Kejadian yang berlaku pada tahun 2017 iaitu dua tahun lepas masih segar diingatan Puan Ana apabila air rebusan ketupat tertumpah ke badan anaknya yang ketika itu berusia 10 bulan.
[Baca: Barang Keperluan Bayi Dan Ibu Untuk Bersalin Tak Perlu Bawa Banyak, Belajar Dari Pengalaman]
Walaupun sedaya upaya menyelamatkan anaknya, namun air rebusan tersebut tetap terkena pada Aniq dan badan Aniq melecur lebih 50 peratus selepas terkena air rebusan ketupat.
24/6/17 genap 2 tahun
Peristiwa yang tak dapat dilupakan.. 1 dunia tau tentang aniq ..1 dunia tau kisah aniq…
Pukul 3.30 petang raya
Aniq naik walker..aniq mencapai wayar dapur gas tunku sampai terbalik periuk air yang sedang di rebus.. ibu sedaya upaya selamat aniq ibu. Ibu cuba tolak. Tapi tak boleh. Ibu sempat peluk kepala aniq. Ibu sempat selamat kn anak ibu..kalau ibu tak peluk kepala aniq.
Doktor Mula Operate Aniq
Habis kepala aniq kena..alhamdulillah tgn ibu pun kena sikit. Semua jari ibu mengelembung. Lengan ibu pon habis kena air pns. Sbb ibu dengan anak sangat kuat naluri nya..tapi aniq lagi truk. Lagi banyak aniq kena. 1 badan aniq kena. Ibu kena skit pon xtahan.. tapi malam tu jugak doc pakar operate kn anak ibu. Sebab xnk tunggu lama2 anak ibu baru 10 bulan.
Aniq Kritikal
Ibu mintak maaf syg dsebabkan kecuaian ibu. Ibu masa ni dah hampir down. Doc ckp aniq kritikal. Masa kt emergency aniq duk zon merah. Aniq menangis sebab pedih.. sebulan aniq bertarung nyawa dekat ICU HOSPITAL MELAKA… doc kejap2 jumpa ibu ayah beritahu tentang aniq..
Rasa nak gugur jantung ibu bila doc cakap aniq kritikal. Saya cuba sehabis daya ye puan. Ibu hanya angguk kepala. Ibu tak mampu nk bercakap. Selapas berjumpa doc. Air mata ibu jatuh laju..air mata ibu secara tiba2 ..tangan ibu xhenti berdoa ..semoga aniq sihat. Ibu nak cium aniq xblh. Nk peluk aniq xblh. Ibu nk dukung aniq xblh..sebab keadaan aniq xstabil.
Aniq Kekurangan Oksigen
Wayar byk sgt utk suport oksigen aniq masa tu jugak oksigen aniq kekurangan ..paru2 aniq lemah. Paru2 aniq djangkiti kuman. Dalam darah ada kuman ..allah ibu rasa masa tu ibu nak pengsan nak jatuh. Tpi ibu cuba kuat. Ibu cuba datang pada aniq. Bisik pada aniq. Ibu nak aniq kuat. Ibu nk aniq sihat mcm dulu. Tido ibu xlena. Makan ibu xkyg. Sekadar alas perut. Setiap kali ibu dtg jumpa aniq. Ibu panggil aniq. Ibu npk aniq bergerak2. Ibu tau aniq nk bgun. Tp doc bg aniq ubat tido. Utk aniq rehat. Xnk aniq ngis. Sebab kulit aniq basah lagi. Part ibu menyentuh ati.
Doktor Cakap “Something Wrong” Dengan Aniq
Ibu baca alfatihah pada ubun2 aniq ibu sembur satu badan aniq bgerak2 nak bgun. Tapi dos ubt banyak..aniq hanya mengalirkn air mata .. pagu raya ibu cium baju raya aniq. Ibu xdpt tgok aniq pakai baju raya .. sebulan sayang kita xbertemu ..lepas je hbs raya doc offkn kan morfin pada aniq. Utk aniq sedar. Tp masa tu aniq dah bukak mata. Bila ibu panggil aniq xpandang. Ibu senyum aniq buat xtau. Doc ckp something wrong. Xpela. Ibu tawakal. Asalkan anak ibu selamat .tu je ibu nak. Luka aniq semakin hari semakin kering.
Aniq Bagi Positif Feedback
Semakin lama byk feedback positif aniq bgi.. sampai ibu ambil keputusan utk bhti keje nak jaga anak ibu. Sebab anak tiada ganti. Biarlah orang nk cakap tak kje ke ..rugi xkerja. Xde duit. Duit bukan segala nya.
Kasih Sayang Segalanya
Kasih sayang segala nya bagi saya. Saya percaya rezeki tu ada di mana2. Janji rajin. Usaha dan doa. Akan tersilit rezeki di situ. Setiap anak yg di lahirkan ALLAH ade tetapkn rezeki di situ. Alhamdulillah gambar2 aniq selepas kejadian tu. Semakin hari semakin aktif. Kini Aniq sembuh sepenuhnya. Terima kasih semua yang mendoakan anak saya
Sumber: Puan Ana
https://www.youtube.com/watch?v=59TCBXrElAg&t=1s
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Pergilah Wahai Wildan Syurga…” Asma Teruk & Terlalu Banyak Ubat, Ibu Hilang Bayi Dalam Kandungan
Memang ajal dan maut telah ditentukan. Tapi setiap kehilangan pasti dirasakan, apatah lagi bagi ibu yang kehilangan si kecil pernah menghuni rahimnya.
Catatan ibu ini benar-benar menyebakkan. Kuatnya berdepan dengan pemergian si kecil selepas 18 minggu dalam kandungan. Bertarung dengan asma yang teruk dan si kecil dalam kandungan, tapi siapakah kita untuk menidakkan ketentuan takdir Allah. Beliau sangat positif dan tenang dan reda. Inilah catatannya;
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…
Kenangan 21 & 22 Januari 2018
Zon Merah & Wad Rawatan Rapi (ICU) Hospital ******
Umpama mati hidup kembali!
Hasbi Allah… syukur ke hadrat-Mu kerana Engkau telah memberikanku syifa, serta memberi aku peluang kedua dengan tiupan roh yang telah Engkau kembalikan semula ke dalam jasadku yang kian terlantar rebah. Doa tanpa bicara, asbab untuk aku terus beribadah kepada-Nya.
Andai ada yang bertanya, pernahkah kau merasai mati? Ya, aku pernah merasainya. Tatkala nafas tiba-tiba tersekat di kerongkong dan kau seolah-olah sedang menunggu Malaikat Maut yang datang menjemput untuk merentap nyawa yang berdegup kencang di tangkai hati.
Allah, sakitnya sakratulmaut itu!
Takdir Allah telah menentukan segalanya, tanpa kau pinta. Sekelip mata juga ianya berlaku, tanpa kau duga. Naifnya kehidupan kau, jika tiada bantuan disisi Allah. Alllahuakbar…
“Adakah ini saatnya perngakhiranku dalam khusnul khotimah?”
Ahad –7 petang
21 Januari 2018
“Ayah, jom kita pergi hospital,” ujar aku dalam nada suara yang tersekat-sekat.
“Ibu okey atau tidak ni?” balas suamiku dengan sedikit cemas.
Hanya gelengan sahaja yang aku mampu, tanda balasan kepada persoalannya tadi.
“Kakak, abang Afiq dan Afia, duduk kat rumah dahulu tau. Ayah bawa adik Afiz aje, nak hantar ibu ke hospital. Jangan keluar pergi mana-mana! Kalau ada orang datang, jangan buka pintu! Apa-apa telefon ayah dulu!” bertalu-talu arahan Encik Suami kepada anak-anak yang semuanya masih di bawah usia 12 tahun.
Lantas sahaja kunci kereta di ambil dan Encik Suami terus memecut laju membawa aku pergi ke Hospital ****** bagi mendapatkan rawatan Asma. Seingat aku, sudah hampir sebulan aku menanggung keperitan batuk berkahak dan sudah 4 kali jugalah aku pergi ke Klinik ******, waimah klinik****** bagi mendapatkan rawatan awal.
Ubat terlalu kuat & ada steroid, tak elok untuk bayi dalam kandungan
“Maaf Puan, saya hanya boleh beri rawatan Nebulizer sahaja. Saya tidak boleh beri “Predisolone” kerana ubat itu agak kuat dan ada kandungan steroid. Tak elok untuk bayi di dalam kandungan Puan, kerana ianya boleh menyebabkan keguguran,” jelas Doktor tiap kali aku pergi dapatkan rawatan.
Akur. Hanya nebulizer yang diberi bagi meredakan saluran pernafasan yang sempit, kerana Doktor tidak mahu menanggung risiko dengan memberi aku pelbagai ubat, atas alasan aku sedang mengandung! Ditambah pula dengan cuaca yang sejuk dan tekanan kerja mungkin, mengakibatkan keadaan aku bertambah teruk.
Petang Ahad itu memang aku sudah terlalu lelah, kerana aku benar-benar butuhkan kandungan oksigen. Masakan tidak, baru beberapa langkah sahaja aku sudah mulai penat. Lebih 10 sedutan ventolin telah masuk ke dalam ruang rongga paru-paruku. Namun, keadaan aku masih sama… penat!
“Ibu okey tak? Sabar ya, kejap lagi kita sampai hospital”
Ah, soalan hampir sama berulang kali ditanya oleh Encik Suami. Pedal minyak ditekan kuat agar destinasi yang dituju segera sampai. Aku hanya mendiamkan diri disebelahnya, cuba mengawal pernafasan yang sedikit tercungap. Allahu Allah…
“Jom ibu, kita dah sampai,” ujar En Suami dengan nada sedikit lega.
Sementara kereta hanya dipakir sahaja di hadapan Bahagian Kecemasan Hospital ******, aku sudah dikejarkan ke “Asthma Bay” oleh Pembantu Perubatan dan diberi nebulizer.
“Puan memang ada Asma ke?’ tanya jururawat yang bertugas. Aku hanya mengangguk malas. “Kalau begitu, Puan sedut gas ini dahulu, kejap lagi Doktor yang bertugas akan datang periksa Puan ya,” lembut tutur katanya lagi walaupun aku melayannya acuh tak acuh.
Ambil nebulizer masih susah bernafas
Namun, seusai mengambil nebulizer, aku masih rasa sukar lagi untuk bernafas seperti biasa dan kuajukan perasaan ini kepada en Suami. Dengan perasaan risau, dia memaklumkan keadaan aku kepada Pembantu Doktor yang bertugas.
“Puan rasa macam mana ya?” Tanya Pembantu Doktor. “Masih susah nak bernafas. Macam ada bunyi lagi”, jawabku perlahan.
Doktor dipanggil untuk memeriksa semula bahagian belakang badanku dengan menggunakan stetoskop. “Puan, keadaan Puan sekarang ini agak “severe” dan kami akan menghantar Puan ke Zon Merah untuk rawatan rapi,’ kata Doktor itu lagi.
Allahu Allah… agak cemas bunyinya!
Terus sahaja aku ditolak dengan menggunakan kerusi roda menuju ke Zon Merah. Sesampai aku di sana, doktor yang bertugas menyuruh aku mengira nombor 1 hingga 10.
Namun, pertuturan aku tersekat di nombor 4, dan aku sudah mulai tercungap. Aku kemudiannya diminta baring di atas katil yang disediakan, sementara tangan kiriku dicucuk dengan branula. Terasa sejuk apabila “Hydrocort” dimasukkan ke dalam tubuh ini yang bertujuan untuk membuka ruang saluran pernafasan. Nebulizer kali kedua juga diberi. Alhamdulillah, aku sudah mula rasa tenang.
Melihat keadaanku yang agak stabil, suami meminta izin untuk keluar sekejap kerana ingin melayan anak yang kecil untuk membeli makanan. Aku sekadar mengiyakan sahaja permintaannya itu. Namun, tidak sampai 5 minit suami keluar dari Zon Merah, tiba-tiba aku mengalami kesukaran untuk bernafas yang teramat sangat. Allahuakbar!!!
Tiada tangisan yang berlagu. Tiada tutur bicara yang hendak diungkap
Lidahku kaku untuk menuturkan walau hanya sepatah kata. Hanya lambaian tangan memanggil Doktor yang sedang bertugas, mengharap mereka segera meluru ke arah ku. Ya Allah, terasa diri ini terlalu dekat dengan-Mu.
“Mazlinda…Mazlinda…sedut gas ini perlahan-lahan. Tarik nafas, hembus. Tarik nafas, hembus”, kata Doktor yang sudah pun duduk di birai katil.
“Allah, sesungguhnya aku sudah tidak merasai langsung nafas untuk dihela. Bantulah aku Ya Allah,” membungkam kata-kataku di dalam hati.
“Mazlinda, kami tengok keadaan Mazlinda agak kritikal. Kami terpaksa mengambil keputusan untuk memasukkan tiub di dalam badan ya,” serius sahaja pertuturan Doktor Pakar yang kebetulan baru sahaja turun mengawasi Zon Merah.
“Cepat buat pengumuman. Panggil suami Mazlinda sekarang juga!” jeritnya dengan kuat.
Pasrah dan menyerah. Aku tidak mampu lagi hendak bernafas. Hanya mengharap keajaiban daripada-Nya. Sungguh, lidahku sudah kelu untuk meneruskan bicara. Di ingatanku, terbayang jelas wajah suami, anak-anak, mak abah dan adik-beradik yang disayangi.
Nafas terlalu genting untuk dikecap
“Mazlinda, mengucap sekarang. Kami nak bius awak”, kata Doktor Pakar kepadaku di saat nafasku terlalu genting untuk dikecapi.
Ya Allah, sungguh diri ini berasa terlalu dekat dengan-Mu. Hanya dengan beberapa kali lafaz syahadah, aku terus berasa seperti di awang-awangan. Hidup atau matikah? Aku sendiri tidak pasti.
Suami yang baru sahaja melangkah ke ruangan menunggu di luar, terus bergegas masuk ke Zon Merah setelah namanya dipanggil berulang kali.
Allahuakbar! Seakan hilang arah tujunya membayangkan kehilangan kasih sayang seorang isteri. Hanya tangisan yang mengiringinya sewaktu melihat keadaan aku yang sedang bertarung nyawa, melihat doktor bertungkus lumus menyelamatkan aku. Anak kecil yang berada disisi suami pula, diam terkedu tanpa kata. Hanya menepuk lembut badan si ayah, seolah-olah memahami apa yang sedang berlaku.
Perpisahan, mungkin berlaku!
Bertambah kencang degupan jantung si suami tatkala melihat aku berombak dada menahan kesakitan, diampuh pula perasaan resah bilamana dia melihat aku berada di tempat arwah bapanya menghembuskan nafas terakhir. Pastinya kenangan 7 tahun yang lalu sedikit terusik dan menggetarkan jiwanya. Allahu Allah…
Bayi di dalam kandungan? Doktor awal-awal sudah memaklumkan yang mereka akan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawa ibu dahulu, tanpa memeriksa keadaan bayi. Sekali lagi suami pasrah. Segalanya diserahkan bulat-bulat kepada-Nya !
Ya Allah, apakah perpisahan ini benar-benar terjadi? Bangunlah sayang….!!!!!!!
La hawla wala quwata illah billah….
Tiba-tiba hatiku tersentak. Ketika Doktor memasukkan tiub di dalam badanku, aku seakan tersedar! Mungkin bius tidak berapa kuat dan aku mendengar pertuturan sesama Doktor, walaupun ianya tidak berapa jelas.
Namun, aku tidak berdaya langsung hendak membuka mata atau menggerakkan tubuh badan. Ada ketika, aku seperti tidak bernafas! Aku dapat rasakan rohku sedang merawang mencari Nur untuk bersatu semula dengan jasadku.
Suami bertambah tidak keruan, bilamana dia melihat satu garisan panjang yang terpapar di mesin bersebelahan denganku.
“Ibuuuuuu…..,” jerit Encik Suami meraung.
Ya Allah, apakah perpisahan ini benar-benar terjadi?
Namun, kuasa Allah tiada siapa yang mampu menghalangnya. Syukur ke hadrat-Mu bilamana getaran bacaan nadi itu kembali turun naik. Tawakkalna-Alai-Allah… Bangunlah sayang….!!!!!!!
Isnin – 12 tgh malam
22 Januari 2018
Sanah helwah buat aku!
Syukur alhamdulillah. Allah telah memanjangkan usiaku yang ke 37 tahun.
Menjengah ke tengah malam setelah diriku di “intubated”, aku ditolak oleh Jururawat ke wad di Unit Rawatan Rapi apabila Doktor melihat keadaan aku agak stabil di Zon Merah.
Sementara itu, kedua pergelangan tanganku diikat kerana Doktor risau aku akan hilang kawalan dan mencabut tiub dimulut. Dengan bantuan “ventilation”, aku berupaya untuk bernafas dan terus bernafas. Syukur padamu Ya Allah!
Suami ada memberitahu, Doktor telah menambah bius lagi semasa aku berasa di Unit Rawatan Rapi yang membuatkan terus aku terlena sehingga jam 2 petang keesokan harinya.
Allah! Allah!
Jam 2 petang keesokan harinya, aku mulai tersedar dari lenaku. Sesekali mesin di sebelahku berbunyi tanda isyarat. Tekak pula sudah merasa haus. Tepat jam 4 petang, Doktor datang memeriksa aku dan membuat keputusan untuk mencabut tiub di mulut, kerana ingin aku bernafas tanpa bergantung sepenuhnya kepada “ventilator”. Semasa proses mencabut tiub, aku dalam keadaan sedar dan tidak bius sedikit pun. Allahuakbar…sakitnya hanya Dia yang mengerti.
Sabar dalam tangisan!
Oksigen terus diberikan kepadaku dengan memasang tiub kecil di hidung pula dan mereka memantau kandungan oksigen yang telah mereka telah periksa dgn ujian darah. Setiap beberapa jam, pasti darahku diambil di atas buku lali kanan. Kaki lenguh yg teramat… sabar dalam tangisan!
Jam 10 malam, Jururawat meminta suamiku membeli makanan yang lembut untuk aku makan. Sementara Encik Suami turun ke bawah, 2 orang Jururawat datang ke arahku dan menyatakn hasrat untuk mencuci seluruh badanku dan aku mengiyakan sahaja. Entah bagaimana, ketika mereka menjirus badanku dan mula menyabun ke seluruh tubuhku, tiba-tiba bibir aku terketar-ketar menahan kesejukan.
Astagfirullah hal a’zim… nafas terasa penat sangat dan asma mula menyerang kembali. Ya Allah! Kelam kabut Jururawat tadi membalut seluruh tubuhku dengan selimut dan bantuan pernafasan diberikan. Allahu Allah. Sedikit cemas dan aku masih lagi trauma. Tentunya Encik Suami juga kembali risau.
Rabu – 12 tengahari
24 Januari 2018
Syukur alhamdulillah. Setelah 3 hari di Unit Rawatan Rapi, aku dipindahkan pula ke wad biasa. Kesihatan aku bertambah stabil.
Khamis – 11.30 pagi
25 Januari 2018
Pagi ini, Doktor daripada bahagian Obstetrik dan Ginekologi datang ke wad dan membawa aku ke klinik pakar O&G yang terletak di aras bawah dengan menggunakan kerusi roda. Sepanjang turun ke bawah, hati berdebar-debar dengan risau akan keadaan bayi dalam kandunganku ini, yang baru sahaja berusia 12 minggu. Bermacam-macam yang aku fikirkan.
“Insya-Allah, doa banyak-banyak ya ibu andai ada lagi rezeki buat kita. Semoga Allah memberi segala kebaikan untuk ibu dan anak di dalam kandungan ini,” kata En Suami dengan penuh harapan.
Walaupun Encik Suami cuba merawat hati yang gundah gulana, namun aku masih resah. Menanti giliran untuk di “scan”, membuat hati aku bertambah tidak keruan. Sambil aku mengusap lembut perutku, aku berdoa agar bayi di dalam kandunganku ini juga mengerti.
“Puan baring di atas katil ini dahulu ya. Sekejap lagi Doktor Pakar akan datang memeriksa Puan,” kata Jururawat itu kepadaku.
Ya Allah. Ya Rahman. Ya Rahim.
Menitis air mata ini, bila aku nampak degupan jantung bayi di paparan itu. Mimpikah aku? Tidak. Aku tidak bermimpi. Bayi di dalam kandungan masih berada di dalam keadaan sempurna dan baik-baik sahaja. Syukur ke hadrat-Mu Ya Allah… masih ada lagi rezeki untuk kami. Nikmat apa lagi yang ingin kau dustai?
Selasa – 10.00 pagi
30 Januari 2018
Hari ini genap hari ke 10 aku di wad. Pakar Perubatan Pernafasan memeriksa aku buat kali terakhirnya sebelum membenarkan aku pulang. Beliau memantau keadaan aku dari sehari ke sehari, bagi mengelakkan sebarang komplikasi.
Kesan luka dan bengkak akibat dimasukkan tiub tempoh hari, boleh menyebabkan saluran pernafasan tertutup kembali. Tambahan pula, aku sedang mengandung dan kandungan oksigen mestilah mencukupi untuk bayi juga.
Semoga bayiku diberikan kesihatan baik…
“Ya Allah, Kau berikanlah kesihatan yang baik buat aku. Semoga bayi di dalam kandungan ini juga diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan sehingga aku melahirkannya,”doaku di dalam hati.
Terima kasih yang telah mendoakan kesejahteraan aku. Sesungguhnya doa kalian telah dimakbulkan oleh-Nya. Asbab di sebalik apa yang terjadi ini, pasti Allah kurniakan hikmahnya.
BarakAllahu feekum…
Khamis – 10.15pagi
15 Mac 2018
Seawal jam 8.40 pagi, kami sudah sampai di perkarangan Klinik Obstetrik dan Ginekologi, **** untuk berjumpa dengan Doktor bagi pemeriksaan bayi di dalam kandunganku. Walaupun sudah ramai ibu-ibu mengandung yang menunggu giliran, kami tetap sabar menanti kerana hari ini ada ujian imbasan sekali.
“Sekejap ya ayah, ibu nak pergi beli “hot chocolate” dan roti. Lapar pula,”ujarku kepada Encik Suami. Setelah sekian lama menunggu, nombor pun dipanggil. Lantas sahaja kami bangun dan menuju ke bilik “scan” sebelum berjumpa dengan Doktor. Aku diminta baring di atas katil yang disediakan. Tak sabar nak melihat pergerakan bayi di dalam kandunganku ini. Namun, semasa di dalam proses mengimbas, Doktor berulang kali menekan perutku sambil matanya tepat ke paparan.
Kenapa dengan bayi saya?
Hatiku sudah berdegup kencang, bilamana Doktor mengukur kebesaran bayi dan jelas terpapar ukurannya baru mencecah 14 minggu lebih sahaja. Sedangkan ketika itu, bayi aku sudah berusia 18 minggu.
“Kenapa Doktor? Bayi saya kecil ke?,” tanyaku cemas.
“Tidak. Saya masih tidak dapat mengesan jantung bayi,” jawab Doktor itu kepadaku.
Kami pun saling diam membisu dan berpandangan sesama sendiri. Encik Suami sudah menggengam erat tanganku, seolah-seolah memberi isyarat meminta aku sabar, sementara kami menanti kehadiran 3 orang Doktor lain datang memeriksa aku.
“Assalamualaikum Puan Mazlinda. Saya Doktor *****, Pakar bahagian Obstetrik dan Ginekologi. Izinkan saya memeriksa kandungan Puan ya,” ujar salah seorang Doktor dengan lembut.
Degupan jantung & pergerakan bayi tiada lagi…
Aku hanya membalas sahaja dengan sebuah anggukan dan memerhati sahaja beliau memeriksa kandungan ini. “Macam ni Puan, sepatutnya kandungan Puan sudah berusia 18 minggu. Akan tetapi, saya melihat ukuran bayi Puan masih lagi 14 minggu lebih dan saya tidak dapat mengesan jantung, juga pergerakan bayi. Maafkan saya Puan, bayi Puan sudah tiada,”
Innalillah hi waiinaila hirojiun….
Airmata mengalir deras bagaikan empangan sudah pecah! Encik Suami memujuk hatiku dengan menyuruh aku istigfar dan sabar dengan dugaan yang diberi. Ternyata Allah lebih menyayanginya.
Allah! Allah! Sekali lagi dugaan untuk kami sekeluarga. Pasti ada hikmah yang ingin disampaikan.
Bagaimana untukku lahirkan bayi yang sudah tidak bernyawa ini?
Dalam menahan esak tangis, aku dimasukkan ke wad bersalin di tingkat 1. Perasaan semakin libang libur apabila kiri, kanan dan hadapan katil dipenuhi ibu-ibu yang sudah melahirkan bayi mereka. Mendengar sahaja suara tangisan si kecil, buat diriku lemah. Bagaimana ingin aku lahirkan bayi yang sudah meninggal dunia, jika aku sendiri tidak kuat?
“Sabar banyak-banyak ibu. Allah beri ujian sebab Dia sayangkan kita. Ibu kena redha ya,” kata Encik Suami memberi kata-kata semangat.
“Dikala hati sedang gundah gelana. Maka ingatlah Allah kerana dengan mengingati Allah, hti kita akan menjadi tenteram” – Qa Arra’Du:28.
Ku bacakan Yaasin khas untukmu, malam terakhir dalam rahim ibu
Malam itu, aku membaca surah Yasin dan aku sedekahkan buat anak di dalam kandunganku. Allahurobbi, tenangnya ku rasa ketika itu. Aku buang jauh-jauh kesedihan yang mencengkam di lubuk sanubari. Aku mesti rehat secukupnya kerana esok aku akan melahirkan bayi ini secara normal.
“Tidurlah dengan tenang duhai anakku, buat sekelian kalinya di dalam rahim ibu,”
Jumaat – 8.00 pagi
16 Mac 2018
Pagi Jumaat yang barokah, Doktor sudah memasukkan ubat dan kira-kira jam 11 pagi, aku sudah mulai rasa kontraksi untuk bersalin. Ya, rasanya sama seperti hendak bersalin bayi yang cukup kandungannya. En Suami sudah bersedia dengan kelengkapan dan memaklumkan kepada ibunya, juga penggali kubur yang akan menguruskan jenazah bayi kami.
Menjelang Zohor, aku sudah rasa sakit yang teramat. Seusai diperiksa oleh Doktor, aku pun baring di atas katil wad. Tidak semena, aku rasa seperti ada sesuatu yang keluar dengan pantas. Hilang segala sakit kontraksi dan sakit pinggang yang ku tanggung tadi.
Wildan syurga ibu sempurna kejadiannya
“Ya Allah! Nurse….nurse….,” jeritku sambil tangan melambai memanggil Jururawat.
Lantas sahaja mereka datang dan menutup tirai di sekeliling katil. Doktor juga dipanggil untuk proses kelahiran wildan syurga. Alhamdulillah, semuanya dipermudakan oleh-Nya.
Mengalir lagi airmata ini tanda syukur melihat jasad wildan syurga yang sudah sempurna kejadiannya.
Muhammad Adam Bin Mohd Hairil nama diberi. Jenazahnya disempurnakan di bilik mayat diaras bawah hospital, sambil ditemani oleh Encik Suami. Sebelum jenazah di bawa pulang ke rumah, Encik Suami membawa wildan syurga yang diletakkan di dalam bakul naik semula ke wad untuk berjumpa denganku.
Ciumlah sepuasnya ibu, biar Adam pergi dengan tenang
“Ibu, adik Adam ibu….,” dihulur jenazah kecil yang sudah pun dikafankan kepadaku.
“Ciumlah sepuasnya ibu, buat kali terakhir. Jangan ditangisi pemergiannya, biarkan adik Adam pergi dengan tenang. Tempatnya sudah ada di syurga Allah. Insya-Allah, moga kita ketemu juga nanti,” kata Encik Suami tenang.
Allah Allah…
Kita sama-sama bertarung nyawa, manakan ibu tidak sedih
Ibu mana yang tidak sedih bila anaknya pergi buat selamanya. Walaupun kami belum bersua di alam fana, namun kami pernah bersama selama 4 bulan.
Sama-sama bertarung nyawa saat aku sesak nafas dan dimasukan tiub pernafasan satu ketika dahulu. Sama-sama menahan kesakitan, saat badan ku berselirat wayar di badan. Sama-sama merasai aliran pelbagai ubat-ubatan yang mengalir di dalam tubuh ini.
Kenangan dengan Adam ibu ikat ketat-ketat dalam ingatan
Aku percaya takdir Illahi. Aku tahu Allah Maha Mengetahui. Dia pastinya tahu apa yang terbaik untuk aku. Dan dengan perlahan-lahan, aku letakkan semula jenazah adik Adam di dalam bakul untuk En Suami bawa pulang, seterusnya disemadikan di tanah perkuburan.
Akan aku simpan ketat-ketat kenangan ini di dalam memoir hingga ke akhir hayatku. Akan aku ceritakan kisah adik Adam kepada anak-anak yang lain, agar mereka mengambil tauladan agar sentiasa berkasih sayang sesama adik-beradik. Akan aku ingatkan mereka, agar sedekahkan Al-Fatihah buat adik Adam selepas tiap kali solat.
Adam, damailah di singgahsana
Doa buatmu adik Adam.
Kami akan sentiasa menyayangimu sepertimana anak-anak yang lain. Damailah kau di singgahsana. Betapa beruntungnya kami punyai wildan syurga yang boleh menarik kami ke syurga Allah.
Al-Fatihah.
“Setiap kali kita rasa kecewa, cuba tanya hati kita pada manusia atau pada Allah. Jika fokus manusia dan dunia, kau akan tertekan. Tapi jika kau fokus pada Allah dan akhirat, nescaya kita akan tenang dan redha”
Sumber: Mazlinda Mohd Sahar
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Ibu Boleh Lahirkan Bebey Semula?” Anak Balik Sekolah Mengadu Lenguh Tulis Nama Panjang
Saat dapat tahu diri hamil, perkara yang selalu ibu ayah teruja nak buat adalah memilih nama anak. Walaupun belum tahu lagi jantina bayi, suami isteri dah ada nama untuk bayi lelaki dan perempuan.
Ada juga pasangan yang dah buat perjanjian, jika anak lelaki isteri yang beri dan jika anak perempuan suami. Kadang tu sehingga saat nak melahirkan pun, masih ada lagi nama yang belum ditetapkan kerana semua nama berkenan.
Apa pun pilihan nama untuk anak, ibu bapa perlu tengok maksudnya dan tidak akan menyukarkan anak bila dah besar. Tapi sekarang trend nama anak rata-ratanya pilih untuk letak beberapa patah perkataan.
Seperti perkongsian seorang ibu, Wan Aziela, dia memberitahu anak perempuannya yang dah masuk sekolah meminta untuk dilahirkan semula gara-gara tak larat untuk menulis nama yang panjang.
Pening kepala ibu nak jawab sayang. Mungkin dia ingat mudah nak dilahirkan semula. Bila difikirkan balik nak tergelak pun ada.
Balik sekolah anak tanya soalan..
Bebey: Ibu boleh tak Bebey nak lahir semula??
Ibu: haa kenapa pulak??
Bebey: Kat sekolah tadi cikgu suruh tulis nama penuh kamu.. Bebey tulis laa NUR RAISHA IZZ ZARA..
Ibu: Wahh hebatnya Bebey tulis nama penuh.. Tapi kenapa pulak Bebey nak lahir semula??
Bebey: Yelaaa nanti bila ibu dah lahirkan Bebey semula ibu letak je nama bebey Zara kan ada 4 huruf jer tak ada laa lengguh tangan Bebey nak tulis panjang-panjang. Kan simple je tu cepat siap tulis.
Pesan Aziela lagi, ambillah pengajaran kisah saya ini buat bakal-bakal ibu diluar sana. Bukan anak-anak je, kita pun terkesan juga bila anak nak masuk sekolah nak kena isi dokumen-dokumen. Lenguh tangan tulis nama anak. Itu belum termasuk untuk isi yang bahagian lain-lain je.
Jika boleh letak nama pendek, lebih baik pilih yang ringkas saja kerana nak memudahkan anak bila dah besar. Masa dia kecil mungkin tak terasa, bila masuk alam persekolahan baru nampak kesulitannya.
Menerusi ruangan komen, rata-ratanya ada yang bersetuju meletakkan nama anak yang ringkas. Nak panggil pun mudah!
Kredit: Wan Aziela via Anak Sepahkan Apa Hari Ini?
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Alisa Tak Pernah Ada Majlis, Kesian Anak Pandemic Ini” Dekorasi Majlis Hari Jadi Alisa Curi Tumpuan
Pasangan pelakon, Hanis Zalikha dan Hairul Azreen berkongsi kemeriahan di sekitar sambutan ulang tahun kelahiran dua cahaya mata mereka iaitu Yusuf Iskandar, 6 tahun dan juga Alisa Aisyah, 3 tahun.
Pengusaha jenama Cakenis ini berkata, memandangkan dia tidak dapat membuat majlis besar buat cahaya mata keduanya kerana Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) pandemik Covid-19 sejak Alisa lahir, maka majlis tahun dibuat lebih besar dan jumlah tetamu yang hadir juga lebih ramai.
Tambah Hanis lagi, dia berusaha menempah gaun serba putih ala-ala tuan puteri khas buat satu-satunya anak perempuanya dan gaun tersebut yang ditempah secara ‘online’ selamat sampai sehari sebelum majlis berlangsung.
“Alisa ni kena pakai white sebab dia princess yang tak pernah ada majlis, kesianlah anak pandemic ni.”
“Majlis aqiqah abang dia dulu kemain eh. Tiba-tiba i dapat anak girl tak dapat pula majlis feeling-feeling”
Hanis turut berkongsi dekorasi majlis sambutan hari jadi Yusuf dan Alisa yang bertemakan Princess VS Zombie untuk tatapan para pengikut di laman instagramnya.
Dekorasi tumbuh-tumbuhan hijau memenuhi seluruh ruang rumah pasangan selebriti ini dan idea dekorasi diambil sempena permainan dalam talian yang terkenal iaitu Plants Vs. Zombies. Plants Vs. Zombies antara ‘game’ yang sangat popular dalam kalangan kanak-kanak.
Menurut Hanis, patung-patung ini di beli dari China khas untuk memeriahkan lagi majlis dan mesin ini di sewa khas sebagai salah satu aktiviti untuk tetamu kecil yang hadir.
Rata-rata warga maya teruja melihat dekorasi yang begitu teliti dan idea dekorasi yang diambil daripada permainan dalam talian ini betul-betul menggamit kenangan ketika kecil.
aininainsyrh
Ya Allah menggamit kenangan sungguh lagu dia 😂😂 dulu kecik2 main skrg pun main lagi 😂😸
dzaharahdinul
Ya allah… Meriahnya… Seronoknya… Semua tetlibat… Semua seronok 😍😍😍😍… Semoga sy juga dberi rezki utk sambut birthday anak2 mcm nie😍😍😍😍
kah.mun_
Omg amazinggg! 😍 kalau lah kak boleh buat youtube video lagi nice , boleh lah fefeeling sikit that im at there too 🥹
Kredit: Hanis Zalikha
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI