
Siapa sangka, sambutan hari lahir yang sepatutnya menjadi kenangan paling indah buat seorang anak bertukar menjadi detik hitam yang mengubah seluruh kehidupannya.
Seorang kanak-kanak bernama Uwais Al Fateh Muhammad Za’im, atau lebih mesra disapa Fateh, selepas mengalami insiden tercekik belon ketika menyambut ulang tahun kelahirannya pada Mei tahun lalu.
Daripada seorang anak yang aktif, ceria dan mempunyai pelbagai bakat, kini Fateh terpaksa memulakan semula perkara asas yang sebelum ini mampu dilakukannya tanpa bantuan sesiapa.
Lebih meruntun hati, kanak-kanak yang dahulunya lincah bersukan dan pernah mencipta kejayaan dalam pertandingan taekwondo itu kini sedang berjuang untuk belajar berdiri dan berjalan semula.

Dulu Johan Taekwondo, Fateh Juga Berbakat Dalam Pelbagai Bidang
Menurut ibunya, Nurul Huda Zulkhairi, Fateh sebelum ini merupakan seorang kanak-kanak yang sangat aktif dan mempunyai minat mendalam dalam pelbagai aktiviti.
Bukan sekadar gemar bersukan, Fateh juga pernah membuktikan kebolehannya dalam pertandingan taekwondo apabila berjaya mengharumkan nama negeri meskipun ketika itu baru berada pada peringkat tali pinggang putih.
Malah, bakatnya tidak terhad dalam bidang sukan sahaja. Fateh turut mempunyai kelebihan dalam aktiviti berenang, mendeklamasikan sajak dan menghasilkan lukisan.
“Sebelum ini, Fateh pernah mewakili negeri dalam pertandingan taekwondo di Kelantan dan muncul johan meskipun baru menyandang tali pinggang putih.
“Dia juga pandai berenang, pernah mendapat tempat kedua dalam pertandingan sajak peringkat daerah, gemar memancing serta berbakat dalam seni lukisan.
“Sekarang Fateh terpaksa belajar balik semula dari awal. Belajar berdiri, belajar berjalan semua mula dari awal,” katanya.
Jika dahulu dia bebas berlari, berenang dan melakukan pelbagai aktiviti seperti kanak-kanak seusianya, kini setiap pergerakan memerlukan latihan, bantuan serta kesabaran yang tinggi.

Tercekik Belon Ketika Sambut Hari Lahir, Jantung Fateh Sempat Terhenti
Mengimbas kembali kejadian, menurut laporan Sinar Harian, anak kecil itu yang ketika itu berusia tujuh tahun mengalami insiden cemas ketika bermain di rumah semasa sambutan hari lahirnya pada Mei 2025.
Kejadian berlaku apabila Fateh tercekik belon sehingga mengalami kesukaran untuk bernafas.
Keadaan menjadi semakin kritikal apabila wajahnya dilaporkan bertukar kebiruan sebelum jantungnya terhenti.
Dalam situasi yang cukup mencemaskan itu, bapa Fateh bersama seorang rakannya yang merupakan doktor segera memberikan bantuan kecemasan.
Mereka melakukan bantuan pernafasan dan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum Fateh dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Insiden yang berlaku dalam sekelip mata itu akhirnya meninggalkan kesan besar terhadap kehidupan Fateh, sekali gus mengubah rutin seluruh keluarganya.
Sebak Lihat Fateh Jalani Fisioterapi, Belajar Berjalan Semula
Kisah perjuangan Fateh kembali menyentuh hati ramai selepas rakaman perjalanan pemulihannya dikongsikan di media sosial.
Menerusi video tersebut, orang ramai dapat melihat sendiri usaha kanak-kanak ini menjalani pelbagai sesi terapi bagi mendapatkan semula keupayaan tubuhnya.
Antara yang dikongsikan termasuklah Fateh menjalani fisioterapi menggunakan alat bantuan berjalan serta mengikuti terapi pertuturan.
Setiap usaha untuk berdiri, menggerakkan anggota badan dan melangkah memerlukan latihan secara berperingkat.

Pelbagai Rawatan Diusahakan, Ada Perkembangan Positif
Demi membantu Fateh mendapatkan semula keupayaan dirinya, Nurul Huda memaklumkan bahawa keluarga telah berusaha mendapatkan pelbagai bentuk rawatan dan terapi.
Antara pendekatan yang pernah dicuba termasuklah akupuntur, bekam, terapi hiperbarik, suntikan saraf, fisioterapi, terapi berkuda, terapi carakerja dan mandi ais.
Walaupun keberkesanan setiap kaedah rawatan berbeza dan tidak semuanya mempunyai bukti klinikal yang kukuh untuk keadaan seperti ini, keluarga Fateh tetap berusaha mencari pilihan yang bersesuaian dengan keperluannya.
Hasil usaha pemulihan yang dijalankan, Fateh dilaporkan menunjukkan beberapa perkembangan positif, termasuk peningkatan keupayaan untuk mengunyah serta fungsi tubuhnya.
Keluarga Usaha Kumpul RM85,000 Untuk Rawatan Lanjutan Di Mexico
Tidak berputus asa dengan keadaan anaknya, keluarga Fateh kini turut berusaha mengumpulkan dana bagi membolehkannya mendapatkan rawatan lanjutan di luar negara.
Rawatan yang sedang dipertimbangkan ialah MuseCell Therapy menerusi The Neorgana Advance Neuroregeneration Program di Yucatan, Mexico.
Kos rawatan tersebut dianggarkan sebanyak AS$20,500, iaitu kira-kira RM85,000 berdasarkan jumlah yang dilaporkan.
Semoga segala urusan Fateh dan keluarganya dipermudahkan serta setiap usaha pemulihan yang dijalankan membawa perkembangan yang baik buat dirinya.
Menarik: Surah Al-Ikhlas & 3 Zikir Ni Jangan Tinggal Masa Anak Jawab Peperiksaan!
Zikir Ibu Ayah Ketika Anak Hadapi Peperiksaan, Amalan Mohon Permudahkan Urusan!
Disiplinkan Anak Tanpa Jerit & Ugut Rotan, Ikut Langkah Ni Guna Time Out
Sumber: Sinar Harian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

