
Kenaikan kes demam influenza terutama di kalangan kanak-kanak kini semakin membimbangkan. Anak-anak kecil kita mengalami demam suhu yang agak tinggi, batuk, selsema dan badan yang lesu seakan tiada tenaga.
Ditambah pula musim hujan dan cuaca tidak menentu menyebabkan virus mudah merebak, terutama di taska dan sekolah.

Ramai ibu ayah mula risau apabila anak tidak aktif seperti biasa, merengek sepanjang hari dan enggan makan. Tapi jangan panik ya, kerana walaupun influenza membuat anak tidak selesa, ada beberapa cara semula jadi yang boleh bantu mereka rasa lega dan pulih lebih cepat.
Berpandukan perkongsian daripada Public Health Malaysia, berikut 6 cara mudah untuk bantu anak yang sedang alami influenza:
1. Mandi Air Suam
Mandi air suam boleh membantu melegakan otot-otot yang sengal dan menurunkan suhu badan. Wap air suam juga bantu longgarkan lendir dalam saluran pernafasan anak. Pastikan air tidak terlalu panas, cukup suam untuk memberi keselesaan.
2. Minum Madu & Lemon Suam
Campuran madu dan lemon bukan saja menenangkan tekak yang gatal, tapi juga mengandungi antioksidan yang bantu tingkatkan imuniti badan. Untuk anak berumur dua tahun ke atas, boleh beri sedikit madu yang dicampur air suam dan perahan lemon segar.

3. Tidur Dengan Kepala Sedikit Tinggi
Apabila anak baring rata, hidung mudah tersumbat dan mereka susah bernafas. Letakkan bantal tambahan untuk tinggikan bahagian kepala agar mereka tidur lebih selesa dan tidak mudah terjaga waktu malam.
4. Hidu Wap Air Suam
Wap air suam boleh membantu membuka rongga hidung dan mengurangkan batuk. Ibu ayah boleh gunakan semangkuk air panas, tutup kepala anak dengan tuala kecil, dan biarkan mereka hidu wap selama beberapa minit dengan pengawasan.
5. Makan Makanan Hangat
Sup ayam, bubur nasi atau mi sup bukan saja mudah ditelan tapi juga beri tenaga. Makanan panas bantu tubuh kekal hangat dan kurangkan rasa seram sejuk yang sering datang dengan influenza.

6. Rehat Secukupnya
Ini paling penting! Badan anak perlukan masa untuk melawan virus. Pastikan mereka cukup tidur dan tidak dipaksa bermain atau ke sekolah selagi belum pulih sepenuhnya.
Langkah-langkah ini bukanlah ubat, tetapi membantu anak rasa lebih selesa dan mempercepat proses pemulihan.
Jika demam berlarutan lebih dari tiga hari, anak sukar bernafas atau menunjukkan tanda lemah teruk, segeralah bawa ke klinik untuk pemeriksaan doktor.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

















