Perginya anak kesayangan pada hari lahir, pasangan ini akhirnya reda anak kedua ‘pergi’ terlebih dahulu menjadi anak syurga.

Tidak menyangka saat menghantarnya ke taska adalah pertemuan terakhir, Allahyarham Dayangku NurAlya Mariyam Awangku Hazrin, 4 bulan ditemui meninggal dunia dalam keadaan tertiarap.

Wajah si kecil ini juga didapati kebiruan dan tidak sedarkan diri oleh petugas taska sebelum perkara itu dimaklumkan kepada ibunya, Syahirah Mhd Ali,  kira-kira jam 10 pagi.

LEMAH & TIDAK BERMAYA

Menurut Syahirah, dia bergegas ke taska berkenaan selepas dimaklumkan kejadian menimpa anak bongsunya sebelum mendapati anaknya itu berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.

BARU BELAJAR MENIARAP

Ibu ini mendedahkan Allahyarham Dayangku NurAlya Mariyam yang dilahirkan pada 13 Januari dalam masa belajar untuk meniarap.

“Sebenarnya dia baru belajar meniarap dan mungkin semasa dia cuba meniarap, tiada petugas di situ,’ kata Syahirah yang bertugas sebagai penjawat awam.

IKLAN

MUNGKIN CUBA MENIARAP KETIKA DITINGGALKAN

Ibunya juga tidak menolak kemungkinan anaknya itu cuba meniarap dalam tempoh tersebut tetapi tidak disedari.

“Saya difahamkan arwah sedang tidur ketika ditinggalkan guru taska yang menjaganya dan mungkin dia cuba meniarap ketika ditinggalkan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

WALAUPUN EMPAT BULAN, IBU SYUKUR

Menghadapi kehilangan anak ketika kecil, ibu ini reda dan bersyukur diberikan peluang menjaganya biar pun hanya seketika.

IKLAN

“Walaupun hanya diberi empat bulan untuk menjaganya, saya tetap bersyukur. Dia anak syurga dan Allah SWT akan menjaganya dengan baik di sana,” kata Syahirah.

Allahyarham Dayangku NurAlya Mariyam Awangku Hazrin adalah anak bongsu daripada daripada dua beradik itu ditemui dalam keadaan tertiarap, badan kebiruan serta tidak sedarkan diri pada jam 10 pagi oleh petugas taska sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.Bagaimanapun, mangsa yang disahkan meninggal dunia ketika dirawat di HSNZ pada jam 11.30 pagi semalam.

KETENTUAN ILAHI

Ibu ini reda dengan apa yang berlaku, tidak menyalahkan pusat penjagaan. Dia bersama suami menerima kejadian yang berlaku sebagai ujian buat mereka sekeluarga.

“Saya dan suami, Awangku Hazrin Awangku Hidup tidak menyalahkan pihak taska atau mana-mana pihak dan menganggap apa yang berlaku adalah ketentuan Ilahi,” kata Syahirah.

IKLAN

UJIAN BERAT PADA HARI LAHIR SI AYAH

Perginya si kecil ini pada hari lahir si ayah adalah ujian yang berat buatnya dan suami ini.

“Memang berat dan sedih dengan kehilangan ini apatah lagi hari ini hari lahir suami yang ke 34 tahun tetapi semuanya sudah ketentuan Ilahi. Apa yang berlaku sudah tertulis dan arwah akan tunggu kami di syurga nanti,” katanya Syahirah.

“Saya terima dan reda dengan ujian ini lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini,” katanya dalam nada sebak.

Syahirah enggan anaknya dibedah siasat kerana tidak mahu mayat terseksa selain berjanji tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang kepada semua pihak termasuk pihak pengurusan taska berkenaan.

Selain Allahyarham Dayangku Nuralya Maryam, pasangan itu turut mempunyai seorang lagi anak perempuan, Dayangku Nur Hawa Marisa berusia dua tahun.

Sumber: Berita Harian, Harian Metro & Sinar Harian

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI