
Ketika banjir melanda, setiap ibu bapa hanya punya satu harapan iaitu keselamatan anak-anak. Namun bagi sebuah keluarga di selatan Thailand, detik cemas itu bertukar menjadi tragedi paling memilukan. Menurut Harian Metro, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, Amidala Arayawat atau lebih mesra dipanggil Padme yang maut selepas bot penyelamat yang dinaikinya terbalik ketika operasi memindahkan mangsa banjir.
Padme, Si Kecil Berwajah Manis dan Rambut Kerinting
Di media sosial, keluarga berkongsi gambarnya yang rambut kerinting, senyuman lembut, raut wajah manis yang membuatkan ramai menyangkakan dia berdarah kacukan. Padme adalah anak kecil yang ceria, membesar dalam keluarga yang penuh kasih sayang.

Namun pada minggu tragis itu, hujan lebat yang berterusan menyebabkan air banjir naik mendadak di kawasan kediaman mereka di Jalan Banja, wilayah Songkhla. Air melimpah sehingga hampir mencecah tingkat dua rumah mereka.
Ibu Padme sendiri memohon bantuan melalui dalam talian, sedaya upaya melindungi anaknya. Dia turut menyatakan, jika penyelamat tidak tiba segera, dia berhasrat berenang ke rumah jiran yang terletak di kawasan lebih tinggi.
Detik Penyelamatan Yang Bertukar Duka
Apabila pasukan penyelamat akhirnya tiba, keluarga itu dipindahkan ke sebuah bot. Namun arus yang terlalu kuat membuatkan bot terbalik secara tiba-tiba. Dalam keadaan panik dan derasnya air, Padme terlepas daripada pelukan ibunya, satu saat yang pastinya menghantui mana-mana ibu untuk seumur hidup.
Selama dua hari, keluarga menunggu dalam doa dan harapan. Namun pada 29 November, mereka mengesahkan bahawa jasad kecil Padme telah ditemukan.
Doa & Luka Yang Ditanggung Bersama
Di ruangan komen media sosial, ribuan hati turut berkabung. Ramai yang menitipkan kata-kata semangat:
“Saya tidak pernah menjangkakan perkara ini berlaku.”
“Tolong jaga kesihatan mental dan fizikal anda termasuk semua ahli keluarga.”
Kata-kata itu mungkin ringkas, tetapi setiap satunya mencerminkan kesedihan bersama — kerana kehilangan seorang anak kecil sentiasa menjadi luka seluruh masyarakat, bukan hanya keluarganya.
Banjir di Selatan Thailand: Mangsa Terus Bertambah
Menurut laporan terkini setakat 1 Disember, angka korban akibat banjir di lapan wilayah selatan Thailand meningkat kepada 267 orang. Ternyata, banjir bukan sekadar bencana alam — ia meragut nyawa, harapan, dan masa depan keluarga.
Untuk Ibu Bapa: Ingatan Buat Kita Semua
Sebagai ibu bapa, kisah Padme sangat mengusik jiwa. Ia mengingatkan kita bahawa dalam apa jua keadaan, keselamatan anak kecil harus sentiasa menjadi keutamaan — dan betapa cepatnya keadaan boleh berubah ketika bencana.
Semoga keluarga kecil Padme diberikan kekuatan menghadapi detik paling sukar dalam hidup mereka. Dan semoga roh si kecil ini tenang di sisi-Nya.
Padme, nama yang indah. Dan kini, satu malaikat kecil kembali ke pangkuan syurga.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!












