Apabila melangkah sahaja ke alam keibubapaan, anda pasti tahu setiap dilema yang dihadapi ibu bapa; daripada pemilihan susu, sekolah, makanan dan pelbagai lagi keputusan yang perlu dibuat. Membuat keputusan mengenai si kecil anda bukanlah mudah, apatah lagi jika keputusan tersebut mungkin memberi kesan jangka masa panjang untuk mereka.
Dengan kemuculan penggunaan gajet atau alat elektronik yang kini ditargetkan untuk kanak-kanak, mungkin akan timbul pula persoalan sama ada ia akan memudaratkan atau tidak.
Apa kata pakar?
Terlalu banyak masa skrin bermakna kurang masa dihabiskan kanak-kanak menjadi aktif, yang boleh memudaratkan perkembangan kemahiran mereka. Garis panduan American Academy of Pediatrics sebelum ini adalah jelas dan tegas. Dilarang sama sekali untuk kanak-kanak di bawah usia dua tahun, dan hadkan kepada kurang daripada dua jam sehari untuk kanak-kanak berumur 3 hingga 18 tahun.
Tetapi tak usahlah kita menipu diri sendiri, kebiasaan remaja bawah 18 tahun mengahabiskan masa berjam-jam dengan gajet sementara si kecil anda yang berusia 2 tahun mungkin lebih mahir menekan butang ‘play’ pada youtube berbanding diri anda sendiri. Bahkan mungkin ada ibu bapa yang mengatakan “Saya dulu sewaktu kecil pun tengok kartun 5 jam di hujung minggu,” dan merasakan mereka membesar dengan baik tanpa masalah perkembangan.
Jadi, garis panduan apa yang sepatutnya diikuti? Sebagai permulaan, anda bukanlah satu-satunya orang yang mendapati topik ini mengelirukan. Perdebatan tentang kanak-kanak dan teknologi masih menjalani penelitian dan penyelidikan oleh ahli akademik dan pembuat dasar. Sebagai contoh, United Kingdom telah mengumpulkan bukti bertulis dan lisan daripada pakar untuk menyelesaikan pertanyaan parlimen mengenai kesan media sosial dan masa skrin pada kesejahteraan kanak-kanak yang sehingga kini masih berterusan dan belum mencapai kata putus.
Salah satu masalah dengan garis panduan tentang masa skrin, menurut pakar, adalah masalah bahawa masa skrin itu sendiri adalah konsep yang tidak jelas. Walaupun kita mudah untuk melabelkan semua masa skrin sebagai sama, sebenarnya ia tidak. Masa skrin adalah konsep yang mencakupi pendedahan kepada skrin pelbagai alat elektronik, dari televisyen ke telefon pintar dan gajet lain, dengan atau tanpa internet.
Ads
Jelasnya, 10 perbualan video tidak akan mempunyai kesan yang sama seperti menonton 10 minit video dalam talian atau 10 minit yang dihabiskan untuk media sosial. Disebabkan itu, garis panduan American Academy of Pediatrics yang dikemaskini pada tahun 2016 mencerminkan aturan yang sangat longgar yang harus diubahsuai oleh ibu bapa sendiri:
Bagi kanak-kanak di bawah umur 18 bulan, masa skrin harus dihadkan kepada perbualan video sahaja
Kanak-kanak 18-24 bulan hanya boleh didedahkan kepada media berkualiti tinggi, dengan ibu bapa menonton bersama untuk membantu mereka memahami dan berinteraksi dengan bahan tontonan
Kanak-kanak 2-5 tahun harus dihadkan kepada 1 jam sehari dengan program yang berkualiti tinggi. Ibu bapa juga harus mengawasi bersama mereka untuk membantu mereka berinteraksi
Kanak-kanak berumur 6 tahun dan ke atas harus mempunyai had masa skin yang ditetapkan secara konsisten, dengan ibu bapa memastikan bahawa media digital tidak mengambil masa tidur, aktiviti fizikal atau interaksi peribadi sebenar
Garis panduan berikut mungkin lebih longgar dan mencerminkan keperluan ibu bapa menetapkan had mereka sendiri. Mengetahui beberapa parameter boleh membantu anda membuat keputusan. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan:
Berhubung atau terlebih berhubung?
Membenarkan telefon pintar ke dalam kehidupan anak-anak anda bermakna rumah tidak lagi menjadi tempat selamat daripada semua perkara yang berlaku dalam lingkungan sosial mereka. Buli siber adalah ancaman yang kerap berlaku bagi kanak-kanak dan remaja bersekolah. Membenarkan telefon pintar boleh bermakna membenarkan pembuli dibawa ke rumah.
Anda juga harus mempertimbangkan jika masa skrin mempengaruhi perkembangan personaliti anak anda. Adakah media sosial memberi kepuasan peribadi kepada anak-anak anda dengan jumlah ‘like’ dan pengikut yang mereka miliki? Adakah ia menjejaskan keinginan mereka untuk membina persahabatan yang sebenar diluar talian?
Semua ini perlu dipertimbangkan dengan menetapkan masa bebas gajet bersama-sama, seperti waktu makan malam atau dalam kenderaan, serta lokasi khusus bebas gajet di rumah, seperti bilik tidur. Anda juga harus berkomunikasi berterusan tentang etika netizen dan keselamatan dalam talian, termasuklah melayan orang lain dengan hormat dalam dan luar talian. Selain ancaman dibuli, anak anda sendiri berpotensi menjadi pembuli.
Ads
Kandungan, pengawasan dan interaksi bersama
30% daripada internet adalah pornografi dan pemangsa seksual mungkin bersembunyi di tempat yang tidak anda sangka seperti permainan video. Selain itu, imej badan yang sempurna, kulit sempurna dan pakaian berjenama yang digambarkan dalam talian juga boleh menjadi toksik kepada anak gadis anda yang semakin membesar.
Disebabkan itu, kandungan yang anda benarkan dalam hidup anak anda lebih penting berbanding menentukan masa skrin itu sendiri. Bahkan masa skrin pasif boleh ditukar menjadi aktif dengan permainan video yang mempromosikan aktiviti seperti menari dan bersenam. Dalam kajian membandingkan penggunaan tenaga sewaktu masa skrin, penggunaan tenaga meningkat lebih daripada dua kali ganda apabila masa skrin pasif ditukar kepada masa skrin aktif.
Tetapi kandungan sahaja tidak mencukupi, perkembangan kanak-kanak memerlukan interaksi, disebabkan itu, penekanan pada interaksi bersama digariskan dalam panduan tersebut. Dalam satu kajian, bayi berusia sembilan bulan yang menerima beberapa jam pengajaran bahasa Mandarin dari manusia hidup boleh mengasingkan unsur fonetik tertentu bahasa tersebut sementara pengajaran video yang sama tidak dapat memberikan hasil yang sama.
Oleh itu, menonton bersama anda membolehkan anda menyediakan interaksi manusia secara langsung yang mereka perlukan. Sementara bagi kanak-kanak yang lebih besar, ia membolehkan anda mengawasi mereka daripada ketagihan imej lucah dan yang ancaman lain.
Ads
Fokus pada apa yang kita tahu
Selain melaksanakan pengawasan yang munasabah dari segi masa skrin, anda juga patut memberi tumpuankepada apa yang telah kita ketahui mengenai tip keibubapaan yang baik. The British cohort adalah kajian dalam masa 70 tahun yang membabitkan 70,000 kanak-kanak sejak tahun 1946 yang mengkaji corak keibubapaan dan kesannya. Ia adalah satu-satunya kajian komprehensif di dunia mengenai topik tersebut.
Tip keibubapaan yang baik sebenarnya sangat mudah dan kita sebagai ibu bapa seringkali terlupa akibat disibukkan dengan pelbagai perdebatan keibubapaan. Dalam kajian tersebut, perkara-perkara yang paling memberi kesan keapda perkembangan anak kecil ialah:
Bercakap dan mendengar pandangan mereka
Menunjukkan dengan jelas bahawa anda mempunyai cita-cita untuk masa depan mereka
Menunjukkan kemesraan
Mengajar mereka huruf dan nombor
Membawa mereka keluar berjalan
Membaca buku untuk mereka pada setiap hari (dan menggalakkan mereka membaca sebagai hobi)
Menetapkan waktu tidur harian
Sekarang setelah anda diberikan garis panduan mengenai cara menjadi ibu bapa yang baik, tanya diri anda jika masa skrin menjejaskan perkara berikut. 90% kajian mengenai masa skrin dan tidur dalam kalangan kanak-kanak dan remaja sekolah mendapati bahawa masa skrin dikaitkan dengan tempoh tidur yang lebih pendek.
Oleh itu, sekiranya masa skrin menjejaskan tip keibubapaan yang disebutkan itu, betulkan dengan sewajarnya. Anak remaja anda mungkin perlu dinasihatkan untuk menghadkan atau mengurangkan pendedahan masa skrin, terutamanya sebelum atau semasa waktu tidur untuk mengurangkan sebarang kesan berbahaya.
Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa ibu bapa zaman moden sebenarnya mempunyai lebih banyak masa dengan anak-anak mereka berbanding zaman dahulu disebabkan pengurangan waktu kerja. Tetapi penglibatan antara ibu bapa dan anak-anak kini menjadi kurang berkesan, disebabkan ibu bapa sendiri kurang memberikan kemesraan kerana terikat dengan telefon pintar kita sendiri. Dan barangkali keinginan kita untuk mengawal masa skrin anak-anak adalah cerminan rasa ketidakupayaan kita dalam mengawal masa skrin kita sendiri. Oleh itu, sebelum mula melaksanakan peraturan pada masa skrin anak-anak, mulakanlah dengan diri anda sendiri.
Kita selalu risau anak tak dengar kata tapi dalam masa yang sama kita lupa sebenarnya kita kena risau anak-anak sedang tengok kita.
“Kenapa degil sangat ni? Susah nak dengar cakap ibu dengan ayah hah?” tengking si ibu pada anak kecilnya yang baru berusia 4 tahun dan berlari sana sini di tempat awam.
Kita selalu harapkan anak-anak dengar kata. Setiap arahan dan larangan ibu dan ayah mesti dipatuhi. Kalau boleh kita tak mahu anak-anak jadi nakal dan tak tahu duduk diam.
Tetapi pernahkah kita terfikir bahawa anak kecil memang sifat semula jadinya suka bermain dan sangat aktif. Mereka adalah amanah dari Allah yang mesti dididik sebaik-baiknya.
Mungkin nasihat daripada Ustaz Ebit Lew ini mampu membantu kita yang selalu cepat naik tangan dan naik angin dengan sedikit kenakalan anak-anak kecil.
Seorang bertanya saya ustaz, tanya ibu bapa ini, kami sedih sebab anak saya 2 orang terlalu nakal. Seorang 5 tahun dan seorang 3 tahun. Dia selalu memalukan saya depan ramai orang. Dia jatuhkan apa sahaja barang yang dia pegang. Dia pukul adiknya. Dia berebut barang dengan semua orang. Dia menjerit kuat-kuat. Saya selalu tak tahan dan cubit dia kuat-kuat. Tapi rasa bersalah pula rasanya..tapi memang saya tak boleh sabar…sebab dosa saya dulu-dulu ke. Memang perangai kami ke dulu-dulu..
Ustaz boleh baca doa apa-apa untuknya…
Anak-anak harta paling mahal
Allah sayang puan. Sebenarnya anak-anak ini rahmat Allah yang besar dalam hidup kita. Merekalah harta kita yang paling mahal dan berharga dunia dan akhirat.
Anak-anak apa sahaja mereka buat sebenarnya mereka dahagakan belaian kasih sayang ibu bapanya. Mereka hanya ingin perhatian atau masa kedua ibu bapanya. Tulah kadang-kadang ibu memberi masa dengan baik. Tapi bapa pula tiada masa langsung buat anak-anak. Lebih malang anak menjadi mangsa geram suami isteri yang bergaduh atau stress.
Ya Allah…Membesarkan anak-anak di zaman mencabar ini memerlukan keduanya suami isteri bersama-sama belajar ilmu, berkasih sayang, bersama-sama berdakwah dan mendidik, bersama-sama menangis malam dalam tahajud meminta rahmat Allah.
Bersama-sama memberi masa buat anak-anak. Bagi anak-anak ‘love’ = ‘time’ masa yang berkualiti..lagi banyak beri masa dan perhatian lagi kita sayang mereka.. Kita selalu pandang telefon tapi lupa pandang wajah anak-anak…bagaimana keadaan mereka..Allah…maafkanlah kami semua.
Lupa beri masa pada anak
Kita sayang mereka tapi lupa beri masa. Sehingga anak-anak tak belajar erti cinta dan sayang dari ibu bapa. Anak-anak yang cergas dan aktif sebenarnya ialah Daie Allah bila besar nanti. Merekalah bakal jadi seperti Usamah b Zaid ra. Siapa tahu dialah menjadi ketua jemaah orang Islam yang menyebabkan Allah tinggikan kalimah Allah. Kembalikan kegemilangan zaman hidupnya Rasul saw.
Jangan mengukur kejayaan mereka dengan pelajaran semata-mata. Sebab kita tak tahu rupanya anak kita bakal Allah hidupkan Islam di seluruh dunia. Menjadi matahari hidayah. Sangkaan ibu bapa doa yang paling kuat buat anak-anak. Hargailah kebaikan mereka.
Jika orang lain pandang rendah anak kita. Kita kecil hati. Tapi paling sedih jika ibu bapa sendiri pandang rendah pada anaknya….doakanlah mereka..tadah tangan selalu sebab kita semua tak pandai didik anak. Kita berusaha yang terbaik. Tapi kita benar-benar memerlukan pertolongan Allah. Ya Allah, betapa diriku sayang anak-anakku. Kau sayangilah mereka. Kasihilah mereka. Jadikan mereka matahari hidayah seperti sahabat rhum.
Sebut nama Allah dan Rasul sentiasa
Anak-anak memang perlu tempat untuk bermain. Umur sehingga 7 tahun umur mereka dilayan dan dituruti. Hidupkan amalan Ta’lim dalam rumah setiap hari paling kurang setengah jam. Rahmat penuh dalam rumah yang ada majlis Ta’lim. Nama Allah dan Rasul saw disebut. Anak dapat sifat dengar dan taat..bawalah mereka bersama duduk Ta’lim.
Sebelum tidur dengar kisah Nabi dan sahabat. Cerita pada mereka sebelum tidur.. Cuba lihat di keliling kita ramai orang yang berjaya hari ini dulu sangat banyak bawa masalah tetapi ibubapa mereka tak pernah putus asa dari didik dan doakan anak-anaknya.
Ingat satu pesanan orang tua-tua. Jangan terlalu risau anak tak dengar kata kita. Tapi risau anak-anak kita sedang tengok kita. InsyaAllah ada rahmat semua tu. Supaya kita sedar kita berhajat pada Allah. Saya sendiri pun tak pandai dan anak-anak masih kecil.
Hanya rahmat Allah yang kita harapkan..rahmatnya dulu yang selamatkan kita. Allah jugalah yang akan selamatkan anak-anak kita.Bacalah doa surah Al-Ahqaf ayat 15 insyaAllah anak kita bakal jadi Daie dan orang yang menghargai Islam ini. Yang cinta Allah dan sayang umat Nabi saw.
Anak menjadi tuan, adakah ia kesan daripada kesilapan ibu bapa dalam mendidik? Ikuti penerangan pakar pendidikan awal kanak-kanak ini.
Mungkin ramai yang berpendapat ibu bapa yang memberikan kebebasan kepada anak-anak akhirnya akan menjadi mangsa keadaan, di mana si kecil setelah meningkat usia menjadi seorang yang agresif dan terlalu bebas bersuara hingga boleh mengganggu emosi orang lain. Adakah ia benar?
SUKA MEMANIPULASI
Menurut Prof Dr Bustam Kamri, Dekan Sekolah Sains Sosial, Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka, kanak-kanak pada usia lima hingga enam tahun sudah pandai memanipulasi untuk mendapatkan apa yang dihajatinya. Kajian menunjukkan kanak-kanak mula tidak bercakap benar apabila antara usia dua hingga empat tahun. Ini menandakan pemikirannya sudah terpisah daripada ibu bapa. Ini juga menandakan kefahamannya kepada perkataan ‘tidak’ atau ‘tak boleh’ membantunya menggambarkan sempadan antara keinginan, kehendak dan perasaan.
Manipulasi atau lebih mudah disebut berbohong ini disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah untuk mengelakkan daripada didenda, mendapatkan kelebihan, mengawal, sebab sesuatu akibat yang tidak diingini atau merangsang kendiri. Dia seperti orang dewasa, berbohong untuk mendapatkan kuasa, mengekalkan privasi atau melindungi rakan.
Anda perlu faham kanak-kanak pada usia ini sudah tahu perbezaan bercakap benar dan berbohong dan tahu ia adalah satu kesalahan. Senang sahaja kalau anda ingin mengetahui sama ada dia berbohong atau tidak. Selalunya dia akan berkata, “Saya tidak boleh beritahu” atau “Saya tidak tahu.”
BUKAN KRISIS MORAL, FAHAMI DULU PUNCA DIA BERBOHONG…
Walau bagaimanapun, jika anak anda mula berbohong pada usia ini, ia tidak boleh dianggap sebagai krisis moral. Dia hanya berbohong untuk mendapatkan apa yang diingini dan ia dianggap normal dan sihat. Anda tidak perlu menjadi detektif menyiasat kerana ia akan membuatkan dia berasa dirinya tidak dipercayai.
Membantu si manja membina moral dan bertanggungujawab kepada perlakuannya adalah satu matlamat jangka panjang. Antaranya ialah anda sebagai model tingkah laku dengan mempercayainya, mengawal diri dan menghormati orang dewasa. Berikan dorongan dan rangsangan untuknya bertanggungjawab kepada diri. Sentiasa tenang kerana semakin tenang maka semakin baik cara anda berkomunikasi dengan anak.
MENGELAK DARIPADA DIMARAHI ATAU DIHUKUM SELALU JADI PUNCA DIA BERBOHONG
Peribahasa siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri tidak boleh digunapakai bagi kanak-kanak sebaliknya anda perlu melihat kembali sebab pembohongan itu terjadi. Ia adalah untuk mengelak daripada dimarahi atau dihukum.
Walau apa pun, anda boleh boleh menasihatkannya dengan kaedah bercerita seperti cerita “Budak Gembala Kambing” yang mempermainkan kepercayaan orang dengan meminta tolong kononnya serigala datang untuk makan kambing gembalaannya. Dengan ini, si anak akan menilai cerita dan memahami kesan berbohong.
Selain itu, anda perlu meneliti juga sebab dia berbohong, mungkin mahukan lebih perhatian dan aktiviti yang melebihi jangka waktu yang diberi. Berikan anak bimbingan bagi memperbetulkan perlakuan negatif kepada positif di samping memberi keyakinan diri.
MEMBUAT PILIHAN
Ibu bapa menggalakkan anak kecil daripada awal membuat keputusan sendiri (seperti membuat pilihan pakaian sendiri dan memilih makanan sendiri) adalah baik. Memang ada kesan positif di mana anak berdikari, petah dan sebagainya. Tetapi ramai yang gusar andai cara ini punca kepada anak membesar menjadi anak bos, agresif dan sukar menerima teguran.
Menurut Prof Dr Bustam, perkara ini baik kerana ia membantu perkembangan personaliti dengan membina deria automoni. Apabila kita diberikan, selalunya kita akan merasakan ada kawalan. Anak membina keyakinan dalam membuat pilihan dan mengawal apa yang berlaku kehidupannya. Rasa ingin mengawal dengan mencuba secara negatif dalam diri si anak juga dapat dikurangkan.
Daripada ini juga, si kecil belajar bahawa apa yang berlaku dalam kehidupan adalah bergantung kepada apa yang dipilih. Cara terbaik belajar membuat pilihan terbaik adalah dengan membuat banyak pilihan. Biar anak belajar membuat keputusan sejak kecil supaya dia boleh membuat keputusan yang rasional dan waras apabila dewasa nanti. Tetapi bagi mengawalnya, anda boleh mengehadkan pilihan kepada anak seperti memilih satu antara dua pilihan yang ada.
ANAK JADI TUAN AKIBAT SILAP ASUHAN
Anak menjadi tuan ialah kesan gaya didikan ibu bapa permissive iaitu tidak mengawal tingkah laku anak. Akibatnya anak tidak tahu batas sempadan dan ikut gerak hati sendiri serta tidak matang. Ia juga boleh terjadi dengan gaya didikan yang terlalu mengongkong iaitu autoritarian. Dalam didikan cara ini, anak dipaksa patuh arahan tanpa sebarang alasan. Buat sahaja apa yang disuruh kerana menjadi takut kerana hubungan dan dendaan.
Gaya mendidik autoritatif pula lebih kepada kompromi iaitu memberi masa menerangkan peraturan tetapi masih menekankan peraturan. Ibu bapa ada masa mendengar pandangan anak. Anak memahami batas sempadan, bertanggungjawab dan cepat matang. Manakala gaya demokratik pula lebih berdiplomasi. Peraturan dipersetujui bersama bebas memberi pandangan dan berbincang bersama keluarga. Mengelakkan hukuman fizikal. Komunikasi mesra dan terbuka anak dan ibu bapa. Kesannya mesra penyayang dan emosi stabil.
Anda boleh memilih sendiri cara didikan autoritatif atau demokratik bersesuaian dengan personaliti anak. Dengan cara ini, anda boleh mengelakkan terjadinya fenomena ‘anak menjadi tuan’ pada masa akan datang.
Jangan lupa saksikan Pa&Ma Journey Bersama SchAwaLara, setiap Rabu jam 9 malam di Astro Ria saluran 104/124 dan ulangannya setiap Ahad jam 9.30 pagi.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tentu ada ibu bapa nak cari paduan bagaimana nak tarik minat anak suka belajar kan. Lebih lagi jika anak masih belum boleh membaca dan tahun hadapan bakal masuk tadika.
Menurut puan Diyana Jamal untuk mendidik anak minat belajar mesti sejak kecil lagi. Beliau sendiri sejak anak usia tiga tahun tu sudah dedahkan anak dengan kelengkapan menulis. Ikuti perkongsian ibu muda ini.
Seperti yang di janjikan, ibu nak share cara ibu didik Damia untuk tarik minat dia rajin belajar. Ni adalah berdasarkan pengalaman ibu.
Jadi, Ibu-ibu/bakal ibu, boleh baca dan cuba buat untuk anak-anak korang ya.
1. Belikan alat tulis
Sejak Damia berusia 3 tahun lebih lagi, ibu dah mula belikan dia alat tulis. Belikan dia alat tulis yang basic je. Contohnya : Pensel, buku. Pernah juga kami belikan dia warna magic, water color, dan cryon untuk dia berkreativiti.
2. Biarkan anak buat sepah/conteng buku dan dinding
Pada mulanya ibu pun geram juga. Bayangkan, dinding rumah baru di cop dan di conteng dengan pelbagai warna, di sini sana. Mahu tak bertukar hijau! Tapi, lama kelamaaan, ibu tahu cara ibu yang salah.
Kanak-kanak seusia 2-3 tahun, mindanya sedang pesat berkembang. Mereka ni akan bermain & membuat sepah di rumah macam tongkang pecah. Dan menconteng itu adalah cara mereka meng-expresi kreativiti mereka. Jika bimbang dinding kotor, korang boleh beli kertas khas untuk di lekatkan di dinding/cat dinding dengan cat minyak.Part yang bersepah tu, kau redha je lah
3. Be with her
Cari masa untuk bersama-sama dengan anak-anak untuk berkreativiti/belajar.Kehadiran kita di sisi mereka ni boleh menyuntik semangat dan mood mereka.Dan semestinya, JANGAN pegang hp semasa sesi tersebut. Tumpukan perhatian sepenuhnya kepada mereka.
4. Rancang jadual
Walau pun anak kita berusia 3 tahun, kita seharusnya ada jadual untuk dia bermain/belajar. Tak perlulah sampai nak buat time table. Cukuplah sekadar meluangkan masa sekitar 1-2 jam untuk belajar.
Jika dapat 10 minit/sesi pun okey. Bila dia dah suka, lama-lama nanti automatik dia leka untuk belajar.
5. Jangan paksa
Anak-anak ni dia mudah bosan. Bila kita buka je buku atau suruh dia belajar, memang payah nak fokus dan adakalanya dia memberontak. JANGAN PAKSA. Biarkan dahulu. Perhatikan dahulu cara dia. Seperti Damia, dia suka belajar bila buka tv. Kena sabar dan selalu lihat perkembangan dan minatnya.
6. Have fun
Jangankan budak-budak. Mak bapak budak pun malas nak belajar kalau tak kena cara.Tapi, kanak-kanak ni lebih mudah di lentur minatnya. Caranya, kita ibu bapa ni kena kreatif semasa sesi pelajaran.
Korang boleh bawa anak-anak pergi ke taman untuk belajar. Mereka ni lebih mudah mengingat bila melihat benda yang real. Sebagai contoh, kita tunjukkan bunga. Kita ceritakan bunga tu warna apa, berapa kelopaknya, berbau wangi/sebaliknya.
7. Elak perkataan JANGAN
“Jangan malas belajar” “Jangan tengok tv” “Jangan main benda tu”. Sebaliknya TUKAR kepada, “Kakak, jom kita lukis bunga” “Kakak, jom kita baca buku” “Jom kita nyanyi” Ingat tau korang. Kata-kata yang baik, akan menghasilkan result yang baik.
8. Pillow talk
Ni istilah orang puteh. Dalam masa melayunya “cakap bantal”. Bukan cakap dengan bantal tau. Hahaha. Maksudnya, sebelum tidur, ibu akan ulangkaji secara lisan tentang apa yang telah kami lalui/pelajari siang tadi.
Dan waktu ini, memang sangat membantu untuk kita sebagai ibu untuk jalinkan hubungan yang akrab dengan anak. Ketika dia sedang mamai nak tidur tu, korang ucap/DOA yang baik-baik untuknya. Jika boleh, peluk dia sekali. This one yang ibu JARANG miss sejak Damia berusia 3 tahun.
Sekarang dia dah 5 tahun. Alhamdulillah dia sangat suka bila di ajak untuk belajar/ulang kaji.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.