Kekeluargaan

Tragedi Hulu Langat: Sempat Hantar Dua Anak Ke Sekolah, Tiga Beranak Maut Dalam Perjalanan Ke Tadika

Share

Tiada siapa menyangka rutin biasa sebuah keluarga pada pagi Rabu bertukar menjadi perpisahan buat selama-lamanya apabila berlaku Tragedi Hulu Langat yang meragut nyawa tiga sekeluarga.

Seperti kebanyakan ibu bapa lain, Hafifi Rahman Rahmat, 34, memulakan paginya dengan menghantar anak-anak ke sekolah. Dua anak lelakinya yang belajar di Darjah Empat dan Darjah Dua sempat dihantar dengan selamat sebelum dia meneruskan perjalanan bersama isteri, Nik Aishah Asilan Nik Mohd Zamzuri, 32, serta anak bongsu mereka yang baru berusia tiga tahun, Muhammad Rafie Hanzal.

Namun, perjalanan untuk menghantar si kecil ke tadika dan isteri ke tempat berniaga itu tidak pernah sampai ke destinasi. Rutin harian yang kelihatan biasa akhirnya bertukar menjadi detik paling menyayat hati buat seluruh keluarga.

Tragedi Hulu Langat Bermula Dalam Perjalanan Mencari Rezeki

Menurut bapa Allahyarham Hafifi, Rahmat Topani, 65, anaknya ketika itu dalam perjalanan untuk menghantar isterinya berniaga nasi kukus berhampiran sebuah stesen minyak di Nanding.

“Waktu itu anak saya hendak hantar isterinya berniaga dan anaknya ke tadika di Nanding,” katanya.

Sebelum itu, Allahyarham terlebih dahulu menyelesaikan tanggungjawab sebagai seorang ayah dengan menghantar dua anak lelakinya ke sekolah seperti rutin harian mereka.

Namun, ketika meneruskan perjalanan, motosikal yang dinaiki pasangan suami isteri bersama anak kecil mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Aruz di Jalan Batu 17, Hulu Langat.

Ketiga-tiganya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dua Anak Menanti Kepulangan Ibu dan Ayah

Apa yang paling meruntun hati dalam Tragedi Hulu Langat ini ialah dua anak pasangan tersebut mungkin tidak pernah menyangka lambaian kepada ibu dan ayah pada pagi itu menjadi lambaian terakhir.

Mereka dihantar ke sekolah seperti biasa, namun apabila sesi persekolahan berakhir, ibu dan ayah yang dinanti tidak lagi dapat pulang menjemput mereka atau menunggu mereka di rumah.

Dalam sekelip mata, dua kanak-kanak itu kehilangan ibu, ayah dan adik tersayang serentak.

Tiada lagi suara ibu menyediakan keperluan harian mereka. Tiada lagi ayah yang menghantar ke sekolah, bertanya tentang kerja rumah atau memastikan mereka selamat sebelum meneruskan urusan mencari rezeki.

Pagi yang bermula seperti hari-hari biasa akhirnya meninggalkan luka yang mungkin akan dibawa sepanjang hidup.

Trending artikel: Bantuan MamaKerja Kini RM10 Juta! Lagi 5000 Ibu Bekerja Terima Insentif RM1,000

Baca lagi: Ubat Cacing Kanak-Kanak: 7 Petanda Amaran Anak Dijangkiti Cacing Yang Ramai Ibu Bapa Terlepas Pandang

“Sampai Di Situ, Semua Sudah Tidak Bernyawa”

Keadaan motosikal ditunggang mangsa selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Batu 17 Hulu Langat pada Rabu. Foto IPD KAJANG

Rahmat memberitahu, dia mengetahui mengenai kemalangan tersebut selepas menerima panggilan daripada seorang rakan.

Dia bersama isterinya kemudian bergegas ke lokasi kejadian, namun segala-galanya sudah terlambat.

“Sampai di situ, semua mereka sudah tidak bernyawa,” luahnya.

Menurut Rahmat, tiada sebarang perubahan pelik ditunjukkan oleh anaknya sebelum kejadian. Allahyarham berada dalam keadaan seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang petanda bahawa keluarga mereka bakal diuji dengan kehilangan sebesar itu.

Ketiga-tiga jenazah kemudiannya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jawa, Hulu Langat pada malam Rabu.

Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah

Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya

Pengajaran Daripada Tragedi Hulu Langat

Sebuah kereta jenis Perodua Aruz yang dikatakan masuk ke laluan mangsa sebelum berlanggar dalam kejadian di Jalan Batu 17 Hulu Langat pada Rabu. Foto IPD KAJANG

Kisah ini menjadi peringatan bahawa rutin yang kelihatan biasa seperti menghantar anak ke sekolah, menyediakan sarapan, bersalaman sebelum keluar rumah atau mengucapkan “jumpa nanti” sebenarnya sangat berharga.

Sebagai ibu bapa, ada kalanya kita terlalu sibuk mengejar masa sehingga terlupa memeluk anak sedikit lebih lama, mencium pasangan sebelum keluar bekerja atau mengucapkan kata-kata yang baik sebelum berpisah.

Kita tidak pernah tahu bila kali terakhir anak melihat wajah ibu ayah, atau bila kali terakhir ibu ayah mendengar suara anak memanggil nama mereka.

Semoga dua anak yang ditinggalkan terus diberikan kekuatan, dilindungi dan dikelilingi insan yang menyayangi mereka. Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa ketiga-tiga arwah, melapangkan kubur mereka serta menempatkan mereka dalam kalangan orang yang beriman.

Al-Fatihah.

Sumber: Sinar Hariian

Published by
Nor Yusoff