Sejak kebelakangan ini ada beberapa info yang dikongsikan oleh ahli farmasi mengenai berapa lama jangka hayat ubat dapat bertahan jika disimpan dalam peti ais.
Kebanyakan ibu bapa beranggapan simpan ubat dalam peti ais boleh digunakan jika emergency tengah malam apabila anak demam secara tiba-tiba. Cara ini dah bagus cuma penyimpanan ubat tu jika melebihi tempoh akan mempercepatkan proses pembiakan bakteria.
Seperti yang dikongsikan oleh seorang ibu, Puan Nurasyikin Ali melalui pengalaman anaknya yang mengalami tompok ruam dan kulit kering seperti bersisik selepas diberikan ubat demam yang disimpan lama dalam peti ais boleh dijadikan peringatan bersama.
Ada sekali waktu tengah malam, anak sulung kak ekin tetiba demam panas sampai 40’c. Apalagi cecepat keluarkan botol paracetemol dan suap pada anak.
Suhu turun sikit tapi badan masih panas. Kak ekin pun lap-lap badan anak bantu turunkan suhu. Alhamdulillah, demam makin kebah.
Tapi pagi esoknya kak ekin perasan, badan anak depan belakang penuh dengan tompok ruam. Kulit kering bersisik. Anak mula nampak menggaru tak senang dan demam balik.
Ads
Kak ekin sangka anak kena campak keladi. Tak fikir panjang terus bawa ke doktor takut sakit makin melarat.
Sampai sana doktor bagitahu, simptom ni biasa kena kalau termakan ubat demam yang dah lama.
Baru kak ekin tahu, rupanya tak boleh kita simpan semula ubat demam yang dibuka. Kena habiskan dalam masa sebulan.
Apalagi, balik rumah terus buang semua ubat-ubat yang ada dalam peti ais. Nasib baik lah anak cuma naik alergi. Tak ada apa yang mudarat.
Dalam seminggu jugalah ruam alergi tu nak hilang. Itu pun sebab dah sapu dengan minyak terapi. Anak tak ada nak bergaru sangat bila pakaikan minyak tu. Tidur pun lena.
Ads
Jadi ibu ayah yang suka simpan ubat demam dalam peti ais, tolong buang sekarang kalau taknak mengundang penyakit.
Melainkan penutup ubat tu belum pernah dibuka. SEBABBBBB…
Bila penutup dah dibuka tu, udara luar yang mengandungi bakteria, wap air dan fungi akan masuk ke dalam botol. Dan menyebabkan bakteria merebak dan merosakkan bahan aktif di dalam ubat.
Lagi bagus simpan ubat yang belum dibuka ditempat yang kering dan jauhkan dari sinaran matahari. Supaya kandungan ubat tak terjejas.
Ads
Jadi ibu ayah semua beringat lah.
Elak sebelum kena.
Mak dah Insaf!
#Share supaya ibu dan ayah yang lain pun beringat.
Update :
Tarikh luput bergantung pada cara penyimpanan. Ada pharmacist bagitahu 2 bulan. Ada yang 3 bulan. Ada juga doktor yang suruh buang terus lepas demam baik.
Macam anak kak ekin suka buka petiais tak tutup balik. So lagi la selalu botol tu berwap sebab simpan bahagian pintu peti ais. Jadi kak ekin nak selamat, buang lepas 1 bulan tempoh buka.
Apa pun, better ibu ayah rujuk pada doktor untuk dapatkan kepastian. Kadang simptom lebih kurang tapi sakitnya tak sama. Kak ekin cuma sampaikan apa yang doktor terangkan pada kak ekin ikut keadaan anak masa tu.
Dilahirkan pramatang ketika usia kandungan ibu baru menjangkau 33 minggu, si kecil Abdul Raihan Abdul Rahim yang kini baru berusia sebulan lebih dilahirkan dengan beberapa masalah kesihatan seperti kecacatan dinding abdomen (Major Omphalocele), ginjal dan usus berada di luar badan (Cloacal Exstrophy), kekurangan hormon tiroid (Hypothyroidism) dan pembentukan organ pembiakan lelaki yang tidak sempurna.
Disebabkan itu, Raihan yang merupakan anak kedua kepada pasangan Abdul Rahim Razak, 26 dan Nurul Suhada Che Mahmud, 25 memerlukan pemantau rapi kerana penyakit-penyakit yang dihidapi.
Doktor maklumkan bayi dalam kandungan ada masalah
Menurut Abdul Rahim, ketika usia kandungan isterinya 7 bulan doktor ada memaklumkan tentang keadaan bayi yang bermasalah.
“Ketika kandungan isteri berusia tujuh bulan, doktor ada memaklumkan bayi di dalam perut mengalami masalah pada bahagian pusat.
“Namun, kami tidak dimaklumkan secara terperinci dan apabila Abdul Raihan dilahirkan, keadaannya tidak seperti bayi normal kerana ususnya di luar perut manakala salah satu pinggangnya gagal berfungsi.
“Tipulah kalau katakan tidak sedih lebih-lebih lagi isteri kerana dia yang melahirkan tetapi kami kuatkan hati untuk reda dengan ketentuan ini,” katanya Abdul Rahim yang menetap di Kampung Pak Madah, Bukit Payong, Terengganu berkata, setakat ini, Abdul Raihan berada di rumah dan tiada masalah untuk minum susu seperti biasa.
Menurut Abdul Rahim, anaknya itu juga tidak banyak meragam dan kebiasaannya hanya menangis apabila lukanya dicuci setiap dua jam sekali serta lampin pakai buang ditukar mungkin kerana sakit di bahagian berkenaan.
“Doktor meminta saya dan isteri membawa Abdul Raihan menjalani pemeriksaan susulan pada April dan Jun nanti bagi melihat keadaannya.
“Difahamkan, akan ada pembedahan tetapi belum ada tarikh yang muktamad namun saya bersyukur kerana ramai prihatin rakan berkongsi gambar Abdul Raihan di laman sosial.”
Bekerja sebagai Kelindan Lori Dengan Pendapatan RM700 sebulan
Abdul Rahim yang hanya bekerja sebagai kelindan lori dengan pendapatan RM700 sebulan mengakui jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung keperluan perubatan bayinya itu apatah lagi mereka turut mempunyai seorang lagi anak iaitu Nurul Auni Safiya yang berusia setahun empat bulan.
Ketika ini, pasangan tersebut perlu membawa Abdul Raihan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dua kali seminggu untuk pemeriksaan susulan.
Sementara itu, Nur Suhada berkata mereka sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan bayi itu dapat membesar dengan sempurna seperti individu normal yang lain termasuk melakukan beberapa pembedahan seperti yang disarankan pakar perubatan.
“Pada hari kedua selepas lahir, Abdul Raihan telah menjalani pembedahan untuk memasukkan ususnya yang terkeluar dan menebuk lubang di bahagian abdomen kerana bayi ini tidak mempunyai dubur.
“Pembedahan seterusnya adalah untuk memasukkan buah pinggang yang terkeluar namun doktor belum menetapkan tarikh yang sesuai dan kemungkinan pembedahan itu akan dibuat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di Kelantan,” katanya.
Ramai Yang Hulurkan Bantuan
Kisah Raihan yang tular mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu yang turun padang menyampaikan bantuan kepada keluarga tersebut. Selain JKM, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Ariffin Deraman serta kakitangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) turut menziarahi keluarga bayi malang itu semalam.
“Terima kasih kepada JKM yang memberi sumbangan susu dan lampin pakai buang serta barangan makanan. Saya dan isteri juga lega apabila dimaklumkan akan menerima bantuan JKM sebanyak RM350 setiap bulan.
“Kami juga ditawarkan bantuan daripada kerajaan negeri melalui Tabung Darul Iman serta Maidam untuk meringankan beban kewangan kami dalam rawatan perubatan bayi istimewa kami ini,” katanya ketika ditemui pemberita
“Terima kasih kepada semua yang membantu meringankan beban kami terutama saya kerana buat masa ini tidak dapat bekerja serta terpaksa meminjam duit daripada rakan serta saudara mara untuk menampung perbelanjaan keluarga,” katanya lagi.
Sekalipun tidak pasti kemungkinan yang akan berlaku, Abdul Rahim tetap menaruh harapan untuk melihat Abdul Raihan kembali sihat dan membesar seperti bayi lain.
“Kalau boleh, saya mahu dia (Abdul Raihan) hidup seperti bayi normal, bebas daripada penyakit dan dipanjangkan usia.
“Saya dan isteri juga akan menjaganya serta berikhtiar mencari jalan untuk merawatnya selagi diberi kudrat oleh Allah,” katanya.
Untuk sebarang bantuan boleh terus salurkan ke akaun: 1110041000174344 (BSN) NURUL SUHADA. Orang ramai yang berhasrat membantu Abdul Rahim juga boleh menghubungi beliau di talian 014-8242823.
Perasaan rindu pada anak syurga yang telah pergi buat selamanya sukar dipadam dari dalam hati seorang ibu yang tabah melalui dugaan. Puan Hamidah Tajuddin berkongsi pengalaman membesarkan anak Sindrom Downnya yang meninggal dunia akibat penyakit kanser Leukimia.
Sepanjang kehamilan tiada sebarang masalah membuatkan dia dan suami menyangka segalanya berjalan lancar. Sehinggalah tiba hari melahirkan bayi, baru diketahui anaknya mengalami pelbagai komplikasi seperti jantung berlubang, jaundis yang teruk, jangkitan paru-paru dan yang paling terkejut disahkan Sindrown Down.
“Selepas melahirkan, suami hanya mendiamkan diri tanpa memberitahu hal sebenar. Dia hanya cakap anak okey. Esoknya saya hairan kerana menunggu suami datang tetapi tak kunjung tiba. Lalu doktor yang bertugas memberitahu hal tersebut. Waktu itu sukar untuk saya ungkapkan dengan kata-kata perasaan ketika itu. Bayangkan 13 tahun yang lalu, masalah Sindrom Down tidak terlalu ketara dibandingkan dengan sekarang.
Jadi saya rasa tak boleh nak hadapi dan uruskan anak ketika itu. Sampaikan darah tinggi saya naik dan ditahan di wad sedangkan sebelum ini saya tiada masalah darah tinggi dan kencing manis. Bukan kerana saya menolak takdir tetapi saya tidak tahu bagaimana nak uruskan anak istimewa ini.
Apabila petang baru suami sampai dan dia cakap memang dah tahu anak kami istimewa. Dulu waktu saya mengandung 7 bulan, suami ada mengerjakan umrah dan di depan Kaabah, terlintas bayangan anak. Tetapi suami tak ceritakan pada saya. Hanya selepas anak kami lahir baru dia cerita.
Dua hari saya tak pegang atau tengok anak ketika itu. Sehingga suami suruh ambil dan susukan anak. Dia nak saya rasakan apa perasaan sebagai seorang ibu. Terus saya menangis dan apabila memangku Muhammad Syukur, rasa kasih sayang seorang ibu tiba-tiba ada. Saya dakap dan cium dia dengan sepenuh hati,” ujar ibu kepada Muhamad Syafiq, Muhamad Syauqi, Muhamad Syaqir, Farah Shuhada, Farah Shahida dan Muhamad Syukur.
Umur 5 tahun sudah boleh membaca
Ketika dalam pantang tiada masalah menjaga bayi kerana anaknya sangat baik cuma Syukur lebih banyak tidur berbanding menyusu menyebabkan payu daranya bengkak.
“Saya tak pantang sangat sebab keluar masuk hospital kerana Syukur kena jaundis yang teruk. Satu hari kawan suami datang dan beritahu dia juga ada anak istimewa dan katanya tak ada masalah untuk menguruskan mereka.
Jadi saya tetapkan azam dalam masa 5 tahun saya nak all out dengan anak. Saya sekolahkan dia umur 6 bulan di Kiwanis Down Syndroem Foundation. Selepas 44 hari pantang, saya ke Kiwanis, dan ke IJN serta Persatuan Sindrom Down Malaysia. Di Kiwanis ramai anak-anak yang sama dengan anak saya. Daripada situ, semangat saya kian bertambah cuma saya sedih sebab anak orang lain hanya bermasalah Sindrown Down, anak saya siap ada jantung berlubang lagi.
Umur 1 tahun 7 bulan anak saya menjalani pembedahan dan nampak lubang di jantungnya membesar. Alhamdulillah pembedahan tersebut berjaya. Selain itu saya juga bawa anak ke sekolah khas. Anak-anak istimewa ini susah untuk bercakap dan ambil ambil masa, jadi saya tidak harapkan sekolah semata-mata.
Sebaliknya di rumah pun saya ajar anak. Anak-anak istimewa ini lebih mudah dan cepat tangkap kalau kita gunakan Bahasa Inggeris. Saya guna flash card kerana ia sangat membantu. Malah, waktu dalam pantang lagi saya sudah praktikkan. Umur 5 tahun anak saya sudah boleh membaca,” ujar Hamidah yang memberitahu tak perlu kos tinggi jika ibu bapa kreatif, sebaliknya dia menggunakan manila kad untuk buat sendiri flash card.
Anak didiagnos kanser
Reda dan mampu menerima anaknya Sindrown Down, sekali lagi ujian melanda pasangan ini bila mana Syukur didiagnos menghidap kanser .
“Waktu bersekolah di Putrajaya ketika umurnya 7 tahun, tiba-tiba Syukur demam. Waktu itu rasa sesuatu tak kena. Kami bawa ke hospital selepas nampak tanda bintik-bintik merah dan lepas ambil darah, doktor tengok keputusan darahnya rendah dan itu petanda ada kanser. Selepas keluar result doktor beritahu Syukur ada penyakit Leukimia.
Ketika di dalam ambulans nak ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), saya bisik pada diri mulai hari ini, bermulalah episod anak saya sebagai pesakit kanser. Sudahlah dia sindrown down, sekarang bertambah penyakit lain. Bermula dari hari itu, Wad KK3, HKL ibarat rumah kedua kepada saya.
Di wad kanser, rupanya ramai kanak-kanak yang menghidapi pelbagai jenis kanser. Saya berkenalan dengan ramai ibu bapa pesakit kanser kanak-kanak dan kami seperti satu keluarga dan saling menyokong antara satu sama lain. Ramai juga dari ibu bapa ini yang berdepan dengan pelbagai masaalah semasa anak-anak mereka menerima rawatan di HKL.
Jadi, daripada situlah saya tubuhkan kumpulan sokongan kerana kasihan dengan ibu bapa yang masih muda dan tiada sumber kewangan. Dalam masa yang sama mahu beri mereka kekuatan dan tertubuhlah Kumpulan Ibu bapa dan Sokongan Anak-anak Kanser (KIDS)” ujar Hamidah sambil memberitahu sambutan diterima baik dan setakat ini sudah ada hampir 500 orang ahli di dalam kumpulan tersebut.
IQ tinggi
Setiap kali anaknya masuk wad, hati ibu gundah gulana dan sentiasa berdoa supaya Tuhan masih panjangkan umurnya dan beri kesempatan pada dirinya untuk membesarkan anak syurga itu.
Walaupun Syukur tidak bersekolah, tetapi tahap IQnya cukup tinggi. Tanyalah apa sahaja pasti Syukur boleh jawab. Malah, dia juga pandai Google sendiri tanpa perlu diajar. Waktu umurnya masuk 11 tahun, doktor beritahu kansernya sudah tiada dan sebagai ibu memang gembira dan bersyukur tak terkata.
“Tapi, kegembiraan itu tak panjang apabila Syukur lagi sekali diserang kanser pada usia 12 tahun. Tuhan mahu menduga kami lagi dan doktor cakap tiada harapan. Bayangkan kimo yang perlu Syukur lakukan 3 kali ganda lagi kuat dari sebelum ini.
Sekali buat kimo, Syukur terus dimasukkan ke ICU dengan ulser penuh di mulut, muntah darah dan sebagainya. Sedih hati sebagai ibu apabila melihat keadaan dia ketika itu. Tapi Syukur seorang yang kuat dan dia jugalah yang menjadi sumber kekuatan saya untuk melalui semua ini.
“Disebabkan dia tak boleh makan, jadi saya kisar bubur dan guna sringe suapkan dia. Bila dia tak boleh makan saya nangis dan terus dia cakap Mummy don’t cry Mami, I’m strong. Lepas tu dia sapu air mata di pipi saya,” cerita Hamidah.
Kanser Merebak Dalam Darah
“Arwah mula disahkan relapse pada bulan September tahun lalu di mana kansernya dapat di kesan dalam darah. Mula-mula kami pelik dia sakit pinggang. Tiga minggu lepas tu baru dapat tahu bila ambil darah yang kanser dia ada dalam darah sebanyak 50%. Dari mula dia sakit pinggang, dia tak boleh berjalan sehingga arwah meninggal.
Doktor beritahu kansernya tidak boleh dirawat lagi dengan kaedah kimoterapi kerana dia sudah banyak kali membuat rawatan tersebut. Ini kali kedua dia relapse. Dari situ kami rasa tertekan dan memang sedih sebab dia telah banyak melalui kimoterapi tapi masih tidak sihat. Tapi bila kami fikir, itu semua kuasa dari Allah.
Kami bangkit dan nekad akan buat yang terbaik untuk cari rawatan lain selain dari datang ke HKL untuk transfuse darah dan platelet. Dalam masa 3 bulan tu kami memang 100% uruskan dia. Alhamdulillah anak-anak lain beri sepenuh perhatian dan turut membantu menguruskan adik dengan penuh kasih sayang.
Semua adik-beradik rapat dengan adik mereka. Semua yang adik inginkan akan dituruti cuma masa 3 bulan tu kesihatan Syukur mula merosot. Setiap 3 hari blood count dia mesti drop dan akan ke HKL untuk masuk darah dan platelet. Kadang-kadang mulut keluar darah dan sentiasa sakit perut kerana hati dan limpa mula membengkak.”
Akhirnya Syukur pergi tinggalkan Mummy
Selesai rawatan tiba-tiba kanser Syukur menyerang kali ke-2 pada bulan September lalu sehingga dia meninggal dunia pada 26 November 2018 ketika berusia 13 tahun.
“Ketika itu kami sudah tak boleh buat apa lagi. Bila sakit, Syukur akan dibawa ke HKL. Pada dua minggu sebelum Syukur pergi buat selamanya, dia dimasukkan ke hospital kerana cirit-birit.
Bermula dari situ berat badannya turun kerana tiada selera makan dan tak boleh nak makan solid food. Dia hanya minum air dan makan bubur sahaja. Semasa akhir hayatnya, langsung dia tidak menunjukkan tanda yang akan meninggalkan kami Cuma dia selalu cakap yang dia saying dan rindukan Mummy dan Ayah.
Di awal dia sakit dia selalu cakap terima kasih kerana lahirkannya. Tiga jam sebelum dia meninggal masih bercakap lagi dan panggil ayah dan cakap adik sayang Ayah, adik sayang Mummy,” cerita Hamidah dalam nada sayu.
Hamidah menganggap Syukur anak yang sangat menyenangkan hati dan tak banyak mengeluh bila sakit. Arwah selalu minta Mummy dan Ayah serta keluarga mendoakan dia cepat sembuh tapi perancangan Allah adalah yang terbaik.
“Kami nampak dan rasa dia kritikal hanya beberapa jam sahaja, Allah permudahkan dia pergi. Memang senang,” akhiri Hamidah.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Menuyusukan anak dalam keadaan areola luka (nipple crack) merupakan satu pengalaman ngeri bagi para ibu. Hanya para ibu yang pernah merasai sahaja tahu akan kesakitan itu. Dalam kesakitan itu, ibu masih perlu membekalkan bayi susu secara menerus daripada payudara, ada juga ibu perlu pam susu untuk dijadikan stok ketika ibu bekerja.
Nipple crack terjadi apabila lekapan mulut anak pada payudara ibu tidak betul. Pemilihan saiz yang corong pam yang salah atau pemilihan suction yang terlalu kuat dalam tempoh yang lama juga boleh menyebabkan nipple crack.
Sumber foto: https://www.freepik.com/free-photo/front-view-mother-holding-baby_37354094.htm#query=susu%20ibu&position=6&from_view=search&track=ais
Menurut Asiah Maharam, teknik mengepam susu menggunakan tangan yang dipanggil Marmet bolej dilakukan semasa nipple crack. Akan tetapi, susu boleh berkurang jika tidak mahir menggunakan teknik ini.
Beliau juga turut berkongsi teknik marmet semasa nipple crack iaitu:
1. Perahan menggunakan pam hanya dilakukan sebelah sahaja dan sebelah lagi akan dilakukan menggunakan tangan.
2. Guna stimulation phase (tarikan laju-laju) sahaja supaya luka dapat dikawal bermula dengan level paling rendah dan makin meningkat bila mommies rasa selesa.
3. Waktu itulah susu akan keluar secara automatik dan bila mommies marmet nanti susu akan keluar dengan lebih cepat.
4. Bila susu mula berhenti keluar, tukar side di mana bahagian yang marmet tadi mommies pasang pam dan bahagian yang pam mommies akan marmet pula.
5. Ulang semula step 2,4 dan 5 sehingga 30 minit. Jika selepas 30 minit susu masih keluar jangan stop. Teruskan lah sampai susu tak keluar lagi.
Diharapkan teknik yang dikongsikan dapat membantu para ibu menghadapi situasi nipple crack dengan baik.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.