5 Kesilapan Disiplin Anak Yang Ramai Ibu Bapa Lakukan, Elak Sebelum Terlambat!

Share

Setiap ibu bapa pasti mengimpikan anak yang berdisiplin, menghormati orang lain dan mampu membezakan perkara yang betul dengan salah. Namun, membentuk disiplin bukan sekadar menetapkan peraturan atau menghukum apabila anak melakukan kesilapan. Cara ibu bapa bercakap, bertindak dan mengurus emosi setiap hari memberi kesan besar terhadap perkembangan emosi serta tingkah laku anak.

Ramai ibu bapa sebenarnya mempunyai niat yang baik, tetapi tanpa disedari menggunakan pendekatan yang boleh menyebabkan anak menurut kerana takut, bukannya memahami sebab sesuatu peraturan diwujudkan.

Menurut perkongsian Dr Redza Zainol, terdapat beberapa kesilapan yang perlu dielakkan supaya disiplin anak dapat dibentuk dengan lebih sihat dan berkesan.

1. Mengugut Anak Supaya Menurut Arahan

Antara ayat yang sering digunakan ialah:

  • “Kalau tak diam, mama tinggal dekat sini.”
  • “Kalau tak makan, nanti doktor datang cucuk.”
  • “Kalau tak tidur, hantu datang.”

Walaupun ugutan boleh membuatkan anak berhenti melakukan sesuatu dalam masa yang singkat, ia bukan pendekatan terbaik untuk membentuk disiplin anak dalam jangka panjang. Anak hanya menurut kerana takut, bukannya memahami mengapa sesuatu arahan diberikan.

Mengugut juga boleh menjadi petanda bahawa ibu bapa masih belum menemui kaedah komunikasi yang lebih berkesan.

Sebaliknya, berikan pilihan yang terhad tetapi jelas.

  • “Kita perlu balik sekarang. Adik mahu berjalan sendiri atau mama dukung?”
  • “Masa bermain sudah habis. Adik mahu simpan kereta dahulu atau blok dahulu?”

Pendekatan ini tetap tegas tetapi memberi peluang kepada anak membuat pilihan yang sesuai dengan had yang telah ditetapkan.

2. Tidak Menetapkan Peraturan Yang Jelas Di Rumah

Anak kecil memerlukan peraturan yang mudah difahami dan dilakukan secara konsisten. Mereka tidak mampu meneka apa yang ibu bapa harapkan daripada mereka.

Jika hari ini mereka dibenarkan melompat di atas sofa tetapi esok dimarahi kerana perkara yang sama, anak akan berasa keliru.

Antara peraturan asas yang boleh diamalkan ialah:

  • Tidak memukul orang lain.
  • Menyimpan semula permainan selepas digunakan.
  • Makan di tempat yang ditetapkan.
  • Bercakap dengan sopan.
  • Tidak bermain dengan barang berbahaya.

Gunakan ayat yang ringkas mengikut usia anak dan ulangi secara konsisten supaya disiplin anak dapat dibentuk secara berperingkat.

3. Menipu Anak Untuk Mengawal Tingkah Laku

Ada kalanya ibu bapa memilih untuk memberi alasan yang tidak benar bagi mengelakkan anak meragam.

Sebagai contoh, mengatakan taman permainan sudah ditutup sedangkan sebenarnya ibu atau ayah terlalu penat untuk keluar.

Walaupun nampak remeh, tabiat ini boleh menjejaskan kepercayaan anak apabila mereka semakin membesar dan mula memahami keadaan sebenar.

Lebih baik bersikap jujur mengikut tahap pemahaman anak.

  • “Mama penat hari ini, jadi kita tak dapat pergi ke taman. Kita pergi pada hari lain ya.”
  • “Mainan itu mahal dan hari ini kita tidak membelinya.”

Kejujuran membantu anak belajar menerima kekecewaan dengan cara yang lebih sihat.

4. Tidak Konsisten Dengan Peraturan Yang Dibuat

Ramai ibu bapa menetapkan peraturan tetapi sukar mengekalkannya apabila anak menangis atau merayu.

Sebagai contoh, tempoh penggunaan gajet ditetapkan selama 30 minit, tetapi akhirnya dilanjutkan sehingga beberapa jam kerana kasihan melihat anak menangis.

Jika perkara ini berlaku berulang kali, anak akan belajar bahawa peraturan boleh berubah apabila mereka mengamuk.

Konsisten tidak bermaksud terlalu keras. Sebaliknya, ibu bapa perlu menjelaskan sebab jika berlaku perubahan supaya anak memahami situasi tersebut.

Inilah asas penting dalam membentuk disiplin anak yang stabil dan mudah difahami.

5. Bercakap Dengan Nada Sarkastik

Contoh ayat yang sering digunakan:

  • “Pandainya adik, air pun boleh tumpah.”
  • “Bagus sangat, semua mainan bersepah.”
  • “Rajinnya, sampai kasut pun tak boleh simpan.”

Bagi orang dewasa, ayat ini mungkin sekadar sindiran. Namun, kanak-kanak terutama di bawah usia lima tahun masih belum memahami konsep sarkastik.

Mereka lebih mudah memahami ayat yang jelas dan terus.

  • “Air tertumpah. Mari ambil kain dan lap bersama-sama.”
  • “Mainan masih bersepah. Selepas bermain kita simpan semula.”

Komunikasi yang jelas membantu anak memahami kesalahan tanpa menjatuhkan harga diri mereka.

Tegas Tidak Bermaksud Kasar

Ibu bapa boleh bersikap tegas tanpa perlu menengking atau menghina anak.

Sebagai contoh, jika anak membaling permainan, ibu bapa boleh berkata:

“Mainan bukan untuk dibaling. Mama simpan dahulu. Bila adik sudah bersedia bermain dengan baik, kita cuba semula.”

Pendekatan ini mengajar bahawa setiap tindakan mempunyai akibat, namun hubungan antara ibu bapa dan anak tetap dipenuhi rasa hormat.

Anak Perlu Ruang Meluahkan Emosi

Apabila sesuatu peraturan dikuatkuasakan, anak mungkin menangis, marah atau kecewa. Itu adalah perkara yang normal.

Ibu bapa boleh mengakui emosi mereka tanpa mengubah peraturan. Melalui cara ini, anak belajar bahawa semua emosi boleh dirasai, tetapi bukan semua tingkah laku boleh diterima.

Akhirnya, disiplin anak bukanlah tentang membuatkan mereka takut kepada ibu bapa. Sebaliknya, disiplin yang sihat membantu anak memahami batas, belajar mengawal emosi dan membesar sebagai individu yang yakin, bertanggungjawab serta menghormati orang lain.

Baca lagi: Extra Joss Tak Sesuai Untuk Anak, Ganggu Degupan Jantung!

Bayi Baru Lahir Boleh Dijangkiti Denggi Dari Ibu, Jangan Ambil Mudah Jika Demam Ketika Hamil 

Buku Pink Ibu Hamil Jangan Tunjuk Sesuka Hati, Banyak Maklumat Peribadi!

Sumber: Dr Redza Zainol

Published by
SRM