
Bila anak cepat lupa apa yang sudah dihafal, terutama apabila mula masuk Tahun 1 dan semakin banyak perkara perlu dipelajari, ibu ayah mungkin mula perasan satu perkara. Bukan semua anak mudah menghafal dengan hanya membaca buku berulang kali.
Ada anak yang cepat ingat bila melihat gambar, ada yang lebih mudah faham apabila mendengar penerangan, malah ada juga yang perlu bergerak atau melakukan aktiviti tertentu ketika belajar.
Sebab itu, daripada memaksa anak duduk terlalu lama menghadap buku, ibu ayah boleh cuba beberapa teknik mudah yang boleh membantu proses mengingat menjadi lebih menyeronokkan.
Paling penting, anak bukan sekadar menghafal untuk peperiksaan, tetapi turut memahami apa yang sedang dipelajari.

1. Hafal Sedikit Demi Sedikit
Jangan terus meminta anak menghafal satu muka surat dalam satu masa.
Bagi anak sekolah rendah, lebih baik pecahkan maklumat kepada bahagian kecil. Contohnya, mulakan dengan dua atau tiga fakta, beberapa perkataan baharu atau satu rangkap pendek terlebih dahulu.
Apabila anak sudah menguasainya, barulah tambah bahagian seterusnya. Cara ini boleh membantu anak berasa lebih yakin kerana tugasan yang diberikan tidak terasa terlalu berat.
2. Gunakan Teknik Soal Dan Jawab
Daripada meminta anak membaca nota berkali kali, ibu ayah boleh menukarkan isi pelajaran kepada soalan mudah.
Contohnya, selepas anak membaca mengenai haiwan, ibu boleh bertanya,
“Apakah haiwan yang hidup di dalam air?”
atau,
“Apa fungsi akar pada tumbuhan?”
Minta anak menjawab tanpa melihat buku terlebih dahulu. Aktiviti seperti ini membantu anak cuba mengeluarkan semula maklumat yang telah dipelajari daripada ingatan. Teknik ini juga boleh dicuba apabila anak cepat lupa selepas membaca sesuatu topik.

3. Gunakan Gambar, Warna Dan Kad Imbas
Kanak kanak biasanya lebih mudah tertarik dengan bahan pembelajaran yang mempunyai unsur visual.
Ibu ayah boleh menggunakan kad imbas, gambar, simbol, peta minda atau nota berwarna bagi membantu anak mengaitkan sesuatu fakta dengan imej tertentu.
Contohnya, untuk belajar bahagian tumbuhan, anak boleh melukis pokok dan menandakan akar, batang, daun serta bunga.
Tidak perlu terlalu cantik. Asalkan anak faham dan mudah mengingatnya.
4. Hafal Sambil Bergerak
Tidak semua anak boleh duduk diam dalam tempoh yang lama. Ada sesetengah anak lebih mudah mengingat apabila mereka turut bergerak semasa belajar.
Contohnya, anak boleh menyebut sifir sambil bertepuk tangan, berjalan di dalam rumah atau melakukan pergerakan mudah.
Ibu ayah juga boleh mencipta aksi tertentu bagi setiap fakta yang perlu diingati. Aktiviti sebegini menjadikan sesi belajar terasa lebih seperti permainan berbanding satu tugasan yang membosankan.
5. Tukarkan Fakta Kepada Lagu Atau Irama
Pernah perasan anak mudah mengingati lirik lagu walaupun baru beberapa kali mendengarnya? Prinsip yang sama boleh digunakan ketika belajar.
Ibu ayah boleh mencipta lagu ringkas atau irama tertentu untuk membantu anak menghafal sifir, ejaan, nama hari, fakta sains atau urutan tertentu.
Tidak perlu lagu yang sempurna. Kadangkala irama yang lucu atau pelik itulah yang paling mudah melekat dalam ingatan anak.
6. Minta Anak Ajar Semula Ibu Ayah
Selepas selesai belajar, cuba minta anak menerangkan semula apa yang baru dipelajarinya.
Ibu ayah boleh berkata,
“Sekarang cuba ajar mama pula.”
atau,
“Cuba cerita pada ayah apa yang adik baru belajar tadi.”
Apabila anak cuba menerangkan menggunakan bahasa sendiri, ibu ayah dapat melihat sama ada anak benar benar memahami sesuatu topik atau sekadar menghafalnya.
Jika anak masih keliru, bantu mereka semak semula tanpa terus memberikan jawapan.

7. Ulang Pada Waktu Berbeza, Bukan Sekali Sahaja
Maklumat yang dipelajari hari ini mungkin mudah dilupakan jika tidak diulang semula.
Sebab itu, ibu ayah boleh membantu anak membuat ulang kaji secara ringkas pada waktu berbeza.
Contohnya, belajar pada petang hari, ulang lima minit sebelum tidur, kemudian semak semula keesokan harinya dan beberapa hari kemudian. Tidak perlu sesi yang panjang.
Kadangkala ulang kaji selama beberapa minit tetapi dilakukan secara konsisten lebih membantu berbanding belajar terlalu lama dalam satu sesi. Cara ini juga boleh membantu apabila anak cepat lupa perkara yang dipelajari beberapa hari sebelumnya.
Anak Cepat Lupa? Jangan Paksa Anak Belajar Terlalu Lama
Untuk anak sekolah rendah, sesi pembelajaran yang pendek tetapi fokus biasanya lebih mudah diikuti.
Ibu ayah boleh mencuba sekitar 10 hingga 15 minit dahulu sebelum memberikan sedikit masa rehat, terutama bagi anak yang masih kecil.
Elakkan juga membandingkan kemampuan menghafal anak dengan adik beradik atau rakan mereka. Setiap anak mempunyai cara belajar yang berbeza.
Ada yang cepat mengingat melalui gambar, ada yang perlu mendengar beberapa kali dan ada juga yang lebih mudah belajar melalui aktiviti.
Apa yang penting, ibu ayah membantu anak mencari kaedah yang paling sesuai dengan dirinya. Akhir sekali, jangan lupa untuk memuji usaha anak walaupun mereka belum dapat mengingati semuanya.
Baca lagi: Zikir Ibu Ayah Ketika Anak Peperiksaan, Amalan Mohon Permudahkan Urusan Anak
Disipilin Anak Tanpa Perlu Jerit & Ugut Rotan, 6 Cara Berkesan Guna Time-Out!
Diabetes Jenis 1 Pada Anak, 8 Tanda Penting Yang Ibu Ayah Wajib Tahu!
Sumber: Youtube Pa&Ma
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

