Pemergian adik Nur Syifa Aulia Mohd Firdaus, 1 tahun 9 bulan yang menghidap kanser Ephitilial Sarcoma atau kanser tisu lembut yang jarang berlaku di Malaysia minggu lalu begitu menyedihkan seluruh ahli keluarganya.
Ketika menghubungi ibunya, Siti Nur Ashima Makhatar, 29, ternyata pemergian adik Syifa sangat tenang di saat sakitnya yang begitu teruk dan tiada harapan untuk pulih.
“Kesihatan arwah Syifa dah mula merosot sejak hari Sabtu sehinggalah dia meninggal Rabu minggu lepas. Pada petang Sabtu itu arwah dah semakin lemah sehinggalah ahli keluarga membawanya ke hospital.
“Malah sejak hari Sabtu hinggalah beberapa jam sebelum dia nak pergi meninggalkan kami semua, dia langsung tak tidur. Ibaratnya dia berjaga beberapa hari itu namun tak merengek atau menangis.
“Air mukanya juga sungguh berseri dan putih. Bibirnya juga kemerahan dalam tempoh beberapa hari tu. Paling saya syukur sejak Sabtu lagi bau Syifa sangat wangi hinggalah saat pemergiaannya. Terasa besarnya nikmat yang Allah bagi pada arwah sebelum menghembuskan nafas,” katanya.
Pergi dalam keadaan tidur
Ashima menambah, walaupun bengkak di leher Syifa pecah, jururawat yang mencuci luka tersebut juga menjelaskan tiada langsung bau hanyir dan darah yang banyak dalam tempoh beberapa hari itu. Allahuakbar terasa kebesaran Allah bagi padanya!
Ads
“Saya juga sangat berpuas hati selama 9 bulan arwah Syifa sakit, Allah tetap mempermudahkan urusan saya walaupun waktu itu saya tengah mengandungkan adiknya.
“Masa pantang pun ketika arwah di hospital saya sanggup tinggalkan bayi di rumah dan menjaga Syifa di hospital untuk pastikan dia gembira,” jelasnya yang kini masih berpantang anak keempat.
“Saya minta dari doktor untuk meribanya dan tak sangka arwah tidur dengan lena masa saya memeluknya.
Ads
“Apabila meletakkannya kembali ke katil sehinggalah lepas Isyak dia tidur dan 5 minit sebelum pergi tinggalkan kami selama-lamanya dia macam terkejut sikit dan terus tiada. Saya reda dan syukur Allah ambil dia dalam keadaan yang begitu tenang,” kongsinya yang cukup berterima kasih atas doa seluruh rakyat Malaysia sebelum ini.
Anak keempat macam arwah Syifa
Siapa sangka, kehadiran anak keempat ini pengubat kerinduan keluarga arwah Syifa padanya. Menurut ibunya, adiknya ini seiras arwah dan apabila tengok adiknya kami boleh melepaskan rindu pada arwah.
“Semua ahli keluarga pun perasan. Kakaknya juga turut memanggil adiknya Syifa. Walaupun kami sedih tapi berpuas hati dapat jaga dan beri kasih sayang sebaiknya sebelum arwah meninggal dunia.
Ads
“Percaturan Allah sangat hebat. Walaupun hingga kini masih lagi rindu pada arwah Syifa kami sekeluarga bersyukur kesakitan yang ditanggungnya tiada dan arwah pun dah gembira di sana.
Sebelum ini, kisah adik Syifa pernah dikongsikan ibunya apabila arwah hanya bergantung pada morfein untuk tahan sakit akibat sakitnya itu.
Mencuci tangan merupakan antara kaedah yang disarankan bagi menghindari jangkitan virus Covid-19. Tetapi, percaya tak kalau kami katakan pengambilan nutrien yang mencukupi juga membantu dalam pencegahan virus ini?
Bolehkah cegah jangkitan virus Covid-19 melalui pemakanan?
Setiap makanan yang diambil mempunyai kandungan nutrien dengan manfaat kesihatan tersendiri. Malahan terdapat juga nutrien yang berperanan membantu badan melawan virus, termasuklah jangkitan coronavirus ini.
Komponen sistem pertahanan badan terdiri daripada pelbagai sel, protein, tisu dan organ. Setiap komponen ini akan bekerjasama melawan patogen (kuman) yang memasuki badan, sama ada dalam bentuk bakteria, parasit atau virus seperti novel coronavirus (2019-nCoV).
Sistem pertahanan ini berfungsi melawan jangkitan coronavirus dengan membentuk antibodi. Antibodi merupakan protein khas yang berupaya mengikat protein pada patogen, kemudiannya antibodi ini membunuh patogen supaya badan sembuh daripada sebarang penyakit.
Penjagaan pemakanan dengan mengambil nutrien yang sesuai pastinya akan dapat menguatkan fungsi sistem imun badan. Keadaan ini sekali gus menjadikannya dapat melawan virus korona dengan lebih efektif.
Mempunyai sistem imun yang kuat bermakna setiap komponen di dalamnya juga dapat membentuk antibodi yang sama kuat. Antibodi inilah yang akan membunuh virus korona yang memasuki badan dan menghalang daripada menyebabkan munculnya penyakit yang tidak diingini.
Apakah nutrien yang perlu diambil?
Nutrien yang diperlukan untuk menghalang jangkitan coronavirus adalah sama dengan nutrien yang berperanan untuk mencegah virus penyebab selesema.
Berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam Journal of Obesity & Weight Loss Therapy, berikut adalah antara nutrien yang diperlukan oleh badan anda:
Karbohidrat
Ia sumber tenaga kepada sel sistem pertahanan badan. Karbohidrat yang anda makan akan berubah menjadi tenaga dalam proses glikolisis. Proses ini juga menyokong penghasilan sel-sel limfosit.
Apa itu limfosit? Limfosit adalah sel yang berfungsi untuk mengenali protein pada permukaan patogen, membentuk antibodi dan membunuh patogen punca kerosakan pada tisu badan. Sekiranya badan anda terdedah kepada virus korona, sel-sel inilah yang akan bertindak terlebih dahulu.
Protein dan asid amino
Nutrien paling penting untuk melawan virus korona pastinya protein kerana ia merupakan bahan paling penting dalam penghasilan sel imun. Kekurangan protein akan meningkatkan risiko dijangkiti penyakit.
Selain protein, sistem imun juga memerlukan asid amino dalam bentuk arginine dan glutamin. Asid amino adalah sebatian kecil yang membentuk protein. Kedua-dua sebatian ini diperlukan dalam pembentukan limfosit.
Vitamin dan mineral
Kedua-duanya adalah nutrien yang perlu ada dalam melawan jangkitan virus korona. Vitamin berperanan menjaga sel-sel imun agar dapat berfungsi dengan baik. Jenis vitamin yang diperlukan adalah vitamin A, C, E dan B kompleks.
Proses pembentukan sistem imun yang kuat juga memerlukan mineral seperti selenium, zink dan zat besi. Selenium berfungsi mengekalkan kekuatan sel dan menghalang kerosakan DNA, zink akan mewujudkan tindak balas imun badan dan zat besi membantu penyerapan vitamin C.
Antioksidan
Antioksidan memiliki peranan dalam melawan radikal bebas dan melindungi sel imun daripada kerosakan. Ia sekali gus membantu sistem imun untuk berfungsi secara optimum dan membantu mencegah jangkitan virus 2019-nCoV.
Antioksidan boleh diperolehi dalam bentuk vitamin C, D, E dan beta-karoten, iaitu bahan mentah vitamin A. Selain vitamin, antioksidan juga terdapat dalam sebatian flavanoid dan lycopene pada sayuran dan buah-buahan.
Jenis makanan
Hakikatnya, tidak ada satu jenis makanan yang dapat menghalang penularan jangkitan novel coronavirus ini.
Tetapi pengambilan beberapa jenis makanan dan minuman tertentu, sekurang-kurangnya dapat membantu menguatkan sistem imun badan dan melindungi daripada risiko jangkitan.
Buah sitrus
Merupakan sumber vitamin C yang baik. Vitamin C dapat meningkatkan penghasilan sel darah putih yang berperanan melawan jangkitan virus. Antara buah yang popular sebagai sumber vitamin C adalah:
Sangat berpotensi dalam mencegah jangkitan virus korona. Brokoli adalah sayur yang kaya dengan nutrien penting sistem imun, seperti serat, antioksidan dan vitamin A, C serta E.
Bayam
Bayam mengandungi vitamin C, flavanoid dan beta karoten yang dapat membantu melawan jangkitan virus.
Ketiga-tiga nutrien itu dapat memperkuatkan sistem imun melalui penghasilan sel darah putih yang banyak. Cara terbaik mengekalkan manfaatnya adalah dengan tidak memasak terlalu lama.
Beri biru
Buah ini kaya dengan antioksidan flavanoid yang dikenali sebagai antosianin. Banyak kajian menunjukkan bahawa sebatian ini dapat mengurangkan risiko jangkitan pada saluran pernafasan.
Bawang putih
Merupakan antara ramuan yang sering diguna untuk merawat selesema. Ia mengandungi sebatian allicin yang dikatakan cukup berkesan dalam mencegah jangkitan, khususnya pada saluran pernafasan.
Teh hijau
Minuman ini juga mempunyai nutrien yang dapat mencegah penyebaran jangkitan virus korona. Ia mengandungi antioksidan yang dipanggil epigallocatechin gallate (EGCG), sejenis kompaun yang dapat menguatkan sel-T dalam sistem imun badan.
Yogurt dan susu
Kedua-duanya mengandungi bakteria baik dipanggil probiotik. Probiotik berfungsi membantu sistem pencernaan, merangsang sistem imun dan menjadikannya kebal terhadap sebarang jangkitan.
Lada benggala merah
Merupakan antara makanan tinggi kandungan nutrien yang dapat menghalang jangkitan virus korona. Ia mengandungi dua kali lebih banyak vitamin C berbanding buah sitrus. Selain dapat menguatkan sistem imun, lada benggala merah juga membantu menjadikan anda lebih sihat.
Konklusinya
Seperti yang dikatakan tadi, sebenarnya tiada makanan yang dapat menghalang jangkitan virus korona ini secara langsung. Namun, melalui pengambilan makanan yang kaya dengan kandungan nutrien baik, sedikit sebanyak ia dapat membantu memperkuatkan sistem imun badan anda.
Keadaan ini sudah tentu dapat mengurangkan risiko jangkitan coronavirus kepada anda. Walau bagaimanapun, aspek penjagaan kebersihan diri seperti kerap mencuci tangan serta pemakaian topeng muka tetap tidak boleh diabaikan.
Jika boleh, hindarilah daripada pergi ke kawasan tumpuan ramai kerana di tempat seperti itu akan lebih mendedahkan diri anda kepada jangkitan virus.
Perginya anak kesayangan pada hari lahir, pasangan ini akhirnya reda anak kedua ‘pergi’ terlebih dahulu menjadi anak syurga.
Tidak menyangka saat menghantarnya ke taska adalah pertemuan terakhir, Allahyarham Dayangku NurAlya Mariyam Awangku Hazrin, 4 bulan ditemui meninggal dunia dalam keadaan tertiarap.
Wajah si kecil ini juga didapati kebiruan dan tidak sedarkan diri oleh petugas taska sebelum perkara itu dimaklumkan kepada ibunya, Syahirah Mhd Ali, kira-kira jam 10 pagi.
LEMAH & TIDAK BERMAYA
Menurut Syahirah, dia bergegas ke taska berkenaan selepas dimaklumkan kejadian menimpa anak bongsunya sebelum mendapati anaknya itu berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.
BARU BELAJAR MENIARAP
Ibu ini mendedahkan Allahyarham Dayangku NurAlya Mariyam yang dilahirkan pada 13 Januari dalam masa belajar untuk meniarap.
“Sebenarnya dia baru belajar meniarap dan mungkin semasa dia cuba meniarap, tiada petugas di situ,’ kata Syahirah yang bertugas sebagai penjawat awam.
MUNGKIN CUBA MENIARAP KETIKA DITINGGALKAN
Ibunya juga tidak menolak kemungkinan anaknya itu cuba meniarap dalam tempoh tersebut tetapi tidak disedari.
“Saya difahamkan arwah sedang tidur ketika ditinggalkan guru taska yang menjaganya dan mungkin dia cuba meniarap ketika ditinggalkan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
WALAUPUN EMPAT BULAN, IBU SYUKUR
Menghadapi kehilangan anak ketika kecil, ibu ini reda dan bersyukur diberikan peluang menjaganya biar pun hanya seketika.
“Walaupun hanya diberi empat bulan untuk menjaganya, saya tetap bersyukur. Dia anak syurga dan Allah SWT akan menjaganya dengan baik di sana,” kata Syahirah.
Allahyarham Dayangku NurAlya Mariyam Awangku Hazrin adalah anak bongsu daripada daripada dua beradik itu ditemui dalam keadaan tertiarap, badan kebiruan serta tidak sedarkan diri pada jam 10 pagi oleh petugas taska sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.Bagaimanapun, mangsa yang disahkan meninggal dunia ketika dirawat di HSNZ pada jam 11.30 pagi semalam.
KETENTUAN ILAHI
Ibu ini reda dengan apa yang berlaku, tidak menyalahkan pusat penjagaan. Dia bersama suami menerima kejadian yang berlaku sebagai ujian buat mereka sekeluarga.
“Saya dan suami, Awangku Hazrin Awangku Hidup tidak menyalahkan pihak taska atau mana-mana pihak dan menganggap apa yang berlaku adalah ketentuan Ilahi,” kata Syahirah.
UJIAN BERAT PADA HARI LAHIR SI AYAH
Perginya si kecil ini pada hari lahir si ayah adalah ujian yang berat buatnya dan suami ini.
“Memang berat dan sedih dengan kehilangan ini apatah lagi hari ini hari lahir suami yang ke 34 tahun tetapi semuanya sudah ketentuan Ilahi. Apa yang berlaku sudah tertulis dan arwah akan tunggu kami di syurga nanti,” katanya Syahirah.
“Saya terima dan reda dengan ujian ini lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini,” katanya dalam nada sebak.
Syahirah enggan anaknya dibedah siasat kerana tidak mahu mayat terseksa selain berjanji tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang kepada semua pihak termasuk pihak pengurusan taska berkenaan.
Selain Allahyarham Dayangku Nuralya Maryam, pasangan itu turut mempunyai seorang lagi anak perempuan, Dayangku Nur Hawa Marisa berusia dua tahun.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan bank-bank tempatan akan menawarkan moratorium atau penangguhan bayaran balik sehingga enam bulan kepada peminjam individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bermula 1 April.
Beliau berkata, selain itu, pemegang kad kredit yang menghadapi kekangan kewangan boleh memilih untuk menukar baki kad kredit kepada pinjaman berjangka.
Bermula 1 April
Jelasnya, fleksibiliti penangguhan pembayaran balik kad kredit ini boleh dimanfaatkan oleh peminjam dari 1 April sehingga 31 Disember 2020.
“Sektor korporat boleh berunding dengan bank masing-masing untuk menyusun semula pembayaran balik yang sesuai dengan keadaan perniagaan mereka.
“Ini adalah penting untuk membolehkan syarikat-syarikat terus berkemampuan untuk mengekalkan pekerjaan dan segera meneruskan aktiviti perniagaan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Pengumuman Muhyiddin itu mengesahkan laporan media sebelum ini yang memetik dokumen diserahkan Bank Negara (BNM) kepada bank-bank di Malaysia, sebelum ini, bahawa pelanggan akan dibenarkan menangguh pembayaran balik pinjaman sedia ada mereka untuk enam bulan.
Laporan sebelum ini juga menyebut penangguhan ini bersifat automatik dan terpakai kepada semua hutang termasuk pinjaman perumahan dan kereta.
Kenyataan BNM
Pelanggan bank, termasuk pelanggan persendirian dan perniagaan kecil dan sederhana akan dibenarkan menangguh pembayaran balik pinjaman sedia ada mereka untuk enam bulan.
Penangguhan ini bersifat automatik dan terpakai kepada semua hutang termasuk pinjaman perumahan dan kereta.
Hutang kad kredit tidak akan termasuk dalam penangguhan
Namun, hutang kad kredit tidak akan termasuk dalam penangguhan, kata Bank Negara Malaysia (BNM) menurut dokumen yang diserahkan kepada bank-bank di Malaysia.
“Bagi hutang kad kredit yang tidak tertunggak, bank akan menawarkan pelan pembayaran secara berperingkat selama tiga tahun.
“Bagi hutang kad kredit yang tertunggak, hutang akan ditukarkan secara automatik kepada pinjaman berjadual,” katanya.
Menurut BNM, usaha ini adalah untuk memastikan peminjam yang terkesan susulan penularan COVID-19 akan dapat dibantu.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan BNM pada Selasa dan akan berkuat kuasa bermula 1 April.
Ia akan terpakai kepada pinjaman dalam Ringgit Malaysia (RM) dan bagi hutang yang tidak tertangguh melebihi 90 hari pada 1 April.
Menurut BNM, maklumat penuh akan disampaikan bank masing masing. Untuk maklumat lanjut, pengguna dinasihatkan merujuk kepada bank masing-masing.
Keputusan ini dibuat PM kerana ramai rakyat yang resah memeikirkan hutang yang perlu dibayar dengan keadaan sekarang.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata langkah itu amat bermakna dan mengucapkan terima kasih di atas keperihatinan Kementerian Kewangan, BNM serta industri perbankan negara.
“Seperti yang saya umumkan tempoh hari selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Kerajaan sedang mengkaji pelbagai cara untuk mengurangkan beban rakyat dan satu lagi pelan rangsangan ekonomi akan dilancarkan tidak lama lagi yang lebih komprehensif dan bermakna demi rakyat dan ekonomi negara.
“Saya telah pun meminta Kementerian Kewangan dan BNM untuk memperincikan pengumuman ini dengan lebih mendalam agar rakyat memahami sepenuhnya manfaat yang ditawarkan,” katanya.
Ujarnya, kerajaan pada hari ini sentiasa mendengar permintaan dan denyut nadi rakyat.
“Saya sedar bahawa impak wabak COVID-19 ini bukan hanya menimbulkan keresahan dari segi kesihatan dan kesejahteraan, tetapi Perintah Kawalan Pergerakan ini juga menimbulkan keresahan rakyat dari segi kewangan.
“Rakyat pelbagai lapisan sama ada usahawan, petani, nelayan, pekerja harian tertanya-tanya akan kedudukan ekonomi mereka.
“Antara perkara utama yang menimbulkan keresahan ini ialah pembayaran balik pinjaman bank, baik dari segi peminjam persendirian mahupun PKS yang perniagaan mereka terjejas akibat penularan wabak ini,” katanya