
Anak autisme minat polis! Bagi kebanyakan kanak-kanak, melihat kereta peronda atau anggota polis mungkin sekadar satu pengalaman biasa. Namun bagi seorang kanak-kanak autisme berusia lapan tahun, Muhammad Firdaus, setiap kali ternampak anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), hatinya dipenuhi rasa teruja sehingga sanggup mengejar mereka hanya untuk melambai, bersalaman dan mencium tangan sebagai tanda hormat.
Kisah menyentuh hati itu dikongsikan oleh ibunya menerusi akaun TikTok @lalashop_77, sekali gus mengundang sebak dan perhatian ramai warga maya.

Anak Autisme Minat Polis Sejak Kecil
Menerusi perkongsian tersebut, ibu kepada kanak-kanak berkenaan, Fatin Nabila Mohammad Amin, meluahkan minat luar biasa anak lelakinya terhadap pasukan PDRM sehingga mereka sekeluarga sering mengejar anggota polis semata-mata untuk memenuhi hasrat si kecil itu.
“Assalamualaikum PDRM. Saya ada anak autisme. Dia minat sangat polis. Bila nampak polis dia nak salam cium tangan.
“Tapi bila kami nampak polis, kami kena kejar. Lepas itu anak saya nangis sebab tak dapat lambai atau tengok kereta polis.
“Boleh tak kami datang ke Balai Shah Alam kejap? Nak bagi anak saya tengok kereta polis, ambil gambar, dan salam cium tangan dengan abang polis,” luah Fatin Nabila Mohammad Amin menerusi hantaran yang dimuat naik di TikTok.
Perkongsian itu pantas tular dan meraih ribuan tontonan serta komen daripada netizen yang tersentuh melihat kasih sayang seorang ibu yang berusaha menggembirakan anak istimewanya.
@lalashop_77 Sesungguhnya, jasa dan keprihatinan tuan/puan bukan sekadar satu kunjungan, tetapi satu kenangan besar yang akan terpahat dalam hati anak ini selamanya. Terima kasih kerana memahami dunia kecilnya, menyantuni dengan penuh kasih sayang, dan memberi pengalaman yang sangat bermakna. Semoga setiap kebaikan yang ditabur dibalas dengan seribu rahmat dan perlindungan daripada Allah SWT. 🤍 insyallah kita jumpa lagi ##autismmalaysia #pdrm #pdrmterbaik🇲🇾 ♬ bunyi asal – Diari SYURGA💕
Cita-Cita Besar Di Sebalik Minat Mendalam
Kanak-kanak yang dikenali sebagai Muhammad Firdaus Al Fattah Muhammad Faris Izzuddin itu dikatakan amat mengagumi anggota keselamatan dan sentiasa teruja setiap kali melihat polis menjalankan tugas.
Menurut Fatin Nabila, anaknya yang merupakan penghidap autisme tahap tiga sering menunjukkan rasa hormat dengan cuba mendekati anggota polis untuk bersalaman dan mencium tangan mereka.
Kisah anak autisme minat polis ini turut membuka mata ramai tentang bagaimana individu berkeperluan khas mempunyai minat dan impian tersendiri yang wajar dihargai. Walaupun kelihatan sederhana, perasaan gembira yang dirasai oleh kanak-kanak tersebut setiap kali bertemu anggota polis sangat bermakna dalam kehidupannya.
“Assalamualaikum semua. Terima kasih kerana sudi menerima anak saya dan menumpangkan kasih kepadanya kerana cita-citanya adalah untuk menjadi polis, walaupun hasrat itu mungkin tidak akan tercapai.
“Saya sendiri tidak mampu menghantarnya menjalani terapi. Mungkin dengan cara ini dapat membantu memberi kegembiraan dan menjadi terapi buat dirinya. Saya ingin meminta izin sekiranya anak saya dibenarkan bertemu anggota polis,” katanya lagi menerusi hantaran yang sama.

IPD Shah Alam Tunaikan Impian Si Kecil
Tidak menyangka perkongsian tersebut mendapat perhatian luas, hasrat kecil Muhammad Firdaus akhirnya menjadi kenyataan apabila pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam tampil menyantuni keluarga berkenaan.
Menurut Fatin Nabila, beberapa anggota polis hadir sendiri ke kediaman mereka bagi memenuhi impian anaknya yang begitu meminati pasukan beruniform itu.
Kunjungan tersebut nyata membawa kegembiraan yang sukar digambarkan apabila Muhammad Firdaus bukan sahaja dapat melihat kenderaan polis dari dekat, malah berpeluang menaikinya serta beramah mesra dengan anggota bertugas.
Detik istimewa itu menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh keluarga tersebut. Ramai yang menyifatkan tindakan anggota polis berkenaan sebagai satu bentuk sokongan moral yang sangat bernilai kepada kanak-kanak berkeperluan khas.
@lalashop_77 Anak saya autism, dia minat sangat abang polis 👮♂️ Bila nampak kereta polis je dia nak lambai, nak salam cium tangan. Tapi kami selalu kena kejar, lepastu dia nangis sebab tak dapat tengok polis dekat-dekat. Minta izin PDRM Shah Alam, boleh tak kami datang ke balai kejap? Nak bagi anak saya happy tengok kereta polis dan salam dengan abang polis. #autismmalaysia #autism #pdrm #polisdirajamalaysia ♬ suara asli – 𝐀𝐝𝐢_𝐩𝟗🥀
Reaksi Netizen Yang Menyentuh Perasaan
Tindakan penuh prihatin yang ditunjukkan oleh IPD Shah Alam turut menerima pujian ramai netizen. Rata-rata menyifatkan usaha itu sebagai satu contoh terbaik bagaimana masyarakat dan agensi keselamatan dapat bersama-sama menyantuni kanak-kanak berkeperluan khas serta membawa kegembiraan kepada mereka melalui cara yang cukup bermakna.
Ramai pengguna media sosial turut mendoakan kesejahteraan Muhammad Firdaus dan berharap beliau terus membesar sebagai seorang anak yang baik serta berjaya dalam kehidupan. Ada juga yang memuji kesabaran serta pengorbanan ibunya yang sentiasa berusaha memenuhi keinginan anak walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Baca lagi: Bayi Baru Lahir Boleh Dijangkiti Denggi Dari Ibu, Jangan Ambil Mudah Jika Demam Ketika Hamil
RM100 Sebulan Untuk Rakyat Selangor, Semak Kelayakan Anda Sekarang!
MyKad Lebih Selamat, 3 IC Lama Ni Wajib Tukar Dahulu!
Sumber: TikTok @lalashop_77 (1) (2)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





