
Tiada yang lebih menyayat hati bagi seorang ibu dan ayah selain melihat anak kecil mereka menderita penyakit genetik jarang jumpa iaitu GNAO1. Inilah yang dilalui pasangan tabah, Saifol Sujak Sulaiman, 41, dan Nur Liyana Mohd Safiea, 34, apabila anak perempuan mereka, Dhia Amanda, disahkan menghidap penyakit yang belum ada penawarnya sehingga kini.
Anak Kecil Ujian Besar
Sejak bayi lagi, Amanda menunjukkan perkembangan luar biasa berbanding kanak-kanak lain. Pada usia enam bulan, tubuhnya tampak lemah dan sering tersedak semasa menyusu. Deretan pemeriksaan di hospital termasuk EEG, ECG dan imbasan MRI dijalani, namun jawapan hanya diperoleh selepas ujian genetik dua tahun kemudian.

Hasil ujian itu mengesahkan Amanda menghidap gangguan neurologi gen GNAO1, penyakit yang boleh menyebabkan sawan, pergerakan luar kawalan, kelewatan perkembangan serta kecederaan pada diri sendiri tanpa sedar.
Kini, Amanda bergantung sepenuhnya kepada susu khas melalui tiub pemakanan kerana sudah tidak mampu menelan makanan seperti kanak-kanak lain.
Apa Itu Penyakit GNAO1?
GNAO1 adalah penyakit genetik yang sangat jarang berlaku di seluruh dunia. Ia berpunca daripada mutasi pada gen GNAO1 yang mengawal fungsi sistem saraf. Antara tanda-tanda utama ialah:
Sawan berulang yang sukar dikawal.
Pergerakan tubuh luar kawalan (seperti tersentak atau kekejangan).
Kelewatan perkembangan fizikal dan mental.
Masalah menelan dan makan sehingga perlu bergantung kepada tiub pemakanan.
Penyakit ini biasanya muncul sejak bayi dan setiap kanak-kanak mungkin menunjukkan gejala berbeza. Rawatan khusus masih belum ditemui, namun prosedur seperti Deep Brain Stimulation (DBS) boleh membantu mengawal pergerakan luar kawalan dan meningkatkan kualiti hidup pesakit.
Harapan Melalui Pembedahan DBS
Bagi meningkatkan kualiti hidup Amanda, pasukan perubatan mencadangkan pembedahan Deep Brain Stimulation (DBS) di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada bulan November. Prosedur ini menggunakan alat khas untuk merangsang otak bagi mengawal pergerakan tubuh.
Namun, kos rawatan yang mencecah RM250,000 termasuk alat, prosedur pembedahan dan rawatan susulan menjadi cabaran besar buat keluarga kecil ini.

Ibu Jual Kuih Frozen Demi Dana Rawatan
Demi melihat anak kecil mereka mendapat peluang hidup lebih baik, pasangan ini tidak hanya bergantung pada bantuan orang ramai. Mereka berusaha sendiri dengan menjual kuih sejuk beku seperti karipap, cek mek molek, cucur badak, popia otak-otak dan kuih kasturi.
“Setiap bungkusan kuih yang terjual, itulah harapan kami untuk Amanda. Walaupun sedikit, ia tetap bermakna buat perjuangan anak kami,” kata Nur Liyana penuh sebak.
Hulurkan Tangan, Ringankan Beban
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Persatuan Kebajikan Suriana Malaysia di RHB Bank: 2 14035 0016511 8. Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat melalui Rachel (012-2114444), Rufina (017-7558022) atau Ann (1-300-88-2200).
Kasih ibu dan ayah buat anak tiada tandingan. Semoga dengan doa dan sokongan masyarakat, usaha mereka berjaya mengumpul dana yang diperlukan untuk rawatan Amanda, agar si kecil ini dapat membesar dengan lebih sihat dan bahagia seperti kanak-kanak lain.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!











