
Setiap ibu bapa pasti teruja menunggu saat pertama anak menyebut “mama” atau “ayah”. Namun, apabila si kecil sudah hampir mencecah usia setahun tetapi masih belum mengeluarkan walaupun satu perkataan, sudah tentu rasa risau mula bermain di fikiran.
Begitulah situasi yang dikongsikan seorang ibu kepada pakar kesihatan, Dr. Zubaidi Hj Ahmad, mengenai perkembangan anaknya yang hampir setahun tetapi masih belum bercakap.
Menurut ibu tersebut, anaknya menunjukkan perkembangan lain yang kelihatan normal. Namun, apa yang merisaukannya adalah si kecil hanya menangis, menjerit dan mengeluarkan bunyi seperti “ahh” tanpa sebarang perkataan bermakna.
Malah, mereka sekeluarga juga aktif berinteraksi dengan anak setiap hari.
“Kami sentiasa bercakap dengannya dan menunjukkan objek sambil menyebut seperti ‘look, a book’ dan sebagainya. Tapi sampai sekarang dia masih belum menyebut apa-apa perkataan,” luah ibu tersebut.
Anak Setahun Belum Boleh Bercakap, Ini Perkembangan Normal Bayi 9 Hingga 12 Bulan

Menjawab persoalan itu, Dr Zubaidi menjelaskan bahawa secara umum, bayi berusia antara 9 hingga 12 bulan biasanya sudah mula menunjukkan perkembangan komunikasi awal seperti:
- Membebel atau mengulang bunyi seperti “mama”, “baba”, atau “dada”
- Memahami arahan mudah seperti “bye-bye” atau “mari sini”
- Memberi respon apabila nama dipanggil
Namun, beliau menegaskan setiap kanak-kanak berkembang pada kadar berbeza.
“Ada juga anak yang lambat bercakap tetapi masih dalam kategori normal, selagi perkembangan lain seperti interaksi sosial, pemahaman dan respons berada pada tahap baik,” jelasnya.
Bila Ibu Ayah Perlu Alert Jika Anak Setahun Belum Boleh Bercakap?
Walaupun ada anak yang lambat bercakap, ibu ayah tetap perlu peka dengan beberapa red flag atau tanda amaran perkembangan.
Antara tanda yang perlu diberi perhatian ialah:
- Tidak memberi respon apabila nama dipanggil
- Kurang eye contact atau jarang memandang wajah orang lain
- Tidak menunjuk objek yang diinginkan (pointing)
- Kurang berinteraksi atau kurang minat bermain dengan orang sekeliling
Jika anak menunjukkan beberapa tanda ini, ibu ayah disarankan untuk mendapatkan pemeriksaan awal atau developmental screening.
“Jangan tunggu terlalu lama. Lagi awal intervensi dibuat, lagi baik untuk perkembangan anak,” katanya.
Tips Rangsang Anak Setahun Belum Boleh Bercakap Di Rumah

Bagi membantu merangsang perkembangan bahasa anak, Dr Zubaidi berkongsi beberapa langkah mudah yang boleh diamalkan di rumah:
1. Kurangkan screen time
Elakkan anak terlalu banyak terdedah kepada TV, telefon atau tablet kerana ia boleh mengganggu perkembangan komunikasi.
2. Bercakap secara fokus dan ringkas
Gunakan ayat pendek seperti:
- “Ini bola”
- “Ini susu”
- “Ini kucing”
Ulang perkataan yang sama dengan kerap supaya anak lebih mudah menangkap bunyi dan maksud.
3. Banyakkan interaksi face-to-face
Anak belajar bercakap dengan melihat pergerakan mulut, ekspresi muka dan mendengar tona suara ibu ayah.
4. Gunakan gesture
Ajar anak melambai, menepuk tangan, menunjukkan objek dan membuat ekspresi mudah.
5. Gunakan buku bergambar
Pilih buku dengan gambar simple, warna terang dan ulang cerita yang sama berkali-kali.
Nutrisi Penting Untuk Anak Setahun Belum Boleh Bercakap
Selain rangsangan, Dr Zubaidi turut menekankan kepentingan nutrisi dalam perkembangan anak.
Menurut beliau, 1000 hari pertama kehidupan adalah tempoh kritikal kerana perkembangan otak berlaku dengan sangat pantas.
“Nutrisi yang cukup penting untuk menyokong perkembangan otak, imuniti, fokus dan tumbesaran keseluruhan anak,” katanya.
Antara nutrisi penting termasuk protein, zat besi, DHA, kalsium dan vitamin yang membantu menyokong perkembangan otak serta sistem saraf anak.
Jangan Tunggu Jika Anak Setahun Belum Boleh Bercakap
Kesimpulannya, anak hampir setahun tetapi belum bercakap tidak semestinya bermasalah. Namun, ibu ayah tidak seharusnya hanya menunggu tanpa melakukan apa-apa.
- Mungkin masih normal
- Tetapi tetap perlu dipantau
- Mulakan rangsangan dari sekarang
Jika anak sudah memasuki usia 12 hingga 15 bulan dan masih tiada perkataan bermakna, sebaiknya dapatkan penilaian perkembangan daripada pakar.
Perkembangan anak bukan tentang menunggu, tetapi bertindak awal. Kadang-kadang langkah kecil hari ini boleh memberi impak besar untuk masa depan si kecil.
Sumber: Dr Zubaidi
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





