Hari ini bukan anak sahaja yang ketagih main game tetapi ramai ibu ayah pun ada habit ini. Awas ya, sebab habit anda kalau dibiarkan boleh beri kesan pada hubungan dengan anak yang masih kecil.
Mungkin masih terbawa-bawa lagi dengan hobi semasa zaman remaja sehingga ada ramai ayah (mungkin juga ibu) yang masih ‘gila’ bermain game sama ada menggunakan handphone atau alat permainan game popular seperti PSP, PS4, XBox, Nintendo dan sebagainya lagi.
Sebenarnya tujuan bermain game adalah untuk berhibur di masa lapang atau sekadar suka-suka untuk jangka masa sekejap sahaja. Tetapi hari ini rata-rata pemain game menjadikan ia satu aktiviti wajib sehingga mengganggu urusan tugas seharian kerana tak boleh meninggalkan permainan tersebut.
Kesan bahaya akibat ketagihan bermain game bukan hanya pada kanak-kanak bahkan jika orang dewasa ketagih bermain game pun mempunyai kesan negatif yang amat besar apatah lagi jika sudah bergelar ibu dan ayah.
Ibu ayah ‘gila’ game
Bayangkan jika seorang ayah ketagih bermain game, dari celik mata hingga nak tidur dia akan memberi tumpuan kepada permainan tersebut. Otak dan fikirannya asyik terbayang-bayang dan memikirkan tahap permainannya dan ini sudah tentu berisiko mempengaruhi hubungan dengan keluarga.
Seorang ayah atau ibu yang ketagih bermain game akan lebih mengutamakan perhatian pada level game yang dicapainya daripada memerhatikan keperluan anaknya.
Ibu yang asyik bermain game akan kehilangan banyak waktu bersama anak walaupun dia seorang suri rumah tangga yang 24 jam bersama anak. Jadi apa gunanya jika ada masa 24 jam tetapi tiada langsung interaksi dengan anak?
Ads
Seorang ayah yang ketagih bermain game akan lebih mengutamakan berkumpul dengan kawan-kawannya daripada bersama keluarga. Dia mungkin akan lalai terhadap kewajipannya untuk memimpin rumah tangga dan akan melahirkan anak-anak yang mementingkan diri sendiri.
Apa yang anak-anak boleh harapkan daripada ibu bapa yang ketagih bermain game? Anak-anak akan kehilangan teladan yang baik dari ibu bapanya, juga kehilangan perhatian serta kemungkinan besar menjadi anak yang juga ketagih bermain game.
Nampak tak betapa besarnya kesan buruk bermain game jika ia tidak dapat dikawal dalam keluarga. Jika orang dewasa pun boleh hanyut akibat bermain game, apatah lagi anak kecil yang masih belum matang dan pendek akalnya. Sudah tentu permainan game yang mengkhayalkan boleh membuatkan mereka mudah marah, mengamuk, gelisah dan sebagainya lagi jika terpaksa berhenti main game.
Bagaimana kawal minat bermain game supaya tidak jadi ketagih?
1. Hadkan waktu bermain game
Ads
Anda sendiri kena disiplin untuk mengikut had waktu yang ditetapkan. Kalau satu jam sehari pun dah dikira terlalu lama untuk bermain game. Waktu yang kita guna untuk solat dan membaca al-Quran pun tidak selama satu jam.
2. Tentukan tujuan hidup
Biasanya orang yang ketagih main game adalah mereka yang tiada matlamat dalam hidup. Ia sama macam orang yang ketagih menonton drama Korea, atau gila artis KPop yang sukar dikawal kegilaan mereka. Jadi, sebagai ibu bapa anda sepatutunya mempunyai matlamat bagaimana hendak membentuk keluarga anda atau cara apa hendak mendidik anak-anak? Barulah tidak sibuk bermain game kerana merasakan terlalu banyak masa lapang.
3. Jadikan game sebagai reward sahaja
Kalau sudah terlanjur ketagih main game, cubalah jadikan permainan ini sebagai satu reward sahaja. Contohnya, boleh main game waktu anak tidur sahaja atau selepas menyelesaikan tugas wajib di rumah. Itu pun dalam tempoh masa yang singkat sahaja.
Ads
Semoga kita semua menjadi contoh yang baik kepada anak-anak. Janganlah kerana habit buruk tersebut, hubungan anda dengan anak-anak tidak rapat dan lebih buruk anak juga menjadi seorang yang ketagih game!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tabiat anak makan rambut sendiri sampai botak sebelah adalah salah satu simptom yang berlaku pada seseorang yang kurang zat besi.
“Anak awak cuma makan rambut, ada saya jumpa makan sabun, makan tanah. Ye memang gejala PICA anak awak ni.”
Ikuti perkongsian daripada seorang ibu, Puan Adila Azurin tentang bagaimana anaknya sakit akibat kekurangan nutrisi.
Nutrisi amat penting untuk tumbesaran anak-anak. Ibu bapa perlu memastikan anak cukup zat yang diperlukan. Jika anak anda kurang nutrisi, mereka akan cepat letih dan tidak bermaya, mudah diserang penyakit, cenderung alami masalah kesihatan mental dan emosi, penyebab obesiti kerana pemakanan tidak seimbang.
Ramai ibu bapa yang ambil mudah tentang pemakanan anak-anak terutama ibu bapa muda. Semua yang dimakannya akan diberi kepada anak dan akhirnya anak juga yang akan sakit. Ada juga mengambil jalan mudah dengan menyediakan makanan segera yang tidak berkhasiat.
Anak yang susah untuk makan juga tidak dipandang serius kerana tanggapan ibu bapa, bila anak besar nanti mereka akan makan juga.
TAK APA NANTI ANAK DAH BESAR PANDAILAH DIA NAK MAKAN.
Pernah terfikir macam ni? Ubah sebelum menyesal.
Raya baru ni ramai yang tanya pasal kesihatan Adra. Buat mereka yang tak tahu, 3 bulan lepas Adra warded 3 hari di hospital sebab masalah anemia. Kurang hemoglobin (HB) dalam sel darah merah. Kalau nak tahu, HB ni la yang tolong angkat oksigen dari paru-paru untuk salurkan ke seluruh badan.
Sebelum warded hospital, Dila bawak Adra ke Klinik Kesihatan (KK) untuk buat blood test, sebab dalam sebulan tu dia kerap demam. Hampir setiap bulan. Sebelum ni Adra memang jarang demam. Kalau demam pun tak lama. Hari ni demam, esoknya dah baik. Dila confiden Adra susah kena penyakit sebab Dila fully breastfeed sampai setahun setengah. Sangkaan Dila, imune badan dia mesti kuat.
Tapi entah kenapa bulan 4 lepas Adra demam sampai 2 kali dalam sebulan. First time Adra buat blood test di KK, terus dia kena refer ke hospital sebab bacaan HB dia masa tu 5 sedangkan bacaan yang doktor bagitau untuk kanak-kanak normal adalah 13. Kurang dari separuh. Arghhhh, terkejut Dila. Tanya doktor KK apa puncanya, tapi doktor KK bagitau hospital akan buat detail check up untuk dapatkan puncanya.
Balik rumah terus pack baju, serah diri ke hospital. Sebabkan masalah Adra berpunca dari darah, memang kena ambik darah je dari dia mula masuk hospital sampai la nak discaj. Kesian dia kena cucuk banyak kali. Dila pun tak sanggup nak tengok lebam-lebam kat tangan dia.
Lepas ambil darah. Doktor tanya macam-macam soalan.
“Awak tengok sendiri muka dia pucat, kelopak mata pun pucat, sini tengok tapak tangan dia. Bandingkan dengan tapak tangan awak. Pucatkan?
Ada tak dia sesak nafas? Berak dia ada keluar darah? Famili ada yang hidap talesemia tak?”
“Tak ada doktor, cuma sebelum ni dia demam dekat 5 hari on off on off, saya bagi PCM macam biasa tapi saya tengok dia lemah. Tak nak main sangat, asyik baring je. Makan kurang, tapi menyusu macam biasa. Kami tak ada talesemia, cuma saya je during pregnancy HB memang low.”
“Ok tak apa kita akan buat Full Blood Count (FBC) untuk tengok apa masalah sebenar.”
Hampir tiga hari Adra warded di hospital. Setiap hari doktor yang round ward akan tanya. “Anak minum susu apa ibu?” “Selera anak macam mana? Dekat rumah bagi makan apa?”
“Kita tengok anak ibu memang tak ada masalah apa. Mungkin masalah dia kurang darah merah ni sebab cara pemakanan dia tak berapa betul. KURANG NUTRISI.”
Allah! Tak tahu nak cakap macam mana, segan pun ada bila doktor cakap Adra kurang zat. Rasa macam kita tak bagi anak makan sampai dia jadi kurang zat.
Anak sulung Dila, Adam lagi picky. Tapi dia tak ada pun masalah anemia. At least Adra makan nasi walaupun berlaukkan sup ayam hampir setiap hari. Dila selalu ingat tak apa kalau budak-budak tak nak makan sekarang, akan datang bila dia makin membesar, masa tu selera dia akan berubah. Tapi memang silap bila sangkaan Dila tu. Apapun memang kena dididik dari awal.
Lepas dari Adra mula campur susu Dila tak bagi dia minum susu fm. Adra memang minum fresh milk sahaja selain dari ebm. Dila belajar dari Adam dulu, salah satu punca anak tak nak makan bila dia dah terlalu craving susu yang manis. Adam pulak minum susu coklat. Kalau kurangkan portion susu dia pun, still tak nak makan. Adam cuma makan nasi yang ada rasa, macam nasi lemak (fav Adam), nasi ayam, nasi biryani. Semuanya makan tanpa lauk.
Lain sangat dengan Adra, dia memang suka makan. Mungkin masa mengandungkan dia, Dila memang tak ada alahan dan makan apa sahaja. Jadi nak suap Adra makan lebih mudah dan dia memang berselera.
Tapi Dila perasan dia kurang makan masa Dila mengandungkan anak ketiga, Hayat. Tak tahu sama ada simptom nak dapat adik ke apa. Orang kata kalau anak kita nak dapat adik memang perangai akan berubah sikit. Maybe betullah kot.
So Dila pun ok asalkan dia minum susu macam biasa. Waktu tu pun Dila memang tak larat sebab mengandung, nak kejar nak paksa makan ke apa memang tak larat sangat. Hari hari sebelum pergi kerja Dila akan masak lauk untuk Adra. Sup ayam, sup bayam. Dua tu memang fav Adra. Kalau tak larat Dila akan beli je dekat kafe ofis sambil sambil cari menu baru yang kena dengan selera Adra.
Tapi Adra tetap macam tu, makan sesuap dua lepas tu tak nak makan. Makin lama, Adra makin pelik bila dia dah start mengutip benda yang pelik-pelik masuk dalam mulut. Jangan tak percaya Adra suka makan rambut. Yes dia suka makan RAMBUT dia sendiri.
Terkejut sangat bila satu hari balik dari ofis tengok rambut Adra dah botak sebelah. Sampai banyak macam tu sekali Adra makan rambut dia. Sedih bila Dila dengan suami terpaksa decide untuk pendekkan rambut dia. Kesian nak botakkan rambut dia plus masa tu dah nak raya. Dengan badan yang makin kurus, rambut tak ada sampai ada yang tanya.
“Adra luekimia ke?” Allah. Mintak dijauhkan.
Then Dila dan suami decide bawak Adra jumpa doktor pakar kanak-kanak. Cerita dari A to Z. Doktor bagitau yang Adra ada simptom PICA. Penyakit yang mana seseorang tu suka makan benda-benda pelik. Seseorang yang kurang zat besi cenderung untuk dapat simptom macam ni.
“Anak awak cuma makan rambut, ada saya jumpa makan sabun, makan tanah. Ye memang gejala PICA anak awak ni.”
Huaaaa lagi la sebak. Salah aku ke tak paksa anak makan. Stress sampai rasa nak tarik rambut sendiri pulak. Dia sambung lagi.
“Awak sendiri pun kena tengok awak makan apa, sebab dia bf kan, jadi apa yang awak makan tu lah salur pada dia, kalau makan tak berkhasiat, logik ke awak rasa badan dia kuat”
Memang tahan telinga je waktu tu. Doktor pakar tu ada share beberapa teknik macam mana nak pujuk anak supaya makan semula terutama yang picky ni.
“Kita ibu ayah, kita yang sepatutnya kawal anak-anak, anak patut dengar cakap kita, bukan kita yang ikut semua kemahuan anak. Tak apa saya ajar macam mana tuk awak bagi dia makan, kanak-kanak yang picky macam anak awak ni memang ada cara dia.”
Ini doktor explain antara punca kenapa Adra boleh dapat anemia;
1) Minum susu segar yang mana kandungan zat besi dalamnya adalah rendah. Tak salah nak bagi anak minum susu segar, tapi pemakanan kena jaga sama. Jadi ibu-ibu yang memilih untuk berikan susu formula pada anak-anak, baca label dan pilih susu yang mempunyai kandungan zat besi yang tinggi.
2) Kurang makan makanan yang mempunyai zat besi. Walaupun kadang Adra makan, tapi sup ayam kurang kandungan zat besi. Jadi tukarkan kepada menu yang lebih kandungan zat besi seperti sup daging lembu, sayur atau buah setiap hari. Bayam dan jambu batu contohnya.
3) Tiada ambil makanan tambahan atau suppliment kanak-kanak untuk tampung kekurangan zat besi yang sesuai dengan keperluan tubuh badannya.
So ibu/mama/mommies/umi luar sana jangan pandang ringan bila anak kurang makan atau tak nak makan lansung. Zat besi memang sangat penting untuk tumbesaran anak-anak. Kekurangan zat besi juga akan menyebabkan anak-anak akan mengalami gangguan dalam pembelajaran terutama mata pelajaran matematik. Ini apa yang doktor sharekan pada Dila. Wallahualam.
Sampai sekarang Dila ingat apa yang doktor tu cakap dan ajarkan. Keadaan Adra dah semakin baik. Hikmah jugak Dila cuti bersalin 3 bulan ni, hari-hari Dila boleh suap Adam, Adra makan dengan tangan sendiri. Tak makan Dila dah siap sediakan rotan panjang dekat sebelah. Tak makan, haaa siap la!
Slow-slow tabiat pelik dia berkurang, makan rambut tu alhamdulillah hilang sepenuhnya. Doakan kesihatan Adra bertambah baik. Inn shaa Allah.
Anak menangis tak apa, jangan kita yang menangis menyesal kemudian
Aktiviti bermain air atau berenang antara aktiviti yang menjadi kesukaan kanak-kanak. Sama ada di rumah ataupun ketika menginap di hotel-hotel, aktiviti dalam air adalah masa yang ditunggu-tunggu oleh anak-anak. Aktiviti sebegini dapat memberi keseronokkan kepada mereka kerana air bersifat terapeutik yang menjadi terapi ketenangan, menghilangkan tekanan serta kebosanan dikalangan kanak-kanak.
Bukan itu sahaja, aktiviti air seperti berenang juga dapat membantu anak anda untuk jadi lebih berani dan yakin diri. Berenang merupakan salah satu bentuk aktiviti yang sangat penting bagi kecerdasan sekaligus ia dapat merangsang keberanian si kecil. Malah dengan berenang juga dapat melatih otot-otot fizikal anak anda untuk lebih mantap.
Berenang lazimnya melibatkan rangsangan pada otot-otot bahagian gerakan tubuh dan pernafasan. Aktiviti ini perlu dilakukan bersama tenaga pengajar untuk menjamin keselamatan anak anda. Peralatan untuk berenang seperti pelampung dan pakaian renang yang sesuai juga penting supaya anak dapat bergerak dengan selesa.
Ramai kanak-kanak tidak mahu berenang kerana takut air, jadi sebaiknya anda perkenalkan aktiviti sebegini sejak usia dini anak-anak supaya mereka lebih berani untuk mencuba aktiviti di dalam air.
Bermain tidak semestinya di bilik atau taman sahaja. Kolam renang juga boleh menjadi tempat untuk anda bermain dengan gembira.
Dengan bermain air, otot-otot anak anda berkembang dan pertumbuhan badannya meningkat. Dengan kata lain kompenan badan kanak-kanak akan terlatih dengan aktiviti renang kerana semua anggota badan bergerak mulai dari kaki, tangan hingga kepala walaupun Teknik gerakan mungkin belum cukup sempurna.
Berenang mendorong anak menjadi lebih berani, yakin diri dan memiliki rasa percaya diri yang tinggi. Ketika berenang, mereka dapat menggerakkan anggota badan mereka dengan sendiri. Aktiviti sebegini pastinya memerlukan keberanian buat si kecil anda. Berikan kata-kata semangat agar mereka dapat lakukan dengan baik tanpa rasa takut.
Berenang bersama orang ramai akan membuatkan hubungan sosial si kecil anda berkembang dengan lebih baik. Dengan aktiviti renang, si kecil bakal mendapat teman baru. Cara ini dapat membantu mereka untuk lebih yakin diri bagi berhadapan dengan orang ramai. Ia juga secara tidak langsung mempengaruhi psikologinya untuk berani berenang.
Pakai pakaian mandi yang sesuai dan selesa ketika aktiviti air. Elakkan pakaian yang boleh menghadkan pergerakan kanak-kanak semasa aktiviti air bagi mengelak risiko berlaku kemalangan.
Pastikan peralatan seperti pelampung, goggle dan sebagainya berada dalam keadaan bersih, tahan lama dan tidak berkarat serta tajam. Ia penting supaya anak-anak dapat meneroka dengan selamat di dalam air.
Berenang juga boleh dilakukan di rumah menggunakan kolam plastik. Pastikan kedalaman air yang digunakan tidak terlalu dalam dan bersesuaian dengan tahap umur kanak-kanak.
Ibu bapa perlu memantau aktiviti kanak-kanak semasa main air. Elakkan membiarkan kanak-kanak bersendirian atau membiarkan mereka bermain sesama rakan sebaya tanpa pemantauan. Jelaskan pada kanak-kanak peraturan dan prosedur semasa bermain air dengan menggunakan arahan yang mudah difahami seperti mengingatkan mereka supaya beratur sebelum masuk ke kolam renang, tidak menolak kawan dan membaling pelampung bagi mengelak kemalangan yang tidak diingini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap ibu bapa pasti pernah berhadapan situasi anak yang memilih makan. Kadang rasa putus asa, risau anak tak cukup nutrisi, malah ada yang sampai rasa kecewa bila usaha menyediakan makanan terbaik langsung tak dihargai. Tapi jangan pandang ringan, tabiat memilih makan ni bukan sekadar masalah kecil. Ia boleh beri kesan besar kepada kesihatan dan perkembangan anak. Jadi, jom kita serius cari jalan penyelesaian!
Diet yang baik bukan sekadar cukup kalori, tapi lengkap dengan nutrisi penting — protein, karbohidrat, lemak sihat, vitamin dan mineral. Anak perlukan pelbagai jenis makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin penuh, daging tanpa lemak, dan produk tenusu. Diet seimbang ini membantu anak tumbuh sihat, cergas dan minda tajam. Jangan hanya beri makanan kegemaran anak yang biasanya tinggi gula dan garam sahaja!
Info menarik: Kajian menunjukkan bahawa anak yang mendapat sarapan seimbang dengan protein dan serat mempunyai fokus dan prestasi akademik yang lebih baik berbanding yang skip sarapan atau makan makanan ringan sahaja.
Kalau biar anak memilih makan ikut suka mereka, risiko mereka kekurangan zat adalah tinggi. Ini boleh sebabkan masalah kesihatan seperti anemia, pertumbuhan terbantut, kurang daya tumpuan dan mudah jatuh sakit. Bayangkan anak yang susah nak makan sayur atau buah, mereka hilang sumber vitamin penting yang bantu tubuh lawan jangkitan. Ibu bapa mesti ambil serius dan bertindak segera.
Info menarik: Anak yang memilih makan secara berlebihan juga berisiko mengalami masalah kekurangan zat besi, yang boleh menyebabkan keletihan kronik walaupun mereka makan banyak kalori.
Info menarik: Ada kajian yang menunjukkan anak-anak yang makan bersama keluarga sekurang-kurangnya 3 kali seminggu cenderung makan lebih banyak sayur dan buah, serta kurang memilih makan berbanding anak yang jarang makan bersama keluarga.
Kalau ibu bapa tak ambil tindakan, tabiat memilih makan ini akan jadi lebih kronik. Anak akan susah nak terima makanan baru bila besar, kurang nutrisi menyebabkan prestasi di sekolah merosot, dan risiko penyakit jangka panjang meningkat. Lebih menyedihkan, ia boleh menimbulkan masalah psikologi seperti rendah diri dan stres bila anak rasa tertekan sebab orang sekeliling asyik suruh makan.
Info menarik: Menurut pakar pemakanan, kebiasaan memilih makan yang tidak dikawal sejak kecil boleh menyebabkan masalah obesiti atau kekurangan nutrisi yang serius di kemudian hari, kerana tabiat makan yang tidak sihat terbentuk sejak kecil sukar diubah bila dewasa.
Ibu bapa adalah kunci utama. Jangan mudah putus asa dan jangan biarkan anak mengawal sepenuhnya pilihan makan mereka. Jadi contoh yang baik dengan makan makanan sihat, bersabar dan konsisten. Jangan lupa untuk berkomunikasi dengan anak, fahami sebab mereka memilih makanan tertentu. Kadang bukan sebab makanan itu, tapi sebab lain seperti ketakutan, pengalaman buruk, atau perhatian yang kurang.
Info menarik: Psikologi makanan menunjukkan bahawa anak yang mendapat pujian dan sokongan positif semasa makan lebih cenderung membina hubungan baik dengan makanan dan kurang memilih makan.
Anak yang memilih makan bukan masalah yang boleh diabaikan. Ia memerlukan tindakan tegas dan penuh kasih sayang daripada ibu bapa. Jangan biarkan tabiat ini berlarutan sampai beri kesan buruk pada masa depan anak. Ingat, kesihatan mereka adalah tanggungjawab kita. Bertindak sekarang demi generasi yang lebih sihat, cergas dan bahagia!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Uyaina Arshad selamat bersalin anak ketiga apabila pengacara dan pelakon popular itu dikurniakan seorang bayi lelaki yang sihat, sekali gus menamatkan debaran selepas melalui...