Ibu Anak Tiga Sangka Sakit Kepala Biasa, Rupanya Ada Tumor Otak

Share

Tumor otak langsung tidak terlintas di fikiran keluarga ini apabila sakit kepala yang pada awalnya dianggap biasa akhirnya menjadi permulaan kepada sebuah kehilangan yang tidak pernah terbayangkan.

Bagi kebanyakan orang, apabila kepala mula berdenyut atau terasa sakit, perkara pertama yang dilakukan mungkin mengambil Panadol, ubat tahan sakit atau sekadar berehat. Ada juga yang menganggap ia berpunca daripada keletihan, kurang tidur atau masalah penglihatan.

Namun kisah seorang suami yang kehilangan isteri tercinta pada April lalu akibat ‘Malignant brain tumor‘ cukup meruntun hati dan wajar dijadikan pengajaran buat semua.

Lebih menyedihkan, Allahyarhamah merupakan seorang ibu kepada tiga orang anak yang berusia 18, 10 dan 6 tahun.

Sakit Kepala Menjadi Petanda Awal Tumor Otak

Segalanya bermula pada malam 4 April 2026 apabila isterinya, Nor Haryanty Binti Jaafar, 42, mengadu sakit kepala sebelum tidur.

Menurut perkongsian suaminya,Mohd Nazri Bin Ab Rahim (45)  isterinya tidak pernah mempunyai masalah kesihatan yang diketahui keluarga sebelum itu. Dia memberikan Panadol, namun sakit tersebut masih tidak berkurang. Ketika itu mereka menyangka ia mungkin berpunca daripada masalah rabun yang semakin bertambah.

Keesokan harinya, mereka pergi melakukan pemeriksaan mata. Pemeriksaan mendapati kuasa mata sebelah kanan isterinya meningkat daripada 500 kepada 700.

Cermin mata baharu dibuat, namun sakit kepala masih tidak hilang.

Mereka kemudian pergi ke klinik. Tekanan darah didapati normal dan doktor memberikan ubat tahan sakit. Namun selepas mengambil ubat, kesakitan tetap berterusan.

Hari demi hari, si suami terus membawa isterinya mendapatkan rawatan.

Mereka pergi ke klinik lain. Doktor memberikan suntikan dan ubat tahan sakit berbeza. Selepas suntikan, sakit kepala sempat berkurang dan isterinya akhirnya dapat berehat.

Namun kelegaan itu tidak lama.

Sakit kepala kembali menyerang sehingga mereka mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Meru. Sekali lagi tekanan darahnya normal. Dia diberikan ubat migrain dan ubat tahan sakit yang lebih kuat.

Tiada siapa ketika itu menyangka bahawa di sebalik sakit kepala tersebut, ada sesuatu yang jauh lebih serius sedang berlaku.

Baca lagi: Ubat Cacing Kanak-Kanak: 7 Petanda Amaran Anak Dijangkiti Cacing Yang Ramai Ibu Bapa Terlepas Pandang

Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah

Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya

Perubahan Tingkah Laku Mula Disedari

Beberapa hari kemudian, suaminya mula menyedari perubahan pada diri isterinya.

Ketika menghadiri pertandingan Tae Kwan Do anak mereka, isterinya kelihatan sudah tidak seperti biasa. Tudung terselak sehingga menampakkan leher tetapi dia tidak menyedarinya. Ketika makan, mulutnya comot tetapi dia juga seperti tidak sedar.

Malah ketika hendak keluar rumah, isterinya memakai tudung bersama baju-T berlengan pendek tanpa inner. Suaminya mula merasakan wanita itu sudah terlupa perkara-perkara asas dan tidak lagi membenarkannya memandu kerana fokus isterinya semakin terganggu.

Namun dalam keadaan sakit sekalipun, naluri seorang ibu tetap kuat.

Dia masih mahu menghadiri pertandingan anaknya walaupun suami meminta supaya berehat. Dia masih mahu bersama anak-anak dan menikmati masa bersama keluarga.

Malah ketika makan bersama, dia sempat bergurau tentang anak sulungnya, Danish, yang sering mengurut kepalanya.

“Along anak kesayangan Mommy sebab Along pandai picit kepala Mommy.”

Tiada siapa menyangka kata-kata itu bakal menjadi antara kenangan terakhir seorang ibu bersama anaknya.

Sakit Kepala Semakin Teruk

Pada malam 12 April, sekitar jam 11 malam, sakit kepala isterinya kembali menyerang dengan lebih kuat.

Walaupun sudah mengambil ubat migrain, sakit itu tidak hilang. Suaminya mengurut kepala isterinya sehingga sekitar jam 2 pagi sebelum tertidur.

Sekitar jam 5 pagi pada 13 April, si suami terjaga dan mendapati isterinya tiada di sebelah.

Selepas mencari, dia menemui isterinya tersandar di dinding sebuah bilik. Apabila dikejutkan, isterinya langsung tidak memberikan respons walaupun masih bernafas.

Dengan bantuan anak sulung mereka, wanita itu segera dibawa ke jabatan kecemasan.

Di hospital, doktor mendapati anak matanya sudah mengembang dan tidak memberikan respons terhadap cahaya. Dia segera dipindahkan ke Zon Merah sebelum menjalani CT scan.

CT Scan Temui Tumor Otak Berukuran 5x5cm

Keputusan CT scan akhirnya membawa berita yang langsung tidak pernah terlintas di fikiran keluarga itu.

Doktor mendapati terdapat tumor berukuran kira-kira 5×5 sentimeter di sebelah kanan otaknya. Menurut perkongsian suaminya, tumor tersebut telah memberikan tekanan kepada otak dan mengganggu saluran darah sehingga menyebabkan isterinya rebah.

Selama 19 tahun hidup bersama, si suami langsung tidak mengetahui bahawa isterinya mempunyai tumor otak

.

Isterinya sendiri juga tidak tahu.

Selepas doktor menerangkan tumor tersebut turut memberi tekanan kepada bahagian otak berkaitan personaliti, barulah suaminya memahami perubahan isterinya sepanjang minggu sebelumnya.

“Bila aku fikir balik memang betul seminggu ni aku macam dah tak kenal wife aku. Personaliti dia jadi lain.”

Pembedahan Dilakukan Untuk Mengurangkan Tekanan Pada Otak

Pembedahan kemudian dilakukan untuk mengurangkan tekanan pada otak. Namun selepas prosedur, doktor memaklumkan bahawa keadaan otaknya sudah terlalu teruk. Ahli keluarga diminta datang untuk bertemu dengannya buat kali terakhir.

Tiga anak mereka turut dibawa masuk untuk melihat Mommy.

Danish, anak sulung paling bersedih. Yaya pula cuba memahami apa yang sedang berlaku. Aali, anak bongsu yang sangat manja dengan ibunya, pada mulanya enggan memegang tangan Mommy.

Menurut suaminya, Aali begitu rapat dengan ibu. Hendak tidur perlu dipeluk Mommy dan pergi tadika juga mahu Mommy yang menghantarnya.

Si suami terus berada di sisi isterinya, memegang tangan wanita yang menemaninya hampir dua dekad sambil membisikkan kalimah syahadah.

“Nanti kita jumpa dekat Syurga ye Sayang.”

Ibu Tiga Anak Meninggal Dunia Pada 14 April

Pada 14 April 2026, jam 2.12 petang, doktor akhirnya mengesahkan isterinya telah meninggal dunia.

Lebih menyentuh hati, jenazah Allahyarhamah diuruskan di Masjid Badariah Batu 12 Kapar, masjid yang sama tempat pasangan itu diijabkabulkan 19 tahun sebelumnya. Si suami sendiri mengimamkan solat jenazah isterinya sebagai penghormatan terakhir.

Allahyarhamah meninggalkan tiga orang anak berusia 18, 10 dan 6 tahun

yang kini perlu meneruskan kehidupan tanpa seorang ibu di sisi.

Artikel trending: “Saya Takut Bila Ada Anak Sendiri, Hati Saya Akan Berubah” Madammu Kongsi Dilema Besarkan 3 Anak Tiri

Artikel viral: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!

Artikel: Pelajar 12 Tahun Meninggal Mengejut Selepas Latihan Silat, Mengadu Sakit Kepala Sebelum Rebah

Tumor Otak Bukan Punca Setiap Sakit Kepala

Kisah ini bukan bermaksud setiap sakit kepala menandakan seseorang mempunyai tumor otak. Namun ia menjadi peringatan supaya kita tidak mengabaikan kesakitan yang berpanjangan, semakin teruk atau disertai perubahan luar biasa seperti keliru, hilang fokus, perubahan tingkah laku atau tahap kesedaran menurun.

Dalam kisah Allahyarhamah, sakit kepala yang berterusan bersama perubahan tingkah laku akhirnya membawa kepada penemuan tumor otak selepas pemeriksaan CT scan dilakukan di hospital.

Hanya sekitar 10 hari memisahkan malam pertama Allahyarhamah mengadu sakit kepala dengan hari keluarganya terpaksa mengucapkan selamat tinggal.

Semoga kisah Allahyarhamah Nor Haryanty Binti Jaafar menjadi pengajaran buat kita semua agar lebih peka terhadap kesihatan diri dan insan tersayang.

Semoga Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan semoga suami serta tiga anak yang ditinggalkan diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan tanpa insan bergelar isteri dan Mommy di sisi.

Al-Fatihah.

Pendaftaran PERCUMA! Gayakan busana futuristik dan anak anda berpeluang memenangi wang tunai dan hamper istimewa. Daftar sekarang:
https://www.majalahpama.my/himpunan-generasi-futuristik/

Published by
Nor Yusoff