
Bayangkan sedang berjalan bersama anak-anak di tengah bandar. Biasanya, mata kita akan tertumpu pada papan iklan gergasi yang memaparkan wajah selebriti terkenal, model atau pempengaruh media sosial.
Namun, bagaimana pula jika wajah yang terpampang di papan iklan itu bukan artis popular, sebaliknya saintis yang pernah mencipta kejayaan besar dan memberi sumbangan kepada dunia?
Itulah pendekatan menarik yang dilaksanakan di beberapa bandar di China apabila wajah saintis terkenal mula menghiasi papan iklan gergasi, skrin digital di pusat membeli-belah, stesen pengangkutan awam dan kawasan tumpuan orang ramai.

Lebih menarik, usaha ini bukan sekadar untuk menghargai jasa para saintis, tetapi turut membawa mesej inspirasi kepada generasi muda bahawa kejayaan bukan hanya diukur melalui populariti, sebaliknya melalui ilmu pengetahuan, usaha dan sumbangan kepada masyarakat.
Bagi ibu ayah, pendekatan ini pastinya membuka satu perspektif baharu tentang bagaimana persekitaran boleh memainkan peranan dalam membentuk impian dan cita-cita anak-anak sejak kecil.
China Gantikan Iklan Komersial Dengan Wajah Saintis Terkenal
Menurut laporan media China, inisiatif yang mula mendapat perhatian pada Ogos 2026 ini tercetus di wilayah Shandong sebelum berkembang ke beberapa kawasan lain termasuk Henan, Anhui dan Inner Mongolia.
Apa yang menjadikan usaha ini istimewa ialah beberapa pusat membeli-belah dan pengusaha ruang pengiklanan memilih untuk menggunakan lokasi strategik yang biasanya dipenuhi iklan komersial bagi memaparkan tokoh-tokoh sains negara.
Malah, menurut laporan The Paper, usaha tersebut turut diperluas ke kawasan stesen metro di Zhengzhou, Henan, dengan ruang pengiklanan utama digunakan untuk memberikan penghormatan kepada penyelidik dan tokoh inovasi.
Antara tokoh yang dipaparkan termasuklah:
- Qian Xuesen, saintis roket yang memainkan peranan penting dalam pembangunan teknologi angkasa dan aeroangkasa China.
- Tu Youyou, saintis wanita yang menerima Hadiah Nobel dalam bidang Perubatan kerana penemuannya berkaitan rawatan malaria.
- Yuan Longping, pakar pertanian yang terkenal dengan penyelidikan beras hibrid bagi membantu meningkatkan pengeluaran makanan.
Wajah mereka bukan sahaja dipaparkan pada skrin besar, malah disertakan dengan maklumat mengenai pencapaian dan sumbangan yang telah diberikan sepanjang kehidupan masing-masing.
Menurut laporan People’s Daily, pendekatan ini turut menarik perhatian orang ramai kerana menjadikan ruang bandar sebagai tempat memperkenalkan tokoh ilmuwan kepada masyarakat.
Secara tidak langsung, paparan wajah saintis terkenal di kawasan tumpuan awam ini turut memberikan peluang kepada masyarakat untuk mengenali individu yang mungkin jarang mendapat perhatian berbanding selebriti dan personaliti hiburan.

Anak-Anak Perlu Didedahkan Dengan Lebih Ramai Tokoh Inspirasi
Tidak salah untuk anak-anak meminati dunia hiburan. Namun, penting juga untuk ibu ayah memperkenalkan mereka kepada individu yang berjaya dalam pelbagai bidang.
Anak-anak perlu tahu bahawa menjadi terkenal bukanlah satu-satunya bentuk kejayaan dalam kehidupan. Ada individu yang berjaya kerana menemui penawar penyakit, menghasilkan teknologi baharu atau mencipta sesuatu yang mampu mengubah kehidupan manusia.
Kisah kejayaan saintis terkenal juga boleh menjadi contoh bahawa pencapaian besar memerlukan usaha, kesabaran dan penyelidikan bertahun-tahun sebelum akhirnya memberikan manfaat kepada masyarakat.
Apabila lebih banyak kisah seperti ini diketengahkan, anak-anak berpeluang mengenali tokoh inspirasi dan memahami bahawa kejayaan bukan sekadar tentang populariti, tetapi juga sumbangan kepada orang lain.

Apa Yang Anak Lihat Hari Ini Boleh Mempengaruhi Cita-Cita Mereka
Pernahkah ibu ayah mendengar anak berkata mahu menjadi doktor selepas melihat seseorang memakai kot putih? Atau mahu menjadi anggota bomba selepas melihat pasukan penyelamat memadamkan kebakaran?
Situasi seperti ini menunjukkan bagaimana pengalaman dan pendedahan harian boleh mencetuskan rasa ingin tahu kanak-kanak terhadap sesuatu kerjaya.
Begitu juga apabila anak-anak sering melihat tokoh sains, membaca kisah kejayaan mereka atau mendengar bagaimana sesuatu penemuan dihasilkan.
Walaupun sekadar melihat gambar saintis pada papan iklan, ia mungkin menjadi permulaan kepada perbualan yang lebih bermakna antara ibu ayah dan anak.
Contohnya, apabila anak bertanya siapa individu yang dipaparkan, ibu ayah boleh menerangkan bahawa tokoh tersebut merupakan seorang saintis yang berjaya menghasilkan penemuan penting hasil usaha dan penyelidikannya.
Daripada satu pertanyaan kecil, anak mungkin mula berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang sains, teknologi atau bidang yang belum pernah diterokainya.
Bagaimanapun, pendedahan seperti ini bukan bermakna anak secara automatik akan bercita-cita menjadi saintis. Sebaliknya, ia membantu mereka mengenali lebih banyak pilihan dan kemungkinan dalam kehidupan.

Inspirasi Anak-Anak Bermula Dengan Pendedahan Sejak Kecil
Bagi ibu ayah, usaha memperkenalkan tokoh ilmuwan sebenarnya tidak semestinya memerlukan aktiviti yang rumit atau perbelanjaan besar.
Selain melihat paparan saintis terkenal di tempat awam, anak-anak juga boleh didedahkan kepada kisah individu yang berjaya melalui buku, dokumentari, lawatan ke muzium atau perbualan santai di rumah.
Sebagai contoh, anak yang gemar melihat bintang boleh diperkenalkan kepada tokoh astronomi, manakala anak yang suka bermain dengan tumbuh-tumbuhan boleh didedahkan kepada kisah penyelidik dalam bidang pertanian.
Perkara paling penting bukanlah memastikan anak memilih kerjaya tertentu, tetapi memberikan mereka peluang untuk mengenali pelbagai bidang dan mengembangkan minat masing-masing.
Pendekatan yang dilaksanakan di China ini juga menunjukkan bagaimana ruang awam yang biasanya dipenuhi iklan komersial boleh digunakan untuk mengetengahkan nilai ilmu pengetahuan dan memberi inspirasi kepada masyarakat. Syabas!
Menarik: Surah Al-Ikhlas & 3 Zikir Ni Jangan Tinggal Masa Anak Jawab Peperiksaan!
Zikir Ibu Ayah Ketika Anak Hadapi Peperiksaan, Amalan Mohon Permudahkan Urusan!
Disiplinkan Anak Tanpa Jerit & Ugut Rotan, Ikut Langkah Ni Guna Time Out
Sumber: Digital Kashmir, theprint.in
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

