
Berita gembira buat penjawat awam dan pesara kerajaan! Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri serta Hari Kebangsaan tahun hadapan, kerajaan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sehingga RM1,500 sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan mereka kepada negara.
Pengumuman ini pastinya memberi kelegaan kepada ramai ibu ayah yang berkhidmat dalam sektor awam, terutama dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup dan perbelanjaan keluarga.
Apatah lagi, persiapan menyambut Aidilfitri sememangnya memerlukan perbelanjaan tambahan, termasuk membeli pakaian raya anak-anak, menyediakan keperluan rumah serta perbelanjaan pulang ke kampung halaman.
Menerusi pembentangan Belanjawan 2027, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa seramai 1.3 juta penjawat awam Gred Utama B dan ke bawah, termasuk mereka yang berstatus lantikan kontrak, akan menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,500.
Lebih menarik, bantuan berkenaan akan disalurkan menerusi dua kali pembayaran, iaitu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri dan menjelang ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-70 pada tahun 2027.

1.3 Juta Penjawat Awam Terima Bantuan Khas RM1,500
Menurut Anwar, pemberian bantuan khas ini merupakan antara usaha kerajaan dalam menghargai jasa penjawat awam yang terus memberikan komitmen terhadap perkhidmatan dan pembangunan negara.
Bantuan tersebut bukan sahaja melibatkan penjawat awam tetap, malah turut merangkumi mereka yang berkhidmat secara kontrak dalam kumpulan gred yang ditetapkan.
“Mengenang jasa penjawat awam, kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan RM1,500 kepada 1.3 juta penjawat awam Gred Utama B dan ke bawah termasuk lantikan kontrak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat (9 Oktober 2026).
Pengumuman bantuan khas RM1,500 ini tentunya menjadi antara perkara yang mendapat perhatian dalam kalangan kakitangan kerajaan, khususnya mereka yang sedang merancang perbelanjaan keluarga bagi tahun hadapan.
Pesara Kerajaan & Veteran Turut Terima RM750
Bukan hanya penjawat awam yang masih berkhidmat, kerajaan turut mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM750 kepada lebih sejuta pesara kerajaan.
Bantuan ini termasuk kepada veteran berpencen dan tidak berpencen sebagai tanda penghargaan terhadap jasa serta pengorbanan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan.
Bagi golongan pesara, bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu menampung perbelanjaan harian, pembelian barangan keperluan asas dan persiapan menyambut musim perayaan bersama keluarga.
Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar, pemberian ini juga diharap dapat meringankan beban golongan pesara, terutama mereka yang bergantung kepada pendapatan pencen untuk memenuhi keperluan harian.

Guru KAFA, Imam & Bilal Turut Dapat RM750
Dalam perkembangan sama, kerajaan turut menghargai sumbangan individu yang berkhidmat dalam institusi keagamaan Islam di seluruh negara.
Anwar mengumumkan bahawa kira-kira 70,000 individu yang terlibat dalam perkhidmatan keagamaan Islam akan menerima sumbangan khas sebanyak RM750 seorang.
Antara golongan yang bakal menerima manfaat tersebut termasuk:
- Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA)
- Guru takmir
- Imam
- Bilal
- Tok siak
- Noja
- Marbut
Pemberian ini merupakan pengiktirafan terhadap peranan penting mereka dalam membimbing masyarakat, khususnya dalam pendidikan agama, pengimarahan masjid dan pembangunan sahsiah umat Islam.
“Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan sumbangan khas sebanyak RM750 sebagai menghargai jasa 70,000 guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut,” katanya.
Sumbangan khas ini juga dilihat sebagai penghargaan kepada petugas institusi keagamaan yang memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat, termasuk mengendalikan aktiviti masjid, surau dan kelas pendidikan agama.
Bantuan Khas RM1,500 Dibayar Dua Kali Pada Tahun 2027
Apa yang turut menarik perhatian, pembayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan dijadualkan berlangsung dalam dua fasa.
Pembayaran pertama akan dibuat sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, manakala pembayaran kedua pula bersempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-70.
Bagaimanapun, pecahan jumlah pembayaran bagi setiap fasa serta tarikh khusus penyaluran masih menunggu perincian lanjut daripada pihak kerajaan.
Ini bermakna penerima yang layak perlu menunggu pengumuman rasmi mengenai jadual pembayaran sebenar dan jumlah yang akan diterima bagi setiap fasa.
Dengan pembayaran yang dirancang pada dua waktu berbeza, bantuan khas RM1,500 ini diharap dapat membantu penjawat awam menguruskan perbelanjaan keluarga, khususnya ketika musim perayaan dan menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Sumber: Sinar Harian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

