain dan sebagainya. Berikan perhatian pertama anda kepada anak. Tanyakan dengan lembut dan mesra apa yang dibuatnya seharian di rumah bersama bibik atau di taska/tadika. Dukung dan peluklah dia serta nyatakan di telinganya, papa/mama sangat sayangkan abang. Bermain-main dengannya lebih kurang setengah jam, barulah puan minta diri untuk ke dapur dan sebagainya. Insya Allah anak akan lebih mendengar kata kerana perhatian yang diharapkannya telah diperolehi.
3.DIDIK SIKAP SABAR
Ajarkan anak dengan perkataan “tunggu sebentar boleh” sekiranya anak perlukan sesuatu dan kita tidak dapat berikannya kerana sedang sibuk memasak contohnya. Layanilah dia sebaik sahaja ada kesempatan.
Jangan buat tak tahu sahaja atau bersikap acuh tidak acuh kerana sebenarnya kita sedang mengajar anak agar tidak menghiraukan kita sekiranya kita pula yang memanggilnya. The right way to make her listen to you is by listening to her first. Kita tidak boleh harapkan anak patuh setiap arahan kita kerana Allah tidak menjadikan ia berlaku demikian. Ingatlah anak belajar dengan meniru setiap perbuatan kita. Buktinya boleh dilihat apabila dia melayani adiknya pula.
4. KENALI PERSONALITI ANAK
Setiap anak dikurniakan oleh Allah dengan personalitinya yang tersendiri. Anak yang suka menjerit walaupun tidak mempunyai apa-apa sebab boleh dikategorikan sebagai personaliti Sanguine. Anak ini memang sangat sukakan perhatian. Oleh itu jika anak ini menjerit, berilah perhatian kepadanya seperti memandang ke arahnya, bertepuk tangan sekiranya dia menyanyi dengan kuat dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, kita boleh mengajarkan kepadanya bahawa perbuatan suka menjerit adalah tidak bagus kerana boleh mengganggu adik kecil yang sedang tidur.
Sekiranya anak suka menjerit, kita boleh suruh dia mengadap dinding yang kosong dan menjerit di situ berulangkali sehingga dia letih.
Insya Allah dia akan kurang suka kepada menjerit kerana mendapati aktiviti tersebut memenatkan. Mungkin dia akan berhenti menjerit atau membuat perangai lain beberapa hari. Sekiranya dia mengulanginya semula, kita suruh dia lakukan perkara yang sama sehinggalah dia berhenti sendiri lama kelamaan.
Berikan dia hadiah (gula-gula misalanya) jika kita dapati dia tidak menjerit atau semakin kurang menjerit dalam satu hari sebagai positive reinforcement. Katakan padanya, papa atau mama beri hadiah coklat kerana kakak tidak menjerit hari ini. Dengan ini anak akan faham bahawa papa atau mama tidak menyukai perbuatan tersebut.
5.SIKAP POSITIF
Sentiasa ingatkan diri kita dengan sifat positif anak. Keletah dan karenah anak yang menghiburkan hati. Tumpukan perhatian kita terhadap kelebihan tersebut, jangan ingat kekurangan anak dan doakan setiap kali selesai solat agar Allah memudahkan kita mengubah sifat negatifnya.
Bayangkan anak dengan semua sifat-sifat positif yang kita inginkan setiap kali kita berinteraksi dengan anak. Boleh juga tukita berbuat demikian setengah jam setelah anak sudah masuk tidur dan nyenyak tidurnya. Usapkan dengan lembut di ubun-ubun kepalanya, cium dan bacakan selawat serta sebutkan harapan kita kepadanya
Misalnya ‘papa dan mama sayang kakak, papa dan mama mahu kakak tidak menjerit lagi’. Sebutkan perkara spesifik yang kita mahukan. Jangan hanya menyebut ‘papa dan mama harap kakak berubah’ atau menyebut dengan nada negatif seperti ‘papa dan mama tak suka kakak menjerit’. Teknik ini dipanggil imagery atau visualization dan didapati sangat berkesan jika dilakukan berulangkali.
Ibubapa sekalian juga boleh membacakan surah AlFatihah, Ayat Kursi dan 3 Kul kepada anak setiap kali mereka masuk tidur untuk memelihara dari gangguan syaitan. Sebagai ingatan, sesungguhnya mendidik anak tidak mudah apatah lagi di zaman globalisasi yang serba mencabar.
Semoga semua ibu bapa lebih bersabar, jangan ignore anak dan cubalah memahaminya. Fahami dunia anak yang tiada masalah, penuh keseronokan dan penerokaan. Bayangkan perasaan anak apabila dimarahi sedangkan apa yang cuba dibuatnya hanyalah meneroka alam sekeliling.
Anak-anak hidup dalam dunia yang tiada peraturan. Ibubapalah yang membuat peraturan, disiplin dan juga galakan kepada anak. Belilah buku-buku tentang panduan mendidik anak, mengenali personaliti anak dan cara-cara menghadapinya.
Sekian, semoga Allah mengurniakan rahmat dan kebijaksanaan kepada ibu bapa. Jangan berputus asa dengan anak kerana ia akan membuatkan anak berputus asa terhadap kita sebagai ibubapanya.
Zaman sekarang, aktiviti anak-anak untuk bermain sangat terhad. Biasanya bila duduk dalam rumah, televisyen dan gajet yang akan jadi peneman anak untuk hilangkan rasa bosan.
Kalau dilihat kesan jangka panjang ini akan membantutkan perkembangan diri anak. Sepatutnya anak perlu melakukan aktiviti yang dapat merangsang kemahiran motor halus dan kasar serta kemahiran deria.
Kredit Gambar: Suhaiza Sa’at
Mereka sepatutnya keluar rumah, berjalan di taman dan bersosial dengan kanak-kanak lain. Kanak-kanak kecil harus mampu melontar bola, melompat, berlari dan bernyanyi. Namun disebabkan kekangan sekarang, semua itu tak dapat dilakukan.
Jadi bagi memberi rangsangan untuk anak, pilihan busy board salah satu cara untuk elak ketagihan gajet. Apakah itu busy board? Ia adalah satu papan yang diletakkan aksesori dan peralatan dengan fungsi yang berbeza yang dapat membuatkan kanak-kanak sibuk dan terhibur.
Pengunaan busy board ini telah digunakan secara meluas di negara luar dan diakui keberkesanannya dalam meningkatkan kemahiran motor halus kanak-kanak sama ada kanak-kanak normal, hiperaktif atau lembam. Ia juga dapat melatih anak-anak berfikir untuk menyelesaikan masalah. Sebagai contoh bagaimana untuk membuka mangga mengunakan kunci, bagaimana membunyikan loceng basikal, menyalakan lampu dan macam-macam lagi. Di samping itu, ia juga mampu membentuk anak yang lebih kreatif, kritis dan inovatif.
Busy board sesuai untuk bayi seawal usia 6 bulan dan ke atas atau apabila anak anda sudah belajar untuk duduk dan menunjukkan minat pada barang-barang rumah seperti alat kawalan jauh, pintu, suis dan lain-lain. Menariknya ia sesuai untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan.
Bagus untuk sensori anak. Kredit Gambar: Suhaiza Sa’at
Berikut perkongsian Puan Suhaiza Sa’at yang membuat busy board buat anak-anaknya dengan cara mudah. Busy board ni terpulang pada ibu bapa nak letakkan barang apa, asalkan memberi keseronokan pada anak.
Ummi decide nak buat busy board untuk anak-anak bujang ummi. Peralatan semua dah ada, so terhasillah busy board dari kertas kadbod 2 lapis ni.
Busy board terdiri daripada:
-zip -snap button -tali pinggang -ring -velcro -selak pintu -selak pintu macam pintu hotel tu (sorry tak tau nama) – buka pintu, ada gambar famili -roda 3 -lampu pulas -keyboard -cermin
Boleh pelbagaikan peralatan ikut kesesuaian anak. Kredit Gambar: Suhaiza Sa’at
-tutup botol (penutup attach dgn botol via tali) -towel bulu -rumput tiruan -span basuh pinggan -lampu tekan -opener kotak susu -opener wipes (bila buka, ada gambar anak2) -container ubat -pompom track by tissue role
Sekurang-kurangnya dalam 30 minit anak bermain dengan busy board ni cukup untuk melatih kemahiran motor, selain memberi masa dan ruang untuk ibu melakukan kerja rumah. Cubalah!
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kelahiran Chrystan menjadi momen penuh emosi bagi Chryseis Tan dalam kehamilan terakhirnya. Kisah C-section ketiga ini sarat syukur, ketakutan dan kasih sayang seorang ibu.