Tidak pernah tergambar dalam fikiran Michael Tong Wai Siong, 55, bahawa dia akan dipertemukan dengan takdir yang membuatnya menjadi “bapa” kepada tiga anak lelaki yang berbeza bangsa dan agama.
Namun, dalam perjalanan hidup yang penuh liku dan tidak dijangka, Michael menerima hakikat yang jauh daripada kebiasaannya. Di sebalik setiap kesedihan dan pengorbanan, kasih sayang yang terbina antara mereka mengubah segalanya, menjadikan hubungan itu lebih bermakna daripada sekadar pertalian darah.
Dikenali dengan panggilan mesra “Uncle Mike,” Michael merupakan seorang yang aktif dalam kerja-kerja kebajikan. Melalui penyertaan dalam kelab kereta dan program rumah amal, dia dipertemukan dengan tiga anak Melayu yatim piatu yang akhirnya mengubah seluruh hidupnya.
“Semasa saya pertama kali bertemu mereka, saya tidak pernah bayangkan akan jadi sebahagian daripada hidup mereka. Ia berlaku dengan begitu cepat,” katanya dengan mata berkaca.
Lebih 16 tahun yang lalu, di sebuah rumah anak yatim di Gombak, Michael dipertemukan dengan Rafei Ahmad Fauzi, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang baru kehilangan kedua ibu bapanya. Hati Michael terusik melihat kesedihan dalam mata Rafei, dan tanpa berfikir panjang, dia membuat keputusan besar untuk membawa Rafei pulang dan menjaganya sebagai anak angkat.
Ads
Namun, kebahagiaan itu tidak lengkap. Rafei mempunyai dua lagi adik lelaki, Rasyid yang ketika itu berusia 11 tahun dan Abdul Rahman yang berusia 8 tahun. Melihat kesedihan di wajah dua kanak-kanak itu, Michael tak sanggup memisahkan mereka. Tanpa memikirkan kesukaran yang bakal dihadapinya, dia memutuskan untuk menjaga ketiga-tiga beradik itu sekaligus.
“Pada mulanya, saya hanya niat untuk bantu Rafei. Tapi bila saya lihat wajah adik-adiknya yang tak sanggup berpisah, hati saya tak boleh biarkan. Saya tak mahu mereka rasa kehilangan lebih dari yang mereka dah lalui,” katanya dengan suara yang sebak.
Kini, setelah hampir 16 tahun, hubungan Michael dengan ketiga-tiga anak angkatnya kekal erat, seperti keluarga kandung. Rafei, 29, Rasyid, 28, dan Abdul Rahman, 24, telah dewasa di bawah jagaan Uncle Mike, yang bukan hanya menjadi penjaga, tetapi seorang ayah yang penuh kasih sayang walaupun tiada pertalian darah antara mereka.
Ads
“Kasih sayang saya terhadap mereka tak pernah pudar. Walaupun kami berlainan bangsa, agama, dan asal-usul, hubungan kami jauh lebih dalam dari semua itu. Mereka adalah anak-anak saya, dan saya tidak pernah menyesal dengan keputusan yang saya buat dulu.”
Michael juga menyifatkan sokongan keluarganya sebagai salah satu kekuatan utamanya dalam menjaga ketiga-tiga beradik itu. Walaupun pada awalnya ada yang terkejut dengan keputusannya, keluarganya akhirnya menerima ketiga-tiga anak angkat itu dengan hati terbuka.
“Saya bersyukur kerana keluarga saya memahami dan menyokong keputusan saya. Mereka juga menasihati saya untuk menjaga anak-anak ini dengan penuh kasih sayang. Ini adalah rahsia yang saya simpan selama bertahun-tahun, dan tidak ramai yang tahu mengenai kisah kami,” tambah Michael.
Pada Isnin lalu, di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC), Michael diiktiraf dengan Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2024 atas dedikasinya dalam menjaga tiga anak yatim berlainan bangsa dan agama. Lebih istimewa lagi, anugerah tersebut disampaikan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, menjadikan Michael satu-satunya penerima berbangsa Cina pada hari yang penuh makna bagi masyarakat Islam.
“Saya terharu dan bersyukur. Penghargaan ini bukan sekadar untuk saya, tapi untuk seluruh keluarga saya dan anak-anak yang telah bersama saya selama ini. Ia menginspirasikan saya untuk terus berbuat kebajikan dan membantu mereka yang memerlukan,” kata Michael dengan penuh rendah diri.
Ini bukan sekadar kisah tentang Michael menjaga tiga anak yatim. Ia adalah kisah tentang kasih sayang, pengorbanan, dan bagaimana sebuah keluarga boleh terbentuk walaupun tanpa pertalian darah. Kasih sayang sejati tidak mengenal bangsa, agama, atau asal usul, dan Michael adalah bukti hidup bahawa manusia boleh menyatukan hati yang terpisah, hanya dengan keikhlasan.
Sumber: Sinar Harian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sumbing bibir dan lelangit merupakan keadaan kongenital yang berlaku apabila bahagian bibir atas, lelangit atau kedua-duanya tidak bercantum dengan sempurna ketika bayi sedang berkembang di dalam kandungan.
Keadaan ini bukan sekadar melibatkan rupa fizikal. Bergantung pada jenis dan tahap sumbing, bayi mungkin menghadapi kesukaran untuk menyusu, bertutur, mendengar serta mengalami masalah pertumbuhan dan susunan gigi.
Namun, dengan rawatan awal serta pemantauan oleh pasukan pakar, kebanyakan kanak-kanak yang mengalami sumbing bibir dan lelangit boleh membesar dengan baik dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.
Sumbing bibir berlaku apabila terdapat bukaan atau rekahan pada bahagian bibir atas. Rekahan tersebut boleh menjadi kecil atau memanjang sehingga ke bahagian hidung.
Ia boleh berlaku pada sebelah bibir yang dikenali sebagai sumbing unilateral atau pada kedua-dua belah bibir yang disebut sumbing bilateral.
Sumbing lelangit pula berlaku apabila terdapat bukaan pada bahagian bumbung mulut. Ia boleh melibatkan lelangit lembut di bahagian belakang mulut, lelangit keras di bahagian hadapan atau kedua-duanya sekali.
Sesetengah bayi hanya mengalami sumbing bibir, sesetengahnya mengalami sumbing lelangit, manakala ada juga yang dilahirkan dengan kedua-dua keadaan tersebut.
Pembentukan wajah bayi berlaku pada peringkat awal kehamilan.
Bibir biasanya terbentuk dan bercantum sekitar minggu keempat hingga minggu ketujuh kehamilan. Lelangit pula terbentuk sedikit kemudian apabila tisu pada kedua-dua belah kepala bayi bercantum untuk membentuk bumbung mulut.
Apabila proses percantuman tersebut tidak berlaku dengan sempurna, satu ruang atau rekahan akan terbentuk pada bibir, lelangit atau kedua-duanya.
Dalam kebanyakan kes, punca sebenar sumbing bibir dan lelangit tidak dapat dikenal pasti dengan tepat.
Pakar percaya keadaan ini mungkin berlaku akibat gabungan faktor genetik dan persekitaran. Ia bukan semestinya disebabkan oleh sesuatu yang dilakukan atau tidak dilakukan oleh ibu ketika hamil.
Risiko mungkin lebih tinggi sekiranya terdapat ahli keluarga yang pernah dilahirkan dengan sumbing bibir atau lelangit.
Dalam sesetengah keadaan, sumbing juga boleh berlaku sebagai sebahagian daripada sindrom atau keadaan genetik tertentu. Namun, ramai bayi mengalaminya tanpa sebarang masalah kesihatan lain.
Pendedahan kepada rokok ketika mengandung dikaitkan dengan peningkatan risiko kecacatan kelahiran tertentu, termasuk sumbing bibir dan lelangit.
Oleh itu, ibu hamil disarankan mengelakkan rokok serta asap rokok sepanjang kehamilan.
Wanita yang menghidap diabetes sebelum mengandung mungkin mempunyai risiko lebih tinggi melahirkan bayi dengan kecacatan kelahiran tertentu sekiranya paras gula dalam darah tidak dikawal dengan baik.
Sesetengah ubat, termasuk ubat sawan tertentu seperti valproate dan topiramate, pernah dikaitkan dengan peningkatan risiko sumbing jika digunakan pada peringkat awal kehamilan.
Namun, ibu tidak boleh berhenti mengambil ubat dengan sendiri. Sebarang perubahan ubat perlu dibincangkan terlebih dahulu dengan doktor kerana menghentikannya secara tiba-tiba juga boleh membahayakan ibu dan kandungan.
Sumbing bibir kadangkala dapat dikesan melalui imbasan ultrabunyi ketika pemeriksaan kehamilan, termasuk imbasan anomali sekitar pertengahan kehamilan.
Walau bagaimanapun, sumbing lelangit lebih sukar untuk dilihat melalui imbasan kerana kedudukannya berada di dalam mulut. Ada kes yang hanya dikenal pasti selepas bayi dilahirkan dan menjalani pemeriksaan fizikal.
Sumbing yang kecil atau berada di bawah lapisan tisu lelangit juga mungkin hanya dikesan apabila anak mula mengalami masalah penyusuan, pertuturan atau pendengaran.
Bayi yang hanya mengalami sumbing bibir mungkin masih boleh menyusu secara terus dengan bantuan posisi dan teknik yang sesuai.
Namun, bayi yang mengalami sumbing lelangit mungkin sukar menghasilkan sedutan yang kuat kerana terdapat ruang antara mulut dan hidung. Susu juga boleh keluar melalui hidung ketika bayi menyusu.
Bayi mungkin mengambil masa lebih lama untuk minum, cepat penat atau tidak mendapat susu yang mencukupi.
Pasukan perubatan mungkin mencadangkan botol dan puting khas bagi membantu susu mengalir dengan lebih mudah. Berat badan serta pertumbuhan bayi juga perlu dipantau secara berkala.
Ibu tidak perlu berasa bersalah sekiranya bayi sukar menyusu secara terus. Perkara paling penting ialah memastikan bayi menerima nutrisi yang mencukupi dengan kaedah penyusuan yang selamat dan sesuai.
Kanak-kanak dengan sumbing lelangit lebih mudah mengalami pengumpulan cecair di bahagian telinga tengah atau keadaan yang dikenali sebagai glue ear.
Keadaan ini berlaku kerana otot di sekitar lelangit yang membantu fungsi saluran telinga tidak berfungsi seperti biasa. Jika tidak dipantau, ia boleh menyebabkan masalah pendengaran dan seterusnya mempengaruhi perkembangan pertuturan anak.
Pemeriksaan pendengaran secara berkala mungkin diperlukan. Sesetengah kanak-kanak memerlukan alat bantuan pendengaran atau tiub kecil yang dipasang pada gegendang telinga untuk membantu mengalirkan cecair.
Lelangit memainkan peranan penting dalam membantu seseorang menghasilkan bunyi dan pertuturan yang jelas.
Walaupun sumbing telah dibaiki melalui pembedahan, sesetengah kanak-kanak mungkin mempunyai suara sengau atau sukar menyebut bunyi tertentu.
Pakar terapi pertuturan akan memantau perkembangan bahasa dan pertuturan anak. Terapi awal boleh membantu anak belajar menghasilkan bunyi dengan lebih jelas serta berkomunikasi dengan lebih yakin.
Sumbing yang melibatkan bahagian gusi boleh mempengaruhi pertumbuhan dan kedudukan gigi.
Gigi mungkin tumbuh tidak sekata, bertindih, tidak tumbuh atau muncul pada kedudukan yang luar daripada biasa. Kanak-kanak juga mungkin memerlukan rawatan ortodontik seperti pendakap gigi apabila semakin besar.
Penjagaan kebersihan mulut perlu diberikan perhatian kerana struktur gigi dan gusi yang berbeza mungkin menjadikan sesetengah bahagian lebih sukar dibersihkan.
Rawatan bergantung pada jenis serta tahap sumbing yang dialami oleh anak. Penjagaan biasanya melibatkan pasukan pelbagai disiplin seperti:
Pembedahan sumbing bibir biasanya dilakukan ketika bayi masih kecil, manakala pembedahan lelangit dilakukan mengikut usia, tahap kesihatan dan penilaian pasukan pakar.
Anak mungkin memerlukan beberapa rawatan susulan sepanjang tempoh tumbesaran, termasuk pemeriksaan pendengaran, terapi pertuturan, rawatan pergigian serta pembedahan tambahan jika perlu.
Ya. Kebanyakan kanak-kanak yang mendapat rawatan sumbing bibir dan lelangit boleh membesar dengan sihat, bersekolah, berkomunikasi serta menjalani kehidupan seperti biasa.
Rawatan mungkin mengambil masa dan memerlukan beberapa temu janji sepanjang zaman kanak-kanak hingga remaja. Namun, pembedahan dan terapi boleh membantu memperbaiki penampilan wajah serta mengurangkan masalah penyusuan, pertuturan, pendengaran dan pergigian.
Mengetahui bayi dilahirkan dengan sumbing bibir atau lelangit mungkin membuatkan ibu ayah terkejut, sedih atau tertanya-tanya sama ada mereka telah melakukan kesilapan sepanjang kehamilan.
Namun, kebanyakan kes berlaku tanpa punca yang dapat dikenal pasti dan bukan disebabkan oleh kecuaian ibu atau ayah.
Apa yang diperlukan oleh anak ialah sokongan, pemantauan serta rawatan daripada pasukan perubatan yang berpengalaman. Dengan penjagaan yang tepat, anak bukan sahaja boleh makan dan bertutur dengan lebih baik, malah boleh membesar sebagai individu yang sihat serta yakin terhadap dirinya.
Sekiranya bayi mengalami kesukaran menyusu, berat badan tidak meningkat, susu kerap keluar melalui hidung atau ibu ayah mengesyaki terdapat bukaan pada lelangitnya, dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera.
Selain mendapatkan rawatan, ibu ayah juga digalakkan menghadiri temu janji susulan mengikut jadual yang ditetapkan kerana pemantauan berterusan memainkan peranan penting dalam memastikan perkembangan anak berada pada tahap terbaik. Sokongan keluarga, terapi yang konsisten dan kerjasama dengan pasukan kesihatan dapat membantu kanak-kanak mencapai potensi mereka sepenuhnya.
Sokongan isteri sangat penting bagi memberi semangat buat si suami untuk mencari rezeki untuk keluarga. Jika seorang isteri dengan ikhlas mendirikan solat dhuha dan mendoakan bagi suaminya diluaskan pintu rezeki, sebenarnya amalan ini sangat membantu.
Lihatlah sendiri, ketika sebelum mendirikan solat dhuha, rezeki suami mencukupi, tetapi tidak lebih. Sekadar yang ada. Ada masanya mungkin berkurangan pula. Tetapi apabila seorang isteri itu mendoakan suaminya ketika dalam solat dhuha, datang pula rezeki lain tanpa diduga.
“Setiap pagi, setiap anggota badan kalian wajib dikeluarkan sedekahnya. Setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, menyuruh kepada kebaikan adalah sedekah, dan melarang berbuat mungkar adalah sedekah. Semua itu dapat diganti dengan solat dhuha dua rakaat.” (HR. Muslim).
Betapa besarnya kebaikan mendirikan solat dhuha. Selain hadis itu, terdapat juga hadis yang menunjukkan janji Allah SWT untuk menambah rezeki seseorang itu jika dia mendirikan solat dhuha.
Allah SWT berfirman, “Wahai anak Adam, janganlah engkau luput dari empat rakaat di awal harimu, nescaya Aku cukupkan untukmu di sepanjang hari itu.” (HR. Ahmad)
Bukan susah, hanya dengan mendirikan solat dhuha dan mengadu semua hal kepada-Nya, anda dapat membantu suami. Pengorbanan ini tidak perlu dihebah-hebah, cukup sekadara Allah SWT menilai dan menganugerahkan kesenangan kepada anda sekeluarga.
Jika tidak sempat untuk solat dhuha hari ini, mula jadikan ia amalan harian mulai esok. Semoga kita semua dikurniakan rezeki dan kebaikan sentiasa.
Sebagai seorang isteri, anda boleh mendoakan suami setiap masa dan di mana sahaja. Ia tidak mengambil masa yang lama, tetapi jika dilakukan secara ikhlas untuk kebaikan suami, dengan izin-Nya pasti pintu rezekinya diperluaskan. Berikut senarai doa dari isteri buat suami yang boleh anda pratikkan, mengikut perkongsian darisaudari.com:
Doa 1 Ya Allah, berikanlah kepadaku suami yang terbaik si sisi-Mu, suami yang juga menjadi sahabatku dalam urusan agama, urusan dunia dan akhirat.
Doa 2 Ya Allah, jadikanlah hambamu ini dicintai oleh suami dengan rahmat-mu wahai Zat Yang Maha Penyayang DiAntara Para Penyayang.
Doa 3 Ya Allah, berikanlah suamiku kemudahan rezekinya, jika letaknya masih jauh maka dekatkanlah. Jika masih di langit, maka segera turunkanlah untuknya. Jika tertanam di dasar Bumi hanya Engakulah yang mampu mengeluarkannya.
Doa 4 Ya Allah, berkahilah rezeki yang diperoleh suami hambamu agar membawa kebaikan kepada kami sekeluarga di dunia dan di akhirat.
Doa 5 Ya Tuhanku, berikanlah suami hamba balasan yang sebaik-baiknya atas didikannya padaku dan pahala yang sebesar-besarnya atas kasih sayang yang suami hamba limpahkan.
Doa 6 Ya Allah, janganlah Engkau jadikan kami sasaran fitnah bagi kaum yang zalim, dan selamatkanlah kami dengan curahan rahmat-Mu.
Doa 7 Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari perbuatan syaitan dan dari mimpi-mimpi buruk (HR. Ibn as-Sani)
Doa 8 Ya Allah, aku memohon curahan cinta-Mu dan kecintaan orang-orang yang mencintai-Mu, serta memohon curahan amal yang dapat mengantarakan diriku.
Doa 9 Ya Allah, bila magfirah-Mu telah mencapai mereka sebelumku, izinkanlah mereka memberi syafa’at untukku.
Doa 10 Ya Allah, aku mohon kepada-Mu agar terbuka hati untuk berbuat kebajikan dan menjauhi kemungkaran.
Doa 11 Ya Allah bukakanlah bagiku hikmahmu dan limpahkanlah padaku keberkahanMu, wahai Pengasih dan Penyayang.
Doa 12 Ya Tuhanku, masukkanlah aku secara masuk yang benar, dan keluarkanlah pula aku secara keluar yang benar.
Doa 13 Ya Allah, berilah kesihatan dan kemudahan rezeki kepada kami, dan selalu jadikan kami berada di jalanMU yang lurus.
Doa 14 Ya Allah Ya Rabb.. Segala Puji bagiMu, yang telah mempertemukan kami dengan RamadhanMu.. Semoga kami bertemu RamadhanMu selanjutnya.
Doa 15 Ya Allah Ya Rabb.. Aku berdoa untuk semua hati yang menangis kerana kepahitan hidup. Bantulah kami Tuhanku untuk menjadi manusia-manusia yang terus berharap kepadaMu
Doa 16 Ya Tuhanku, berkati aku dan keluargaku di setiap saat. Lindungilah kami dan jauhkan kami dari kemungkaran dan orang-orang yang berniat jahat kepada kami.
Siapa sangka, insan yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat buat seorang anak akhirnya bertukar menjadi punca kehilangan nyawanya sendiri.
Seorang ibu yang mengandungkan anak selama sembilan bulan, menahan sakit melahirkan dan sepatutnya menjadi pelindung pertama dalam hidup seorang bayi, tergamak bertindak kejam terhadap darah daging sendiri hanya disebabkan perkara yang dianggap remeh tangisan bayi yang tidak berhenti dan sukar tidur.
Tragedi menyayat hati ini dilaporkan berlaku di Korea Selatan apabila seorang wanita berusia 30-an ditahan atas tuduhan membunuh anak lelakinya yang baru berusia lapan bulan.
Menurut laporan The Korea Herald, Polis Wilayah Gyeonggi Nambu memaklumkan suspek kini disiasat di bawah pertuduhan penderaan kanak-kanak sehingga mengakibatkan kematian.
Hasil siasatan mendapati wanita itu mengaku memukul kepala bayi malang tersebut menggunakan alat kawalan jauh televisyen pada 10 April lalu.
Selepas kejadian, mangsa dibawa ke sebuah hospital berhampiran di Bucheon, Wilayah Gyeonggi. Pemeriksaan doktor mendapati bayi berkenaan mengalami kecederaan serius di kepala termasuk keretakan tengkorak.
Doktor turut mencadangkan agar bayi itu dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut memandangkan keadaannya kritikal. Namun lebih mengejutkan, ibu mangsa dikatakan enggan membenarkan rawatan dan membawa pulang anaknya ke rumah.
Pada 13 April, wanita tersebut sekali lagi membawa bayi itu ke hospital sama selepas mendapati anaknya tidak sedarkan diri di rumah. Namun, bayi malang itu disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.
Siasatan lanjut menjadi semakin memilukan apabila rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mendapati ibu bapa bayi tersebut kerap meninggalkan mangsa bersendirian selama beberapa jam.
Pada awalnya, suspek cuba memberi alasan bahawa bayi itu mengalami kecederaan akibat terjatuh ketika mandi. Namun selepas disoal siasat dengan lebih mendalam, wanita itu akhirnya mengaku melakukan penderaan terhadap anaknya sendiri.
Bedah siasat awal oleh Perkhidmatan Forensik Kebangsaan kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Semasa soal siasat, suspek mengaku hilang sabar dan mendera bayi tersebut kerana mangsa tidak berhenti menangis serta enggan tidur.
Polis kini turut menyiasat bapa mangsa sebagai saksi bagi menentukan sama ada lelaki itu mengetahui atau membiarkan penderaan berkenaan berlaku.
Pihak berkuasa turut memaklumkan bahawa mereka akan memohon perintah tahanan rasmi terhadap suspek.
Walaupun kejadian ini berlaku di luar negara, kisah tragis ini tetap memberi pengajaran besar kepada semua ibu bapa. Menjaga anak kecil terutama bayi bukan tugas mudah kerana ia menuntut kesabaran emosi, fizikal dan mental yang sangat tinggi.
Tangisan bayi bukan untuk menyusahkan, tetapi satu-satunya cara mereka berkomunikasi. Apabila ibu bapa terlalu penat, tertekan atau berdepan masalah emosi, mendapatkan bantuan dan sokongan adalah jauh lebih baik daripada melepaskan kemarahan kepada anak yang tidak mengerti apa-apa.
Kerana dalam sekelip mata, kemarahan yang tidak terkawal boleh mengundang penyesalan seumur hidup.
Penyebab utama anemia di kalangan wanita mengandung adalah kekurangan zat besi. Semasa mengandung, badan manusia akan menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin.