Dua bayi digigit tikus di hospital kerajaan dalam masa 48 jam mencetuskan panik, trauma dan kemarahan masyarakat apabila kejadian itu berlaku di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Kerajaan Maharaja Yashwantrao (MYH), Indore, Madhya Pradesh. Insiden ini bukan sahaja mengejutkan, malah menimbulkan persoalan besar tentang tahap keselamatan dan kebersihan hospital.
Menurut Pengarah Hospital, Dr Ashok Yadav, seekor tikus menggigit jari seorang bayi di NICU, manakala seorang lagi bayi malang digigit pada kepala dan bahu. Kedua-dua bayi berkenaan mempunyai masalah kesihatan sejak lahir, malah salah seorang daripadanya ditemui terbiar sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan.
Bayi Sakit, Ditambah Luka Gigitan
Bagi ibu bapa yang menaruh harapan agar anak mereka dirawat dengan penuh perhatian, kejadian ini seolah-olah menambah luka di hati. Bayangkan bayi kecil yang sedang bertarung nyawa digigit tikus di tempat yang sepatutnya paling selamat. Perasaan trauma ini sukar digambarkan dengan kata-kata.
Ads
Klip yang tular menunjukkan keberadaan tikus berkenaan di hospital. Foto Agensi
Menurut laporan Sinar Harian, lebih memburukkan keadaan, video seekor tikus berkeliaran di dalam NICU tular di media sosial, menyebabkan ramai ibu bapa lain berasa cemas dan bimbang untuk meninggalkan anak mereka di wad.
Hospital Ambil Tindakan, Tapi Ramai Anggap Terlambat
Susulan kejadian, pihak hospital telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat insiden ini. Pemantauan 24 jam diperketatkan, jaring besi dipasang di tingkap dan kakitangan diarahkan memastikan tiada makanan luar dibawa masuk kerana sisa makanan dipercayai menarik tikus.
Ads
Namun, orang ramai tetap menyifatkan langkah itu terlalu lambat kerana kejadian sudah pun berlaku dan mencederakan bayi yang tidak berdosa. Ahli politik tempatan pula mengecam kerajaan negeri kerana gagal mengawal isu kebersihan hospital sejak lima tahun lalu.
Isu Kemanusiaan & Kesedaran Untuk Ibu Bapa
Insiden ini bukan sahaja isu kecuaian pentadbiran, tetapi juga dianggap tragedi yang mencabar nilai kemanusiaan. Ia menimbulkan persoalan besar – jika bayi dalam hospital pun tidak selamat, bagaimana pula keselamatan awam di luar sana?
Sebagai ibu bapa, kita wajar lebih peka walaupun ketika anak berada di hospital. Periksa keadaan wad, pastikan persekitaran bersih dan segera laporkan jika ada sesuatu yang membahayakan. Keselamatan anak kecil adalah amanah paling besar.
Walaupun perkara ini tidak berlaku di Malaysia, Pa&Ma berharap insiden ini menjadi pengajaran agar hospital lebih serius menjaga kebersihan dan keselamatan. Setiap bayi berhak mendapat rawatan terbaik tanpa sebarang ancaman lain. Jangan biarkan tragedi sebegini berulang kerana setiap nyawa kecil itu sangat berharga.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seorang pelajar Tingkatan 1, Tan YouHan, telah mencuri tumpuan dunia inovasi teknologi apabila ciptaan beliau, PostureManager, diiktiraf dengan Anugerah Khas Juri: Teknologi Kreatif dalamINNOVATHON Musim 2, sebuah program realiti TV berteraskan sains, teknologi dan inovasi sebagai platform untuk mengangkat Kemahiran dan idea inovatif dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mencari penyelesaian dan juga penambahbaikan terhadap isu sosioekonomi semasa.
Berusia 13 tahun, You Han adalah seorang pelajar di SMJK (C) Katholik PJ dan mula mendalami dunia coding sejak berusia 9 tahun. Kegigihan dan semangatnya dalam dunia teknologi membolehkannya mencipta penyelesaian yang praktikal untuk masalah kesihatan yang biasa dihadapi oleh masyarakat, terutamanya berkaitan postur duduk.
Latar Belakang Inovasi
Inovasi ‘Posture Manager’ bermula daripada pengalaman peribadi You Han. Ibunya sering mengalami masalah sakit belakang dan terpaksa menjalani rawatan fisioterapi yang berulang. Melihat kesukaran yang dihadapi ibunya, You Han merasa terdorong untuk mencipta sesuatu yang dapat membantu menyelesaikan masalah ini dengan cara yang lebih efisien, terutamanya dalam pemantauan postur di rumah.
Bermula dengan membuat kajian dalam talian mengenai kesalahan postur duduk, You Han mendapati bahawa ramai individu, terutamanya mereka yang bekerja dalam jangka masa panjang, mengalami masalah postur yang salah. Hal ini boleh menyebabkan sakit belakang, leher, dan pelbagai penyakit lain. Menerusi pengamatan tersebut, beliau bertekad untuk mencipta sebuah alat yang dapat memberi peringatan kepada pengguna agar duduk dengan cara yang betul.
Inovasi Mengubah Cara Duduk
‘Posture Manager’ adalah sebuah peranti yang direka untuk membantu pengguna membetulkan postur duduk mereka. Peranti ini bertujuan untuk mengurangkan kesakitan dan mencegah penyakit yang sering timbul akibat postur duduk yang salah. Dengan menggunakan teknologi dan kemahiran coding yang diperoleh You Han, beliau dapat menghasilkan sebuah produk yang mudah digunakan, di mana peranti ini akan memberi amaran apabila postur duduk seseorang tidak betul.
Ketika ditanyakan tentang bagaimana produknya dapat membantu orang lain, You Han mengatakan kini semakin ramai yang mengalami masalah sakit belakang kerana postur tubuh yang salah.
“Saya percaya bahawa ‘Posture Manager’ dapat membantu lebih ramai orang pada masa hadapan kerana semakin ramai orang mengalami sakit belakang, yang sering dikaitkan dengan postur yang salah, terutamanya dengan peningkatan gaya hidup sedentari, pengaturan kerja dari rumah, dan masa penggunaan skrin yang berpanjangan.
Produk saya dibangunkan untuk menangani masalah yang meluas ini dengan menggalakkan tabiat duduk yang lebih baik, yang dapat mengurangkan risiko ketidakselesaan berkaitan postur, seperti sakit belakang. Seiring dengan peningkatan kesedaran mengenai kesan postur terhadap kesihatan jangka panjang, saya percaya ‘Posture Manager’ mempunyai potensi untuk membantu lebih ramai orang dengan bertindak bukan sahaja sebagai alat pembetulan, tetapi juga sebagai langkah pencegahan untuk mengurangkan sakit belakang sebelum ia menjadi masalah kronik.”
Kos untuk pembangunan produk ini adalah sekitar RM70, dan ia dijual pada harga RM100. You Han juga mengambil inisiatif untuk menjalankan kajian pasaran dengan membuat tinjauan dalam talian mengenai masalah postur duduk yang salah sebelum memulakan pembangunan produk. Melalui kajian ini, beliau dapat memahami lebih lanjut tentang masalah yang dihadapi oleh ramai orang, sekaligus membantu mereka mencari solusi yang praktikal.
Pencapaian Hebat You Han!
Selain anugerah yang diterima dalam Innovathon, Posture Manager juga telah mendapat pengiktirafan dalam beberapa pertandingan inovasi. You Han meraih tempat kedua dalam pertandingan Coolest Project Malaysia di Pulau Pinang pada tahun 2023, dan juga dinobatkan sebagai pemenang tempat kelima dalam pertandingan YTech Competition.
Lebih membanggakan, beliau telah dipilih untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan International Creative Innovation Award (ICIA) yang berlangsung di Thailand, di mana beliau berjaya meraih dua anugerah besar: Titanium Award dan Grand Prize pada April 2024.
Masa Depan Yang Cerah
Inovasi yang dihasilkan oleh You Han bukan sahaja memberi manfaat kepada individu yang mengalami masalah postur, tetapi juga menunjukkan potensi besar dalam bidang teknologi. Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan pengetahuan, kreativiti, dan ketekunan, seseorang remaja pun dapat mencipta sesuatu yang bermanfaat untuk masyarakat.
Memasang impian untuk menambah baik ‘Posture Manager’ You Han mahu mengembangkan produknya lebih dari sekadar sebuah kerusi.
“Saya sentiasa memantau cabaran kesihatan di seluruh dunia, mencari cara untuk memberikan impak positif. Pada masa hadapan, saya ingin mengembangkan ‘Posture Manager’ dengan menambah ciri-ciri baharu yang lebih meluas, bukan hanya terhad kepada kerusi.
Saya sedang meneroka cara untuk mengintegrasikan teknologi canggih seperti IoT dan AI untuk pembetulan postur yang lebih pintar. Saya juga bersemangat untuk meningkatkan bantuan mobiliti, seperti kerusi roda, dengan menggunakan teknologi terkini untuk meningkatkan sokongan dan keselamatan bagi penggunanya.”
Tanpa ragu lagi, kejayaan You Han ini menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk terus meneroka dan berinovasi dalam bidang teknologi. Dengan semangat yang tinggi dan dedikasi yang tidak mengenal putus asa, beliau menunjukkan bahawa usia bukanlah penghalang untuk mencapai kejayaan yang besar.
Posture Manager adalah bukti nyata bahawa inovasi yang sederhana namun bermakna boleh memberi impak besar dalam kehidupan seharian. Tan You Han telah membuktikan bahawa dengan keinginan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi orang sekeliling, seorang pelajar tingkatan 1 mampu mencipta sebuah alat yang bukan sahaja menyelesaikan isu kesihatan, tetapi juga menginspirasi generasi muda untuk mencipta masa depan yang lebih baik.
Jom usha kesemua episod INNOVATHON Musim 2 di Astro Go dan sooka, bila-bila masa dan di mana-mana sahaja!
Nak belajar tak perlu fikirkan tentang usia. Biar berapa pun usia, kita takkan pernah cukup ilmu di dada. Selagi mahu menuntut ilmu, semakin banyak ilmu yang akan dipelajari. Dengan disiplin serta azam yang kuat, pasti mampu melakukannya.
Seorang nenek kepada 10 orang cucu dan tak lama lagi akan ada 11, membuktikan dengan usianya 64 tahun masih mampu untuk belajar di universiti. Menurut ciapan anak keempatnya di Twitter, Mohd Solehudin Sarkadi berkongsi ibunya kini di tahun ketiga dalam jurusan Pengurusan (major dalam Organisasi) di Pusat Pengajian Pengurusan, Universiti Sains Malaysia (USM).
Menerusi artikel SinarPlus, wanita hebat itu iaitu Ku meriam Ku Hussain atau mesra disapa sebagai Mak Wan, melanjutkan pengajian dalam mod Pengajian Jarak Jauh (PJJ) untuk memperbetulkan persepsi masyarakat bahawa ijazah hanya untuk golongan muda.
Sudah tentu semangat gigih Mak Wan ini menjadi inspirasi kepada ramai orang dan dia sebenarnya memulakan pengajian pada sesi 2020/2021, tetapi baru kali pertama menjejakkan kaki ke Kampus Induk USM di Gelugor, Pulau Pinang.
Sebelum ini Mak Wan mengikuti pengajian secara dalam talian kerana pandemik. Tambah Mohd Solehudin, ibunya telah mendaftar untuk minggu intensif 2022/2023 untuk pertama kali selepas Covid-19 melanda.
Lebih hebat lagi sebenarnya Mak Wan rupa-rupanya dahulu bergelar guru kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di sebuah sekolah di Tanjung Tokong, maka tak hairanlah ada yang memanggilnya sebagai Ustazah.
Berbekalkan pengalaman bekerja serta Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1976, ibu kepada enam orang anak ini mahu mencapai cita-citanya untuk menggenggam segulung ijazah.
Menurut Mohd Solehudin lagi, ayahnya telah meninggal dunia kerana kanser usus pada tahun 2013. Anak-anak serta semua cucunya menjadi penguat semangat bagi dia meneruskan pengajiannya itu.
Tambahnya, Mak Wan berulang-alik ke kampus setiap hari dari rumah di Tanjung Tokong biarpun perjalanan mengambil masa selama 45 minit. Tidak bosan kerana dia ke sana ditemani anaknya, Nurul Huda Sarkadi.
Nurul Huda juga kini dalam perjuangan memburu ijazah sarjanan muda dan menjadi rakan sekampus dengan ibunya. Dia menuntut di pusat pengajian yang sama cuma berbeza major kerana Nurul Huda memilih kewangan.
Semoga mereka berdua terus maju dan berjaya mencapai impian yang dicipta bersama. Memang kagum dengan semangat nenek ini, dalam kesibukan bermain dengan cucu sempat menyambung pengajian. Terbaik!
Bayi jadi peneman bapa daki gunung, “Hana langsung tak meragam, menangis…” Kisah dua beranak Hazwan Harawi mendaki bukit bersama bayinya mendapat perhatian warga maya.
Hazwan memuat naik video pendakiannya bersama anak angkatnya, Hana di TikTok. Hana mendapat pendedahan mendaki bukit kerana bapa angkatnya, Hazwan Harawi, 29, sering membawanya sebagai peneman untuk mendaki di bukit dan taman riadah sekitar Lembah Klang.
Hana sudah merasai pengalaman mendaki walaupun baru berumur sembilan bulan. Bercerita lanjut, Hazwan berkata, mendaki adalah minat dan salah satu hobinya sejak di kampus lagi.
MENURUT HAZWAN, ISTERINYA, FATIN SIHAN, 29, JUGA ADA MINAT YANG SAMA DAN MEREKA PERNAH PERGI MENDAKI BERSAMA, SALAH SATUNYA DI BUKIT BROGA, SELANGOR.
“Dulu kami pergi mendaki berdua saja tapi sejak hadirnya Hana, dia pun dibawa bersama.
“Cuma, kami ambil Hana sebagai anak angkat pada umurnya tiga bulan. Waktu umurnya empat bulan baru dedahkannya dengan aktiviti riadah.
“Awalnya bawa Hana pergi Taman Saujana Hijau di Putrajaya saja kemudian waktu umurnya lima bulan saya dan isteri bawa dia berkhemah di Kuala Kubu Bharu, Selangor dan pernah juga ke Taman Tugu, Kuala Lumpur ketika umurnya tujuh bulan selain berjalan di Pulau Pinang,” katanya.
Hazwan berkata, setakat ini, isterinya tiada halangan walaupun dia pernah pergi berdua saja dengan Hana.
Ia kerana dia dan isteri percaya aktiviti itu baik malah dapat mendedahkan anak kepada alam semula jadi dan bukan hanya membesar dengan gajet atau menonton televisyen semata-mata.
“Selalunya memang kami pergi bertiga tapi dua bulan lalu, isteri ditahan di Hospital Kajang dan saya kena uruskan anak waktu ketiadaannya.
“Jadi bila nampak saya boleh lakukan, isteri tak ada masalah untuk saya bawa Hana berdua tambahan dia kini pun baru hamil.
“CUMA, SAYA TETAP BUAT PERSEDIAAN RAPI SEBELUM BAWA HANA MENDAKI DI SESUATU TEMPAT DENGAN MENONTON VIDEO TERLEBIH DULU UNTUK TENGOK BAGAIMANA LALUAN TREK DAN PERIKSA SAMA ADA KAWASAN BERKENAAN MESRA BAYI SERTA ADA KEMUDAHAN TANDAS BERHAMPIRAN ATAU TIDAK,” KATANYA YANG BEKERJA DI SEBUAH SYARIKAT DALAM BAHAGIAN PEMASARAN DAN DIGITAL.
Hazwan juga membuat persediaan lain termasuk menyediakan alat pembawa kanak-kanak selain lampin, susu juga snek sebagai bekalan.
Katanya, persiapan lain adalah dengan melihat ramalan cuaca dan ke pusat gimnasium sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu bagi memantapkan stamina.
“Setakat ini, Hana beri kerjasama baik malah tak meragam pun… paling terkejut waktu mendaki Bukit Sri Bintang kerana dia tak menangis langsung.
“Cuma waktu di Taman Tugu, Hana menangis dalam 100 meter sebelum sampai di atas tapi itu pun sebab dia nak minum susu.
“Cabarannya lebih kepada saya kerana umur Hana pun sudah sembilan bulan jadi agak berat juga nak pikulnya di belakang dan memang sakit bahu serta lenguh kaki setiap kali balik mendaki,” katanya.
Menyentuh mengenai perkongsiannya di TikTok, Hazwan berkata, dia baru memuat naik video aktiviti bersama Hana sejak Mei lalu dan tidak menyangka mendapat perhatian hingga ada yang mengenali serta mahu bergambar dengan anaknya ketika berjumpa di luar.
Menurutnya, niatnya adalah untuk menyimpan memori dengan Hana dan memberi inspirasi kepada bapa di luar sana untuk habiskan masa di luar sana.
“Secara tak langsung, saya nak buktikan juga orang lelaki pun boleh diharap untuk jaga anak cuma bila baca komen, baru saya sedar ramai rupanya ibu bapa di luar sana tak bawa anak beriadah.
“Ada yang tak pernah keluar rumah pun sejak ada anak kecil kerana paranoid. Segelintir netizen pula persoalkan kenapa bawa Hana mendaki kerana anggap ia bahaya untuk keselamatan selain risau jika anak terkena gangguan mistik.
“Saya faham kebimbangan mereka malah sebagai orang Islam memang kena percaya dengan benda ghaib cuma risiko atau bahaya ada di mana-mana jadi kita cuba ambil langkah keselamatan.
“Selebihnya doa minta perlindungan Allah SWT,” katanya yang menggalakkan ibu bapa lain membawa anak beriadah sebagai terapi emosi bagi menghilangkan tekanan menjaga si kecil.
Keputusan untuk memiliki anak bukanlah sesuatu yang mudah bagi kebanyakan pasangan hari ini. Selain perlu bersedia dari segi emosi dan fizikal, ibu bapa turut memikirkan kos sara hidup, penjagaan anak, kestabilan pekerjaan serta kemampuan untuk membesarkan keluarga dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.