
Ibu ayah mana yang tidak luluh hati apabila mendengar kejadian kanak-kanak 4 tahun meninggal dunia selepas menggigil dan kebiruan semasa mandi di taman tema air.
Baru sahaja seronok bermain air, bergelak ketawa menikmati waktu bersama keluarga, namun sekelip mata semuanya bertukar menjadi detik paling memilukan.
Lebih menyedihkan apabila seorang kanak-kanak berusia empat tahun dilaporkan rebah secara tiba-tiba selepas mandi di sebuah taman tema air di Selangor. Kejadian yang tular ini dikongsikan oleh seorang warga Threads yang juga merupakan seorang jururawat sebagai peringatan kepada semua ibu bapa agar lebih peka terhadap perubahan keadaan fizikal anak ketika bermain air.
Menurut perkongsian seorang jururawat tersebut, kanak-kanak berusia empat tahun itu pada awalnya sedang seronok mandi dan bermain air seperti biasa.
Ibunya bagaimanapun menyedari anaknya mula kelihatan sedikit menggigil, manakala bibirnya berubah menjadi kebiruan. Walaupun ketika itu keadaan anak masih kelihatan stabil dan tidak menunjukkan tanda kecemasan yang jelas, perubahan tersebut sebenarnya wajar diberi perhatian.
Tidak lama kemudian, ketika kanak-kanak itu berjalan untuk menyambung semula aktiviti bermain air, dia tiba-tiba rebah dan mengalami kekejangan.
Orang ramai yang berada di lokasi segera memberikan bantuan kecemasan termasuk melakukan CPR sementara menunggu pasukan perubatan tiba.
Kanak-kanak tersebut kemudian dibawa ke hospital. Namun, beliau disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
Setakat perkongsian dibuat, keputusan bedah siasat masih belum diumumkan. Oleh itu, punca sebenar kematian masih belum dapat dipastikan dan tidak wajar dibuat sebarang andaian.
Wajib Baca: Doktor Kongsi Video Tip Keselamatan Anak Di Kolam Renang. Ibu Ayah Tolong Alert Ya!
Walaupun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, kisah ini menjadi peringatan penting kepada semua ibu bapa supaya tidak mengabaikan tanda-tanda awal yang ditunjukkan oleh anak selepas bermain air.
Anak kecil belum tentu mampu menjelaskan apa yang sedang mereka alami. Mereka mungkin tidak tahu bagaimana hendak memberitahu bahawa badan mereka terlalu sejuk, pening, sesak, lemah atau sudah tidak larat untuk meneruskan aktiviti.
Menurut perkongsian wanita itu yang juga merupakan seorang jururawat berharap ibu bapa ambil peduli jika anak mula menunjukkan tanda kesejukan selepas bermain air.
Sebagai ibu bapa, kita mungkin menganggap keadaan itu hanyalah kesejukan biasa akibat terlalu lama berada di dalam air. Namun sekiranya anak mula menggigil, bibir berubah kebiruan atau kelihatan semakin lemah, adalah lebih baik untuk menghentikan aktiviti bermain air terlebih dahulu.
Jika anak menunjukkan tanda-tanda seperti menggigil atau bibir berubah kebiruan selepas mandi waterpark, kolam renang, sungai atau pantai, lakukan beberapa langkah berikut:
Kadang-kadang hanya beberapa minit untuk berhenti dan memeriksa keadaan anak mampu memberikan perbezaan yang sangat besar.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang turut berkongsi pengalaman masing-masing.
Ada ibu bapa mengakui pernah melihat anak mereka menggigil selepas mandi sungai atau kolam, namun sebelum ini tidak menyedari bahawa keadaan tersebut mungkin memerlukan perhatian yang lebih serius.
āThank you sharing dear. Teringat anak I gigil-gigil masa mandi sungai. Tapi I tak aware perkara-perkara ni. Next time need to be more careful.ā
Ada juga yang berkongsi amalan mereka ketika membawa anak kecil bermain air seperti menghadkan tempoh mandi, mengangkat anak keluar dari air secara berkala serta memberi peluang kepada anak untuk berehat sebelum menyambung aktiviti.
Seorang lagi pengguna turut berkongsi kisah hampir sama melibatkan anak jirannya yang dikatakan meninggal dunia selepas mandi di sebuah waterpark.
Walaupun kejadian seperti ini jarang berlaku dan punca sebenar masih belum disahkan secara perubatan, ia tetap menjadi peringatan penting kepada semua ibu bapa supaya sentiasa memantau keadaan anak ketika berada di taman tema air, kolam renang, sungai atau pantai.
Perhatikan tempoh anak berada di dalam air, perubahan warna bibir, suhu badan, tahap tenaga dan tingkah laku mereka sepanjang aktiviti berlangsung.
Jika anak mula menggigil, kelihatan terlalu sejuk, bibir kebiruan, mengadu pening, lemah, mengantuk secara luar biasa atau tiba-tiba tidak mahu bermain, hentikan aktiviti serta-merta dan dapatkan bantuan perubatan sekiranya keadaan membimbangkan.
Semoga kejadian yang menyayat hati ini menjadi pengajaran kepada semua ibu bapa. Bukan untuk menimbulkan ketakutan, tetapi supaya kita lebih peka terhadap setiap isyarat kecil yang ditunjukkan oleh anak-anak.
Takziah buat keluarga adik kecil ini. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, mengurniakan ketabahan kepada seluruh ahli keluarga yang ditinggalkan serta melindungi semua anak-anak kita daripada sebarang musibah.
Sumber:Ā Threads nurynfatimah_7