
Selepas selamat melahirkan cahaya mata sulungnya pada 27 November yang lalu, kini selepas berusia sebulan, Sheryl Shazwanie dan Azzam Sham tampil berkongsi wajah bayi kesayangan mereka.
Menerusi perkongsian di laman Instagram mereka, keduanya tampil segak mengabadikan kenangan bersama puteri sulung mereka yang kini genap usianya sebulan.
Wajah si comel Azzalea Safiyya dipotretkan dalam satu sesi fotografi khas dengan busana warna merah jambu. Paling comel pastinya gaya Azzalea yang menaiki buaian comel sambil dikelilingi bunga-bunga indah.

“Our beautiful Azzalea,
May you grow up to be righteous,
May you grow up to be true,
May you always know the truth and see the lights surrounding you,
May you always be courageous, stand upright and be strong

Tulis kedua mereka di kapsyennya dengan menitipkan kata-kata cukup indah buat puteri sulung mereka.
Menarik: Perkenalkan Puteri Sulung Kami, Umum Nama Anak, Sedapnya Nama Anak Azzam Sham & Sheryl Shazwanie
Dalam pada itu, keduanya juga tampil dengan persalinan warna biru bersama buah hati tersayang. Tampak manis keduanya yang kini sudah pun menempuh dunia baru bergelar ibu dan ayah.

Kongsi detik kelahiran Azzalea
Dalam pada itu, Sheryl juga turut memuat naik video momen indah ketika detik kelahiran bayinya itu menerusi video yang dikongsikan di Instagram.
Penuh kepayahan namun berbaloi selepas melihat buah hati tersayang di depan mata.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata peminat memuji kecomelan Azzalea Safiyya malah mendoakan agar anak kecil itu sentiasa dilindungi Allah dan menjadi anak solehah kepada kedua ibu bapanya.

Terdahulu, Azzam dan Sheryl selamat bernikah pada 1 Januari lalu di Masjid Nurul Ehsan Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor selepas bertunang pada 30 September tahun lalu.
Sheryl selamat bersalin melalui kaedah pembedahan (Caesarean) di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya.
Kredit: @sherylshazwanie
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pernah PJJ Dengan Suami Hampir 20 Tahun, Auntie Purple Hargai Masa Dengan Keluarga!

Ibu kepada tiga orang cahaya mata ini sememangnya cukup istimewa. Lain dari yang lain malah pernah menarik perhatian ramai melalui video transition di Tik Tok dari sejak zaman PKP lagi sehinggalah kini.
Kini, wanita bergelar Autie Purple yang cukup dikenali di Tik Tok ini terus meneruskan video-video perkongsiannya yang kreatif di Tik Tok.
Bermula dari Tik Tok dan kini akhirnya wanita ini menjadi content creator yang lebih dikenali dengan transition style yang cukup menarik perhatian. Malah cukup dikenali dengan warna ungu yang sering dibawa dalam setiap videonya.
“Kalau diikutkan Autie ni memang penggemar warna purple. Masa kahwin 24 tahun dulu pun pakai purple. Memang suka.
“Nama Auntie ni pula bukan dari diri sendiri tapi netizen sendiri yang beri nama itu menerusi komen-komen dan akhirnya kita terus pakai nama itu. Lebih dekat dengan follower Auntie Purple,” katanya berkongsi.

Bercerita mengenai warna kesukaannya itu, akui Auntie Purple lagi dia paling gembira bila anak dan suaminya turut sama menyokong warna pilihannya malah tidak ambil kisah pun bila keseluruhan warna itu melatari seluruh rumahnya.
“Alhamdulillah anak-anak dan suami sangat tak kisah asalkan tidak mengganggu ruang privacy masing-masing. Macam anak-anak mereka pun ada citarasa mereka sendiri, jadi autie tak kacau. Bilik anak-anak ada warna merah, biru dan sebagainya.
“Kalau raya pula misalnya, autie ada keluarga yang besar jadi kami memang akan undi untuk pakai baju warna apa. Tapi kalau turn auntie memang warna purple lah jawabnya. Kalau dalam keluarga pula, warna purple selalunya jadi pilihan di hari raya kedua atau ketiga,” kongsinya lagi.

Bonding dengan anak-anak
Bercerita mengenai video di Tik Tok, akui Auntie Purple lagi, sebagai content creator dia menjadikan gelaran itu sebagai aktivitinya untuk bonding bersama anak-anaknya.
“Bila auntie buat content itulah masa auntie bersama keluarga. Contoh content auntie buat dekat tepi pantai, kami lima-lima dengan anak-anak pergi pantai dan hasilkan video sama-sama. Semua terlibat dan bila nampak hasilnya menjadi dan fyp, anak-anak pun seronok,” kongsinya terharu dengan kesungguhan anak-anak,” katanya.
Siapa menyangka ibu yang cukup kreatif ini pernah berjauhan dengan suami, PJJ selama hampir 20 tahun dan membesarkan anak-anak sendirian.

“Auntie dulu PJJ dengan uncle, hampir 20 tahun dan cabaran menjaga anak-anak waktu kecil dulu memang secara sendirian sebab suami jauh jadi kini anak-anak pun dah remaja. Alhamdulillah anak-anak auntie mendengar kata dan patuh.
“Kadang-kadang saya direct saja tanya dengan anak-anak kalau mereka ada masalah tetapi ada masanya saya jadi ibu dan menjadi kawan paling rapat dengan mereka,” kongsinya.
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tempoh Akhir Sebelum Bersalin, Ini Yang Mama Papa Perlu Buat!

Kesihatan dan tumbesaran bayi anda adalah sangat penting, terutama dalam tempoh-tempoh akhir kehamilan. Setiap detik adalah sangat berharga. Sebelum anda mula mengambil cuti bersalin untuk berpantang, terdapat beberapa perkara yang perlu anda ketahui sebagai persiapan untuk menghadapi proses bersalin.

Apakah tempoh mengandung yang mencukupi?
Secara umumnya, tempoh mengandung yang normal dan mencukupi, akan berlangsung antara 280 hari atau 40 minggu. Bagi bayi pramatang, tempoh kelahiran akan berlaku sebelum cukup 37-minggu dalam tempoh kehamilan anda. Untuk bayi yang sangat pramatang akan dilahirkan antara minggu ke-23 hingga minggu ke-28 kehamilan. Bayi pramatang sederhana pula akan lahir antara minggu ke- 29 hingga minggu ke-33.
Antara minggu ke-34 hingga minggu ke-37, bayi yang lahir dapat tempoh ini dikenali sebagai bagi pramatang lewat. Kebiasaannya, bayi yang lahir sebelum minggu ke-39 kehamilan berdepan dengan risiko yang besar untuk mengalami masalah pernafasan, gula dalam darah, dan masalah lain yang mungkin cenderung menyebabkan bayi anda dimasukkan ke unit perawatan intensif neonatal (neonatal intensive care unit, NICU).
Persediaan yang perlu dilakukan sebelum cuti bersalin
Cuti Bersalin Apa yang Perlu Anda Ketahui – kelahiran

Menunggu selama 9 bulan bagi tempoh kehamilan untuk tiba ke masa anda melahirkan bayi anda ke dunia pastinya merupakan detik yang sangat dinantikan, malahan ia pastinya merupakan masa yang dinantikan oleh seluruh keluarga anda. Namun, sebelum itu, terdapat beberapa perkara penting yang perlu dititikberatkan oleh bakal ibu untuk memastikan proses kelahiran bayi anda berjalan lancar. Berikut adalah langkah persediaan yang boleh dilakukan sebelum anda bersalin.
Menghadiri kelas persediaan bersalin
Selain mendapatkan maklumat dan pengalaman daripada mereka yang pernah menjadi ibu, anda juga boleh mendapatkan informasi lanjut dengan menghadiri kelas persediaan untuk bersalin. Tujuan kelas ini dijalankan adalah untuk mengetahui lebih lanjut dan spesifik mengenai kelahiran bayi yang akan memudahkan anda membuat keputusan dan mengurangkan perasaan takut serta gementar. Berikut merupakan perkara asas yang akan diajar kepada anda melalui kelas persediaan untuk bersalin:
- Petanda kelahiran
- Simptom normal kelahiran
- Teknik untuk mengawal kesakitan
- Bagaimana pasangan anda boleh membantu
- Bila waktu anda perlu memanggil doktor atau jururawat
- Mencukur bulu ari-ari
- Ketika sedang hamil, anda mungkin runsing sama ada perlu mencukur bulu ari-ari anda atau tidak terutamanya jika ini merupakan kehamilan kali pertama. Hakikatnya, kawasan ari-ari yang bersih dan kemas akan memudahkan anda dan doktor untuk melakukan prosedur kelahiran. Ia juga dapat mengurangkan risiko infeksi yang boleh dihidapi sekiranya bulu ari-ari tidak dicukur sebetulnya sebelum kelahiran bayi. Oleh itu, pakar perubatan menyarankan anda untuk mencukur bulu ari-ari anda sebelum melahirkan anak untuk tujuan keselamatan dan kebersihan anda dan kandungan.
Mengetahui peringkat proses kelahiran
Setiap wanita mempunyai peringkat proses kelahiran yang berbeza. Tiada siapa yang dapat meneka atau mengenalpasti tempoh peringkat proses kelahiran mereka sendiri. Secara dasarnya, anda akan mengalami tiga peringkat semasa proses kelahiran anda:
Peringkat pertama: peringkat ini bermula apabila otot rahim mula mengecut, mengembang dan kemudian relaks yang akan membantu pembukaan serviks. Fasa ini boleh berlaku beberapa jam sehingga beberapa hari. Anda akan mengalami kontraksi aktif yang kerap dan bertahan selama beberapa minit.
Peringkat kedua: peringkat ini bermula apabila serviks anda mula meluas dan menolak bayi keluar.
Peringkat ketiga: peringkat ini adalah fasa bayi anda sudah dilahirkan. Kontraksi akan terus berlaku sehingga plasenta dikeluarkan daripada saluran kelahiran anda.
Bersedia menghadapi kesakitan
Bagi membantu mengawal kesakitan semasa bersalin, anda boleh melakukan perkara-perkara berikut:
Urutan perineum: urutan perineum ini adalah teknik yang secara perlahan-lahan dapat meregangkan kulit dan tisu sekitar vagina dan anus anda semasa minggu terakhir kehamilan. Kebiasaannya, anda boleh lakukan urutan ini pada minggu ke-34 kehamilan. Menurut kajian, urutan perineum ini menunjukkan keberkesanan dengan mengurangkan kekoyakan perineum semasa bersalin.
Senaman pelvik atau senaman Kegel: otot pelvik anda perlu untuk meregang dalam usaha menolak bayi anda keluar melalui pelvis. Oleh itu, wanita hamil perlu melakukan senaman pelvik dengan kerap bagi memastikan proses bersalin berjalan lancar.
Bagaimana mengatasi kerisauan sebelum cuti bersalin?
Bagi ibu yang pertama kali akan melalui pengalaman proses kelahiran bayi, pastinya terdapat beberapa perkara yang menjadi kerisauan dan kebimbangan di hati dan fikiran. Gementar? Takut? Ia adalah rasa yang normal untuk dilalui. Berikut adalah beberapa perkara yang sering menjadi kebimbangan sebelum menempuhi proses bersalin.
Risau terlambat untuk melahirkan
Kebanyakan ibu hamil risau kandungannya akan lahir di tempat selain katil hospital akibat terlambat. Sebenarnya, proses melahirkan anak tidak berlaku dengan secepatnya.
Sekiranya anda pernah melahirkan anak sebelum ini, proses kali kedua ini tidak serumit yang pertama. Berhubung dengan doktor untuk mengetahui tanda-tanda sebenar saat melahirkan semakin dekat agar anda dapat merancang masa dengan sebaik mungkin.
Selain itu, sediakan persiapan yang secukupnya agar anda bersedia untuk ke hospital pada bila-bila masa sahaja.
Risau terhadap kesakitan
Kerisauan ini sememangnya dialami oleh setiap ibu hamil. Jika kerisauan ini berterusan dan semakin teruk, berbincanglah dengan doktor anda tentang pengambilan ubat semasa melahirkan. Menurut pakar, pengambilan ubat semasa melahirkan tidak memudaratkan bayi dalam kandungan dan cuma membuatkan bayi anda berasa mengantuk. Untuk lebih selamat, anda boleh memastikan doktor anda meminimumkan dos ubat demi mengurangkan kesan sampingannya. Anda juga boleh menghadiri kelas-kelas untuk ibu hamil yang boleh mengajar anda teknik pernafasan efektif saat melahirkan. Anda juga perlu percaya terhadap staf profesional yang membantu anda saat melahirkan terutamanya jururawat anda demi menimbulkan perasaan yang lebih tenang dan selamat.
Risau terhadap kesan epidural
Cuti Bersalin Apa yang Perlu Anda Ketahui – epidural

Suntikan epidural boleh membantu mengurangkan sakit ketika melahirkan tetapi ibu hamil juga sebenarnya risau terhadap kesan sampingannya. Ini akan menjadikan ibu hamil tidak mahu mengambil suntikan ini. Namun, keadaan ini tidak seharusnya menjadi kerisauan para ibu kerana kesan sampingan yang berlaku akibat suntikan epidural seperti pening kepala boleh dirawat dengan mudah. Selain itu, suntikan ini juga tidak akan mendatangkan komplikasi jangka masa panjang yang lebih membimbangkan.
Risau terhadap kaedah C-section
Kaedah C-section atau Cesarean adalah proses melahirkan yang sudah menjadi kebiasaan masa kini. Namun begitu, kebanyakan ibu hamil masih risau terhadap prosedur, kesan dan risiko pembedahan ini. Anda boleh bertanya kepada doktor anda jika terdapat sebarang cara untuk mengelakkan pembedahan ini. Sekiranya tiada, anda perlu tenang dan mempercayai doktor anda. Dalam beberapa kes, pembedahan Cesarean adalah jalan yang terbaik sekiranya bayi dalam kandungan anda terlalu besar untuk saiz badan anda atau bayi anda berada dalam kedudukan posisi yang tidak normal semasa melahirkan. Selain itu, bukaan serviks yang tidak cukup juga memerlukan anda melakukan pembedahan ini.
Risau terkeluar najis ketika melahirkan
Meskipun tidak terlalu bahaya seperti kerisauan yang lain, kerisauan ini membuatkan ibu hamil menjadi malu. Kebanyakan Ibu hamil terlalu malu untuk membincangkan perkara ini dengan doktor atau individu lain. Hakikatnya, keadaan ini boleh terjadi dan tidak perlu dirisaukan. Ini kerana keadaan ini adalah sangat normal sekiranya anda bersalin secara normal. Anda juga perlu tahu bahawa pasukan perubatan seperti doktor dan jururawat sudah biasa dengan keadaan ini yang mereka anggap sudah sebati dalam kehidupan mereka sebagai pakar perubatan.
Apakah perbezaan bersalin secara normal atau pembedahan caeserean?
Setiap individu wanita yang mengandung, mengimpikan proses bersalin atau kelahiran yang mudah dan singkat tanpa sebarang komplikasi – berdepan dengan beberapa kontraksi, proses meneran dan lahirlah seorang bayi yang comel – namun, malangnya, tidak semua proses kelahiran akan berjalan lancar seperti itu.
Sesetengah bayi mungkin terpaksa dan perlu dilahirkan melalui kaedah pembedahan caeser (C-section). Jika anda berharapkan untuk melalui proses kelahiran normal, berikut mungkin dapat membantu anda untuk memahami bagaimana dan mengapa kaedah pembedahan caesar dilakukan dan ia mungkin boleh dianggap sebagai persediaan jika proses bersalin dan kelahiran normal tidak dapat dilakukan seperti yang anda inginkan. Walau apapun proses kelahiran dan bersalin yang perlu anda lalui, adalah yang paling utama adalah keselamatan anda dan bayi, perlu diutamakan.
Apakah itu pembedahan caesarean?
Cuti Bersalin Apa yang Perlu Anda Ketahui – caesarean

Pembedahan caesarean atau C-section adalah pembedahan yang dilakukan terhadap wanita hamil dan melibatkan pemotongan perut dan rahim untuk melahirkan bayi. Pembedahan ini dikategorikan kepada dua iaitu:
Pembedahan caesarean elektif
Pembedahan ini adalah dirancang dan dijadualkan terlebih dahulu sebelum anda mengalami sakit bersalin.
Pembedahan caesarean kecemasan
Pembedahan ini tidak dirancang dan boleh berlaku sekiranya berlaku komplikasi serius terhadap anda dan juga bayi ketika proses kelahiran.
Dalam kebanyakan kes, pembedahan caesarean ini berlaku tanpa dirancang. Sekiranya anda dimaklumkan oleh doktor untuk melakukan pembedahan ini, jangan panik dan segera menyiapkan diri untuk melakukannya kerana pembedahan ini mempunyai tahap keberhasilan yang sangat tinggi. Namun begitu, pembedahan ini sebenarnya tidak boleh dilakukan banyak kali kerana akan meningkatkan risiko anda mempunyai masalah kehamilan kelak.
Apakah risiko melakukan pembedahan caesarean lebih daripada satu kali?
Sekiranya anda melakukan pembedahan ini lebih daripada satu kali untuk melahirkan anak, terdapat beberapa risiko yang mungkin berlaku pada anda. Antaranya:
- Plasenta previa (uri di bawah)
- Plasenta accreta (uri melekat)
- Hysterectomy (pembedahan membuang rahim)
- Risiko-risiko ini akan lebih tinggi bergantung kepada berapa banyak kali anda melakukan pembedahan caesarean. Selain itu juga, akan berlaku banyak masalah keibuan dan kehamilan selepas melakukan pembedahan caesarean seperti kecederaan usus, sista, pendarahan, ketidaksuburan, kebergantungan kepada mesin ventilator dan kemungkinan dimasukkan ke dalam unit kecemasan hospital (ICU) selepas pembedahan dilakukan.
Dalam pada itu lagi, pembedahan caesarean ini sukar untuk dilakukan sekiranya sudah terdapat parut lama akibat pembedahan yang sama. Pembedahan ini sememangnya akan meninggalkan parut. Semakin banyak pembedahan caesarean pernah dilakukan, semakin banyak parut yang ditinggalkan. Ini akan menyebabkan pembedahan seterusnya menjadi sukar dikendalikan.
Berapa kali pembedahan caesarean boleh dilakukan?
Menurut pakar, pembedahan caesarean yang pertama atau kedua kali tidak akan mendatangkan mudarat yang teruk kepada si ibu. Namun begitu, pembedahan caesarean kali ketiga, keempat dan seterusnya akan mengundang pelbagai risiko kesihatan berkenaan keibuan dan kehamilan. Ini menunjukkan bahawa pembedahan caesarean yang dilakukan banyak kali sememangnya akan mengundang bahaya kepada wanita yang melakukannya.
Sebenarnya, tiada jawapan jelas mengenai angka tepat berkenaan berapa kali boleh melakukan pembedahan caesarean. Namun begitu, sudah jelas bahawa pembedahan ini selamat untuk dilakukan buat kali pertama dan kedua. Oleh itu, jika anda berhasrat untuk melahirkan anak melalui prosedur ini buat kali ketiga, keempat dan seterusnya, anda wajar berbincang terlebih dahulu dengan pakar perubatan.
Kelebihan dan kekurangan proses kelahiran normal buat ibu
Cuti Bersalin Apa yang Perlu Anda Ketahui – bersalin normal

Kelahiran normal atau melalui faraj, turut boleh mendatangkan beberapa risiko kepada ibu. Antaranya, kulit dan tisu sekitar faraj boleh meregang dan terkoyak ketika janin bergerak untuk melalui saluran kelahiran, iaitu faraj anda. Jika regangan atau koyak adalah agak kronik, anda mungkin memerlukan jahitan atau jika tidak, ia boleh meyebabkan kelemahan atau kecederaan pada otot pelvik yang berfungsi mengawal air kencing dan fungsi ususnya.
Terdapat kajian yang mengatakan, individu wanita yang melahirkan bayi melalui faraj atau proses bersalin normal, cenderung untuk berdepan masalah usus atau inkontenensia kencing berbanding wanita yang melalui proses bersalin C-section. Ini kerana mereka akan cenderung untuk membuang air kencing apabila batuk, bersin atau ketawa. Selain itu, selepas bersalin melalui faraj, mereka juga berkemungkinan akan mengalami kesakitan yang berlarutan pada bahagian perineum, iaitu kawasan antara vagina dan dubur.
Tempoh selepas Bersalin
Selepas melahirkan bayi, anda perlu lebih berhati-hati memandangkan tubuh anda berada pada keadaan paling rapuh semasa tempoh postpartum atau selepas bersalin, terutama jika anda menjalani kelahiran pembedahan C-section. Selain mengalami kesakitan fizikal, emosi anda juga akan melalui beberapa fasa berbeza yang mungkin akan berlangsung beberapa hari atau menghantui anda dalam tempoh yang lama.
Apa itu postpartum?
Semasa minggu pertama selepas anda melahirkan bayi, tubuh anda masih dalam proses penyembuhan dan menyesuaikan diri dengan fasa tidak hamil. Tempoh ini dipanggil postpartum (selepas bersalin), di mana tubuh anda akan melalui pelbagai perubahan sepanjang proses pemulihan badan anda. Antara tempoh 2 hingga 6 minggu selepas kelahiran, doktor anda akan membuat temujanji untuk memeriksa kadar penyembuhan dan kesihatan anda secara keseluruhan.
Apa yang berlaku kepada tubuh anda semasa tempoh selepas bersalin?
Semasa tempoh ini, tubuh anda selalunya akan rasa sakit dan lesu. Anda akan mengambil masa selama 4 hingga 6 minggu untuk kembali pulih dan rasa kembali bertenaga. Walau bagaimanapun, jika anda bersalin secara pembedahan C-section, anda mungkin perlu mengambil tempoh yang lebih lama untuk pulih.
Semasa postpartum, anda mungkin akan mengalami simptom-simptom seperti di bawah pada tubuh anda:
- Bengkak
- Pendarahan faraj
- Kesakitan faraj
- Bengkak payudara
- Kekejangan
- Masalah pundi kencing
- Masalah pergerakan usus
- Rambut menipis
- Kehilangan pigmentasi kulit
- Kemurungan selepas bersalin
Bagaimana untuk anda cepat sembuh, secara fizikal dan juga mental?
Berikut beberapa cadangan untuk membantu anda menangani simptom selepas bersalin:
- Jangan terlalu risau
- Cuba untuk meridap atau tidur semasa bayi anda tidur
- Minta bantuan dan sokongan daripada pasangan melakukan kerja penjagaan bayi dan rumah
- Biarkan ahli keluarga anda menjaga anda, melakukan kerja-kerja rumah dan membawakan anda makanan sehingga anda benar-benar pulih dan boleh melakukannya sendiri
- Minta bantuan ahli keluarga untuk menjaga anak anda yang lain (jika ada)
- Minum banyak air terutama jika anda menyusukan bayi
Bagaimana postpartum boleh menjejaskan emosi anda?
Beberapa minggu terawal selepas kelahiran, anda mungkin rasa teruja dan letih pada masa yang sama. Di samping gembira dengan kehadiran bayi comel anda, anda juga boleh berasa terlalu penat kerana kurang tidur dan juga sedang menyesuaikan diri memikul satu lagi tanggungjawab baharu.
Ramai wanita yang melalui fasa emosi yang dipanggil “baby blues” semasa beberapa hari terawal selepas bersalin. Puncak fasa ini biasanya pada hari keempat dan mereda dalam masa kurang daripada dua minggu. Walau bagaimanapun, jika anda mengalami blues lebih daripada tempoh tersebut, atau anda berasa ingin mencederakan diri sendiri atau bayi, segera berjumpa dengan doktor anda. Anda mungkin mengalami kemurungan selepas bersalin atau meroyan.

Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Demam Suhu Tinggi On Off & Kulit Lebam Kebiru-Biruan, Ibu Ini Kongsi Pengalaman 2 Anak Alami Influenza Dalam Pa&Ma TV

Demam suhu tinggi tak sembuh & badan lebam kebiruan rupanya tanda-tanda anak terkena influenza. Kalau tidak dirawat segera, boleh sebabkan jangkitan pada otak dan paru-paru pula.
Puan Nur Syahira Khairil Anwar berkongsi pengalamannya dalam rancangan TV Pa&Ma yang bertajuk “Usah Pandang Ringan Influenza” di mana influenza telah menjangkiti kedua-dua anaknya. Tidak hanya anak-anak, dia dan suaminya juga turut mendapatkan jangkitan influenza.

DEMAM HARI KETUJUH TAK SURUT
Anaknya, Redza mengalami demam suhu tinggi 39° hingga 40° Celcius yang berubah-ubah (on and off) tapi tidak surut-surut.
“Saya bawa anak jumpa doktor. Demam biasa kata doktor. Lepas tu demam tak surut walau pun dah 5 hari. Bawa lagi jumpa doktor. Ambik darah dan keputusan ujian darah negatif denggi.

“Saya mendapati badan anak pun tiada tanda-tanda campak atau Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut (HFMD). Apabila tiba hari ketujuh still demam suhu tinggi. Saya terus bawa anak-anak terus hospital. Cek sampel hingus dan anak-anak disahkan positif influenza A,” kata Nur Syahira.
ANAK KEDUA PUN TURUT DIJANGKITI INFLUENZA A
Anak kedua beliau, Maya yang belum pernah pernah demam, tiba-tiba demam. In menyebabkan ibu muda ini terus membawa si kecil ini ke hospital. Sahlah Maya alami influenza A.
Antara tanda-tanda yang dilihat pada anak-anaknya ialah demam tinggi, hingus pekat, batuk, hilang selera makan, badan lemau/lesu dan pening kepala. Syahira juga mendapati anaknya mengalami lebam-lebam pada badan pada keseluruhan badan.
Paling menakutkan ialah apabila doktor memberitahu, jika tidak dirawat dengan baik, influenza boleh mengakibatkan jangkitan kepada organ penting iaitu paru-paru dan otak yang sudah tentu menyebabkan fungsinya terjejas.

BADAN PANAS TAPI AKTIF
“Menjaga anak yang demam semasa kami ibubapa pun demam memang mencabar. Alhamdulillah dua-dua anak walaupun badan panas tapi tetap aktif. Cuma tak nak makan. Tu yang buat kami risau.
AMBIL NEB 3 JAM SEKALI, BUAT FISIO, SEDUT HINGUS & MAKAN UBAT ANTIVIRAL
“Selepas masuk hospital, kami serahkan 100% penjagaan dan rawatan kepada doktor sebab rawatan mereka lebih kepada untuk hilangkan hingus dan kahak. Caranya ambik neb every 3hrs, buat fisio iaitu teknik percussion, sedut hingus, makan ubat antiviral TamiFlu,” kata ibu ini.

AMBIL KEPUTUSAN AMBIL VAKSIN INFLUENZA UNTUK ANAK-ANAK
Sebagai langkah pencegahan, selepas Redza dan Maya sihat sepenuhnya, Syahira dan suami membawa anak untuk mendapatkan vaksin influenza. “Alhamdulillah mereka dah disuntik vaksin. Vaksin ni kena ambik setiap tahun. Sebab virus influenza ni gen dia setiap tahun berbeza. Virus ini sentiasa bermutasi,” kata Syahira.
Anda nak tahu lanjut mengenai influenza, jenis-jenis influenza dan simptomnya, ikuti kupasannya dalam Pa&Ma pada 1 Januari 2019 yang bertajuk “Usah Pandang Ringan Influenza.” Pa&Ma Musim Ketiga yang dihoskan oleh Shera Aiyob & Zahiril Adzim ini mengutarakan pengalaman ibu bapa, tips pencegahan daripada doktor dan sebagainya.

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


